Ucapan Dasar Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah 2025
"Penting untuk kita berpandangan jauh kerana sastera bukan tentang hari ini sahaja. Sastera tentang masa depan."
Selamat Tahun Baharu 2025. Semoga yang terbaik buat kita semua pada tahun ini dan hari-hari yang masih ada bersama kita selepas tahun ini.
Mesyuarat Agung kali ini kembali ke tempat asalnya setelah tahun lepas, kita mengadakannya di Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Saya harap amalan untuk mengadakan Mesyuarat Agung di Rumah Puisi Hasyuda Abadi ini dan di Kompleks DBP Cawangan Sabah secara bergilir dapat menjadi amalan. Pertama, kerana Ikatan Penulis Sabah (IPS) memang terletak di sini dalam apa keadaan sekalipun.
DBP Cawangan Sabah sebagai Penaung
Kedua, kerana kita telah memperakui DBP Cawangan Sabah sebagai payung tempat kita berteduh sejak 34 tahun yang lalu. Selama ini, kita memang berteduh di bawah DBP Cawangan Sabah. Dalam hal ini, saya terhutang budi dengan DBP Cawangan Sabah dan saya yakin rakan-rakan juga begitu.
Sejak saya menerima tongkat estafet kepemimpinan daripada pendahulu saya, Abd. Naddin Shaiddin (Bang Naddin), tiga tahun yang lalu, IPS sudah semakin hari, semakin mantap. Alhamdulillah.
IPS semakin hari, semakin memberangsangkan. IPS semakin hari, semakin bererti kepada rakyat dan negeri Sabah. IPS semakin hari, semakin muncul dan terlihat sumbangsihnya kepada bangsa dan negara Malaysia.
Sebab itu, kita tidak ragu-ragu untuk meneruskan perjalanan walau apa cuaca sekalipun yang akan datang. Kita hanya berhenti pada Hari Akhirat.
Selagi Hari Akhirat belum datang, selagi itulah kita meneruskan amalan dan perjuangan sesuai dengan pesanan yang kita selalu dengar daripada Abdullah bin Amru bin al-As, “Bekerjalah untuk duniamu seolah-olah engkau akan hidup selamanya dan bekerjalah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari.” Itulah pendekatan yang saya secara peribadi ambil supaya IPS terus bergerak memberi sumbangsihnya kepada rakyat dan negeri Sabah, serta bangsa dan negara Malaysia yang tercinta.
Ternyata, IPS sudah memberi sumbangan yang sangat baik kepada perkembangan bahasa, sastera dan budaya di Sabah. Pertama, kerana kita telah berjaya melaksanakan Hadiah Puisi K. Bali siri pertama. Saya ingin umumkan bahawa sirinya yang kedua akan dimulakan pada suku ketiga tahun ini (2025), Insya-Allah. Jika tiada aral melintang, saya akan mengumumkan pembaharuan kepada hadiah puisi tersebut.
Inisiatif-inisiatif yang Menjelaskan Tindakan Ikatan
Kedua, kerana kita telah semakin jelas dengan tindakan kita. IPS melaksanakan empat inisiatif. Banyak program yang kita laksanakan sepanjang tahun 2024 yang lalu bergantung kepada inisiatif-inisiatif tersebut.
Pertama, inisiatif “Puisi Adalah...” yang telah kita laksanakan seawal 2017 dan pernah kita laksanakan pada tahun 2018 sebelum terhenti. Kita sambung semula tahun 2023 yang lalu dan kita sudah laksanakan tahun lepas (2024). Kita telah membawa “Puisi Adalah...” ke satu tahap yang membanggakan bangsa dan negara dan kita akan teruskan.
Kedua, inisiatif “Sepanggar Membaca” kerana akhirnya manusia dilahirkan tidak terus jadi pandai. Kata Imam asy-Syafie, “Belajarlah kerana tidak ada seorang pun yang lahir ke dunia ini terus menjadi pandai.” Kalau ada, memang orang itu luar biasa dan kalau ada orang itu dalam IPS, saya sanggup berundur daripada menjadi Ketua Satu IPS.
Tetapi, tidak ada orang itu di dunia ini. Sesiapa yang mahu jadi Ketua Satu IPS, harus belajar dan bersedia untuk merancang dan melaksanakan apa pun yang menjadi tuntutan negara dan bangsa kita.
