Ucapan sempena Peringatan Hari Ikatan Penulis Sabah ke-35
"Sabah tanah air kita. Malaysia tanah pusaka kita. Sama ada menetap di tanah air ini atau mengembara ke hujung dunia, bersyukurlah dan berbanggalah menjadi warga Sabah yang berjiwa Malaysia. Tidak semua penulis Sabah berseragam dan bersenjata... Tetapi, janganlah malu untuk bercerita kepada dunia... bahawa kita mencintai Sabah dan Malaysia selama-lamanya."
Keris bersilang dari selatan,
Ditindih tongkat sakti pendeta;
Selamat ulang tahun, Ikatan;
Tempat muafakat penulis kita.
Alhamdulillah. IPS melangkah ke usianya yang ke-35 pada hari ini dengan rasa syukur dan gembira.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, Hari IPS pada kali ini masih diperingati dan dirayakan di tengah-tengah kemuliaan Ramadan, penghulu segala bulan. Oleh hal yang demikian, Sambutan Ulang Tahun IPS yang ke-35 yang hendak mengambil tempat sepanjang tahun ini telah dilancarkan pada 20 Februari yang lalu, lebih awal dari Hari IPS yang kita raikan pada hari ini.
Dalam hal tersebut, IPS mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah atas kesudian beliau melancarkan sambutan tersebut dan atas sokongan berterusan yang beliau berikan kepada komuniti, karya dan kegiatan penulis Sabah. IPS setentunya merasa sukacita kerana beliau menjadi sebahagian daripada Ulang Tahun IPS yang ke-35 pada tahun ini.
Sementara saya dan rakan-rakan pemimpin IPS menyediakan yang terbaik untuk menandakan 35 tahun IPS mengabdi kepada Tuhan, bangsa dan negara Malaysia di lapangan budaya, bahasa dan sastera, saya mendorong kita semua untuk terus mengimarahkan hari-hari Ramadan yang masih ada dengan kita dengan melakukan sesuatu yang dapat memberikan kebaikan yang berterusan kepada diri dan masyarakat yang mengelilingi. Mudah-mudahan kita semua meraih rahmat dan keampunan yang tidak terkira nilainya daripada Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa.
Ikatan Penulis Sabah: Sebuah Kisah Cinta kepada Tanah Pusaka
“Ikatan Penulis Sabah: Sebuah Kisah Cinta kepada Tanah Pusaka” saya pilih sebagai tema Sambutan Ulang Tahun IPS yang ke-35 untuk menggambarkan cinta para penulis Sabah dan Ikatannya kepada Tanah Pusaka yang bernama Malaysia.
Kisah cinta tersebut tidak mungkin dimulakan oleh 26 orang penulis Sabah di Sudut Penulis, Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah di Singgah Mata, Kota Kinabalu pada 24 Mac 1990 jika tidak digagaskan oleh tiga orang pemuda yang hendak menjadikan sastera sebagai harapan dan masa hadapan masyarakat Sabah. Tiga orang yang dimaksudkan ialah Abd Naddin Shaiddin, Aliuddin Mohd Salleh dan Jasni Matlani.
Hari berganti hari dan bulan berganti bulan, para pegawai, ahli, sukarelawan dan sahabat IPS datang silih berganti. Walaupun didatangi pelbagai cabaran, IPS tetap sahaja menjadi sebuah pasukan yang bergerak bersama-sama dan berlangkah-langkah ke hadapan sebagai sebuah pasukan. 35 tahun setelah ditubuhkan, IPS telah menjadi segala-galannya yang para pendiri dan penerusnya inginkan.
Kita berterima kasih kepada Sasterawan Negeri Sabah Datuk Jasni Matlani kerana telah meletakkan batu asas yang kukuh kepada IPS untuk menjadi pendukung kepada gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah.
Kita berterima kasih kepada Sasterawan Negeri Sabah Hasyuda Abadi kerana telah mengukuhkan imej yang nyata dan kedudukan yang kukuh kepada IPS sebagai pendukung gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di peringkat akar umbi di Sabah melalui pembinaan, pemantapan dan pemerkasaan puisi.
