Pengorbanan, Perjuangan yang Tiada Akhir
"Tidak akan ada jalan yang hilang kerana ditelan malam. Tidak akan ada hari yang sirna kerana awan mendung yang membawa kelam. Tidak akan ada doa yang tidak dikembalikan setelah terlebih dahulu dilangitkan. Tidak akan ada pula siapa pun yang menjatuhkan kita walaupun kita berjuang bersendirian."
Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia: Selamat Hari Raya Aidiladha.
Kutancap azimat bunga di graha,
Ke lubuk galian lalu serahkan;
Kuucap selamat di Aidiladha,
Kepada kalian yang dimuliakan.
Atas nama peribadi dan keluarga, bangsa dan negara, Masjid ini dan organisasi yang saya wakili, saya menyampaikan ucapan tahniah kepada saudara dan saudari sekalian atas ketibaan Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik yang berikutnya. Marilah kita iringi setiap nafas yang dihela pada hari ini dengan pujian dan kesyukuran yang tidak henti-hentinya kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa kerana atas limpah perkenan-Nya, dapatlah kita merayakan Hari Raya Aidiladha bersama-sama pada hari ini.
Marilah kita iringi pula setiap nadi yang berdenyut pada hari ini dengan ketakwaan yang terus-menerus kepada Allah SWT; dengan kata lain, selalu merasa takut kepada Tuhan yang Maha Segala-galanya, selalu bersemangat untuk beramal dengan kitab dan kalam firman-Nya, selalu merasa cukup dan sederhana dengan segalanya yang masih ada, dan selalu mencukupkan diri dengan persediaan untuk menjalani hari yang tidak ada penghujungnya.
Saudara-saudara yang dirahmati Allah,
Realitinya, kesyukuran dan ketakwaan kita kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa tidak selalu cukup. Walaupun kita diciptakan oleh Allah SWT paling sempurna dalam kalangan seluruh makhluk di alam semesta, kita selalu sahaja ada kekurangan di mana-mana dan pada bila-bila masa, sama ada terlihat atau sebaliknya, telah ditambah baik atau sekadar bersikap tunggu dan lihat sahaja. Oleh itu, kehadiran hari ini menghadirkan sama momentum yang berharga buat kita untuk menampung kesyukuran dan ketakwaan yang masih kurang dalam diri kita dan mengembalikan kedua-dua kesyukuran dan ketakwaan tersebut ke tahap yang sepatutnya.
Hari ini di Makkah, masih berlangsung ibadah haji yang melibatkan seramai 1,707,301 orang jemaah haji dari 166 buah negara di seluruh dunia berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan semalam (Selasa, 26 Mei 2026) oleh Pihak Berkuasa Utama Perangkaan Arab Saudi. Beruntunglah mereka yang sedang dan telah mendapatkan kesempatan yang berharga untuk melengkapkan rukun Islam yang lima dan meraih kemuncak ketakwaan di sisi Allah Azza wa Jalla melaluinya.
Kita yang belum berkemampuan untuk mengerjakan ibadah haji, walau bagaimanapun, jangan merasa kerugian atau malah dirugikan. Kita tidaklah pula, oleh sebab itu, terhalang daripada menggapai puncak takwa di sisi Allah SWT. Hari ini di pelbagai penjuru dunia, termasuk di tanah air kita sendiri, kita yang tidak berihram haji merayakan pula Hari Raya Aidiladha bukan sahaja untuk membolehkan kita menggapai puncak takwa itu, tetapi yang tidak kurang besarnya adalah untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat dan rahmat yang tidak putus-putus dikurniakan kepada kita.
Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang memuliakan kota Makkah dengan manasik haji yang tidak terhingga besar ertinya kepada seluruh tamadun manusia. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang membesarkan bulan Zulhijjah dengan mensyariatkan Hari Tarwiyah, Hari Arafah, Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik di seluruh pelusuk dunia. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan ibadah haji dan korban sebagai jalan besar menuju ketakwaan yang sebenar-benarnya. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan ketakwaan sebagai kemuncak kepada kehidupan manusia sebagai hamba, khalifah dan dai-Nya.
Saudara-saudara yang dikasihi Allah,
Ketika sambutan Hari Raya Aidiladha masih dipandang tidak seperti biasanya, marilah kita melihat hari ini sebagai hari raya yang terbesar dalam kehidupan kita. Kita semua faham betul, budaya dan tradisi rakyat dan penduduk Malaysia yang rencam cara hidup dan budayanya telah bertahun-tahun memanjangkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang hanya pada 1 Syawal kepada sambutan Syawal selama sebulan, malah melewati bulan Zulkaedah pula kerana hendak menambah baik silaturrahim dan ukhuwah sesama kita. Walaupun begitu, hukum syarak membesarkan pula Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik atas Hari Raya Aidilfitri dengan galakan melaungkan takbir kepada mereka yang tidak berihram haji dan bertalbiah selama lima hari mulai Subuh semalam (9 Zulhijjah).