Membaca sentiasa menjadi asas sebelum kita mampu menulis. Tidak ada orang yang mampu menulis melainkan dia membaca. Maka, inisiatif “Sepanggar Membaca” kita hendak terus lakukan dan masyarakatkan kepada semua golongan, daripada kanak-kanak sampai kepada warga yang lanjut usia.
Kanak-kanak dan remaja menerima manfaatnya di tempat ini, tempat yang sebenar-benarnya kita bertemu pada hari ini. Kalau tiada aral melintang, kita akan berkumpul lagi pada Tahun Baharu Cina bukan untuk menyebut Tahun Baharu Cina semata-mata, tetapi kemuncaknya untuk meraikan anak-anak didik yang belajar di Rumah Ngaji Baitul Muqaddam ini untuk naik al-Quran, yakni beralih daripada pembelajaran Iqra dan Muqaddam kepada pembelajaran al-Quran.
Ketika orang ingat “Sepanggar Membaca” hanya membaca puisi atau cerpen, “Sepanggar Membaca” merentasi puisi dan cerpen; malah kembali kepada sumber asal bacaan setiap manusia, iaitu al-Quran al-Karim, sesuai dengan firman Allah SWT, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang Maha Menciptakan.” (Surah al-Alaq, ayat 1)
Ketiga, inisiatif “Sepanggar Berpantun”. Pantun sudah menjadi budaya di negara-negara Nusantara. Cuma, kita harus memikirkan ke mana masa depan pantun untuk lima hingga sepuluh tahun yang akan datang. Dalam hal ini, masyarakat yang menerima manfaat daripada “Sepanggar Berpantun” bukanlah semata-mata orang dewasa atau yang lanjut usia, tetapi yang paling penting ialah kanak-kanak, remaja dan belia.
Keempat, inisiatif “Melukis Senja”. Senja di Kota Kinabalu merupakan antara senja yang terbaik yang boleh dilihat di dunia ini. Perkara ini telah diiktiraf oleh sebuah akhbar di Amerika Syarikat beberapa tahun yang lalu; rujuk Huffington Post pada 2 Julai 2014.
Perkara ini tidaklah bermakna kita membuat program di tepi pantai pada waktu senja semata-mata—kita belum melakukannya. Kita sebaliknya melakukan bicara ilmu— atau mungkin selepas ini bicara yang umum dan santai—pada waktu petang yang boleh memberi manfaat kepada semua dan yang mampu menenangkan hati ramai yang datang. Itulah maksud “Melukis Senja”.
“Melukis Senja” mengintegrasikan sastera dengan muzik dan lukisan serta mementingkan kepentingan menjaga kesehatan mental. Selepas ini, kita akan masyarakatkan lukisan dengan lebih intensif melalui inisiatif ini.
Saya berterima kasih kepada Profesor Madya Dr. Mohammad Puad Bebit kerana atas usahanya, Persatuan Seni Visual Sabah akan memasyarakatkan lukisan dengan pantun pada bulan ini.
Hari ini, saya menggunakan kuasa saya bawah Fasal 17(1)(a), Perlembagaan IPS untuk menerima dua lagi inisiatif termasuk inisiatif kelima belum dinamakan. Saya menunggu namanya itu. Inisiatif kelima ialah inisiatif yang berkaitan dengan lukisan kartun.
Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera Masa Hadapan
Hakikatnya, bidang-bidang kreatif harus saling menggabungjalin kerana itulah kekuatan yang ada pada suatu masyarakat dan di suatu kawasan. Ketika sahabat-sahabat kita mewacanakan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada masa hadapan, soalan pertama yang mesti kita jawab ialah, sejauh mana kita telah bekerjasama dengan baik dalam mewujudkan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera? Soalan kedua yang tidak kurang pentingnya ialah sejauh mana Kota Kinabalu ini benar-benar telah menunjukkan sumbangannya untuk menjadi Kota Sastera yang diiktiraf oleh UNESCO?
