Ucapan sempena Peringatan Hari Ikatan Penulis Sabah ke-36
"Tahun ini dan tahun-tahun mendatang akan semakin mencabar buat kita semua... Tetapi, pilihan kita hanyalah dua, sama ada membiarkan diri kita dihanyutkan oleh keadaan atau mengharungi lalu mendepani keadaan tersebut dengan segalanya yang kita masih ada."
Berhari raya bersama abah,
Anak Pak Samat di Bukit Intan;
Di hari raya penulis Sabah,
Kata selamat jadi ingatan.
Alhamdulillah. Dengan izin dan rahmat Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa, IPS telah memasuki usianya yang ke-36 pada hari ini.
Ulang Tahun IPS kali ini sungguh istimewa kerana diraikan di tengah-tengah kemeriahan bulan Syawal yang mulia. Di sebalik kemeriahan bulan Syawal yang diisi dengan amalan ziarah-menziarahi dan majlis rumah terbuka, janganlah kita lupa untuk mengenang bulan Ramadan yang baru berlalu bersama keindahan-keindahannya.
Keindahan untuk berbuka puasa bersama-sama, keindahan untuk menunaikan solat tarawih dan tahajud bersama-sama, keindahan untuk bertadarus bersama-sama dan keindahan berbuat baik kepada orang lain bersama-sama: keindahan-keindahan itulah yang sesungguhnya mendorong IPS untuk menghadirkan nuansa yang berbeza kepada sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) IPS kali ini berbanding tahun-tahun yang sebelumnya.
Jika tahun lalu, HUT IPS mencitrakan cinta penulis Sabah kepada tanah air dan masyarakatnya sejak mula, HUT IPS kali ini menyorot hasilnya, iaitu kebahagiaan penulis Sabah yang muncul daripada nilai kesyukuran, ketekalan, kesabaran, kesederhanaan dan kebersamaan. Sebab itulah, HUT IPS kali ini memilih tema “Bersama Penulis Sabah, Bahagia itu Mudah”.
Saya faham, tidak semua kita merasai kebahagiaan yang kita inginkan. Pertama, kerana definisi kebahagiaan berbeza-beza sesama kita. Kedua, kerana sudut pandang kita terhadap kebahagiaan juga berbeza-beza. Ketiga, kerana masih ada pihak yang menafikan kita daripada kebahagiaan yang selayaknya buat kita dan, kerana itu, masih ada pihak yang dinafikan daripada kebahagiaan yang sepatutnya menjadi hak mereka.
Dunia kita kini sedang mengharungi zaman yang semakin banyak cabarannya. Ketika ada tempat yang mengharapkan pemulihan segera daripada bencana, ditakdirkan pula bencana di tempat yang berikutnya. Ketika kita berharap agar peperangan yang sedia ada berakhir segera, peperangan baharu pula melanda penjuru lain di dunia. Ketika seseorang menemui cinta dan pengertiannya, masih ada seseorang yang lain yang belum – malah mungkin tidak sama sekali – ditemukan dengan cinta dan pengertian yang diharapkannya.
Asasnya, tidak ada sesiapa di dunia ini yang terlepas daripada cabaran. Penulis Sabah sendiri telah dan masih teruji melangkaui 36 tahun usia ikatan mereka itu sendiri.
Saya faham, penulisan belum tentu membuatkan semua cabaran itu reda dan terhapus dari dunia. Tetapi, pandanglah kepada dunia yang masih ada bersama kita, yang kita masih boleh capai dengan mudah dan segera. Kebahagiaan belum tentu datang jika kita melihat daripada sudut pandang dunia yang lebih besar daripada kita. Namun, ketahuilah, kebahagiaan akan hadir dalam diri yang memiliki sudut pandang yang sesuai dengan dirinya.
Sabah tanah air kita. Malaysia tanah pusaka kita. Di sinilah kita dilahirkan dan dibesarkan. Di sinilah kita dididik dan diasuh menjadi seseorang yang keluarga dan masyarakat harapkan. Dan di sini jugalah kita menikmati sekaligus menghasilkan kebahagiaan.