Termasuk dalam pembesaran empat hari tersebut adalah pensyariatan ibadah korban dan penetapan hukum sunat muakkad kepada Muslim yang berkemampuan untuk melaksanakannya; galakan untuk menyumbangkan daging korban kepada seramai mungkin masyarakat di kawasan persekitaran; pengharaman berpuasa secara mutlak pada 10 hingga 13 Zulhijjah; dan, oleh hal yang demikian, dorongan agar daging korban yang diterima daripada orang yang melaksanakan ibadah korban dapat dinikmati bersama keluarga, sanak saudara dan handai taulan.
Kesyukuran itu sendiri sebahagian daripada ketakwaan. Sama ada kita melaksanakan ibadah korban pada tahun ini atau sebaliknya, kita bukan sahaja dituntut untuk bersyukur kepada-Nya, tetapi juga dituntut untuk mengekalkan takwa dalam diri kita di tahap yang tinggi atau sebaiknya menaikkanya ke tahap yang lebih tinggi berbanding sekarang melalui pelbagai cara. Allah SWT berfirman dalam surah al-Hajj, ayat 37:
“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah amalan yang ikhlas yang berdasar kepada ketakwaan daripada kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya, dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.”
Saudara-saudara yang berbahagia,
Pengorbanan adalah kehidupan. Ketika kita jatuh ke titik yang paling rendah, kita dituntut untuk berkorban. Ketika kita melompat ke titik yang paling tinggi pun, kita tetap dituntut untuk berkorban. Begitulah resam kehidupan: kita berkorban agar tetap berlangsung kehidupan. Kerana itu, para kanak-kanak dan belia dituntut untuk menuntut ilmu dan kemahiran dengan sepenuh kesungguhan, para dewasa dituntut untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diemban atas pundaknya dengan sepenuh kerajinan, dan yang lain dituntut pula untuk melaksanakan peranan masing-masing sesuai dengan masa, tempat dan keadaannya.
Tiada siapa dalam kalangan kita yang terlepas daripada memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan kita kekuatan yang mencukupi dan berterusan untuk melaksanakan segala yang dihasratkan oleh pihak lain dan dirinya apa pun bidang dan jalannya. Ketika Allah SWT mengurniai kita kekuatan itu, kita langsung memanfaatkannya bersungguh-sungguh untuk melaksanakan hasrat itu sehingga berjaya, sama ada dalam keadaan bersendirian mahupun dalam keadaan pihak lain ikut sama.
Kemudian, kita sedar, kekuatan itu tidak selalu ada dan tidak selalu cukup ketika sampai waktunya. Belum dikira pula cabaran yang datang sama ada dijangka atau sebaliknya. Kita merasa penat dan lelah apabila tiba masanya, lalu kita berhenti sehingga kekuatan itu kembali ada dan mencukupi serta, oleh sebab itu, kita boleh terus mengerjakannya. Sehingga keadaan itu kembali kepada kita, kita sesekali berharap pula agar ada pihak lain yang boleh terus mengerjakannya, lalu kita merasa beruntung kerana pihak tersebut hadir di saat kita benar-benar memerlukannya.
Ketahuilah, tidak akan ada kehampaan buat mereka yang meneruskan usaha dan doa dengan sepenuh keyakinan. Kalau pun nanti kita tidak akan pernah berhasil setelah bersungguh-sungguh berusaha dan berdoa, percayalah bahawa Allah SWT tetap akan menyediakan kebahagiaan kepada kita baik di dunia ini mahupun di akhirat sana selama kita terus-menerus menunaikan kewajipan mencarinya. Allah SWT benar-benar berpesan agar “jangan lupa bahagia” dalam surah al-Qasas, ayat 77:
“...dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah ruah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melakukan kerosakan.”
Namun begitu, yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Kebahagiaan tidak datang kepada kita begitu sahaja. Kebahagiaan datang selama kita mencarinya dan berjuang di jalan Allah SWT ke arahnya. Saidina Abu Said al-Khudri RA dalam sebuah hadis meriwayatkan:
“Rasulullah SAW ditanyakan: Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling baik? Rasulullah SAW lalu bersabda: (Manusia yang paling baik ialah) mukmin yang berjihad di jalan Allah dengan nyawa dan hartanya. Mereka bertanya lagi kepada Rasulullah SAW: Siapa lagi kemudiannya? Baginda SAW menjawab: (Dialah) Mukmin yang tinggal di celah gunung, (yang) bertakwa kepada Allah dan (yang) menjauhkan manusia daripada kejahatannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, hadis ini sahih.)
