Ucapan sempena Program Iqra' Generasi Rabbani
"Sepanggar Membaca mungkin satu langkah yang kecil. Tapi, kita akan perkasakan menjadi lebih besar sehingga Sepanggar Membaca tidak kekal di Sepanggar sahaja, tetapi berada di luar Sepanggar juga."
Selamat Tahun Baharu Cina. Xin nian kuai le. Gong xi fa cai.
Program Iqra’ Generasi Rabbani datang tepat pada masanya, ketika Malaysia menghadapi satu kebimbangan bahawa semakin hari, semakin ramai yang tidak pandai membaca. Jangankan membaca, menulis pun tidak pandai. Bagi guru-guru di sekolah atau di mana-mana institusi pendidikan—seperti saya, kami cuba memberikan yang terbaik untuk memastikan setiap anak Malaysia mencapai 3M: boleh membaca, boleh menulis dan boleh mengira.
Pertubuhan Permuafakatan Baitul Muqaddam Sabah (Baitul Muqaddam) dan Ikatan Penulis Sabah (IPS) mengambil peranan yang tersendiri untuk memastikan setiap anak, terutama di kawasan Sepanggar, sekurang-kurangnya dapat membaca dan dapat menulis suatu hari nanti, Insya-Allah. Oleh sebab itu, IPS telah memperkenalkan salah satu daripada yang sekarang ada enam inisiatif, iaitu Sepanggar Membaca.
Saya tidak pernah ada masalah apabila Iqra’ Generasi Rabbani menjadi sebahagian daripada inisiatif Sepanggar Membaca. Malah, saya baru terima perintah secara langsung daripada Yang Berhormat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, untuk memperkasakan budaya membaca dalam kalangan anak-anak Sabah, terutamanya yang berada di luar bandar dan pedalaman.
Sepanggar Membaca mungkin satu langkah yang kecil—saya harus akui. Tapi, kita akan perkasakan menjadi yang lebih besar sehingga Sepanggar Membaca tidak kekal di Sepanggar sahaja, tetapi berada di luar Sepanggar juga.
Dalam hal ini, saya sangat menghargai semua pihak yang merangkul usaha untuk memastikan setiap anak—atau adik—kita dapat membaca... dan semoga mereka nanti dapat menulis dan mengira pada masa yang sama.
Kita mulakan asas bacaan dengan al-Quran, kalam Allah SWT. Hakikatnya, setiap manusia memang terikat dengan al-Quran kerana itulah perintah Allah SWT. Maka, itu yang kita didik dahulu sementara kita mendidik juga mereka membaca perkara-perkara lain yang membina dan mengembangkan kehidupan anak-anak—dan adik-adik—kita.
Oleh sebab itu, saya sangat menyambut baik inisiatif Sepanggar Membaca dan salah satu kegiatan yang sekarang berada di bawahnya, iaitu Program Iqra’ Generasi Rabbani. Saya harap kita boleh ulangi lagi program ini selepas ini. Malah, kita hendak menjadikannya lebih baik berbanding sekarang.
Kami di Baitul Muqaddam dan IPS sudah tawarkan kepada anak-anak—dan adik-adik, kalau khatam al-Quran pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan, kita pindah tempat majlis. Kalau bukan di Masjid Bandaraya, di Dewan Bahasa; dan kita akan bertiwikrama untuk melaksanakannya kalau tidak pada hujung tahun ini, pada awal tahun hadapan, Insya-Allah.
Saya harap program ini menjadi sesuatu yang bermakna kepada IPS kerana IPS kebetulan akan berusia 35 tahun pada 24 Mac yang akan datang. Melalui program ini, saya berterima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari sekalian kerana menjadi sebahagian daripada tahun ke-35 IPS.
IPS mungkin nampak kecil, orangnya tidak ramai. Kami hanya ada 113 (orang ahli)—termasuk senior saya, Ustaz Amiruddin (Mohd Rosdi). Tetapi, jiwa kami lebih banyak dan lebih besar darpada 113 (orang ahli). Nama IPS sudah pun merentas beberapa buah negara.
Semalam, saya diberi kesempatan bertemu dengan Yang Terhormat Menteri Pendidikan Dasar dan Menengah Republik Indonesia, Profesor Dr. Abdul Mu’ti, untuk menyampaikan apresiasi IPS langsung (kepada Sekolah Indonesia Kota Kinabalu) kerana telah mempercayakan IPS, bukan sahaja dalam menguatkan mereka dengan asas membaca, tetapi sehingga akhirnya mereka boleh menulis puisi yang boleh dieksport dari Malaysia ke Indonesia.
(Pencapaian) ini pencapaian yang besar bagi IPS pada tahun lepas—malah, pada tahun ini pun. Kita akan perkasakan lagi pengantarabangsaan tersebut seperti yang diamanatkan kepada saya oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan.
Sebagai hujung kepada kata-kata saya ini, saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan para hadirin sekalian untuk tetap beriltizam dengan al-Quran. Dengan beriltizam dengan al-Quran, kita dapat melaksanakan ibadah lain dengan lancar termasuk mendidik anak-anak—atau adik-adik—kita membaca, menulis dan mengira—asas yang mesti ada di tengah-tengah keadaan yang semakin hari, semakin mencabar.
Saya yakin kita boleh melakukannya. Kalau hari ini, dalam keadaan hujan dan dalam keadaan matahari menyorok di balik awan mendung, kita boleh datang; maka dalam waktu lain pun, kita boleh ada dan kita sepatutnya ada di tengah-tengah masyarakat.
Kita di IPS tiada masalah untuk melakukannya. Malah, kami menyatakan siap untuk pergi ke mana-mana pun sekiranya diperlukan pada masa yang akan datang. Dalam hal itu, saya menghargai kebersamaan tuan-tuan dan puan-puan.
Saya juga menghargai kebersamaan sahabat-sahabat kita di IPS yang bukan sahaja menjayakan acara seperti ini, tetapi juga menyampaikan liputan acara ini ke mancanegara. Terima kasih saya ucapkan kepada Berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah.
Kami tidak cari nama. Kami hanya mahu pastikan amal jariah diketahui oleh umum supaya ramai lagi boleh datang dan dapat amal jariah yang sama dari Sepanggar.
Kami di IPS telah membuat keputusan yang betul pada 11 Januari yang lalu untuk menamakan Rumah Puisi Hasyuda Abadi, Rumah Ngaji Baitul Muqaddam, Pustaka Iqbal Nazim, Dewan an-Nur dan pejabat urusan IPS dengan hanya satu nama, iaitu Dangau Sastera. Maka, anggaplah ini program pertama kita IPS dan Baitul Muqaddam di Dangau Sastera.
Kita akan perkasakan nama Dangau Sastera sesuai amanat para pendahulu dan para pendukung kita dengan apa-apa sahaja aktiviti yang mendekatkan kita dengan masyarakat di akar umbi.
Saya ingin sampaikan juga bahawa IPS juga pada 11 Januari yang lalu telah memutuskan Deklarasi Penulis Sabah (yang akan dilafazkan pada setiap acara yang dianjurkan oleh IPS oleh seluruh hadirin).
Sekian sahaja ucapan saya. Selanjutnya, saya mohon kesudian Yang Berhormat Datuk (Dr. Aliakbar bin Gulasan) untuk menyampaikan amanat dan merasmikan majlis ini.
Terima kasih.
Rabu, 29 Januari 2025, pukul 9.30 pagi.
Dangau Sastera, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Comments
Post a Comment