Ketika kita mengimpikan pengembaraan ke negara atau benua yang lain, janganlah pula kita lupa melanjutkan perjalanan di tanah tumpah darah kita sendiri. Realitinya, tidak kurang banyaknya tempat yang belum pernah kita kunjungi dan masyarakat yang belum pernah kita temui walaupun di tanah air sendiri. Seruan dan realiti tersebut tidaklah pula menghalang komuniti penulis Sabah untuk meneruskan pengantarabangsaan dirinya, karyanya dan kegiatannya dengan pelbagai cara. Tugas penulis Sabah kepada rakyat dan negerinya ialah untuk menyantuni lebih ramai masyarakat yang masih tercari-cari akan rumusan sebenar kebahagiaan dalam kehidupan, baik melalui wahana penulisan mahupun wahana lain yang menggabung jalin dengannya.
Saya tahu, dunia penulisan sudah sebati dengan kesepian. Saya juga mengerti bahawa, oleh kerana itu, sebahagian daripada kita masih tidak mampu dengan cara apa pun menghasilkan kebahagiaan. Tetapi, ingatlah, kita semua berhak untuk bahagia dan, saya yakin, kita semua mampu untuk bahagia. Untuk itu, saya mengajak seramai mungkin untuk tetap menikmati bahagia bersama penulis Sabah, baik komunitinya, karyanya mahupun kegiatannya.
Malang sekali, kita tidak akan ke mana-mana selama kita menghitung dan merasa kekurangan; apatah lagi untuk menyalahkan orang lain atas kekurangan sendiri tanpa ada sedikit pun usaha untuk menampungnya. Penulis Sabah tidak ramai, sejujurnya. Tetapi penulis Sabah selalu ada di nadi bangsa dan negara. Kebersamaan membuatkan kita penulis Sabah selalu ada dan selalu merasa cukup dengan segalanya yang kita ada.
Kewujudan dan kecukupan yang berterusan itulah resepi sebenar kebahagiaan penulis Sabah, sementara kebahagiaan pula merupakan resepi sebenar kejayaan penulis Sabah melangkaui 36 tahun usia ikatannya. Inilah wajah sebenar penulis Sabah pada hari ini yang tidaklah semestinya sempurna, tetapi yang nyata, yang bekerja dan yang terus berhasil dan berkembang sebanyak-banyaknya.
Saya bersyukur kerana, IPS di bawah kepimpinan Ketua Satu yang sekarang, masih dapat menikmati kebahagiaan dan menghasilkan kejayaan dengan cara yang sekadarnya. Hari ini, IPS merupakan rumah kepada dua orang Sasterawan Negeri Sabah, iaitu Hasyuda Abadi dan Azmah Nordin, serta puluhan lagi penulis lain yang seusia dengan mereka berdua.
IPS tidak lagi berada di takuk yang lama. Hari ini, IPS diterajui, diurus dan digerakkan oleh para pemuda yang baik budinya dan bersemangat waja. Rata-rata mereka tidak pernah pun masuk ke dalam definisi sebenar penulis Sabah. Tetapi, kehadiran mereka dalam komuniti penulis Sabah, karya dan kegiatannya membuatkan penulis Sabah dan ikatannya tetap dapat merasa bahagia dengan caranya, malah memberi makna yang indah kepada semua yang bergelar penulis Sabah.
Mereka luar biasa. Dalam kalangan mereka, ada yang telah menjadi salah seorang deklamator terbaik dalam sayembara deklamasi puisi peringkat negeri, salah seorang penerima pingat perak pertandingan inovasi peringkat kebangsaan, malah ada yang menjadi johan pertandingan hafazan al-Quran peringkat negeri dan kebangsaan.
Hari ini, IPS merupakan hos kepada enam inisiatif dan ratusan kegiatan di bawah keenam-enam inisiatif tersebut yang dilaksanakan oleh IPS dan sahabatnya di dalam dan luar Sabah. Tahun lalu sahaja, menerusi kerjasama dan sokongan daripada hampir 60 buah organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, dalam dan luar negara, hampir empat ribu orang dinilai secara kumulatif menerima manfaat secara langsung dan tidak langsung daripada itu semua.