Kita berterima kasih kepada Abd Naddin Shaiddin kerana mendekatkan IPS dengan kewartawanan dan mendorong pendigitalan dalam gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah sehingga IPS dapat sahaja berjalan walaupun dalam keadaan negara dan bangsa dihadapkan dengan tantangan terberat sepanjang zaman.
Kita berterima kasih kepada Aliuddin Mohd Salleh kerana telah ikut menggagaskan IPS pada tahun 1990 sehingga IPS pada masa kini masih sahaja menjadi harapan dan masa hadapan sastera di Sabah.
Kita turut berterima kasih kepada Ramlah Haji Othman dan Dr. Mohammad Puad Bebit yang pernah menjadi Ketua Dua pada zaman masing-masing serta 23 orang ahli yang ikut mengasaskan IPS pada tahun 1990, sama ada masih atau tidak lagi menjadi ahli IPS pada saat ini, atas sumbangan mereka pada masa dahulu yang sedikit sebanyak telah meletakkan IPS pada kedudukannya yang sekarang.
Kita tidak pula lupa berterima kasih kepada Sasterawan Negeri Sabah Azmah Nordin kerana telah memberi dukungan yang berterusan kepada IPS selama ini, terutamanya dalam bentuk pembinaan dan pengembangan prosa.
Indah ditata pokok selasih,
Karya kawula sang adipati;
Lidah berkata terima kasih,
Atas segala budi dan bakti.
Tanggungjawab kita yang masih bersama IPS ialah untuk melanjutkan perjuangan para pendahulu kita sama ada mereka masih bersama kita, telah memilih jalan yang lain atau yang telah pulang ke pangkuan Tuhannya.
Tidak kurang ramainya pendahulu yang pernah merapat bersama IPS sebagai ahli atau sahabat tetapi tidak lagi bersama-sama kita di dunia yang fana ini. Mari kita ucapkan terima kasih kepada Sasterawan Negeri Sabah Datuk Amil Jaya, Datuk Shuhaibun Yussuf, Dayang Salmah Salam, Ali Amat Anas, Mat Congo, Muharsafa Kirana Bacho, Ramli Abok, Ain Sofiya, Mohilis dan beberapa lagi nama yang tidak dapat saya sebutkan namanya satu persatu atas bakti dan jasa mereka kepada budaya, bahasa dan sastera di Sabah selama kehidupan mereka.
Walaupun hanya waris mereka yang mendengar ucapan terima kasih ini, tetapi ketahuilah, doa dan ingatan tulus para penerus IPS sentiasa bersama mereka dan seluruh ahli keluarga mereka. Malah, saya mahu mereka semua tahu bahawa kelangsungan IPS pada hari ini dan hari-hari yang mendatang tidak lain dan tidak bukan merupakan hasil amal jariah setiap orang yang ikut membina, mengembangkan dan mengukuhkan budaya, bahasa dan sastera di Sabah melalui IPS mahupun platform lain yang bekerjasama dengan IPS.
Maka, harus saya ingatkan semua yang ikut menjayakan IPS termasuk diri saya sendiri untuk tidak merugikan IPS dan merasa dirugikan dengan kelangsungan IPS pada masa kini dan masa hadapan. Selagi IPS berdiri di tengah-tengah Tanah Pusaka, selagi itulah IPS menjadi amal jariah kita.
Penulis Sabah Berwibawa
Penulis Sabah penulis berwibawa. Penulis Sabah penulis bitara. Kewibawaan dan kebitaraan yang kita miliki membolehkan kita membina, mengembangkan dan mengukuhkan komuniti, karya dan kegiatan penulis Sabah yang seterusnya.
IPS semakin hari, semakin jelas dengan gerak kerjanya. Dengan dukungan daripada 122 orang ahli, 14 orang sukarelawan dan 40 buah organisasi sahabat dari dalam dan luar Malaysia, serta dengan jangkauan sastera Sabah yang mampu sampai ke sekurang-kurangnya 14 buah negara di seluruh dunia, banyak perkara yang kita boleh lakukan bersama-sama.
