Sepatah Dua Kata sempena Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2024


Dunia kita selalu mengingatkan kita akan dua perkara. Pertama, untuk menjadi penyelesai masalah, bukan menjadi pembuat atau penambah masalah. Kedua dan yang tidak kurang pentingnya, untuk menjadi pemudah cara kepada penyelesaian masalah, bukan untuk menjadi penyusah atau penghalang kepada penyelesaian masalah.

Ketika tanah air kita jatuh ke tangan penjajah dan dibelenggu penjajahan suatu masa dahulu, kita telah menyaksikan kebangkitan ramai pemimpin dan pahlawan yang sanggup menggadaikan harta dan nyawa demi meraih kemerdekaan dan kedaulatan untuk tanah air itu dan masyarakatnya.

Ketika kita sedang menikmati kedua-duanya, masih sahaja ada dalam kalangan kita yang tetap turun tangan, melunasi janji kemerdekaan yang belum dilunaskan dan mendirikan impian bangsa dan negara yang sentiasa memiliki harapan. Biarlah cara masing-masing membezakan, asalkan tetap sampai ke arah hanya satu tujuan berbangsa dan bernegara, iaitu untuk mendapat reda dan kasih sayang Tuhan yang Maha Kuasa.

Oleh itu, tidak ada sumbangan kepada bangsa dan negara yang patut diremehkan, apa pun bidangnya, siapa pun sasarannya dan macam mana pun besarnya atau kecilnya. Setiap sumbangan kepada bangsa dan negara amat bererti sesungguhnya.

Hakikatnya, tidak semua kita mampu meredah hutan belantara, melawan ombak samudera dan meluncur di angkasa raya, menghunus senjata, melawan musuh yang tersembunyi dan nyata. Anggota berpakaian seragam mampu, tetapi tidak bagi yang bukan siapa-siapa seperti saya.

Kita hanya mampu belajar untuk memenuhkan ilmu dan hikmah di dada. Kita hanya mampu bekerja untuk mendapatkan rezeki yang memberi bahagia. Kita hanya mampu membaca agar berterusan kearifan bangsa. Kita hanya mampu menulis agar tidak hilang ditelan zaman jatuh dan bangun tanah air kita.

Asasnya, kita hanya mampu melakukan sesuatu sekadar kebolehan dan kemampuan kita. Sekadar itulah yang masing-masing mampu lakukan sebagai menuruti jalan para pemimpin dan pahlawan bangsa dan negara, walaupun sesekali kita harus kehilangan sesuatu mahupun meninggalkan segalanya.

Sama ada kita sedang berduka atau bergembira, terima kasih ini selayaknya untuk kita semua. Semoga Tuhan yang Maha Pengasih membalasnya.

Selamat Hari Sabah buat tanah air kita yang bermaruah.
Selamat Hari Kebangsaan buat tanah air yang kita banggakan.

Comments