Berkorban untuk Bahagia
"Tiada siapa yang menafikan, pengorbanan itu tidak pernah mudah... Tetapi, sedarlah, pengorbanan yang dilakukan pada masa lalu menjadikan kejayaan dan kebahagiaan itu mudah pada masa hadapan."
Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia: Selamat Hari Raya Aidiladha.
Atas nama bangsa dan negara, terkhusus Masjid ini dan organisasi lain yang saya wakili, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari sekalian sempena Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik yang berikutnya. Mari kita sambut hari ini dengan mempersembahkan sebanyak-banyak pujian dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa, yang telah memberikan kita kesempatan yang amat berharga untuk mengharungi hari ini dan tiga hari yang akan datang dengan rasa sukacita.
Mari kita iringi pujian dan kesyukuran tersebut dengan keimanan dan ketakwaan. Dalam erti kata yang lain, mari kita wujudkan dan kekalkan dalam diri kita jiwa yang merasa takut kepada Allah, jiwa yang beramal dengan firman-Nya dan sabda kekasih-Nya SAW, jiwa yang bersederhana dengan sesuatu yang tidaklah sebanyak mana, dan jiwa yang bersedia untuk mengharungi hari kita kembali kepada-Nya. Mudah-mudahan keimanan dan ketakwaan yang kita miliki dalam kehidupan ini membolehkan kita mencapai kejayaan yang hakiki dan berterusan di dunia ini dan akhirat nanti, Insya-Allah.
Sidang hadirin yang dirahmati Allah,
1 Syawal yang lalu, kita merayakan Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda berakhir dan berhasilnya kita berpuasa di sepanjang bulan Ramadan. Hari ini, 10 Zulhijjah, kita merayakan Hari Raya Aidiladha sebagai kemuncak kepada tekad kita untuk tetap dekat kepada Allah SWT, tidak akan menjauhi-Nya dan tidak akan pernah berpaling daripada-Nya walau apa pun yang berlaku, mengikut ajaran Rasulullah SAW.
Biasanya, kita, umat Islam, melaungkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih mulai terbenam matahari pada malam hari raya sehingga didirikan solat sunat hari raya pada awal siang hari yang berikutnya sebagai tanda menyambut hari raya. Amalan itu disebut sebagai Takbir Mursal atau Takbir Mutlak.
Menariknya, Hari Raya Aidiladha tidak diiringi dengan Takbir Mursal sahaja, tetapi turut diiringi Takbir Muqayyad yang hanya ada pada Hari Raya Aidiladha menurut pandangan jumhur ulama untuk melambangkan besarnya Hari Raya Aidiladha di sisi Islam berbanding Hari Raya Aidilfitri. Perkara ini dibuktikan apabila kita digalakkan melaungkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih selepas setiap solat fardu antara Subuh 9 Zulhijjah dan Asar 13 Zulhijjah.
Lebih daripada itu, terdapat pandangan ulama terdahulu seperti al-Qurtubi, ketika menafsir surah al-Baqarah, ayat 203 dan surah al-Hajj, ayat 28, menggalakkan Takbir Mursal dilaungkan seawal masuknya bulan Zulhijjah sehingga Hari Tasyrik yang ketiga, menjadikan tempoh melaungkan takbir sempena Hari Raya Aidiladha boleh dipanjangkan daripada empat hari seperti kebiasaan kita, masyarakat Malaysia, kepada 13 hari.
Takbir Mursal dan Muqayyad yang kita laungkan merupakan sampingan kepada solat sunat Aidiladha yang diadakan di masjid, surau, tanah lapang atau kediaman masing-masing pada awal pagi 10 Zulhijjah. (Alhamdulillah, kita telah selesaikannya sebentar tadi.)
Bagi yang berkemampuan, sebahagian daripada empat hari perayaan dimanfaatkan untuk melaksanakan ibadah korban sesuai dengan firman Allah dalam Surah al-Kauthar, ayat 1 hingga 3 seperti yang telah dibacakan pada awal ucapan ini.
“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah binatang korbanmu (sebagai tanda bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya).”