Saudara-saudara yang mulia,
Pengorbanan mendidik kita untuk tetap bersemangat meneruskan kehidupan dalam sebarang keadaan. Kita sedar, Palestin masih dicengkam dengan penjajahan dan kezaliman yang berterusan. Iran dan Venezuela masih pula dihadapkan dengan pencerobohan dan peperangan dengan kuasa asing yang tidak menguntungkan. Tanah air kita sendiri pun ditentang dengan pelbagai episod yang menggugat kerukunan dan kestabilan. Walau apa pun konflik, krisis dan perkara lain yang tidak diingini yang terjadi di setiap sudut dunia ini, tetaplah bersemangat untuk melanjutkan kehidupan dan yakinlah dengan cerahnya masa hadapan yang menunggu di hadapan.
Ingatlah, tidak akan ada jalan yang hilang kerana ditelan malam. Tidak akan ada hari yang sirna kerana awan mendung yang membawa kelam. Tidak akan ada doa yang tidak dikembalikan setelah terlebih dahulu dilangitkan. Tidak akan ada pula siapa pun yang menjatuhkan kita walaupun kita berjuang bersendirian. Dengan semangat yang selalu mendekatkan dan menyatukan, kita tidak akan menyerah dan mengalah kepada siapa pun yang menyaingi kita, tetap melangkah maju dan terus berkarya serta menginspirasi dunia dengan cara kita.
Kita telah melangkah sejauh inimenjulang bersama nyala cintapastilah kita tidak akan menyerahkepada asakkan badaiyang tiada putus-putus menerjahdinding damai,kita tidak akan berpecahmeninggalkan ikrar sumpahkita tidak akan berputus asadalam bulatan suara.— Jelison Jupin (Kita Telah Tiba Sejauh Ini, 2024)
Atas falsafah itu, kita masih diingatkan dengan kisah-kisah pengorbanan dan perjuangan, daripada kisah Nabi Ibrahim AS diperintah mengorbankan anakanda Baginda sebelum seekor kibas didatangkan sebagai gantinya kepada kisah Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA ditenangkan oleh Rasulullah SAW ketika bersembunyi di Gua Thur di sela-sela perjalanan Hijrah dari Makkah ke Madinah ketika kesedihan, dan daripada kisah Salahuddin al-Ayyubi membebaskan Baitulmaqdis daripada penjajahan tentera Salib kepada kisah Sultan Muhammad al-Fateh menakluk Konstantinopel.
Kisah-kisah pengorbanan dan perjuangan bukanlah hanya untuk dibaca, didengar atau ditonton sahaja, tetapi untuk dihayati, diambil iktibar daripadanya dan diteruskan semangatnya selagi hayat masih ada. Marilah kita mengenang kembali Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Yamtuan Antah, Dato’ Penghulu Dol Said, Paduka Mat Salleh, Datu Tating, Antanom, Rentap, Temenggong Koh anak Jubang dan ramai lagi pejuang dan pahlawan yang telah tercatat dalam lembaran sejarah tanah air, berjuang menentang penjajahan dan mengembalikan kemerdekaan untuk tanah air yang tercinta.
Ketika kita masih diberikan kesempatan menyingkap keindahan Hari Raya Aidiladha pada hari ini dan mengambil teladan daripada banyaknya kisah perjuangan dan pengorbanan yang kita telah dan masih pelajari dan hayati, masih ada dalam kalangan kita yang masih berjuang melangsungkan kehidupan untuk dirinya dan kita semua. Kerana masih ada mereka, kehidupan pada hari ini dapatlah kita jalani dalam keadaan yang baik-baik sahaja.
Saudara-saudara yang budiman,
Merekalah ibu bapa dan penjaga kita yang mengasuh dan membesarkan kita menjadi manusia yang berguna. Merekalah keluarga dan saudara-mara kita yang menjadi sebab yang membolehkan kita menikmati rasa bahagia. Merekalah guru-guru kita yang tidak jemu-jemu mengajar dan mendidik kita ilmu dan kemahiran yang melengkapkan masa hadapan kita. Merekalah pemimpin, pengurus dan pekerja kita yang sedaya upaya memimpin, mengurus dan mengerjakan hala tuju kehidupan kita dalam pelbagai bidang yang ditangani oleh mereka. Merekalah sahabat kita yang, dengan kehadiran mereka di sisi kita, telah membuatkan kehidupan kita sehari-hari terasa mudah dan bahagia.
