Ucapan Dasar Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah 2026
"Penulis Sabah tetap hidup menyeberangi pelbagai zaman dan cabaran. Penulis Sabah akan tetap menulis sejarah dan masa hadapan. Penulis Sabah akan tetap berkarya untuk masyarakat yang berwawasan."
Salam Penulis Sabah Berwibawa. Salam Ikatan Penulis Sabah: Wasatiyyah, Istiqamah dan Berimpak Tinggi.
Saya mulakan ucapan dasar kali ini dengan memohon maaf kerana setelah menghampiri empat tahun saya menjabat, masih banyak lagi kekurangan. Kekurangan itu saya sentiasa sedari sampai pernah saya tanya pada diri saya sendiri, “Apa lagi yang saya belum lakukan? Apa lagi yang Ikatan Penulis Sabah (IPS) belum lakukan?”
Ketika ada dalam kalangan kita mengharapkan anjakan paradigma daripada sastera, rupanya masih ada yang melakukannya, cuma beritahu atau tidak sahaja; tunjukkan atau tidak sahaja. Kalau tanya saya atau kawan-kawan, atau mungkin adik-adik yang bersama saya, saya rasa mereka akan bersetuju dengan saya bahawa anjakan paradigma itu sedang berlangsung, cuma belum selesai. Itu semua orang perlu akui.
Kota Rom tidak dibina sehari, begitu juga dengan Kota Melaka. Meruntuhkannya lebih mudah daripada membina yang semula mahupun menjaganya. Kerana itu, sejak saya menjabat, saya dan rakan-rakan melakukan apa sahaja yang termampu dan terdaya. Sehingga kita mencapai seperti apa-apa yang kita capai hari ini, ternyata belum juga. Saya rasa, dalam hal ini, mereka pun bersetuju dengan saya.
Kita belum capai ke tahap yang sepatutnya walaupun kita telah mencapai segalanya. Dengan ini, saya pesan kepada diri saya, muhasabah sahaja. Tanya, “Apa lagi yang saya belum lakukan kepada bangsa dan negara ini?” Mungkin selama ini, apa-apa yang saya dan rakan-rakan lakukan tertinggal sia-sia. Saya harap tidak begitu kerana ini salah satu cara saya dan rakan-rakan mengabdi kepada Tuhan, bangsa dan negara.
Sementara masih ada yang belum cukup, saya memohon maaf. Saya tahu, saya dan rakan-rakan serta IPS sendiri masih banyak kekurangan, termasuk apa-apa yang berlaku pada hari ini yang saya tidak cerita semuanya. Tetapi, saya tidak kata IPS gagal. Kalau IPS gagal, IPS berakhir pada hari ini, tetapi belum. IPS tidak akan berakhir. IPS akan berterusan selagi dunia ini masih ada insya-Allah.
Semua yang berada dalam IPS mahupun di luarnya, yang kita panggil sebagai “penulis Sabah”, insya-Allah masih boleh bernafas kerana masih ada teraju yang mengamalkan sifat inklusif… sehingga yang kita promosikan ialah penulis Sabah, sama ada mereka itu ahli IPS ataupun persatuan lain. Kita telah lakukannya sejak dulu atau sekurang-kurangnya sejak saya menjabat.
Alhamdulillah. Kita telah saksikan segalanya sepanjang tahun yang lalu sehingga akhirnya kita menikmati hubungan baik dengan berbagai pihak yang mana kita telah dapat manfaatnya langsung dan nanti akan ada yang kita dapat manfaatkan lagi pada masa hadapan.
Saya pun akui ada beberapa yang tidak berada di sini, tetapi sudah menghubungi saya di belakang tadi. Saya tidak beritahu persatuan mana. Tapi beberapa sudah tahu. Saya beritahu sahaja. Pihak-pihak itu telah bersedia pun untuk bersama penulis Sabah untuk menjayakan hasrat penulis Sabah ini sendiri. Salah satunya dalam bidang undang-undang. Saya tidak perincikan lebih lanjut. Biarlah saya bertemu orangnya pada waktu terdekat ini.
Kita akan seberangkan sastera dengan bidang-bidang lain seperti harapan sebahagian kita. Sebenarnya penyeberangan ini telah pun berlaku. Saya setuju bahawa sastera tidak boleh selama-lamanya jadi alat. Tetapi, adakah sastera itu alat sahaja? Bagi saya, tidak. Sastera itu wahana, kalau tanya saya.
