Ikatan Penulis Sabah: Kisah Cinta dari Tanah Pusaka ke Ranah Asia Tenggara dan Dunia


"Membina semula negara dan bangsa yang pernah runtuh tidak semudah meruntuhkannya. Kalaupun negara dan bangsa kita... hanya menyambung pembangunan yang sedia ada, ingatlah, itu masih sahaja tidak mudah buat kita. Perjalanan menuju kejayaan yang hakiki dan abadi masih panjang dan belum ada kesudahannya."

Saudara-saudara yang saya muliakan,

Ibu pertiwi sedang bersusah hati. 

Tragedi demi tragedi berlaku lagi, bukan di tanah air yang lain, tetapi di tanah air kita sendiri. Saya ikut bersedih hati.

Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir sebetulnya boleh diselamatkan jika segala-galanya benar-benar terkendali. Tetapi pada 17 Julai 2025, semuanya telah terjadi.

Di negara tetangga kita, Allahyarham Affan Kurniawan sebetulnya boleh diselamatkan juga jika segala-galanya benar-benar terkendali. Tetapi pada 28 Ogos 2025, semuanya telah terjadi.

Kesan-kesan daripada tragedi tersebut kita telah dan masih saksikan. Ketika segalanya di tanah air ini terasa aman, setidak-tidaknya tujuh orang lagi terkorban di negara tetangga rentetan daripada tragedi yang menimpa Allahyarham Affan Kurniawan.

Kesan-kesan tersebut memberi pengajaran yang besar kepada kita bahawa satu nyawa terlalu mahal untuk dikorbankan dan sebuah negara terlalu berharga untuk diruntuhkan begitu sahaja.

Saudara-saudara,

Kota Rom tidak dibina dalam tempoh sehari, apatah lagi negara dan bangsa kita sendiri. Sejarah dunia menceritakannya dengan cerita yang sangat panjang, yang kita selalu mahupun sesekali baca, fahami dan hayati.

Membina semula negara dan bangsa yang pernah runtuh tidak semudah meruntuhkannya. Ketika Palestin terus diancam kemusnahan penuh oleh penjajah dan penjarahnya, masyarakat sejagat – termasuk yang berada di tanah air kita masing-masing – tidak henti-hentinya mendukung kemerdekaan penuh dan pembinaannya semula menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Kalaupun negara dan bangsa kita tidak membina dirinya semula dan hanya menyambung pembangunan yang sedia ada, ingatlah, itu masih sahaja tidak mudah buat kita. Perjalanan menuju kejayaan yang hakiki dan abadi masih panjang dan belum ada kesudahannya.

Maka, janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Alangkah ruginya kita kalau yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.

Tiada ertinya kita menyampaikan dan menunaikan aspirasi di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa jika nanti berhujung kemusnahan harta benda, kehilangan upaya dan mata pencarian, kecederaan dan kehilangan nyawa. Apakah kita sanggup untuk menempuhi semua ini sekali lagi?

Saudara-saudara,

Kasih sayang tidak akan pernah menggagalkan. Kasih sayang akan selalu memenangkan kita dalam perhelatan hidup yang berterusan.

Kita berada di majlis ilmu dan budaya seperti ini pada hari ini kerana kasih sayang kepada negara, bangsa dan dunia yang berbudaya dan berbahasa. Itu yang membuatkan kita benar-benar menjadi manusia.

Manusia yang sejati ialah manusia yang mengasihi dan menyayangi yang lain dan dirinya sendiri. Dengan kasih sayang, kita menumpahkan taat setia yang sebenar-benarnya kepada tanah air yang kini mendukung kita dan, setelah akhir hayat nanti, menerima kembali kita di haribaannya.

Dengan kasih sayang, kita berusaha lebih gigih untuk menjadi lebih baik berbanding sekarang suatu hari nanti. Dengan kasih sayang, kita peduli terhadap keadaan sekeliling tanpa melupakan keadaan diri sendiri.