IPS menyokong wacana itu. Tetapi, pada pandangan IPS, IPS perlu menguatkannya dengan kerjasama semua pihak tanpa siapa pun yang tertinggal. Tidak ada satu pihak yang patut tertinggal daripada wacana itu termasuk yang berada di luar Kota Kinabalu kerana mereka juga menyumbang di Kota Kinabalu. Mereka juga beraktiviti di Kota Kinabalu.
Seperti Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Iranun (BKI) yang dalamnya ada Bang Naddin, jangan bilang BKI menyumbang di Kota Belud sahaja; BKI menyumbang di Kota Kinabalu juga. Begitu juga kalau saya sebut Persatuan Sastera dan Budaya Sabah yang dipimpin oleh Dr. Norawi Haji Kata dan Persatuan Karyawan Sastera Utara Sabah (KSU Sabah) yang dipengerusikan oleh Awang Karim Kadir. Mereka juga menyumbang kepada sastera di Kota Kinabalu walaupun berpangkalan di utara Sabah.
Faktanya, IPS hanyalah salah satu daripada 31 buah persatuan kesusasteraan yang didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan. Cuma yang benar-benar aktif, kalau menurut data yang ada pada IPS, hanya ada 12.
Saya tidak minta IPS untuk cari lagi ke mana 19 yang tidak aktif itu. Apa yang IPS boleh buat ialah untuk mengekalkan hubungan kita dengan 12 buah persatuan yang telah memang sudah ada dan sudah sedia aktif itu supaya Kota Kinabalu benar-benar dapat menjadi Kota Sastera pada masa hadapan.
IPS bersedia untuk turut serta dalam wacana itu, bukan sebagai penggagas, tapi sebagai penyumbang. Hal ini demikian kerana, kita ada bukti yang kita boleh bentangkan bahawa kita benar-benar menyumbang ke arah menjadikan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera.
Wawasan Penulis Sabah 2030
Dalam hal ini, saya mohon doa restu rakan-rakan semua agar saya dapat memperkenalkan Wawasan Penulis Sabah 2030 tidak lama lagi. Saya harap wawasan tersebut dapat dilancarkan bulan hadapan. Kita sudah ada data dan fakta yang menyokong keperluannya, tinggal kita menyusun saja.
Wawasan ini mungkin saja gambaran bahawa enam tahun yang akan datang, orang yang sama masih Ketua Satu IPS. Tetapi, siapa pun yang menjadi Ketua Satu IPS enam tahun yang akan datang, arah IPS yang beliau boleh bawa itu nanti biarlah sesuai dengan wawasan tersebut.
Soal hidup atau mati terletak di tangan Allah SWT semata-mata. Namun, “agi hidup, agi ngelaban”. Selagi hidup, selagi itu berjuang. Maka, amalan dan perjuangan IPS selepas ini akan berpandu kepada wawasan yang akan saya perincikan setelah dilancarkan.
Wawasan itu mungkin sahaja tidak mengikat pihak-pihak yang bekerjasama dengan kita. Wawasan itu hanya semata-mata menjadi panduan kepada cara kita bergerak. Kalau selepas ini Ketua Satu IPS orang seperti Muhammad Faizhaziq Mohd. Sarizam (Faizhaziq), Jaidin Zaineh atau wanita seperti Irdeena Izwin Sapleh, maka mereka akan dipandu dengan wawasan itu juga.
Sastera dan Masa Hadapan
Penting untuk kita berpandangan jauh kerana sastera bukan tentang hari ini sahaja. Sastera tentang masa depan. Apa yang kita mahu tinggalkan kepada yang Generasi Z, Alpha dan Beta? Kita tidak mahu tinggalkan Generasi Alpha dan Beta hanya dengan ciri-ciri yang ada pada kehidupan mereka sahaja. Maka mari bersama saya, kita cerahkan kehidupan Generasi Z, Alpha dan Beta dengan usaha kita.
Oleh sebab itu, IPS bersedia jika diminta masuk ke kawasan pedalaman untuk mengadakan bengkel sastera. Saya berharap agar, kalau ada sekolah-sekolah di pedalaman yang boleh dikesan oleh ahli-ahli dalam hal ini, sila hantar nama sekolah itu kepada kepimpinan Ikatan dan sila pastikan Pengetua atau Guru Besar memang mahu mengundang IPS datang. Kita akan datang. Kita akan laksanakan terus program “Satu Bengkel, Satu Buku” supaya bengkel tidak tinggal bengkel, tapi tinggal sama buku setelah itu.