Pepohon melati di dusun Mak Yong,
Mekarnya bersama sang bunga raya;
Perintah bupati bergotong-royong,
Bekerja bersama membawa jaya.
IPS kini dikenali dengan enam inisiatif. Inisiatif “Puisi Adalah…” mendekatkan masyarakat Malaysia dengan puisi sejak tahun 2017. Daripada apresiasi yang diadakan secara berkala, IPS menambah baik inisiatif ini pada tahun 2023 dengan melaksanakan sayembara secara dalam talian setiap bulan dan wacana secara berkala serta menerbitkan antologi puisi karya penyair-penyair terbaik Malaysia setiap tahun.
Inisiatif “Sepanggar Membaca” mendorong budaya membaca dalam kalangan masyarakat kawasan Sepanggar, terutamanya golongan kanak-kanak dan belia. Melalui inisiatif ini, IPS mendukung usaha Pertubuhan Permuafakatan Baitul Muqaddam Sabah menyediakan pengajian al-Quran secara percuma kepada masyarakat sekitar kawasan Sepanggar yang memerlukan.
Inisiatif “Sepanggar Berpantun”, yang asalnya hanya mengambil manfaat daripada kecerdasan buatan sambil mengekalkan sentuhan manusia dalam menghasilkan dan menambah baik pantun, berkembang dengan sendirinya menjadi pendorong kepada masyarakat kawasan Sepanggar untuk membudayakan pantun.
Inisiatif “Melukis Senja” mengetengahkan peranan penulisan, lukisan dan muzik dalam memperbaiki dan meningkatkan kesihatan mental masyarakat. Melalui inisiatif ini, IPS menampilkan pengisian yang bersesuaian dengan kehendak mewujudkan rasa indahnya hidup bermasyarakat seperti indahnya merenung waktu senja di Kota Kinabalu ketika cuaca cerah.
Inisiatif “Kembali ke Akar” membawa kita kembali kepada para pendahulu dalam bidang budaya, bahasa dan sastera di Sabah. Usaha ini penting agar generasi penerus mengenali dan menghargai tokoh-tokoh penulis yang telah meletakkan persuratan di Sabah pada tahap yang boleh kita lihat sekarang.
Inisiatif “Kuseru Namamu” hendak memanfaatkan anime sebagai wadah untuk memperkenalkan tokoh-tokoh penulis di Sabah kepada Generasi Z dan Alpha sekali gus membawa mereka kepada keunikan budaya, bahasa dan sastera di Sabah.
Tuntasnya, setiap inisiatif yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh IPS hendak memastikan setiap individu dan golongan yang ikut menjayakan IPS memiliki dan memainkan peranannya yang signifikan dan berterusan kepada komuniti, karya dan kegiatan penulis Sabah.
Alhamdulillah. Hasilnya kita boleh lihat pada hari ini. Dengan berpegang kepada prinsip wasatiyyah dan istiqamah, IPS telah berupaya menghasilkan impak yang tinggi kepada gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di Malaysia, khususnya di Sabah.
Pelaksanaan dan penglibatan dalam 111 buah kegiatan telah menghasilkan manfaat kepada sekitar 3,300 orang peserta dari dalam dan luar negara sepanjang tahun lalu. Di samping lima siri Majalah Komposisi yang telah berjaya diterbitkan secara digital setiap tahun sejak tahun 2023, IPS, pada tahun lalu, telah berjaya menerbitkan 14 buah buku pelbagai genre secara fizikal dan telah berhasil melahirkan 158 orang penulis Malaysia dan Indonesia hasil penerbitan buku-buku tersebut.
IPS turut berhasil merangsang eksport sastera di Malaysia secara sosial melalui penerbitan empat buah buku solo dan antologi karya penulis-penulis dari Indonesia. Buku-buku tersebut telah berjaya disebarkan di Indonesia melalui misi kesusasteraan yang saya sendiri kendalikan, awal Februari yang lalu.
Walaupun pulangan pelaburan ekonomi yang IPS catatkan pada tahun lalu (2024) berada pada paras negatif 2, tetapi pulangan pelaburan sosial yang direkodkannya tetap positif dan berada di atas paras 2.
