Kenyataan sempena Permulaan Penggal 2026-2028, Ikatan Penulis Sabah
Para penulis Sabah telah memilih untuk menyambung amalan dan perjuangannya pada hari ini. Hakikatnya, penulis Sabah tidak bermula semula. Penulis Sabah hanya menyambung perjalanannya.
Penulis Sabah sudah ada wawasannya sehingga hujung tahun 2030. Harapan penulis Sabah untuk melihat Kota Kinabalu menjadi kota sastera pada masa hadapan juga masih bersuluh. Keperibadian penulis Sabah sebagai individu dan komuniti yang berwibawa belum juga rapuh.
Meskipun begitu, penulis Sabah selalu sahaja menghadapi cabaran yang dapat dijangka atau sebaliknya. Menjadi penulis Sabah bermaksud bersedia menghadapi sebarang risiko yang dihadapkan kepadanya pada sebarang masa dan dalam pelbagai rupa.
Penulis Sabah tidak boleh takut dan tidak boleh kalah. Tanpa semestinya meraih pengiktirafan yang sewajarnya sebagai sebuah pergerakan, penulis Sabah telah tunjukkan kepada negara dan dunia selama ini bahawa penulis Sabah tidak takut dan tidak pula kalah.
Saya gembira bahawa ramai penulis Sabah, sama ada menganggotai Ikatan Penulis Sabah (IPS) atau pertubuhan yang bersahabat dengannya, masih mengutamakan kualiti dan prestasi. Eloklah penulis Sabah yang terkenal dengan wasatiyyah dan istiqamah dikenali sebagai individu dan komuniti yang berimpak tinggi.
Saya tidak janji untuk menjadi segalanya pada penulis Sabah. Tetapi, marilah kita jadikan penulis Sabah lebih baik pada masa muka. Mari kita lakukannya sama-sama sejalan dengan gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
Terima kasih, penulis Sabah, kerana menghidupkan ikatan ini dua tahun lagi.

Tahniah K1 dan K2 atas kekal menjadi pemimpin IPS dan penulis Sabah, semoga terus cemerlang.
ReplyDelete