Pengorbanan: Sebuah Kisah Cinta kepada Tanah Pusaka
"Pengorbanan itu perjuangan. Pengorbanan sering menuntut kesungguhan dan kesanggupan... Tidak ada ertinya perjuangan jika tidak didahului atau diiringi oleh pengorbanan."
Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia: Selamat Hari Raya Aidiladha.
Atas nama peribadi dan keluarga, bangsa dan negara, Masjid ini dan organisasi yang saya wakili, saya menyampaikan ucapan tahniah kepada saudara dan saudari sekalian sempena ketibaan Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik yang berikutnya. Mari kita mulakan hari ini dengan segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa, kerana dengan limpah kurnia-Nya dan izin-Nya, dapatlah kita meneruskan kehidupan pada hari yang bahagia ini.
Mari kita susuli indahnya hari ini dengan tidak mengurangi rasa takut kepada Tuhan yang Maha Segala-galanya, tidak pula mengurangi semangat beramal dengan kitab dan kalam-Nya, tidak juga mengurangi rasa cukup dengan segala yang ada walau sedikit cuma, apatah lagi mengurangi persediaan kita beralih daripada kehidupan yang singkat kepada kehidupan yang tidak akan ada akhirnya. Itulah takwa yang menguatkan iman. Mudah-mudahan gabungan iman dan takwa yang ada dalam diri kita membawakan kita kehidupan yang indah dan bahagia bukan sahaja di dunia yang sementara, tetapi juga akhirat yang nanti tidak akan ada akhirnya.
Tenangnya paya di tengah huma,
Pinggiran rawa hujungan titi;
Hari raya disambut bersama,
Memenuh takwa seikhlas hati.
Saudara-saudara yang dirahmati Allah,
Hari Raya Aidiladha sudah sinonim dengan ibadah korban. Hari Raya Aidiladha juga tidak dapat dipisahkan dengan pengorbanan. Hari ini, kita tidak mendahului ibadah korban dengan hanya menunaikan solat sunat Aidiladha dan mendengar amanat daripada mimbar yang mulia ini bersama-sama, tetapi mengiringinya dengan apresiasi terhadap peristiwa yang menjadi sebab kita merayakan hari ini bersama-sama.
Peristiwa yang dimaksudkan ialah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan anakanda baginda, Nabi Ismail AS. Betapa sanggupnya Nabi Ibrahim AS mengorbankan anakanda baginda yang tercinta dan betapa relanya Nabi Ismail AS menyerahkan jiwa dan raga baginda hanya kerana mematuhi perintah Allah SWT. Meskipun begitu, Allah SWT tidak membiarkan baginda berdua begitu sahaja. Seekor kibas didatangkan kepada Nabi Ibrahim AS dan dikorbankan oleh baginda sebagai ganti kepada Nabi Ismail AS. Allah SWT merakamkan peristiwa itu dalam Surah as-Saffat, ayat 106 hingga 111.
“Sesungguhnya perintah ini (perintah kepada Nabi Ibrahim untuk mengorbankan Nabi Ismail) merupakan satu ujian yang nyata. Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan (kibas) yang besar. Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera (diucapkan) kepada Nabi Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.”
Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang memerintahkan Nabi Ibrahim AS supaya mengorbankan anaknya. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menyaksikan kesediaan Nabi Ismail AS mengorbankan jiwa dan raga kerana mematuhi perintah-Nya. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan nama dan jasa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS harum dan mekar sepanjang zaman. Walillahi al-hamd! Segala puji bagi Allah yang menghantarkan seekor kibas kepada Nabi Ibrahim AS sebagai ganti kepada Nabi Ismail AS yang hendak dikorbankan dan sebagai tanda kasih sayang Allah SWT kepada baginda berdua.
Saudara-saudara yang dikasihi Allah,
Ketika kita merayakan Hari Raya Aidiladha pada hari ini, kita tidak lupakan mereka yang sedang menunaikan ibadah haji di Makkah. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Perangkaan Arab Saudi, kelmarin (5 Jun 2025), seramai 1,673,230 orang jemaah haji dari 172 buah negara di seluruh dunia sedang menyempurnakan rukun dan wajib haji. Sama ada mereka datang ke sana melalui jalan darat, laut atau udara, pengorbanan mereka tidak kurang besarnya.
Kerana menyahut seruan yang mulia, mereka sanggup meninggalkan kampung halaman, keluarga, sanak saudara, harta benda, kemasyhuran dan kerjaya buat seketika. Perjalanan mereka dari jauh dan dekat ke tempat yang mulia hanyalah kerana memenuhi undangan istimewa daripada Allah SWT. Talbiah yang mereka laungkan sepanjang masa besar maknanya. Ada amanat yang tersirat di dalamnya sehingga tersingkap keinsafan yang membawa mereka menjadi jauh lebih baik berbanding sebelumnya.
“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu; tiada sekutu bagi-Mu.”
Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan haji perjalanan yang mulia. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang memilih insan-insan yang mulia untuk mengerjakan ibadah haji lalu menyelesaikannya dengan jayanya. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan ibadah haji satu bentuk pengorbanan yang membawa kepada ganjaran yang tidak terkira gandanya. Walillahi al-hamd! Segala puji bagi Allah yang memudahkan perjalanan hamba-hamba-Nya yang terpilih pergi ke Makkah untuk mengerjakan haji dan umrah serta ke Madinah untuk menziarahi Rasulullah SAW lalu kembali ke kampung halaman masing-masing setelah melaksanakan itu semua.
Saudara-saudara yang berbahagia,
Pengorbanan itu pengabdian. Kehidupan sentiasa menuntut kita untuk berkorban masa, tenaga dan harta walau sedikit cuma. Pengorbanan bukan sahaja menyediakan diri ke arah kejayaan, tetapi juga membawa kita berjalan ke arahnya dengan cara kita. Lihatlah kepada seorang pelajar yang belajar siang dan malam kerana menginginkan mendapat keputusan yang terpuji. Lihatlah kepada seorang pekerja yang pergi bekerja pada waktu pagi dan pulang ke rumah pada waktu pagi yang berikutnya hanya untuk mengais rezeki. Lihatlah kepada sesiapa sahaja yang mengorbankan sesuatu yang mereka miliki kerana mengabdi dan mendambakan sesuatu yang hakiki. Mana mungkin kejayaan dapat kita raih jika kita tidak berkorban. Oleh itu, pengorbanan bukanlah satu pilihan, tetapi satu kewajipan yang mesti disertai keikhlasan, kesyukuran dan kesederhanaan.
Pengorbanan bukanlah untuk diremehkan dan begitulah keikhlasan. Pengorbanan yang tidak disertai niat yang ikhlas kerana Allah tidak akan membawa sebarang nilai di sisi-Nya. Realitinya, Islam sentiasa menitikberatkan keikhlasan dalam melaksanakan sesuatu amalan. Keikhlasan hanya dapat hadir dalam diri apabila sesuatu amalan yang hendak dilaksanakan diniatkan kerana Allah SWT semata-mata dan bukan kerana mengejar perkara keduniaan yang lain. Saidina Umar bin al-Khattab RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya segala amalan bergantung kepada niat. Sesungguhnya, setiap orang akan memperoleh apa yang dia niatkan. Maka, sesiapa yang berhijrah semata-mata kerana Allah dan rasul-Nya, hijrahnya adalah kepada Allah dan rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kerana habuan dunia yang hendak diperoleh atau kerana wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya dikira mengikut apa yang dia niatkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)
Dalam konteks ibadah korban, kita sering diingatkan bahawa yang sampai kepada Allah SWT itu bukan rupa bentuk dan jumlah binatang al-An’am yang dikorbankan, tetapi keimanan dan ketakwaan yang terhasil daripada ibadah korban yang dilaksanakan. Dalam konteks ibadah haji pula, kita sering diingatkan bahawa perjalanan haji bukanlah perjalanan pelancongan, tetapi perjalanan memenuhi seruan yang mulia di sisi Tuhan. Asasnya, ibadah korban dan haji sentiasa diselitkan dengan mesej perjuangan.
Saudara-saudara seperjuangan,
Hakikatnya, pengorbanan itu perjuangan. Pengorbanan sering menuntut kesungguhan dan kesanggupan kita menghadapi kesukaran yang tidak selalu dapat kita bayangkan. Tidak ada ertinya perjuangan jika tidak didahului atau diiringi oleh pengorbanan. Bacalah dan hayatilah kembali sejarah agama, bangsa dan negara kita yang ditulis oleh para sejarawan, negarawan, budayawan dan sasterawan kita. Perjuangan meninggikan syiar Islam di dunia pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat dan pengikut mereka dan zaman-zaman yang datang selepasnya; perjuangan membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajah dan anasir luar dari tahun 1511 hingga tahun 1989; dan perjuangan memelihara keamanan dan kemakmuran bangsa pascapembentukan negara berdaulat bernama Malaysia dengan Sabah sebagai salah satu negara bahagian yang menganggotainya sejak tahun 1963; semuanya diiringi oleh pengorbanan para pahlawan dan pejuang yang tidak semua kita dendang nama, pangkat dan jasa mereka.
Buah mengkuang punya siapa,
Punya Pak Musa di hulu Bintan;
Jasa pejuang tidak dilupa,
Sepanjang masa dalam ingatan.
Kita tidak lupa kesengsaraan hidup saudara-saudara kita di Palestin, baik di Tebing Barat mahupun di Gaza. Penderitaan dan penyeksaan rakyat Palestin di tanah airnya sendiri berlangsung setiap saat dan setiap hari. Mereka kehilangan hampir segala-galanya, termasuk dukungan masyarakat dunia yang jelas pasang dan surutnya. Tetapi, semangat yang mengiringi perjuangan memerdekakan Palestin dari sungai ke segara tidak pernah padam dalam diri mereka mengingat bahawa pilihan yang mereka ada hanyalah memenangi perjuangan yang mulia atau mencapai syahadah dengan rasa gembira.