Minta maaf sebab saya tidak pernah belajar subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif. Saya tidak pernah belajar sastera itu per se di universiti. Saya hanya mempelajari bahasa. Sasteranya saya belajar kemudian. Tapi saya memahami begini.
Kenapa? Komuniti sastera di tanah air kita masih suka bersoal-soal sedangkan peranan kita penulis Sabah bukan untuk bersoal-soal itu lagi, tetapi untuk menjawab soalan itu dan untuk melaksanakannya. Itu tidak dilaksanakan oleh penulis Sabah yang memimpin sahaja, tetapi dilaksanakan juga oleh rakan-rakan, termasuk sebahagian yang duduk pada hari ini bukan penulis Sabah pun, tetapi akhirnya bersama penulis Sabah merealisasikan sebanyak mungkin harapan penulis Sabah.
Dalam keadaan yang saya sedari, saya tahu saya selalu terlupa untuk bersyukur. Jadi, saya pesan kepada diri saya dan rakan-rakan, baik kita berterima kasih kepada mereka yang kita namakan Urus Setia. Mereka ini ramai, tapi disedari atau tidak sahaja.
Saya minta rakan-rakan tidak kecewa seperti saya kerana ternyata masih banyak lagi yang belum saya dan rakan-rakan lakukan. Saya berbangga dengan adik-adik saya yang tidak pernah menulis pun, tapi ikut turun ke kota dan desa, menyeberang laut dan udara, mempromosi penulis Sabah, baik karyanya, komunitinya, mahupun kegiatannya. Terima kasih kepada orang-orang seperti ini. Bukan IPS, tapi penulis Sabah yang beruntung kerana orang-orang seperti ini.
Penulis Sabah inilah yang datang berjumpa dengan komuniti yang kita kata penulis muda baharu. Ada yang belum dilahirkan pun. Komuniti inilah yang berjumpa berulis mapan, bukan di tanah air sendiri, tapi di negara lain. Komuniti ini jugalah yang berbincang dengan saya kalau bukan setiap hari, setiap minggu dan kalau bukan setiap minggu, setiap bulan, “Apa lagi yang boleh dilakukan sebagai penulis Sabah dan untuk penulis Sabah?” Tidak percaya? Tanya Nazmie Daniel dan tanyalah Ahmad Mouiez sebelum itu.
Tanyalah juga satu siri The Circle sebelum itu yang dipimpin oleh Muhammad Amin Dzulfikar. Kewujudan The Circle (sebagai Urus Setia IPS) tidak sia-sia. Kalau The Circle tidak ada, mungkin kita masih berada di takuk lama. Kita tidak berada di takuk itu lagi.
Kita telah mengambil langkah berani sehingga akhirnya, kita tampil bersama belia-belia yang bersemangat waja, yang kita ajar dan kita didik untuk ikut sama berbakti kepada nusa dan bangsa. Sebab itu, dalam ucapan dasar ini, saya memang berterima kasih secara khusus kepada urus setia saya, adik-adik saya yang telah bersama saya bukan sekarang, tetapi sejak saya pertama kali menjabat sebagai Ketua Satu, IPS.
Terima kasih juga saya ucapkan kepada para ahli. Sama ada ahli itu Ahli Kehormat, ahli seumur hidup, ahli biasa atau (mulai sekarang ada juga) ahli bersekutu, rata-rata mereka ada sumbangannya yang tersendiri. Ingatlah, setiap sumbangan itu bererti kepada penulis Sabah walau di mana pun bidangnya.
Akhirnya, penulis Sabah tidak berurusan dengan bahasa, sastera dan budaya sahaja. Kita berurusan dengan pelbagai bidang. Kerana itu, kita mengambil langkah berani tahun lalu dengan melancarkan Wawasan Penulis Sabah (WPS) 2030. Lihatlah, wawasan tersebut telah dilancarkan di premis Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) oleh wakil Kerajaan Negeri Sabah; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah pada masa itu.