Semua ini bertitik tolak daripada suatu peristiwa yang benar-benar menggambarkan pengorbanan sebagai cinta yang mewujudkan rasa bahagia. Itulah kisah seorang ayah dengan anaknya, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS. Ketika si ayah diperintahkan oleh Allah untuk mengorbankan si anak, kedua-dua mereka menerimanya dengan hati yang redha sebelum kemudiannya si anak digantikan dengan seekor kibas.
Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang telah menggalakkan ibadah korban di bulan Zulhijjah. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan korban sebagai bentuk cinta yang membawa kepada kebahagiaan. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS sebagai asas kepada pensyariatan ibadah korban. Walillahilhamd! Segala puji bagi Allah yang memampukan hamba-hamba-Nya yang terpilih melaksanakan ibadah korban.
Sidang hadirin yang dikasihi Allah,
Penyembelihan binatang korban disyariatkan oleh Allah SWT dan dianjurkan oleh Rasul-Nya SAW untuk dilaksanakan oleh umat Islam pada setiap tahun. Oleh sebab itu, ibadah tersebut membawa ganjaran yang sangat besar kepada yang melaksanakannya. Mengapa tidak jika penyembelihan binatang korban dapat menjadi salah satu cara seorang Muslim meninggikan darjat keimanan dan ketakwaan di sisi Allah SWT? Firman-Nya dalam Surah al-Haj, ayat 37:
“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketakwaan daripada kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya, dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang ihsan (yang berusaha supaya sentiasa baik amalannya).”
Namun begitu, Hari Raya Aidiladha tidaklah diciptakan untuk sekadar memperingati peristiwa dan sejarah penting pengorbanan, apatah lagi hanya untuk meneruskan ibadah korban yang disyariatkan oleh Allah untuk diadakan secara tahunan. Hari Raya Aidiladha merupakan kesempatan yang berharga untuk memperbaiki dan menguatkan hubungan kekeluargaan, kekerabatan, persahabatan dan persaudaraan sesama insan.
Selain ibadah korban, kita digalakkan bertukar-tukar ucapan tahniah dan selamat sempena empat hari perayaan, kunjung-mengunjung sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan, memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin, yatim piatu, orang kelainan upaya dan golongan-golongan yang memerlukan pembelaan, dan bertukar-tukar pemberian sebagai tanda kasih sayang dan ingatan. Sebabnya, di samping melaksanakan ibadah korban, Hari Raya Aidiladha diciptakan untuk membolehkan kita bersyukur dan bergembira dengan segala nikmat yang Allah kurniakan kesan daripada terlaksananya ibadah korban.
Sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Walaupun begitu, tidak semua kita meraikan Hari Raya Aidiladha pada hari ini. Pertama, kerana pada ketika ini, 1,833,164 orang jemaah haji dari seluruh dunia sedang melengkapkan manasik haji. Kita doakan agar mereka selamat menyelesaikan ibadah haji dan kembali ke tanah air masing-masing dengan haji yang mabrur.
Kedua, kerana ada dalam kalangan kita yang telah kembali ke pangkuan Penciptanya tanpa sempat mereka merasakan keindahan hari ini. Termasuk dalam kumpulan ini adalah mereka yang terkorban dalam perjuangan di jalan Allah, membela nasib keluarga dan masyarakat, mempertahankan bangsa dan negara serta mendaulatkan syiar agama. Kita doakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan menempatkan mereka di Syurga bersama-sama orang-orang yang dikasihi-Nya.
Ketiga, kerana sebahagian daripada kita sedang bertugas di tempat masing-masing pada hari ini. Merekalah pegawai dan anggota tentera, polis, bomba, pertahanan awam dan pasukan berpakaian seragam yang lain yang memelihara dan mempertahankan kita semua di lautan, di daratan dan di langit tinggi. Merekalah petugas kesihatan yang bersiap sedia menjaga dan merawat para pesakit di hospital dan klinik kesihatan. Merekalah kapten, nakhoda, pemandu dan penunggang motosikal yang setia mengangkut penumpang dan barangan ke tempat yang diinginkan.
Tidak dilupakan, para pekerja di pelbagai sektor pekerjaan yang meneruskan pekerjaan masing-masing bagi menjaga kelangsungan masyarakat dan organisasi. Kita ucapkan terima kasih kepada mereka. Semoga pekerjaan mereka semua dipermudah walaupun cuti umum yang sepatutnya mereka nikmati pada hari ini, harus mereka lepaskan.