Hasil “Satu Bengkel, Satu Buku”, kita telah menghasilkan 154 orang penulis Malaysia dan Indonesia di seluruh Sabah. Pencapaian ini pencapaian yang besar dan baik kerana IPS tidak melahirkan penulis Malaysia sahaja, tetapi penulis Indonesia. Tidak mustahil pada masa yang akan datang, kita dapat melahirkan penulis dari negara lain juga, terutamanya negara-negara anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025: Peluang Pengantarabangsaan Ikatan
Tahun ini (2025), Malaysia merupakan pengerusi ASEAN. Sebagai Pengerusi ASEAN, secara politiknya, Kerajaan Malaysia ada wacananya tersendiri. Tetapi, di peringkat masyarakat, marilah kita ikut berwacana bersama-sama ke arah ASEAN yang lebih baik.
Dalam hal ini, kita akan meluaskan jangkauan antarabangsaan kita ke beberapa buah negara lagi. Saya harap, dalam wawasan itu, kita boleh fokus kepada negara CLMV iaitu Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam kerana mereka juga ASEAN. Kalau boleh, saya tambah sama dalam senarai, negara Timor-Leste walaupun sebenarnya jangkauan sastera kita telah sampai ke Timor-Leste melalui seorang atau dua sahabat penulis kita.
Sebenarnya, bagus ahli dan penasihat IPS kita menjadi pentadbir grup WhatsApp “Sastera Sahabat Kita” kerana “Sastera Sahabat Kita” mempertemukan para ahli sastera Malaysia dengan negara-negara seperti Singapura, Brunei, Thailand, Indonesia, Filipina, Timor-Leste dan Kemboja.
Semalam saya dengan rakan-rakan berjumpa dengan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Jennitah Noordin. Saya nyatakan dalam perjumpaan itu, salah satu sebab IPS semakin boleh dipercayai oleh masyarakat ialah peranan kita di peringkat antarabangsa. Perkara ini telah saya sebut di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu, Oktober tahun lalu. Saya tunjukkan gambarnya.
Dalam gambar ini, IPS dengan para penulis dari negara lain ibarat jambatan yang boleh dilintasi pada bila-bila masa walaupun ada imigresen di tengahnya. Saya tidak masukkan imigresen dalam gambar tersebut kerana hubungan antarabangsa yang dinikmati oleh IPS sepatutnya tidak ada apa-apa benteng pun supaya, baik dari segi bahasa dan budaya, tujuan bermasyarakat dalam konteks sastera dapat dicapai dengan sebaiknya.
Maka, dalam tempoh tiga tahun yang lalu, inilah prestasi yang boleh kita bangga-banggakan. Kita memiliki sahabat-sahabat di negara-negara lain menerusi peranan dan inisiatif IPS di peringkat antarabangsa.
Eksport Sastera sebagai Pengimbang Import Sastera
Tahun lepas, Kedutaan Besar Amerika Syarikat membeli buku-buku kita – penulis Sabah – terbitan IPS dan DBP untuk disampaikan kepada Perpustakaan Kongres Amerika Syarikat (LOC). Maksudnya apa? Buku-buku penulis Sabah boleh dibaca pada masa yang akan datang di LOC, yang mana pengkelasannya memang dipakai oleh perpustakaan di universiti-universiti kita.
Kita nampak beza pengkelasan buku di universiti dan sekolah. Sekolah mengkelaskan buku menggunakan Sistem Pengkelasan Dewey yang mengedepankan nombor, manakala universiti menggunakan Sistem Pengkelasan LOC yang mengedepankan huruf.
Bagusnya buku-buku kita disampaikan ke sana agar buku-buku tersebut dapat dikelaskan menggunakan Sistem Pengkelasan LOC. Cuma, saya mohon maaf kerana buku-buku yang diterbitkan pada tahun ini tidak sempat masuk dalam senarai pembelian tersebut. Rata-rata buku yang dibeli itu buku terbitan tahun 2023.
