Merayakan Bahasa Kebangsaan sebagai Anak Sabah Berjiwa Malaysia
"Menjadi pengguna bahasa Melayu bererti bertutur, berbicara, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Maka, kita memiliki tanggungjawab yang berterusan untuk memastikan kita menggunakan bahasa Melayu dengan betul sesuai dengan hukumnya, tradisinya dan suasana pemakaiannya."
Bulan Bahasa Kebangsaan sebetulnya telah bermula pada tahun 1960-an, tetapi masyarakat Malaysia mengenalinya dengan bermacam-macam nama seperti Minggu Bahasa Kebangsaan, Minggu Sastera, Gerakan Cintailah Bahasa Kita, Bulan Bahasa dan Sastera Negara dan Dekad Bahasa Kebangsaan.
Bulan Bahasa Kebangsaan pernah mendapat namanya suatu masa dahulu, tetapi hanya kembali pada tahun 2009 sesuai dengan matlamat yang hendak dicapai oleh pelaksana (Dewan Bahasa dan Pustaka atau DBP) dan golongan sasar (masyarakat Malaysia), iaitu untuk menguatkan rasa megah dan bangga rakyat Malaysia terhadap bahasa kebangsaannya, memperkukuh perpaduan rakyat melalui satu bahasa, dan menyemarakkan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.
Pemilihan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan bukanlah satu kebetulan. Kerana negara kita merayakan Hari Pahlawan pada bulan Julai, Hari Kebangsaan pada bulan Ogos dan Hari Malaysia pada bulan September, maka Kerajaan berpandangan bahawa kaedah terbaik yang membolehkan perayaan masyarakat yang cintakan tanah airnya berterusan ialah dengan menjadikan Oktober untuk merayakan bahasa dan sastera kebangsaan.
Saudara dan saudari yang berbahagia,
Bahasa Melayu sudah menjadi sebahagian daripada tamadun dunia sejak kurun kelapan Masihi. Batu-batu bersurat seperti Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 682 Masihi dan Batu Bersurat Talang Tuwo bertarikh dua tahun kemudian menunjukkan kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca di seluruh kepulauan Melayu. Dari Srivijaya ke Melaka dan dari Brunei ke Mindanao, bahasa Melayu menyeberangi samudera biru sebagai bahasa ilmu, bahasa perdagangan dan bahasa hubungan antarabangsa.
Bahasa Melayu menjadi lebih gemilang di bawah Kesultanan Melayu Melaka dengan penggunaan tulisan Jawi bagi maksud pentadbiran, perundangan, persuratan dan kesusasteraan berestetika tinggi. Karya-karya agung dan nadir seperti Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin dan Bustan al-Katibin membuktikan kehebatan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia pada zamannya.
Pemartabatan bahasa Melayu berterusan setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957 dan membentuk Malaysia pada tahun 1963 bersama Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak (serta Singapura sehingga tahun 1965) apabila Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sejak itu, bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa yang menyatukan pelbagai bangsa. Walau apa pun bahasa yang dituturkan di rumah atau tempat kerja, bahasa Melayu tetap menjadi wadah yang membuatkan kita semua saling memahami, menghormati dan menerima.
Saudara dan saudari yang mulia,
Busut di hutan sarang kelekatu,
Angsana tumbang di tepi benua;
Berbahasa Melayu saban waktu,
Makin berkembang serata benua.
Menariknya, bahasa Melayu masih mendapat tempat di pentas dunia. Masih terdapat sekitar 300 juta orang di seluruh dunia yang menuturkan bahasa Melayu dalam pelbagai bentuk dan rupa. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perniagaan dan bahasa hubungan antarabangsa menjadikan bahasa tersebut bertahan merentas arus zaman.
Oleh hal yang demikian, kita tidak hanya mendengar bahasa Melayu dituturkan di tanah air kita sahaja mahupun di negara-negara tetangga, tetapi juga di pelbagai penjuru dunia walaupun penutur bahasa Melayu yang ada di sana hanyalah beberapa.