Kita akan teruskan libat urusnya untuk beberapa waktu lagi ke depan, tergantung siapa Ketua Satu pada masa itu. Kalau Ketua Satunya orang baru, orang barulah yang meneruskan. Kalau Ketua Satunya orang lama, saya sambung. Mudah, bukan? Dokumen sudah ada, tinggal laksanakan sahaja.
Ingatlah, WPS 2030 bukan dipunyai oleh IPS sahaja, tetapi dipunyai oleh penulis Sabah seluruhnya. Setiap penulis Sabah berhak menjayakannya dengan caranya yang tersendiri, baik itu penulisan sastera, penulisan kewartawanan, penulisan umum, penulisan akademik, mahupun penulisan perundangan.
Nama pun penulis. Orang yang menulis ialah orang yang mencipta karya untuk masa depannya. Kita kena tanam ini pada orang yang seterusnya supaya lebih ramai lagi orang muda menulis walaupun mungkin dia menulis itu sekali sahaja.
Pernah ada orang yang berjumpa saya dan bercerita, “Saya dulu pernah ikut bengkel penulis di DBP Kampung Air.” Bukunya sudah pernah terbit dalam antologi cerpen pada tahun 1993. Saya bilang, “Buku itu rasanya masih ada di Perpustakaan Negeri. Boleh cari.” Orang itu sekarang kerja di Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia Kampus Sandakan. Ada juga yang pernah bercerita bahawa dia pernah menulis tapi dia menulis di majalah.
Macam mana penulis muda baharu dikira? Kita kira daripada antologi dan buku solo. InsyaAllah akan datang lagi beberapa (orang penulis muda baharu) baik dari antologi mahupun buku solo. Jadi, saya pesan kepada penulis-penulis (yang berkenaan), nanti bersiap sedia menerima kelahirannya dua atau tiga bulan lagi.
Saya mohon maaf; saya tahu ada yang terlambat sebab sedang berbaris 15 manuskrip (baki tahun 2025 yang lepas). Masih banyak. Kita akan terbitkan semuanya tahun ini. Saya tidak akan tolak satu pun. Paling-paling pun, saya akan perbaiki sahaja. Terima kasih atas kesabaran mereka yang berkenaan. Memang saya minta tunggu sebab kebetulan editornya sibuk. Kebetulan juga editor belum sempat melengkapkan sesuatu sehingga kita dapat terbitkan dengan cepat (seperti hari itu).
Kita, kalau boleh, mahu terbitkan sebanyak mungkin buku. Jadi, tolong pesan kepada kawan-kawan kita, kalau ada yang mahu terbit, saya alu-alukan buku itu diterbitkan di bawah IPS.
Tetapi, kena ingat, Hadiah Puisi K. Bali masih berlangsung sehingga 30 Mac nanti. Sampai 30 Mac, kita kumpul dan kita nilai. Jangan jemu untuk menyertainya kepada yang belum pernah menyertainya. Siapa yang mahu ikut, silakan, kita alu-alukan. Bayangkan penulis yang tidak menang Hadiah Puisi K. Bali pun kita terbitkan bukunya. Saya ucap tahniah kepada Cikgu Raymond. Cikgu Raymond merupakan salah seorang penulis yang terbit buku bawah IPS. Tadi ada Cikgu Ramlee Jalimin, bukunya juga kita terbitkan.
Saya tidak kira. Penulis Sabah kita akan terbitkan bukunya. Sama ada dia itu ahli IPS atau tidak, kita terbitkan saja kerana itulah fungsi IPS. IPS ialah tempat bertemunya para penulis Sabah sama ada orang itu ahli atau bukan. Kita melayani semuanya sama. Kita alu-alukan semuanya tidak tertinggal seorang pun.
Dalam hal ini, IPS melihat ke hadapan untuk bekerjasama dengan semua yang telah ada hari itu dan kita akan lanjutkan pula dengan beberapa lagi organisasi yang baru. Nanti kita akan lihat sendiri. Dalam bentuk apa, saya tidak dapat cerita sekarang kerana masih belum diperincikan dari segi dasar dan operasi.
Apa-apa kerjasama ke depan tetaplah berpegang kepada WPS 2030 dan visi Kota Kinabalu sebagai kota sastera masa hadapan yang belum bertemu noktahnya walaupun pada tahun lalu, Kota Dumaguete yang terpilih menjadi kota sastera dunia di rantau Asia Tenggara.