Merekalah tentera yang mempertahankan tanah air kita daripada diceroboh dan diserang oleh musuh durjana; polis yang menjaga baik-baik keselamatan kawasan, bangunan dan masyarakat kita; petugas kesihatan yang memastikan setiap nyawa diselamatkan dan dirawat sebaiknya; bomba dan pertahanan awam yang pada setiap masa bersiap siaga menghadapi bencana yang tidak terduga; petugas pengangkutan jalan yang sentiasa menjaga ketertiban kenderaan darat di jalan raya; dan ramai lagi petugas pakaian seragam yang mengikut bidang kerja masing-masing memikul tugas negaranya.
Jangan kita lupakan pelayan, tukang masak dan tukang cuci pinggan yang sentiasa melayani kita di warung dan restoran saat memerlukan hidangan; tukang jahit yang selalu ada untuk menyiapkan dan mengindahkan pakaian; pemandu bas, lori, dan kereta serta motor e-panggilan yang melayani penumpang dan penghantaran barangan dan makanan; serta mekanik di bengkel yang bersedia menukar tayar, melakukan servis enjin dan memperbaiki kerosakan kenderaan.
Jangan juga kita lupakan jurutera, juruteknik dan tukang yang berlumba dengan masa dan keadaan untuk menata bangunan, jalan, peparitan, teknologi dan utiliti sehingga siap dimanfaatkan; petani dan penternak yang sehari-hari mengerjakan padi, buah-buahan, sayur-sayuran dan haiwan ternakan agar dapat kita makan setelah beli di tamu mingguan atau pasar harian; tukang sapu, tukang kebun dan pemungut sampah yang dengan taat dan setia menjaga baik-baik kebersihan dan keindahan kawasan perbandaran dan pedesaan; nelayan dan nakhoda kapal yang bertarung dengan ombak laut untuk membawa hasil perikanan ke daratan; serta juruterbang dan kru penerbangan yang terbang di awan biru dan memastikan kita dapat mengembara dengan gembira ke pelbagai penjuru dunia, terlebih dalam musim haji, dari tanah air ke Makkah dan Madinah sebelum kembali semula kemudian.
Jangan juga kita lupakan penulis, penerbit dan wartawan yang tidak jemu-jemu menulis dan mendokumenkan sejarah masa lalu, perkembangan masa kini dan harapan masa hadapan bangsa, negara dan dunia kita; budayawan dan seniman yang bersemangat waja memperkenalkan budaya dan seni sebagai identiti yang membuatkan tanah air kita dikenali dan disegani dunia; cendekiawan dan saintis yang sanggup mengkaji lalu mengalirkan ilmu dan budinya demi keluhuran dan kepentingan kita semua; serta para ekonomis, pemain industri dan pengusaha yang selalu berperanan memastikan kita menikmati kemakmuran tanah air dengan cara kita.
Bukan semua kita bekerja pada waktu pejabat yang biasa. Ada dalam kalangan kita pergi pagi dan pulang pagi, pergi malam dan pulang pula pada malam yang berikutnya, kadangkala dua atau beberapa hari kemudian baru orang-orang di rumah melihat wajah dan sosok tubuhnya; hanya untuk mengais rezeki yang masih ada walaupun sekadar di jalanan sahaja; mungkin sahaja untuk memastikan tidak tertutup periuk nasi para pekerja bawahannya; mungkin juga untuk memastikan bangsa dan negara kita tetap menikmati keamanan dan kemakmurannya meski semakin banyak cabaran yang dihadapi oleh dunia. Termasuk dalam hal ini mereka yang pada ketika ini telah habis usia hayat mereka di dunia yang fana ini, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka semua.
Biji selasih dalam ceradi,
Santapan puan dari kayangan;
Terima kasih daun keladi,
Budimu tuan jadi kenangan.
Dari hati yang paling dalam, terima kasih kami aturkan kepada semua. Kami mohon maaf kerana ucapan terima kasih ini sejujurnya tidak cukup untuk membalas jasa kalian, malah tidak pula memuaskan hati kalian yang masih mendambakan penghargaan. Kami yang menerima jasa kalian tidak terbalas. Tetapi, ingatlah, semua lelah kalian tidak akan tertinggal sia-sia. Yang kami mampu hanyalah memohon kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Membalas, balasan yang selayaknya dan sebanyaknya.
Akhirnya takkan ada akhirdoaku agar kau selaluarungi hidup berbalut senyuman di hatiDoaku agar kau selaluingat bahagia meski kadang hidup tak baik saja— Laleilmanino (Selalu Ada di Nadimu, 2025)
Rabu, 27 Jun 2026, pukul 8.00 pagi.
Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.

Comments
Post a Comment