Ucapan Alu-aluan Acara Kemuncak, Hadiah Puisi K. Bali 2023/2024


"Nanti, kita akan tahu bahawa prinsip istiqamah dan wasatiyyah memandu kita ke arah impak yang tinggi sehingga kita termotivasi untuk terus berkarya demi keluhuran dan kepentingan bangsa dan negara."

441 hari yang lalu di Kampung Seri Aman, Kota Marudu, saya mengumumkan permulaan pertandingan Hadiah Puisi K. Bali di hadapan lebih kurang 200 orang pelaksana dan peserta program “Puisi Adalah…: Apresiasi Hari Malaysia bersama Komuniti”. Saya berharap Yang Berhormat Datuk Julita Majungki, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah untuk menyaksikan sendiri peristiwa itu. Namun, Encik Epson Kawahui, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Matunggong yang sebaliknya hadir mewakili beliau.

Ketika Hadiah Puisi K. Bali menutup peti masuknya, sudah ada 42 orang penulis dari dalam dan luar Malaysia yang berjaya mengirimkan 44 buah manuskrip kumpulan puisi untuk dinilai dan diberi pengiktirafan yang sewajarnya. Setelah tiga kali tapisan, ternyata hanya enam orang penulis yang berhasil mara ke peringkat akhir bersama manuskrip mereka masing-masing.

Saya bersyukur kerana dapat menyaksikan sendiri kegembiraan mereka yang berganda. Pertama, kerana keenam-enam manuskrip tersebut telah rasmi diterbitkan oleh Perpustakaan Negara, yang tinggal hanya pelancarannya sahaja. Kedua, kerana keenam-enam finalis yang dimaksudkan datang dari jauh dan dekat untuk bersama kita di sini. Selamat datang saya ucapkan.

Ketiga dan yang lebih penting, kerana yang ikut merayakan kejayaan mereka tidak lain dan tidak bukan adalah Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah di samping tuan-tuan dan puan-puan yang budiman.

Detak hati menyusun kata,
Hikmah nadir jadi azimat;
Girang hati tidak terkata,
Sambut hadir tamu terhormat.

Selamat hari raya. Saya tahu hari ini bukan Aidilfitri atau Aidiladha kerana kita belum berada pada musimnya. Tetapi, masih saya ucapkan selamat hari raya kerana dengan kehadiran Yang Berhormat Menteri di tengah-tengah kita, Acara Kemuncak, Hadiah Puisi K. Bali menjadi amat bermakna seperti kita menyambut hari raya. Alhamdulillah.

Bagi pihak IPS dan rakan-rakan kerjasama, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri atas kesudian beliau dan pasukan menyertai kita di sini pada hari ini di sebalik agenda membangun rakyat dan negeri yang bersambung hari demi hari... dan kalau saya boleh sebut di sini, terima kasih kepada sahabat saya, Encik Abdul Wahid bin Abdul Razak, Setiausaha Politik yang telah berhasil membawa beliau ke sini pada hari ini. 

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri atas Sumbangsih Bahasa dan Sastera Sabah berupa seratus keping wang ringgit berwarna ungu yang telah IPS terima daripada Bendahari Negeri, tiga hari yang lalu. Pelaksanaan acara kemuncak ini merupakan hasil daripada sumbangsih yang diilhamkan oleh Yang Berhormat Menteri tidak lama dahulu.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

Kalaulah bukan kerana tinta,
Tidaklah hamba tulis begini;
Kalaulah bukan kerana cinta,
Tidaklah hamba ada di sini.

Hadiah Puisi K. Bali tidaklah dicita-citakan oleh sosok itu sendiri, tetapi sosok Sasterawan Negeri Sabah Hasyuda Abadi yang inginkan jasa dan sumbangan Allahyarham K. Bali kepada bangsa dan negara di lapangan bahasa dan sastera kebangsaan diingati dan dihargai. Saya dan sahabat-sahabat dari dalam dan luar IPS hanya bertugas untuk menjadikannya suatu kenyataan.

Kami berharap agar kami telah menyediakan yang terbaik kepada semua mengikut kadar kemampuan yang ada pada kami. Hakikatnya, kita bukanlah siapa-siapa ketika kita tidak mampu melakukan apa-apa.

Tidak mengapa pada proses yang panjang sesungguhnya. Para peserta, juri dan penyelenggara melalui panjangnya proses itu bersama. Sehingga nanti, kita akan tahu bahawa prinsip istiqamah dan wasatiyyah memandu kita ke arah impak yang tinggi sehingga kita termotivasi untuk terus berkarya demi keluhuran dan kepentingan bangsa dan negara.

Prinsip istiqamah dan wasatiyyah itulah yang membawa kita sampai ke tahap ini pada hari ini. Prinsip istiqamah dan wasatiyyah itulah yang membolehkan IPS mencapai segalanya yang diimpikan dan yang tidak pernah diimpikan pun pada saat ini.

Lebih besar daripada itu, prinsip istiqamah dan wasatiyyah itulah yang menjadi sebab kepada lahirnya para penulis dan pemimpin bahasa dan kesusasteraan yang berwibawa dan berjasa kepada bangsa dan negara, yang namanya tidak dapat saya sebutkan satu persatu di sini. Saya dan para penerus yang lain hanya meneladani mereka sebolehnya.

Mari kita lanjutkan amalan mengangkat bahasa dan sastera Melayu dan etnik tempatan di Sabah ke tahap yang membanggakan kita. Kita mesti duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain yang ada di dunia. Adanya Acara Kemuncak, Hadiah Puisi K. Bali di sini pada hari ini, itulah sebabnya dan mudah-mudahan itulah tradisinya kalau tidak setiap tahun, setiap dua atau tiga tahun yang akan datang berkat dukungan dan sokongan Yang Berhormat Menteri, Insya-Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya banggakan,

Menutup kalam, tahniah dan terima kasih saya hanyalah untuk tuan-tuan dan puan-puan semua. Tiada yang patut dikecualikan daripada menerimanya. Sebabnya, kita semua telah melakukan yang terbaik untuk diri kita meskipun sesekali ada saja yang tidak sempurna.

Dalam hal ini, saya dan rakan-rakan mohon maaf setulusnya jika ada kurang dan lemah di mana-mana sepanjang majlis ini berlangsung maupun sepanjang peraduan ini berlangsung di mana saja tuan-tuan dan puan-puan berada.

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.

Kepada semua finalis mahupun yang akan diumumkan sebagai pemenang hadiah utama, semoga menjadi teladan kepada para penuls lain agar generasi penerus terus bersemangat berkarya untuk bangsa dan negara.

Sabtu, 30 November 2024, pukul 11.30 pagi.
Dewan Amil Jaya, Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah,
Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Gambar ihsan Sabah Media.

Comments