Kita ada akses langsung ke Arab Saudi. Tahun 2023 yang lalu, Nadwah Sastera Islam Sabah yang diadakan oleh DBP Cawangan Sabah diliput oleh Liga Kesusateraan Islam Antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi. Jangan lupa, beberapa tahun yang lalu, kita ada tokoh dalam kalangan kita yang diterjemahkan dan dimasyarakatkan karyanya di India dan Rusia.
Selalu orang tidak fikirkan bahawa sastera di Sabah bukan tentang Malaysia sahaja atau sastera di Sabah bukan tentang Sabah saja walaupun dalam definisinya begitu, tetapi lebih besar daripada itu. Kita masyarakatkannya dalam bentuk eksport sastera.
Ketika kawan-kawan kita mengimport sastera, tugas kita untuk mengimbanginya dengan eksport sastera. Sebab itu, IPS tidak pernah ada masalah kalau diajak untuk pergi ke program-program yang bersifat jaringan antarabangsa. Kita sentiasa mengalu-alukannya walaupun kehadirannya mungkin hanyalah sebagai peserta sahaja dalam sesuatu persidangan antarabangsa.
Sebabnya bukan tentang IPS semata-mata, tetapi tentang harkat dan martabat Malaysia dalam bidang bahasa dan sastera kebangsaan. Kita di IPS mungkin tidak ramai, tetapi kita sentiasa ada dan saya jamin, kita memang akan selalu ada sampai bila-bila.
Penulis Sabah dan Karya Besarnya
Mari, saya tunjukkan lagi. Ketika kita membicarakan tentang tokoh-tokoh ini, kita tetap saja membicarakan tokoh-tokoh ini. Namun begitu, DBP Cawangan Sabah dan IPS telah bersepakat bahawa, pada tahun ini, kita akan mewacanakan karya-karya besar daripada penulis-penulis ini. Maksudnya, setiap penulis ada karya besar yang boleh kita sebut-sebut, yang kita boleh masyarakatkan dalam bentuk teater, filem, lukisan atau muzik.
Kita telah masyarakatkan beberapa karya terkini dalam bentuk muzik. Revolusi ini merupakan sumbangan kecerdasan buatan (AI) kepada masyarakat di marcapada. Cuma, kita tidak mahu muzik yang dibuat oleh AI tetap di situ.
Saya telah mendengar dari tahun lepas, muzik yang dipakai, di samping buatan AI, biarlah dibuat oleh pemuzik yang sebenar walaupun kosnya tinggi. Kita akan bertiwikrama untuk untuk pastikan benda itu jadi, kalau tidak pada tahun ini, pada masa hadapan.
Kita sudah ada penulis-penulis ini. Tapi, mari kita pandang ke hadapan bersama penulis-penulis dari generasi yang seterusnya. Kita sudah ada tujuh atau lapan orang yang kita boleh usung dan kita boleh kukuhkan sekarang. Tahun ini, kita akan kukuhkan mereka melalui buku masing-masing, kalau ada.
Di sini, saya mengumumkan bahawa IPS berhasrat untuk menerbitkan minimum 20 buah buku pelbagai genre pada tahun ini. Dalam hal ini, saya mengundang rakan-rakan ahli dan sahabat IPS untuk datang berjumpa langsung dengan saya atau kawan-kawan. Bagi manuskrip untuk kita timbangkan untuk langsung terbit. Tahun lepas kita boleh terbitkan 14 buah buku, kenapa tahun ini kita tidak boleh terbitkan 20 buah buku?
Kami hanya perlukan manuskrip saja. Nanti, biarlah orangnya yang mengatur huruf sehingga dia menjadi buku. Dalam hal ini, saya berhasrat untuk melatih beberapa orang lagi yang boleh mengatur huruf buku supaya manuskrip yang asalnya bersaiz A4 menjadi buku bersaiz A5—dan mungkin selepas ini, A6 atau buku poket.
Saya tahu ini angan-angan yang percuma. Tapi, angan-angan tidak percuma. Dalam setiap angan, ada harga mahal yang harus dilepaskan. Tidak mengapa, itu tidak penting. Yang penting ialah sejauh mana kita mampu mencapai sesuatu pada masa hadapan.