Hari ini, IPS merupakan penerbit kepada 50 buah buku fizikal pelbagai genre dan beberapa siri Majalah Komposisi, dengan 16 daripadanya diterbitkan secara digital. Melalui penerbitan, IPS berjaya melahirkan hampir seratus orang penulis muda baharu di seluruh Malaysia pada tahun 2025, dan lebih daripada seratus orang penulis muda baharu di Malaysia dan Indonesia pada tahun sebelumnya. Belum dikira di sini beberapa buah buku dan karya eceran yang tidak diterbitkan oleh IPS tetapi dimotivasikan oleh penulis Sabah dan ikatannya, seperti “Komuniti Navigator” karya Dr. Mohd Shafeiq Muhammad Asri yang baru sahaja diterbitkan secara digital secara swaterbit awal tahun ini.
Hari ini, IPS merupakan "duta penulis Sabah" yang menikmati hubungan diplomatik dengan 16 buah negara di seluruh dunia, malah berfungsi sebagai diplomat budaya yang mengekalkan dan meningkatkan hubungan baik antara Malaysia dengan negara-negara sahabatnya. Kehadiran IPS dalam acara-acara kebudayaan antarabangsa, lawatan-lawatan kerja ke luar negara dan komunikasi berterusan penulis Sabah dengan para penulis antarabangsa membuktikan bahawa penulis Sabah tetap bersemangat antarabangsa meskipun berjiwa Malaysia.
Di tempat sendiri, IPS sentiasa ada. Beribu puisi di bawah inisiatif "Puisi Adalah" telah dan masih diterbitkan di akaun Facebooknya. Puluhan kanak-kanak dan ibu masih tekun mempelajari al-Quran dan fardu ain di Dangau Sastera. Hatta di alam maya pun, IPS mendekatkan masyarakat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif menerusi aplikasi Penulis Pentigraf AI dan siaran Gema Penulis Sabah di Spotify. Belum termasuk dalam hal ini penulis Sabah yang menganggotai IPS yang kini memiliki kad ahli digital mereka sendiri menerusi aplikasi e-Kad Ahli IPS.
Hari ini, dengan rasa sukacita, saya melancarkan pula aplikasi Mari Berpantun, satu lagi aplikasi yang dijayakan oleh teknologi AI generatif yang membolehkan para pengguna mengakses masuk ke aplikasi tersebut menggunakan akaun Google lalu membina, menyemak dan mengesahkan pantun empat kerat yang dibina oleh mereka.
Semua pencapaian yang saya sebutkan ini dipandu oleh 10 Prinsip Penulis Sabah Berwibawa yang telah disyorkan dalam Pemukiman Urus Setia IPS di Ranau pada 23 November 2025 dan telah disahkan oleh Mesyuarat Agung IPS di Kota Kinabalu pada 31 Januari yang lalu dan diteguhkan pula oleh Deklarasi Penulis Sabah yang telah disepakati pada 11 Januari 2025 dan kita lafazkan dalam majlis-majlis besar anjuran IPS.
Saya tahu, tahun ini dan tahun-tahun mendatang akan semakin mencabar buat kita semua, terutamanya penulis Sabah. Tetapi, pilihan kita hanyalah dua, sama ada membiarkan diri kita dihanyutkan oleh keadaan atau mengharungi lalu mendepani keadaan tersebut dengan segalanya yang kita masih ada.
Penulis Sabah telah bersepakat dengan pilihan kedua melalui Wawasan Penulis Sabah (WPS) 2030 yang sedang dan akan direalisasikan menjelang penghujung tahun 2030. Saya bersyukur kerana WPS 2030 telah mencapai keberhasilan menghampiri 20 peratus ketika tahun 2025 menutup tirainya. Saya memberi jaminan bahawa walau apa pun keadaan penulis Sabah pada masa hadapan, WPS 2030 akan mencapai kejayaannya, terlebih ketika wawasan tersebut diperkuat oleh kewujudan Profil Penulis Sabah 2030 pada awal tahun ini.