Palestina, harapanku cahaya di hujung malamkita bersatu dalam doa dan tindakanbiarpun hanya pena sebagai senjata peperangan.— Mellyaeshak (Hujan Api Tanah Berdarah, 2023)
Kita juga tidak lupa jerih-perih kehidupan saudara-saudara kita di negara-negara lain di seluruh dunia. Pandanglah kepada perang antara Rusia dan Ukraine, ketegangan politik antara India dan Pakistan, konflik antara dua buah kumpulan bersenjata di Sudan, pemberontakan antara tentera dan rakyat di Myanmar dan Republik Demokratik Kongo, serta banyak lagi persengketaan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat sehari-hari. Insafilah pada masa yang sama tragedi tanah runtuh yang melanda Papua New Guinea, banjir besar di Brazil, kemarau di Australia dan banyak lagi bencana alam yang berlaku di seluruh dunia dari hari ke hari.
Barangkali di sana ada jawabnyamengapa di tanahku terjadi bencanamungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kitayang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosaatau alam mulai enggan bersahabat dengan kitacoba kita bertanya pada rumput yang bergoyang— Ebiet G. Ade (Berita kepada Kawan, 1979)
Namun begitu, kita jangan sesekali melupakan saudara-saudara kita di tanah air sendiri yang masih dirundung kepayahan yang tidak dapat dibayangkan. Ketika kita masih mengingati dua siri kemalangan jalan raya yang meragut nyawa seekor anak gajah di Gerik dan sembilan orang pegawai dan anggota polis di Teluk Intan masing-masing pada 11 dan 13 Mei yang lalu, mari kita ambil juga pengajaran daripada banjir besar yang melanda hampir seluruh negara pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini termasuk negeri kita sendiri, letupan kerana kebocoran paip gas di Putra Heights, Puchong pada 1 April yang lalu, dan banyak lagi tragedi yang tidak diingini yang berlaku di tanah air kita sehari-hari, yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu di mimbar ini. Realitinya, kekurangan dan kehilangan dapat berlaku kepada sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa. Tiada yang siap untuk menghadapinya. Kesedaran terhadap realiti tersebut seharusnya membuat kita sentiasa peduli akan nasib mereka yang berada di sekeliling kita tanpa lupa untuk peduli kepada diri sendiri pada masa yang sama.
Ingatlah, pengorbanan meningkatkan nilai kemanusiaan. Dengan melepaskan sesuatu dan memberikannya kepada ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat yang memerlukan, kita memberi nilai tambah kepada peribadi yang dihiasi dengan kemanusiaan. Ketika mereka yang biasa memberi tanpa mengharapkan balasan, ketahuilah bahawa balasan untuk mereka tetap ada dan tidak berkurang nilainya di sisi Allah SWT. Kepada yang terkesan, marilah kita berikan sesuatu semampunya dan sewajarnya sama ada dengan kerahan idea dan tenaga, sumbangan wang ringgit, sokongan moral mahupun doa yang mampu mengurangkan beban yang dipikul oleh mereka.
Saudara-saudara yang mulia,
Pengorbanan tidak semestinya memerlukan penghargaan, tetapi penghargaan itu satu kewajipan. Seseorang yang ikhlas berkorban tidak akan berkecil hati jika pengorbanannya tidak disebut-sebut atau dipuji manusia kerana dia sedar bahawa pengorbanannya semata-mata hendak meraih ganjaran daripada Allah SWT. Meskipun demikian, Islam mewajibkan kita memberi penghargaan dan berterima kasih atas kebaikan dan pengorbanan orang lain.
Marilah kita ucapkan terima kasih kepada diri sendiri yang mengorbankan segalanya agar kita tetap bertahan dalam meneruskan kehidupan. Malah, saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan atas nama semua yang hadir di hadapan mimbar yang mulia ini kepada ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban mengasuh dan membesarkan, guru-guru yang banyak berkorban dalam mendidik anak-anak muridnya menjadi insan yang berguna pada masa hadapan, sanak saudara dan jiran tetangga yang banyak berkorban mengekalkan suasana kekeluargaan dan kejiranan, sahabat-sahabat yang banyak berkorban mewujudkan persahabatan yang berkekalan, dan ramai lagi telah dan masih berjuang dan berkorban, mencurahkan jasa dan bakti kepada rakyat dan watan dalam apa jua lapangan demi memastikan segalanya dapat direalisasikan.
Marilah kita ucapkan juga terima kasih kepada ibu pertiwi yang selama ini menaungi kehidupan kita dan memberikan kita rasa bahagia hidup dalam sederhana sehingga kita mampu menyumbang sesuatu yang berharga demi keluhuran dan kepentingan bangsa, negara dan dunia. Inilah pengorbanan: sebuah kisah cinta kepada tanah air yang bernama Sabah dan tanah pusaka yang bernama Malaysia. Cinta itulah yang kini menemukan kita di sini, yang akan memisahkan kita dari dunia yang fana ini dan yang akan menghimpunkan kita sekali lagi dalam kebahagiaan yang abadi di Hari Akhirat nanti.
Bunga selasih harum bersemi,
Gugur melati di tapal batas,
Terima kasih ucapan kami,
Dari hati yang tulus ikhlas.
Sabtu, 7 Jun 2025, pukul 8.00 pagi.
Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Comments
Post a Comment