Semua prestasi yang dicatatkan oleh IPS pada tahun lalu membolehkan IPS semakin dipandang indah, semakin dipercayai oleh kawan dan lawan, dan berada pada kedudukan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan organisasi kesusasteraan yang lain di dalam dan luar Malaysia.
Sastera Masa Hadapan Sabah
Sastera adalah masa hadapan kita. Sastera juga adalah masa hadapan Sabah. Ketika perkembangan teknologi semakin hari, semakin laju, sastera tidak boleh kekal berada di takuk lama dan pada masa lalu. Sastera tidak boleh berjalan sendirian, apatah lagi kalah dengan sektor sosiobudaya yang lain.
Sastera mesti menjadi tunjang kepada kehidupan manusia. Sastera mesti bergerak seiring dengan semua sektor sosiobudaya yang terdapat di dunia. Sastera mesti berdamping dengan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran. Sastera juga mesti ikut bergerak cepat dengan teknologi seraya menjadi bahagian yang membentuk pengajian masa hadapan.
Kita jangan naif dan pesimis dengan keadaan yang melatari komuniti, karya dan kegiatan penulis Sabah pada masa kini. Hakikatnya, gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah pada masa ini sedang baik-baik sahaja walaupun gerakan tersebut sentiasa menyaksikan perbezaan matlamat dan cara dalam kalangan pihak yang merancang dan melaksanakannya.
Sabah tidak ketandusan generasi penerus. Kita sebagai generasi masa kini hanya perlu mencari, membina dan mengukuhkan bakat dan kemahiran yang telah sedia ada pada diri mereka.
IPS telah menyaksikan kemunculan ratusan penulis baharu di Sabah dari kalangan belia sejak tahun 2021. Mereka tidak hanya menulis dan menerbitkan tulisan dalam bentuk buku atau secara eceran. Mereka memiliki bakat dan kemahiran yang kita yang kita tidak selalu fikirkan.
Prestasi mereka luar biasa. Salah seorang daripada mereka merupakan ahli IPS dari Tawau yang menjuarai Majlis Hafazan dan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah 2025 bagi kategori Hafazan 30 Juzuk (Lelaki). Jangan kita lupa pada seorang lagi ahli dan pemimpin IPS dari Kota Belud yang telah menguasai arena deklamasi puisi di peringkat negeri dan kebangsaan sejak tahun 2021.
Asasnya, kita mesti optimis bahawa sastera akan kekal menjadi masa hadapan bagi Sabah. Tetapi, jangan kita hanya menjadi idealis sambil hanya mengharapkan pihak lain untuk menunaikan hasrat kita. Dengan prinsip istiqamah dan wasatiyyah, marilah kita menjadi realis dan pragmatis terhadap sastera di Sabah pada masa yang sama.
Sesungguhnya kepimpinan yang berkesan tidak dinilai pada mimpi, tetapi pada realiti. Kepemimpinan yang berhasil tidak semata-mata bergantung kepada idea, tetapi juga bergantung kepada kerja yang nyata dan hasil yang tercipta daripadanya. Mengingat perkara tersebut, IPS memiliki iltizam membawa bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan di Sabah ke arah masa hadapan yang lebih cerah.
Wawasan Penulis Sabah 2030 yang telah dilancarkan pada 20 Februari yang lalu mengandungi enam bidang keberhasilan, 20 petunjuk prestasi dan 49 strategi yang merangsang pembinaan ekosistem budaya, bahasa dan sastera Sabah yang dinamik, sistematik, berdaya saing dan diiktiraf di persada antarabangsa.
Ketika masih ada dalam kalangan kita menginginkan Kota Kinabalu menjadi Kota Sastera yang diakui dunia, lahirnya penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (Malaysia) yang seterusnya dari Sabah dan lahirnya anak Sabah yang pertama menjadi Sasterawan Negara, kita mesti ingat bahawa hanya kita yang berkuasa mengubah dan menambah baik nasib kita sendiri.
