Resonansi Jiwa yang Membasuh Luka


Resonansi jiwa tidak memerlukan pasport atau visa untuk berpindah dari sebuah pondok di timur Jawa ke sebuah kampus teknikal di utara Borneo. Itulah yang saya rasakan apabila alunan melodi dari sebuah studio rakaman di Ponorogo kembali menyelinap masuk ke dalam ruang fikiran saya setelah sekian lama tidak mendengarnya.

Saya belum pernah datang ke Gontor, jauh sekali menjalani pendidikan di sana. Latar belakang pendidikan saya berakar sepenuhnya di tanah air Malaysia. Saya mengenali Gontor daripada rakan-rakan yang pernah menuntut di sana suatu masa dahulu. Merekalah yang sebetulnya lebih memahami dan merasakan falsafah kehidupan berpendidikan di sana berbanding yang hanya membaca, mendengar atau melihat dari jauh seperti saya.

Namun, itu tidak bermakna kita tidak boleh belajar apa-apa daripada sana. Ketika saya kembali mendengar dan menonton karya-karya nasyid yang lahir dari Gontor, saya tidak hanya mendengar dan menonton dalam keadaan santai sahaja. Saya mendengar dan menonton karya-karya tersebut untuk memperbaiki sudut pandang saya terhadap diri sendiri dan persekitaran yang mengelilingi saya.

Ternyata karya-karya tersebut sedikit sebanyak mengubah sudut pandang saya terhadap tugas dan tanggungjawab saya kepada bangsa dan negara serta institusi dan perjuangan tempat saya berada. Saya tidak katakan saya lebih baik setelah mendengar atau menonton karya-karya tersebut.

Tetapi, cukuplah saya katakan bahawa, rentetan perubahan sudut pandang tersebut, berubah jugalah cara saya memandang sahabat-sahabat yang ikut jatuh dan bangun bersama saya dalam institusi dan perjuangan yang sama. Pandangan saya terhadap mereka sekarang lebih mendalam berbanding sebelumnya, sehingga terdapat beberapa perkara yang kita boleh pelajari sama-sama walaupun dengan cara dan penerimaan yang berbeza.

Kehidupan merupakan sebuah perjalanan, tetapi kehidupan tidak pernah menjanjikan jalan yang sentiasa rata. Akan ada saatnya jalan yang kita lalui penuh dengan pancaroba. Nanti, pada suatu saat, kita akan merasa dunia seolah-olah menghimpit kita sehingga setiap usaha terasa sia-sia dan keraguan mula melanda jiwa. Ketika itu, kita merasa lelah dan kecewa, lalu menitiskan air mata.

Kita hanyalah manusia biasa. Kita tidak perlu menjadi sempurna untuk menjadi berharga. Tidak apa-apa tersungkur seketika. Jatuh itu manusiawi, tetapi bangkit semula itulah sifat seorang pengabdi. Anggaplah setiap kepahitan yang melanda sebagai sebahagian daripada proses pendewasaan yang membentuk jiwa agar lebih kental dan tekal pada masa hadapan.

Begitu pun, tiada siapa yang diciptakan di dunia ini untuk bersendirian. Setiap manusia selalu memerlukan antara satu sama lain. Itulah persaudaraan. Dengannya kita berkongsi setiap tawa, peduli terhadap setiap duka dan menikmati setiap kasih sayang serta cinta. Tiada yang patut merasa berat selama tidak merasa sendiri. Jika yang dirasakan sebaiknya, janganlah menjauhkan diri. Carilah bahu sahabat yang terpercaya, bicaralah dengannya dan biarkanlah kehangatan persaudaraan menyembuhkan luka.

Saya sudah biasa bersendirian, tetapi sebetulnya saya selalu ada. Kalau perlu, biarlah saya susah asalkan yang lain tidak. Ketika saya mencari penawar kepada luka yang masih membekas di jiwa, saya juga sebetulnya hendak berkongsi penawar yang serupa kepada mereka yang turut memerlukannya. Hakikatnya, kita tidak banyak masa untuk terus tenggelam dalam duka.

Maka, janganlah berputus asa daripada rahmat Allah. Rahmat Allah sesungguhnya tidak terkira luasnya berbanding kekecewaan kita yang secebis cuma. Kita semua ada cita-cita. Kita selalu ada cita-cita. Tiada ertinya impian yang besar dicapai seorang diri. Mari kita capai impian yang besar itu bersama-sama. Tiada yang mustahil selama kita masih bersama. Realitinya, kemenangan selalu milik mereka yang selangkah, sehati dan sejiwa.

Mari kita rangkul jiwa, raga dan langkah kita hanya untuk Tuhan yang Maha Kuasa. Dengan jiwa, raga dan langkah kita yang sama, kita berjuang kerana Allah, berkarya tanpa lelah dan menginspirasi dunia ke arah masa hadapan yang lebih bahagia. Kepada-Nya kita harapkan agar segala keringat dan penat lelah tidak tertinggal hampa dan sia-sia, malah bermanfaat pula kepada diri sendiri dan masyarakat yang melatari kita.

Sahabat-sahabat, saya yakin kita boleh melakukannya. Selama ini, kita telah berhasil membuktikannya. Keberadaan dan kebersamaan kalian telah memberikan makna yang sangat mendalam kepada saya. Maka, saya harap kalian juga merasakan perkara yang sama terhadap satu sama lain kalau tidak dengan saya.

Saya tahu, kita tidak akan selalu ada untuk bersama, tetapi kebersamaan akan selalu ada selama kita berdoa kepada Allah untuk sesama kita. Terima kasih kerana pernah dan masih ada.

Telah diterbitkan dalam Majalah Komposisi, Edisi 2/2026.

Comments