Bukan kerana menjadi pendamping saya, tetapi kerana "kita"


Sebilangan orang yang mengenali saya sejak beberapa tahun yang lalu mungkin sudah biasa mendengar istilah The Circle. Kumpulan itu kumpulan usrah sebenarnya. Tetapi, peranan kumpulan usrah itu beransur-ansur berevolusi sesuai dengan peredaran zaman. Daripada hanya sebuah kumpulan yang berkongsi mesej dakwah dan moral yang sama, kumpulan ini beransur-ansur beralih menjadi pemikir masa hadapan sebelum akhirnya menjadi pelaksana dasar, strategi dan operasi.

Kumpulan tersebut asalnya berkumpul atas nama saya. Namun, pada tahun 2021, kumpulan tersebut menjadi entiti penyumberan luar bawah sebuah badan pelajar di sekolah lama saya. Kumpulan tersebut hanya bergabung dengan IPS dan membentuk Pejabat Ketua Satu pada tahun berikutnya. Menerusi pindaan kepada Perlembagaan IPS pada tahun 2023, IPS membentuk Urus Setia yang diketuai oleh Pengurus Besar dan terdiri daripada ahli, kakitangan dan sukarelawan yang memainkan peranan mendukung penjalanan harian IPS.

IPS telah banyak berubah sejak hari itu, bukan kerana saya dipilih untuk menjadi pemimpinnya, tetapi kerana ahli-ahlinya bersepakat untuk berubah ke arah yang lebih baik berbanding sebelumnya. Transformasi membolehkan IPS meluaskan amalan dan perjuangannya, menguatkan kemesraannya kepada penulis Sabah pelbagai genre, meningkatkan ketelusan terhadap dasar dan operasinya, dan membuka peluang kepimpinan, pengurusan dan pembinaan bakat yang lebih besar kepada golongan belia.

Semua ahli kumpulan saya merupakan sahabat dan pendamping saya pada masa lalu dan sekarang. Mulai tahun 2023, mereka muncul pula sebagai bahagian yang penting dalam penerusan komuniti, karya dan kegiatan penulis Sabah. Mereka bukan ahli, bukan juga penulis dan tidak pula berasal daripada bidang sastera pada awalnya. Namun, mereka bergerak secara berkala dan bersama sebagai perancang dan pelaksana dasar dan strategi yang saya ambil bersama-sama para pelaksana harian.

Daripada banyak siri perbincangan santai yang menghasilkan idea, banyak tindakan yang telah saya dan pasukan saya laksanakan. Banyak juga kejayaan yang komuniti penulis Sabah dan masyarakat umum boleh lihat daripada mereka. Pertama, pelaksanaan acara berimpak tinggi seperti Acara Kemuncak, Hadiah Puisi K. Bali 2023/2024 dan Program Literasi Kreatif dan Teknologi Sabah 2025 yang mendapat sokongan kewangan dan moral secara langsung daripada Kerajaan Negeri Sabah.

Kedua, pemerkasaan hubungan tempatan melalui pelatihan di peringkat akar umbi di daerah Membakut, Beluran dan Lahad Datu, kunjungan ke Dangau Sastera oleh delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, serta misi kesusasteraan di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Labuan. Ketiga, pengukuhan hubungan antarabangsa melalui penampilan dalam acara kesuasteraan antarabangsa seperti Dialog Serantau Borneo-Kalimantan XVI dan Kem Kebudayaan Antarabangsa, Sekolah Indonesia Kota Kinabalu (SIKK), pelaksanaan program kerjasama antarabangsa dengan Indonesia dan Singapura seperti Seminar Antarabangsa Kedua SIKK, Rembat Puisi dan Lentera Puisi.

Keempat, penambahbaikan dasar persuratan tempatan melalui penghasilan sepuluh prinsip Penulis Sabah Berwibawa hasil Pemukiman Urus Setia IPS di Ranau pada 23 November 2025. Kelima, penjalanan tanggungjawab sivil melalui pelantikan empat orang sukarelawan IPS sebagai pemerhati di pelbagai kawasan pilihan raya dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 yang telah berlangsung pada 29 November 2025.

Semua ini membawa impak positif kepada mereka. Hari ini, sebilangan mereka yang asalnya hanya berminat membantu, kini sudah mampu menghasilkan puisi pada tahap asas. Malah, orang seperti Vensan Manjim berjaya menerbitkan kumpulan puisi remaja berjudul "Kerana Kita Dicipta untuk Bertahan" di bawah label IPS. Beliau salah seorang sukarelawan yang naik taraf menjadi ahli sambil kekal berkiprah di Urus Setia IPS bersama saya.

Penglibatan mereka dalam pelbagai aspek operasi pergerakan membolehkan kemahiran insaniah mereka berkembang dengan baik. Pengurusan acara, komunikasi diplomatik dan pemikiran kritikal yang mereka asah di IPS secara langsung mengukuhkan profil mereka sebagai bakal tenaga kerja industri masa hadapan. Perkembangan seperti ini memberi kesan langsung kepada Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kota Kinabalu yang menghoskan saya dan sebahagian besar ahli pasukan saya. Kolej tersebut kini berdiri megah bukan sahaja sebagai institusi latihan kemahiran awam, tetapi juga sebagai pusat pengembangan persuratan Sabah yang berprestasi.

Segala kejayaan yang dihasilkan selama ini akhirnya bukanlah manifestasi kekuatan saya sebagai individu, tetapi manifestasi organisasi yang berpegang kepada prinsip wasatiyyah, istiqamah dan berimpak tinggi. Walaupun saya biasa melakukan sesuatu sendiri-sendiri, saya tidak boleh lagi bergerak sendiri. Segala kejayaan tersebut merupakan hasil daripada sebuah ekosistem yang saling menerima dan mempercayai. Mereka beruntung, bukan kerana mereka itu pendamping saya, tetapi kerana mereka bersama saya sebagai "kita".

Telah diterbitkan dalam Majalah Komposisi, Edisi 5/2025.

-----

Koleksi gambar








Comments