Maka, saya mengajak semua pihak untuk bersama-sama IPS menjayakan Wawasan Penulis Sabah dengan memperkasakan penulis, memperkasakan karya dan memperkasakan Sabah. Tanpa menjejaskan persaingan yang sentiasa ada antara kita, marilah kita mencipta Sabah yang maju dan berjaya dengan mengutamakan kerjasama.
Kita sudah sering belajar daripada sejarah yang dikarang oleh para sejarawan, sasterawan dan seniman bahawa Sabah yang maju datangnya daripada Sabah yang bersatu padu dan Sabah yang berjaya datangnya daripada Sabah yang mengutamakan kerjasama.
Tuntasnya, marilah kita jadikan persuratan di Sabah inklusif kepada semua genre penulisan dan terbuka kepada semua individu dan golongan. Lebih daripada itu, marilah kita jadikan Sabah sentiasa bererti buat setiap orang yang mengunjungi dan mendiami tanah air ini dengan cara kita sendiri.
Sabah tanah air kita. Malaysia tanah pusaka kita. Sama ada menetap di tanah air ini atau mengembara ke hujung dunia, bersyukurlah dan berbanggalah menjadi warga Sabah yang berjiwa Malaysia.
Tidak semua penulis Sabah berseragam dan bersenjata, membelah kesibukan kota, ketenangan desa, kehijauan belantara, kekocakan samudera dan kebiruan angkasa raya, tanpa mengira penat dan lelah, mempertahankan kedaulatan tanah air kita dan menjamin keselamatan kita. Tetapi, janganlah malu untuk bercerita kepada dunia dengan cara kita bahawa kita mencintai Sabah dan Malaysia selama-lamanya.
Janganlah pula lupa berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang telah bersama kita menaikkan harakat dan martabat tanah air Sabah dan Malaysia dalam bidang kebitaraan mereka. Bagi pihak IPS, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua individu dan golongan yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu atas dukungan berterusan mereka kepada komuniti, karya dan kegiatan penulis Sabah.
Saya khususkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan; Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi; Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara; dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar kerana telah memberikan dukungan yang khusus kepada IPS sehingga membolehkannya mencatatkan kejayaan yang memberangsangkan pada tahun lalu.
Saya khususkan juga ucapan terima kasih kepada DBP, baik di Kuala Lumpur mahupun di Kota Kinabalu, atas saranan dan sokongan yang diberikan secara berterusan kepada IPS sehingga anak yang dilahirkan di DBP Cawangan Sabah ini menjadi bahagian penting dalam kelangsungan gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah.
Begitu juga saya khususkan ucapan terima kasih kepada Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu dan jabatan induknya kerana telah bersama-sama saya dan keluarga besar IPS menjayakan gerakan bahasa dan sastera kebangsaan di Sabah sejak bertahun lamanya. Saya dedikasikan penghargaan saya kepada Setiausaha saya dan 11 orang anggota The Circle VII dan VIII yang telah bersama-sama saya melaksanakan kegiatan yang mengangkat kemampuan kita memimpin, mengurus dan melaksana di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Saya turut mengucapkan terima kasih kepada semua Sahabat IPS yang berada di dalam dan luar negeri kerana telah bersama IPS membina budaya, bahasa dan sastera Sabah yang lebih berprestasi dan membawa manfaat kepada lebih ramai penerima manfaat berbanding sebelumnya.
Sebagai intiha, saya mengucapkan terima kasih yang tulus dan khusus kepada seluruh keluarga besar IPS, baik yang datang sebelum saya mahupun yang datang selepas saya, kerana telah bersama saya menukarkan kata menjadi kota, menukarkan cita-cita menjadi nyata dan meletakkan IPS pada kedudukannya yang berjaya.
Semoga Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa, menerima semua amalan kita, meredai perjuangan kita dan mengurniakan kita kudrat serta iradat yang membolehkan kita melanjutkan usaha meletakkan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan di Sabah ke aras yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.
Daun kayu di tengah lembah,
Dipulas untuk makanan rusa;
Dirgahayu penulis Sabah,
Moga terbalas budi dan jasa.
Comments
Post a Comment