Mari kita ambil teladan daripada para pendahulu kita, sama ada yang masih ada bersama kita seperti pendahulu saya Abd Naddin Shaiddin, salah seorang pengasas IPS Aliuddin Mohd Salleh, Sasterawan Negeri Sabah Datuk Jasni Matlani, serta tokoh-tokoh persuratan Sabah seperti Datuk Hussain Kasau, Datuk Emin Madi dan Datuk Sitti Rahmah G. Ibrahim; mahupun yang telah mendahului kita seperti Sasterawan Negeri Sabah Datuk Amil Jaya, para mantan Ahli Kehormat IPS Datuk Shuhaibun Yussuf, Dayang Salmah Salam, Ali Amat Anas dan Mat Congo, tokoh persuratan Sabah K. Bali, serta tokoh deklamasi puisi Sabah Mohilis; semoga Allah merahmati mereka semua.
Mari kita ambil juga teladan daripada rakan-rakan seperjuangan kita yang dikenal berjasa dalam bidang-bidang kebitaraan mereka, sama ada yang bergabung dengan IPS mahupun yang mengambil jalan yang berbeza tetapi menuju matlamat yang sama, termasuk nama besar seperti Datuk Profesor Ts. Dr. Haji Ramzah Dambul yang menguasai kritikan sastera, Dr. Haji Norawi Haji Kata yang menguasai sajak, Ruhaini Matdarin yang menguasai novel dan Dr. Marlenny Deenerwan yang menguasai drama dan teater.
Mari kita ambil juga teladan daripada semangat juang masyarakat negara kita dan masyarakat antarabangsa yang cekal dan tabah mengharungi serta mengatasi konflik yang melanda, baik yang menumpahkan darah mahupun sebaliknya. Sementara yang lain sibuk meneruskan peranan masing-masing, ketahuilah bahawa masih ada yang berjuang di hadapan dan di belakang tabir untuk memastikan bahagia itu mudah dan, dengan demikian, kita semua berhak dan mampu bahagia.
Tanjung Bahagia cuacanya redup,
Tempat kenduri anak pejuang;
Tetap bahagia jalani hidup,
Tetap syukuri insan berjuang.
Atas nama penulis Sabah, saya mengucapkan terima kasih kepada semua individu, komuniti dan organisasi yang telah dan masih bersama penulis Sabah menunaikan hasratnya sekaligus menjayakan gagasan Malaysia Madani dan hala tuju Sabah Maju Jaya melalui bidang penulisan mahupun bidang-bidang selainnya.
Saya khususkan ucapan terima kasih yang paling tulus kepada Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kota Kinabalu yang telah menjadi sebab utama penulis Sabah mampu menikmati kebahagiaan dengan caranya. Saya secara peribadi tidak tahu bagaimana lagi hendak berterima kasih kepada adik-adik saya – yang rata-ratanya pelajar ADTEC JTM Kampus Kota Kinabalu – yang menjadi pencetus kepada rasa bahagia yang penulis Sabah sedang ada di hati mereka.
Selaku Ketua Satu IPS dan atas nama peribadi dan keluarga dan pasukan dipimpin secara langsung oleh saya, saya memohon dibukakan pintu kemaafan yang sebesar-besarnya atas kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri saya dan penulis Sabah yang bergabung dengan ikatannya selama tempoh kepimpinan dan pengurusan saya. Begitu pun, dengan semangat "Wasatiyyah, Istiqamah dan Impak Tinggi", marilah kita penulis Sabah jalani hari-hari yang seterusnya sekadarnya.
Akhirnya takkan ada akhir. Doa restu kami selalu mengiringi kalian agar tetap menjadi orang yang bersyukur, tekal, sabar, sederhana dan meraikan kebersamaan. Hanya dengan menjadi sedemikian, bahagia menjadi lebih mudah untuk didapatkan, sesuailah dengan tema HUT IPS kita pada hari ini, “Bersama Penulis Sabah, Bahagia itu Mudah”.
Terima kasih, penulis Sabah, kerana memilih untuk tetap bahagia.

Tahniah K1, tahniah IPS
ReplyDelete