Ikatan Penulis Sabah, dari Singgah Mata ke Putera Jaya, dan dari RuPHA ke Singgahsana
Perjalanan Ikatan Penulis Sabah (IPS) dari Singgah Mata ke Putera Jaya, dan dari Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RuPHA) ke Singgahsana sebetulnya dekat sahaja dan tidak memerlukan waktu yang lama untuk menempuhi perjalanannya walaupun Kota Kinabalu semakin hari, semakin sesak trafiknya dan semakin mencabar keadaan jerayanya. Cuba buka Peta Google, jarak di antara empat titik tersebut ialah 45.6 kilometer dan hanya melalui daerah Kota Kinabalu sahaja.
Tetapi, perjalanan tersebut menjadi amat bersejarah dan amat bermakna buat warga dan sahabatnya, 34 tahun setelah IPS berdiri sebagai ikatan kepada penulis-penulis yang terdapat di Sabah mahupun yang berasal dari Sabah. Kunjungan hormat saya dan sahabat-sahabat IPS, yakni Sasterawan Negeri Sabah Hasyuda Abadi, Sahara Jais, Ony Latifah Osman, Haji Gazali Haji Suhaili dan setiausaha saya, Muhammad Muizzuddin Ramlan ke hadapan majlis Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah pada pagi Khamis, 11 Julai 2024 merupakan penghormatan dan penghargaan tertinggi beliau sebagai payung negeri kepada IPS, warganya dan sahabatnya.
34 tahun yang lalu, mungkin sahaja ada yang berfikir dan berharap agar IPS mendapat penghormatan sebegitu rupa. Alhamdulillah, dengan limpah kurnia dan izin-Nya, IPS meraih penghormatan diraja daripada Yang di-Pertua Negeri Sabah dengan limpah perkenan beliau menerima mengadap wakil-wakil IPS pada hari itu.
Walaupun yang datang mengadap ke hadapan majlis Yang di-Pertua Negeri Sabah hanyalah enam orang, tetapi semoganya itu mewakili 125 orang ahli, 21 orang sukarelawan, ratusan dan ribuan lagi sahabat dan pelanggan yang telah dan masih bersama IPS dulu, kini dan nanti. Kami berenam gembira bahawa TYT Tun sukacita menyambut IPS, warganya, inisiatifnya dan puisi sebagai salah satu bidang keberhasilannya.
Telah diterbitkan dalam Majalah Komposisi, Edisi 3/2024.
Comments
Post a Comment