Banyak pencapaian yang telah disebut di sini dan saya tidak akan ulangi lagi. Marilah bersama saya menyongsong arah IPS ke hadapan dan marilah kita bersama-sama berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa dan negara membawa bahasa dan sastera kebangsaan Malaysia dan etnik tempatan Sabah ke satu arah yang lebih tinggi dan boleh dibanggakan semua berbanding sebelumnya.
Ikatan setelah 35 Tahun
Tahun ini, kita mesti jadikan IPS bererti. Tahun ke-35 bukan lagi tahun kebudak-budakan. Yang memimpin di sini mungkin seorang budak masih bagi sesetengah orang. Perkara itu saya akui dan saya meminta maaf atas kelemahan dan kekurangan sebagai budak itu.
Tapi, marilah kita berterima kasih kepada ahli dan sukarelawan yang telah bersama IPS setahun yang lalu sehingga kita mencapai satu aras yang sangat tinggi dan lebih tinggi berbanding dahulu. Merekalah 16 orang sukarelawan IPS. Rata-rata mereka pelajar Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) yang sanggup ikut saya buat program di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Sebahagian mereka sudah berakhir status sukarelawan IPS pada hari ini.
Jangan lupa kita berterima kasih pada Universiti Teknologi MARA Kampus Kota Kinabalu, iaitu kawan-kawan Faizhaziq seramai 40 lebih orang itu. Tiga kali tunda (Forum Sastera, Seni dan Sarjana Sabah 2024) sebelum akhirnya program itu mejadi walaupun hanya di peringkat tempatan. Tetapi, akhirnya, sebahagian daripada mereka dapat merasai pengantarabangsaan dengan kita.
Ada sesiapa bermimpi pada hari itu, Acara Kemuncak, Hadiah Puisi K. Bali diliput oleh Pemerintah Indonesia, dalam Kantor Berita ANTARA? Tidak ada, bukan? Kalau hantar berita ini kepada BERNAMA, belum tentu berita itu diterbitkan olehnya kerana biasanya, pada pandangan mereka, berita ini tiada kepentingan. Tetapi, kerana kita menghantar berita ke negara lain lalu diterbitkan, kita lebih dihargai oleh negara lain.
Namun, perkara itu bukan bermakna negara kita tidak menghargai. Hanya sahaja kita merasa lebih bermakna kerana hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia itu tetap bersemarak dengan Acara Kemuncak, Hadiah Puisi K. Bali menjadi salah satu penyumbangnya—itu yang lebih penting.
Maka, sempena ulangtahun IPS ke-35 pada 24 Mac yang akan datang, pertama, marilah kita berbuka puasa sahaja seperti biasa di sini kerana masih di bulan Ramadan. Kedua, izinkanlah IPS untuk melancarkan sambutan ulang tahunnya hujung bulan depan sebelum Ramadan. Perkara mengenainya akan saya perincikan kemudian. ILPKK telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama menjayakannya.
Ketiga dan yang paling penting, saya mohon doa restu semua untuk saya letakkan tema kepada ulang tahun IPS ke-35 di samping logonya mungkin sebilangan sudah nampak, tapi nanti kita sahkan dan rasmikan saja. Tema ulang tahun IPS yang ke-35 ialah “Ikatan Perulis Sabah: Sebuah Kisah Cinta kepada Tanah Pusaka”.
Merayakan Sabah dan Malaysia sebagai Ikatan
Tadi kita sudah nyanyi lagu “Muhibah”. Sengaja saya bawa lagu “Muhibah” bukanlah untuk mengatakan hanya IPS yang mencintai, tapi kita mengajak semua untuk menghidupkan masyarakat dengan rasa cinta, dengan rasa hormat dan ihsan menurut dasar (atau gagasan) Malaysia Madani.
Oleh sebab itu, mulai tahun ini, di samping menyanyikan Lagu Dewan Bahasa dalam majlis rasmi IPS, kita akan nyanyikan juga lagu-lagu patriotik sambil mengibar bendera. Sebabnya, merayakan Malaysia atau Sabah bukannya pada Ogos atau September saja, tetapi sepanjang tahun. Kita hidup di tanah air Sabah dan Malaysia ini setiap hari dan setiap saat. Kenapa kita merayakan hanya pada bulan Ogos dan September, sedangkan setiap hari kita tidak kita tidak merayakannya? Maka, marilah kita menjadi orang yang merayakannya pada setiap hari dengan rasa syukur dan bangga sebagai diri kita dan sebagai penulis Sabah.