Dalam hal ini, kami, Ikatan Penulis Sabah (IPS) menyatakan prihatin terhadap peristiwa-peristiwa yang mengorbankan nyawa belum lama ini. Kami turut mengucapkan terima kasih kepada para penulis dari seluruh Malaysia kerana ikut menyatakan keprihatinan mereka melalui ratusan puisi yang diterima oleh Panitia Penyelenggara “Puisi Adalah…” melalui Facebook.

Kami, IPS, turut menyatakan dukungannya terhadap Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) XIII yang akan berlangsung di Jakarta pada 11 hingga 14 September 2025 mendatang dengan tetap memberi penekanan kepada keselamatan setiap orang yang menjayakannya.

Sesuai dengan persetujuan yang telah saya capai dengan Ketua Panitia PPN XIII, Bapak Ahmadun Yosi Herfanda, pada 23 Julai yang lalu, saya memerintahkan dua orang wakil untuk berada di Jakarta pada 9 hingga 16 September dan menyertai PPN XIII sebagai pemerhati dan pelapor. Dengan demikian, komuniti penulis Sabah akan tetap hadir di tengah-tengah para penulis dan penggiat budaya dari seluruh Asia Tenggara di sana.

Saudara-saudara,

IPS masih muda, hanya tua sedikit daripada saya. Tetapi, IPS telah menjadi segala-galanya kepada bangsa dan tanah air ini sejak 35 tahun lamanya.

Kami tidak ramai tetapi kami ada. Kami tidak sekuat yang lain tetapi kami masih ada semangat yang waja. Kekuatan yang ada tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana rahmat dan berkat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kami yang membersamai saudara-saudara semua.

Tiga tahun yang lalu, komuniti penulis Sabah telah menyaksikan banyak perubahan. Daripada sebuah pergerakan yang hanya berfokus kepada akar umbi, komuniti penulis Sabah kini ikut mengimarahkan budaya, bahasa dan sastera di peringkat antarabangsa.

Biasanya, kita mendengar komuniti penulis Sabah sering berhubungan baik dengan rakan-rakan penulis dari negara-negara bahagian lain di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste. Hubungan baik tersebut sering ditandai dengan komunikasi berterusan, kehadiran dalam kunjungan, rapat-rapat besar kebudayaan, perkongsian kemahiran dan kepakaran mahupun pertukaran karya dalam bentuk buku dan karya eceran.

Tetapi, Sabah memiliki penulis-penulis yang membolehkan mereka sampai ke negara yang lebih jauh berbanding yang biasa. Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan, saya telah menyaksikan sendiri buku karya penulis Sabah telah diterbitkan di Brazil dan India, dipasarkan di Rusia dan dipustakakan di Amerika Syarikat dan Australia.

Dalam tempoh yang sama, kegiatan penulis Sabah telah diberitakan di Arab Saudi dan dibaca oleh masyarakat Timur Tengah. Terbaharu, penulis Sabah berhasil pula membuat pertukaran budaya di China dan perkongsian pintar dengan penulis dari Perancis.

Saudara-saudara,

Kasih sayang penulis-penulis Sabah besar ertinya. Kasih sayang mereka tidak hanya berada di tanah air mereka, tetapi menyebar luas ke pelbagai penjuru dunia.

Hakikatnya, tidak semua kita kaya sehingga boleh mengembara jauh ke luar negeri pada bila-bila masa. Tetapi, melalui penulisan, penulis dan pembaca boleh membawa diri mereka jauh ke mana-mana yang mereka suka.

Buku travelog “Melukis Senja: Sebuah Kembara” karya saya dan sahabat kecil saya, Muhammad Firdaus Ibrahim, hanyalah salah satu contoh yang IPS boleh tunjukkan kepada semua dari kalangan ramai lagi penulis yang telah membuktikannya.

Pemenang-pemenang Hadiah Nobel Sastera dari pelbagai negara juga telah melakukannya, malah lebih lagi. Karya-karya mereka tidak melingkar hanya di negara mereka sahaja, tetapi diterjemahkan dan dieksport ke lebih banyak negara untuk manfaat sejagat. Apakah kita tidak mahu menjadi seperti mereka?