Kalau mahu melihat bahasa Melayu dituturkan di luar rantau Nusantara, pergilah berjumpa dengan pelajar subjek bahasa Melayu di Universiti Ohio di Athens, Ohio, Amerika Syarikat; wartawan bahasa Melayu yang bertugas di Kumpulan Media China di Beijing, China; penduduk Kepulauan Cocos dan Kepulauan Krismas di Australia; atau bagi Muslimin dan Muslimat yang mengerjakan haji dan umrah, penjual barang tekstil dan kraftangan di tepi jalan di sekitar kota suci Makkah, Arab Saudi.
Hakikatnya, keberkesanan dan keberhasilan bahasa Melayu di peringkat tempatan dan antarabangsa sentiasa bergantung kepada kita semua, para penuturnya. Menjadi pengguna bahasa Melayu bererti bertutur, berbicara, membaca dan menulis dalam bahasa Melayu. Maka, kita memiliki tanggungjawab yang berterusan untuk memastikan kita menggunakan bahasa Melayu dengan betul sesuai dengan hukumnya, tradisinya dan suasana pemakaiannya.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
Kita semua sudah sering terdedah dengan percampuran budaya dan bahasa. Perkara itu baik bagi kita sebetulnya. Tetapi, perkara tersebut mesti kita urus dengan sebaiknya agar identiti kita sebagai anak Sabah berjiwa Malaysia dan penutut bahasa Melayu tidak dimusnahkan oleh anasir luar begitu sahaja.
Tidak cukup dengan itu, kita dihadapkan pula dengan Revolusi Perindustrian Keempat yang menyaksikan kemajuan teknologi yang semakin hari semakin laju sehingga bahasa yang kita gunakan sehari-hari mengalami kesan langsung dan tidak langsung yang tidak menentu.
Cabaran demi cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu tidaklah seharusnya mematahkan semangat para penuturnya untuk terus menuturkan bahasa Melayu dengan pelbagai bentuk dan rupa menerusi pelbagai wahana tradisional dan digital yang tersedia di seluruh negara, bahkan di seluruh pelusuk dunia, sesuai dengan kehendak Dasar Bahasa Kebangsaan yang telah sedia ada sejak sekian lama.
Dalam erti kata yang lain, bahasa Melayu di mata negara dan dunia bukan lagi tentang pengiktirafan yang diterima olehnya semata-mata, tetapi tentang penghayatannya oleh masyarakat dan pemanfaatannya dalam teknologi. Mari kita terima hakikat ini dan mari kita terus gunakan bahasa Melayu dengan betul dan berkesan demi keluhuran dan kepentingan bangsa, negara dan dunia.
Jangan beritahu saya bahawa bahasa Melayu tidak dapat mekar dalam sektor teknikal kerana realitinya, bahasa Melayu dapat bertahan dan berkembang di sebalik cabaran yang terus dihadapi oleh pemain sektor teknikal. Kehadiran Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam di Jabatan Tenaga Manusia semoganya memberi kesan walaupun sedikit terhadap ketahanan dan kelestarian bahasa Melayu dalam sektor teknikal.
Semua itu akhirnya akan bererti apabila kita semua yang datang daripada agama, bangsa dan budaya yang berbeza, mampu memanfaatkan satu bahasa yang menyatukan dan menekalkan perjalanan dan perjuangan kita semua. Itulah bahasa Melayu, jiwa bangsa Malaysia.
Banjar cemara di tanah rata,
Tempat teduhan kumpulan murai;
Segar dan mesra bahasa kita;
Harga warisan usah terburai.
Peringatan Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 Peringkat Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kota Kinabalu (ADTEC JTM KK).
Khamis, 9 Oktober 2025, pukul 8.15 pagi.
Dewan Rafflesia, ADTEC JTM KK, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Comments
Post a Comment