Ucapan, Forum Sastera, Seni dan Sarjana Sabah 2024
"Saya memimpin IPS hanya untuk meneruskan perjuangan orang-orang yang terdahulu... dan saya harap amanah itu tertunai walaupun ada lagi yang akan kita tunaikan bersama pada masa yang akan datang."
Pusaka lama warisan ratu;
Hati berdebar tidak terkata,
Setelah lama, sampailah waktu.
Tikar dibentang, jamuan dihidang,
Di Kuala Pilah teratak dara;
Selamat datang buat yang bertandang,
Kuucap Bismillah buka bicara.
Saya tidak dapat menggambarkan kata-kata yang bersesuaian untuk memulakan ucapan pada malam ini kerana apa yang saya tahu, kita akan menyaksikan suatu forum yang mungkin menjadi refleksi daripada apa-apa yang senior saya, Rektor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, telah katakan kepada kami dalam Mesyuarat Agung Ikatan Penulis Sabah (IPS), sepuluh bulan yang lalu. Kita akan ungkai kembali perkara tersebut pada Mesyuarat Agung IPS yang seterusnya walaupun mungkin dengan tema yang berbeza.
Tetapi, sebelum itu, izinkanlah kami atas nama IPS dan Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RuPHA) yang menjadi penganjur bersama pada malam ini untuk mengucapkan terima kasih kepada UiTM Cawangan Sabah, baik Rektor; Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar); Penasihat, Kelab Debat dan Pidato (KDP); mahupun rakan-rakan KDP kerana telah menjadikan hasrat kami pada 22 Februari 2024 yang lalu menjadi kenyataan pada malam ini. Alhamdulillah,
Saya dengan Muhammad Faizhaziq telah membuat keputusan yang tepat untuk menghantar tiga keping surat niat, semuanya kepada pihak-pihak yang berada dalam Sepanggar... dan malam ini, perkenankanlah saya untuk menyampaikan bahawa program yang diadakan pada malam ini bergerak seiring dengan inisiatif "Melukis Senja" yang telah diperkenalkan pada 13 Jun 2024 yang lalu di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, di sebelah kita.
Siri yang kedua telah kami sukseskan di Sekolah Indonesia Kota Kinabalu dengan bantuan sahabat saya, Bapak Dr. Panji Pratama. Program ini merupakan sirinya yang ketiga... dan kami tidak kisah untuk menunggu enam atau tujuh bulan. Yang penting, Alhamdulillah, forum ini kita jayakan pada malam ini.
Sebentar lagi, kita akan menikmati kupasan-kupasan daripada para pembicara forum. Cuma, izinkan saya mengambil kesempatan untuk memberi penghargaan yang sebaiknya kepada Pengerusi dan para Ahli Jawatankuasa Pelaksana Program yang sebenarnya telah bertungkus-lumus sejak bulan Februari yang lalu dan sehingga pada malam ini, mereka telah berjuang sebaik mungkin untuk memastikan program ini bukan sahaja berjalan, tetapi juga misi bahasa, sastera dan budaya di Sabah tetap mekar di UiTM Cawangan Sabah... kerana itu memang perjuangan IPS sejak tahun 1990.
Saya memimpin IPS hanya untuk meneruskan perjuangan orang-orang yang terdahulu, termasuk yang tidak lagi bersama dengan kita pada malam ini... dan saya harap amanah itu tertunai walaupun ada lagi yang akan kita tunaikan bersama pada masa yang akan datang. Serentak dengan itu, saya berharap, selepas Forum ini berlangsung, makin ramailah saudara dan saudari mahasiswa yang bukan sahaja mampu berkarya dalam akademik, kokurikulum mahupun kepimpinan, tetapi yang paling penting mampu menulis sesuatu yang berada dalam minda saudara-saudari sekalian.
Sebenarnya, saya, Rektor dan Muhammad Faizhaziq sudah berpakat seawal bulan Mei yang lalu untuk membukukan karya saudara-saudari yang berhasrat untuk menulis. Nanti, kami akan perincikan lagi pada masa hadapan. Kita tidak kelam-kabut dalam hal ini. Tahun depan, Insya-Allah akan ada lagi penerbitan. Akan ada lagi sokongan daripada pihak yang akan datang.
Forum ini hanyalah sebahagian daripada sokongan yang IPS dan RuPHA. Saya tahu, saudara-saudari KDP ada lagi meminta sesuatu. Nanti, kita bincang di belakang. Jangan risau kerana IPS tetap dengan prinsipnya, "Istiqamah, Wasatiyyah dan Impak Tinggi".
Selepas Forum ini, kami akan sukseskan pula Hadiah Puisi K. Bali. Salah seorang finalisnya turut berada di sini pada malam ini. Jadi, sama-sama kita nantikan karya siapakah yang akan diangkat dan dimartabatkan untuk menerima hadiah utama senilai RM 1,500. Yang paling penting dalam hal ini ialah karya yang akan dimasyhurkan sebagai pemenang hadiah utama pada 30 November 2024 nanti menjadi biasan kepada perjuangan Allahyarham K. Bali sebagai salah seorang penulis yang pernah ada di Sabah ini.
Menutup bicara, izinkan saya sekali lagi menyatakan rasa syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada UiTM Cawangan Sabah, teman-teman, saudara dan saudari yang telah mengorbankan hujung minggu hanya untuk datang ke Forum Sastera, Seni dan Sarjana Sabah 2024. Mudah-mudahan Forum ini memberi manfaat kepada kita semua.
Sabtu, 9 November 2024, pukul 7.30 malam.
Dewan Tun Mustapha, Bangunan Ujana Sarjana,
Universiti Teknologi MARA Kampus Kota Kinabalu, Sabah.
Comments
Post a Comment