Mengingat perkara tersebut, kami, IPS, akan memberikan peluang itu sekali lagi kepada semua yang sudah sedia bergelar penulis mahupun yang hendak menjadi penulis di kemudian hari.

Dengan memohon taufik dan hidayah daripada Allah SWT, saya mengumumkan bahawa Hadiah Puisi K. Bali akan memulakan siri keduanya pada 15 September 2025. Kami mengundang para penulis dari dalam dan luar Malaysia untuk mengirimkan 50 buah puisi dalam sebuah manuskrip untuk dinilai dan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.

Saudara-saudara,

Perjuangan kita melunasi janji kemerdekaan belum selesai rupanya. Masih banyak lagi yang perlu kita tangan sesuai dengan bidang yang kita ceburi dan kuasai.

Tanggungjawab kami, penulis Sabah, bukan hanya menyampaikan aspirasi masyarakat, tetapi juga melaksanakannya. IPS telah melakukannya sejak 35 tahun yang lalu dan akan terus melakukannya selama hayatnya masih ada.

Tetapi, apakah komuniti penulis Sabah akan tetap bertindak seolah-olah berada di takuk yang lama? Bagi saya, tidak.

Kami, IPS, dipandu oleh Wawasan Penulis Sabah 2030 yang telah dilancarkan pada 20 Februari 2025 sebagai dokumen sektoral yang menyokong keberhasilan Gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Kami juga bergerak melalui enam inisiatif yang masih berlangsung sehingga ke hari ini mengikut matlamat dan caranya masing-masing.

Semua ini kami jalani kerana mahu melihat lebih ramai masyarakat Sabah yang berhasil menyumbang penulisan yang bermanfaat kepada pembangunan bangsa, negara dan dunia yang berkelanjutan.

Tiga tahun yang lalu, kita telah menyaksikan buku pertama karya pengajar Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kota Kinabalu (ADTEC JTM KK) dilancarkan di sini. Buku swaterbit yang dimaksudkan ialah buku kumpulan puisi “Catatan buat Teman Setia”.

Tidak lama lagi, kita akan menyaksikan pula buku pertama karya pelajar ADTEC JTM KK dilancarkan juga di sini. Saya ucapkan tahniah kepada saudara Vensan Manjim kerana hasil karyanya akan muncul tidak lama lagi, iaitu buku kumpulan puisi remaja terbitan IPS, “Kerana Kita Dicipta untuk Bertahan”.

Sebelum waktu itu datang dan melalui kesempatan ini, saya dan seluruh keluarga besar IPS mengucapkan terima kasih kepada Pengarah dan seluruh warga ADTEC JTM KK kerana menjadi salah satu daripada lebih 50 buah organisasi yang bekerjasama secara langsung dan tidak langsung dengan IPS sejak tiga tahun yang lalu.

Kami juga menyampaikan penghargaan yang sama kepada Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, Persatuan Pemuisi D’Bayu Sabah dan pihak-pihak lain yang tidak dapat saya sebutkan di sini satu persatu.

Saudara-saudara,

Akhirnya tak akan ada akhir. Pengakhiran kepada sesuatu hanyalah permulaan kepada sesuatu yang lain. Begitulah amalan dan begitulah juga perjuangan.

Oleh itu, jangan pernah lelah mencintai tanah air kita. Kita tidak ada tanah air yang lain selain tanah air yang melihat kita dilahirkan dan dibesarkan menjadi seseorang yang diharapkan oleh semua.

Terima kasih atas penat lelah kalian kepada bangsa dan negara kalian. Ingatlah, semua penat lelah tidak akan menjadi sia-sia; apatah lagi cinta yang berputik dari tanah air untuk ranah yang lebih besar di pelbagai penjuru dunia. Semua itu kelak diganjari sebesar-besarnya di sisi Tuhan yang Maha Kuasa.

Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2025 Peringkat ADTEC JTM KK dan Apresiasi "Puisi Adalah..." sempena Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia 2025.
Khamis, 4 September 2025, pukul 11.50 pagi.
Dewan Teratai, ADTEC JTM KK, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.

Comments