Bersama Penulis Sabah, Bahagia itu Mudah


"Kita adalah penerus pada para pahlawan dan perajurit negara... Kerana itu, seorang pejuang dan seorang pahlawan tidak boleh ragu-ragu, tidak boleh takut, tidak boleh kalah dan tidak boleh merasa rendah di hadapan sesiapa pun."

Dua bulan yang lalu, ketika saya baru pulang dari Jakarta atau tepatnya dari Tangerang, saya menghubungi seseorang yang mulai ketika itu sudah amat dekat di hati saya. Sebelum malam itu pun, cita-cita saya untuk mengukuhkan keyakinan kepada diri sendiri, adik-adik saya, para pelajar Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kota Kinabalu; dan sesiapa sahaja yang kami (Ikatan Penulis Sabah, IPS) temui di seluruh Sabah sudah bermula.

Benarlah, jalan itu tidak pernah hilang walaupun ditelan malam. Benarlah juga, doa yang dilangitkan tidak salah berpulang. Doa yang dimaksudkan telah Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa, makbulkan pada saat ini.

Oleh kerana itu, saya merasa bersyukur. Dalam pidato kenegaraan IPS kali ini, saya menyampaikan ucapan terima kasih kepada adik saya, Ustaz Rihan Ghois Shalahuddin (daripada Pondok Modern Darussalam Gontor Kampus Pusat, Indonesia) kerana telah bertamu di ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu (dan menyampaikan Syarahan Sepanggar di sini pada hari ini).

Dua bulan lalu juga, saya diuji dengan pelbagai ujian. Saya tidak beritahu semuanya, mungkin sebahagian sahaja. Ketika saya berada di Bandar Seri Begawan, baru beberapa hari yang lalu, saya kehilangan orang tersayang, iaitu ibu saudara saya.

Kalau bulan lalu, mungkin ada yang kedengaran, bapa saudara saya (Haji Awang Asik bin Haji Marasin) telah berpulang ke Rahmatullah. Beberapa hari yang lalu, kakak beliau pula (Hajah Dang Mataliah binti Haji Marasin) yang berpulang, iaitu kakak kepada bapa saya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka.

Begitu juga kepada ramai lagi yang telah mengorbankan jiwa dan raganya untuk keluhuran dan kepentingan agama, bangsa dan tanah air. Kita doakan semuanya agar dicucuri rahmat oleh Tuhan yang Maha Kuasa, Allah SWT.

Kita adalah penerus pada para pahlawan dan perajurit negara. Kalau bukan kita, siapa lagi dan kalau bukan sekarang, bila lagi? Kerana itu, seorang pejuang dan seorang pahlawan tidak boleh ragu-ragu, tidak boleh takut, tidak boleh kalah dan tidak boleh merasa rendah di hadapan sesiapa pun. Pandanglah dengan pandangan yang setara sekurang-kurangnya kalau tidak meninggi.

Ingatlah, kita hamba Tuhan yang Maha Kuasa, tetapi kitalah juga khalifah di muka bumi ini. Kitalah yang bersama-sama menjaga tanah air kita dengan cara kita sendiri. Kerana itu, berdirinya IPS pada tahun 1990 dengan sekarang sudah ada 183 orang anggota dan sudah pun ada sahabatnya di sekurang-kurangnya 14 buah negara di seluruh dunia.

Begitu juga dengan ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu yang berdiri pada tahun 2000. Bersama IPS, kedua-dua entiti ini yang menjadi sahabat sejak beberapa tahun silam, berdiri dan berterusan kerana dua perkara. Pertama, keikhlasan. Kedua, kasih sayang.

Setiap kita berjuang dan berkorban untuk mempertahankan apa-apa yang masih ada di tanah air kita, maka janganlah kita sia-siakannya. Kita hanya ada tanah air ini dan kita hanya ada dunia ini untuk dijaga baik-baik dan dipertahankan.

Ketahuilah, saudara-saudaraku sebangsa dan setanah air di mana pun berada, kita adalah saudara dan sahabat yang sentiasa menjaga keluhuran dan kepentingan kita bersama. Maka, janganlah kita sekali-kali mengkhianatinya. Marilah kita, dengan azam dan cita-cita yang ada, mengukuhkan keyakinan bahawa jalan yang kita pilih adalah jalan yang benar.

Kita akan sampai ke tujuannya, kalau tidak di dunia ini, di akhirat nanti... kerana semua orang, ketika melalui jalan yang berbeza, tetaplah menuju ke tujuan yang sama iaitu kejayaan yang abadi dan hakiki. Oleh sebab itu, kita berada di sini dan untuk itu, kita mesti berusaha untuk mewujudkan bahagia.

Saya bersyukur kerana melalui wadah seperti Program Literasi Kreatif dan Teknologi Sabah, kita mampu sama-sama merasai kebahagiaan itu. Berilah tepuk tangan pada diri sendiri kerana merasakannya. Sambil kita menikmati semangat kebersamaan, kebangsaan dan keberhasilan, kita lanjutkan dengan semangat pengantarabangsaan.

Terlalu banyak pencapaian yang telah dicapai oleh IPS sejak 36 tahun yang lalu; cukup saya sebut dua saja. Pertama, Jumaat ini, akan diadakan Malam Anugerah Pena Kinabalu. Penerima terbanyak Hadiah Sastera Sabah 2024/2025 datangnya daripada IPS.

Bukan itu saja. Dua minggu lalu, dalam Istiadat Konvokesyen ADTEC JTM Kali ke-29, Tahun 2026 Wilayah Borneo (Sabah dan Labuan), dua orang graduan terbaik ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu merupakan mantan Anggota Urus Setia IPS.

Walaupun saya tidak berada di sisi mereka ketika mereka memakai jubah konvokesyen, ketika mereka menerima skrol daripada Pengerusi Konvokesyen atau ketika mereka menyampaikan ucapan mewakili graduan, Penulis Sabah berbangga dengan mereka. Kita ucapkan tahniah kepada mereka.

Walau teruk mana pun jalan yang akan ditempuhi selepas ini, Penulis Sabah tetap akan berjalan menyongsong masa hadapan yang lebih baik, bukan sahaja untuk tanah air ini, tapi juga untuk dunia seluruhnya. Oleh kerana itu, keputusan saya pada awal tahun ini tepat: untuk memilih satu kata kepada Penulis Sabah... dan ini saya akhiri: "Bersama Penulis Sabah, Bahagia itu Mudah."

Program Literasi Kreatif dan Teknologi Sabah 2026.
Rabu, 9 September 2026, pukul 12.00 tengah hari.
Dewan Teratai, ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu,
Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.

Comments