Saya cuba simpulkan ucapan dasar ini yang tidak terlalu panjang, dan saya tidak berniat untuk memanjangkannya, dengan memperkenalkan Profil Penulis Sabah.
Profil Penulis Sabah adalah rangkuman kepada dasar-dasar yang baru diperkenalkan dua tiga minggu terakhir ini, termasuk semalam baru diperkenalkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2). Ini tugas semua penulis Sabah. Ini bentuk kebertanggungjawaban kita kepada bangsa dan negara untuk memastikan penulis Sabah menjelang tahun 2030 memiliki sekurang-kurangnya lima ciri. Pertama, insan sejahtera. Kedua, cekap teknologi. Ketiga, profesional berminda usahawan. Keempat, ejen perubahan dan kelima, beridentiti sejagat.
Saya tidak berminat untuk menghuraikannya. Tetapi, (cukup saya katakan bahawa) Profil Penulis Sabah dibina sebagai rangkuman kepada dasar baharu seperti Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035. Kita rangkumkan juga dengan SMJ 2 yang baru dilancarkan semalam. Kita rangkumkan juga dengan dasar sedia ada. Ini bukan dasar baru. Ini hanya rangkuman kepada dasar yang telah sedia ada sebelum ini.
Jadi, ini tugas kita penulis Sabah. Sama ada kita cikgu, pensyarah, maupun yang telah bersara daripada perkhidmatan atau mungkin juga sebagai pegawai tadbir atau usahawan yang menulis, yang memang diri dia itu penulis Sabah untuk pastikan penulis Sabah (dengan profil seperti) ini dapat dilahirkan menjelang atau pada tahun 2030 insya-Allah.
Ini tugas besar. Oleh sebab itu, sesiapa sahaja yang menyandang jawatan Ketua Satu tidak boleh bersendirian. Sekarang saya sudah faham, patutlah tiada yang mahu jadi Ketua Satu. Kalau ada, silakan. Saya dengan senang hati menyerahkannya. Cuma, pastikanlah penulis Sabah tetap hidup, termasuk ikatannya.
Bayangkan, empat tahun lalu, mungkin ada yang bayangkan penulis Sabah sebagai hobi. Hari ini, penulis Sabah adalah institusi: institusi yang menjaga metrik; institusi yang menjaga strategi; institusi yang menjaga prestasi; dan institusi yang sepatutnya menyumbang secara terus ke akar umbi.
Kita walau bagaimanapun tetaplah mengakar umbi. Tetaplah berada di akar umbi, maksud saya. Tetapi, tidak bermakna kita tidak berprestasi. Kita telah buktikannya pada hari ini. Kalau (ada pihak yang) tidak menganggap, tidak apa. Yang saya mahu beritahu, penulis Sabah telah menunjukkan dirinya berprestasi. Alhamdulillah.
Tugas seterusnya ialah untuk mengekalkan dan mematangkannya lagi. Mari kita sama-sama matangkannya supaya penulis Sabah tetap relevan walau apapun zaman yang akan datang, yang semakin hari, semakin mencabar.
Saya tidak tahu. Mungkin suatu hari nanti, penulis Sabah ini tinggal saya seorang. Tiada siapa yang tahu. Tapi kalau itu takdirnya, maka usaha-usaha seperti itu akan tetap diteruskan jua. Kerana, walau bagaimanapun, penulis Sabah tetap hidup menyeberangi pelbagai zaman dan cabaran. Penulis Sabah akan tetap menulis sejarah dan masa hadapan. Penulis Sabah akan tetap berkarya untuk masyarakat yang berwawasan.
Penulis Sabah akan tetap berbakti kepada ibu pertiwi supaya lebih cerah masa hadapan. Untuk itu, saya pulangkan kembali kepada rakan-rakan ahli, bukan (sahaja) untuk menentukan masa depan, tapi untuk bersama sebagai penulis Sabah menyongsong ke arah masa hadapannya yang lebih baik.
Mesyuarat Agung Tahunan Ikatan Penulis Sabah 2026.
Sabtu, 31 Januari 2026, pukul 1.20 tengah hari.
Dewan Terbuka Dangau Sastera,
Kampung Gudon, Manggatal, Kota Kinabalu.
.jpg)

Comments
Post a Comment