Pada masa yang sama, mari kita jayakan tahun ke-35 ini dengan cara kita sendiri, termasuk melaksanakan usul yang akan dibentangkan dan disetujukan menjadi resolusi sebentar lagi. Yang paling penting, saya doakan semoga semuanya sihat walafiat, tetap bersemangat untuk sekurang-kurangnya bertanya khabar kepada sesama penulis Sabah baik yang jadi ahli IPS mahupun sebaliknya dan yang sentiasa menyantuni penulis Sabah, baik dalam bentuk karya, kegiatan mahupun wang ringgit.
Saya tidak kisah, saya berbelanja lebih. Saya tahu, saya salah sebab pulangan pelaburan (ROI) IPS negatif pada tahun 2024. Kalau dalam swasta, kalau ROI negatif, saya mungkin kena ganti balik duit itu. Tapi dalam pertubuhan bukan kerajaan, itu tidak wajib kerana kita ada sebab.
Berbanggalah dengan IPS kerana nilai sosial dan nilai politik kita semakin hari, semakin memberangsangkan. Nilai-nilai itu kita akan masyarakatkan kepada kepada rakan-rakan di Kerajaan mahupun pihak-pihak berkepentingan yang lain.
Saya target tahun ini, ROI naik setengah. Macam terlalu besar sasaran menaikkan ROI setengah daripada yang ada sekarang, tetapi itulah sasaran saya pada tahun ini. Saya tidak mahu letakkan angka yang tertentu kerana nanti tidak tercapai.
Saya dan rakan-rakan yang memimpin dan mengurus IPS telah buktikan bahawa, pertama, setiap sen yang masuk, telah dikeluarkan juga setiap sen, malah ditambah lagi. Kedua, setiap sen yang keluar daripada IPS, keuntungan sosialnya lebih dua kali ganda. Dalam erti kata yang lain, jika sebuah buku terbitan IPS dijual dengan harga RM 10, maka nilai sosial yang seorang pembeli boleh peroleh ialah lebih RM 20.
Kalau buku itu dijual pada nilai politik, kita jual mahal lagi kerana nilai politik memang sentiasa tinggi sehingga ROI politik kita memang agak tinggi berbanding berbanding ROI sosial. Mari kita kekalkan prestasi itu.
Yakinlah kepada IPS yang semakin hari, semakin berprestasi, semakin dipandang—kalau tidak semakin tinggi, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi—dan yang penting, semakin membanggakan kita semua. Semua itiu tidak berlaku sendiri. Yang paling penting ialah semua itu berlaku dengan doa dan restu rakan-rakan semua.
Kedudukan Belia menurut Akta A1602
Tahun hadapan (2026), pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 yang diluluskan di Parlimen pada tahun 2019 (Akta A1602) akan berkuat kuasa. Salah satu isi pindaan akta tersebut ialah penurunan siling usia belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.
Ada yang bertanya saya, macam mana Ketua Satu IPS menjadi Ahli Jawatankuasa, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Negeri Sabah? Saya tidak memintanya. Saya diambil oleh yang dipertua dan setiausahanya untuk menjalani amanah itu sekadarnya.
Tetapi, harus saya beritahu kepada semua bahawa tahun ini (2025) merupakan tahun terakhir saya di ABIM Negeri Sabah. Atas sebab Akta A1602, saya tidak boleh menyambung keahlian dengan ABIM pada dan selepas tahun 2026. Berita ini berita gembira untuk IPS kerana ketika usia saya masih 31 tahun pada Mesyuarat Agung IPS 2026 nanti, saya tidak melanggan dengan ABIM lagi dan saya akan melanggan dengan satu-satunya IPS.
Salam Ikatan Penulis Sabah: Wasatiyyah, Istiqamah dan Berimpak Tinggi.
Mesyuarat Agung Tahunan Ikatan Penulis Sabah 2025.
Sabtu, 11 Januari 2025, pukul 12.45 tengah hari.
Dewan an-Nur, Rumah Ngaji Baitul Muqaddam, Dangau Sastera
Kampung Gudon, Manggatal, Kota Kinabalu.
Comments
Post a Comment