Sidang hadirin yang dimuliakan,
Keempat, kerana sebahagian umat Islam di seluruh dunia sedang berada dalam konflik yang tidak berkesudahan. Lihatlah pada Palestin yang menyaksikan penjajahan serta seluruh rangkaian aktivitinya oleh rejim Zionis Israel, yakni golongan manusia yang tidak berperwatakan manusia sudah 76 tahun lamanya, malah berterusan sehingga entah bila. Tidak terkira di jari-jemari kita nyawa yang sepatutnya menikmati hak untuk hidup dengan makmur dan sentosa tetapi telah dibunuh begitu sahaja, bangunan yang sepatutnya menjadi tempat berlindung dan mencari rezeki tetapi telah diruntuhkan begitu sahaja dan tumbuhan yang sepatutnya boleh dimakan dan dimanfaatkan oleh manusia dan haiwan tetapi telah dimusnahkan begitu sahaja.
Kita sedar, Malaysia dan Palestin amat jauh jaraknya. Tetapi, tidak bermakna kita membiarkan nasib Palestin, rakyat dan penduduknya begitu sahaja. Mutakhir ini, ramai orang kita yang rajin menyebarkan kesedaran tentang Palestin di media sosial seperti X (atau Twitter), Instagram dan TikTok. Ramai juga orang kita yang memilih untuk tidak membeli – yakni memboikot – barangan atau perkhidmatan yang pernah atau biasa mereka beli di tanah air ini, yang secara sah, meyakinkan dan secara langsung, menggandakan kekejaman rejim penjajah dan mempromosikan alternatif kepada barangan dan perkhidmatan yang dimaksudkan pada masa yang sama.
Tidak kurang juga ramainya orang kita yang masih menyumbang kepada rakyat dan penduduk Palestin melalui badan-badan masyarakat madani yang diakui oleh Kerajaan dan majoriti rakyat Malaysia sebagai sahabat yang jujur, ikhlas dan beramanah menyampaikan sumbangan tersebut kepada Palestin. Paling kurang, kita menyumbang doa agar suatu hari nanti, Palestin mencapai keamanan dan kemakmuran yang hakiki dari sungai hingga segara.
Semua itu kita lakukan untuk menandakan keprihatinan kita terhadap saudara-saudara kita yang berkongsi akidah yang sama dengan kita walaupun jauh sekali jarak mereka dengan kita. Saidina Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak dikira beriman seseorang dalam kalangan kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sama seperti dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sidang hadirin yang berbahagia,
Di sebalik keprihatinan kita terhadap orang-orang yang berada nun di sana, janganlah pula kita lupakan orang-orang sekeliling yang masih bersama kita di sini. Kita tidak tahu apakah yang mereka sedang jalani pada ketika ini sehingga untuk meminta pertolongan orang lain, mereka rasa segan sekali.
Boleh jadi mereka terputus jalan ke tempat mencari rezeki sehingga tidak mampu untuk meneruskan kehidupan yang mencukupi sehari-hari. Boleh jadi juga mereka ditinggalkan oleh orang yang menjaga dan mengasihi mereka selama ini. Boleh jadi juga mereka kehilangan diri mereka sendiri kerana terkesan dengan episod kehidupan yang tidak pernah mereka ingini sebelum-sebelum ini.
Ketika kita memandang dunia ini penuh dengan warna-warni, mereka memandang dunia ini penuh dengan kelabu, hitam dan putih. Ketika kita mempunyai hampir segala-galanya untuk dimiliki, mereka pula hampir tidak memiliki apa-apa, hatta diri sendiri.
Mereka itulah yang benar-benar memerlukan pertolongan daripada kita, masyarakat yang mengelilinginya. Ketika tidak semua kita mampu menyumbang wang ringgit, barangan keperluan atau khidmat masyarakat kepada mereka, kita sebetulnya mampu tampil ke hadapan, berada di sisi mereka, mendengar segala isi hati mereka dan memberikan sokongan moral yang bersesuaian kepada mereka.
Ketika kita menghadapi ujian, kita sangat memerlukan berita gembira yang membangkitkan semangat mereka untuk meneruskan kehidupan. Begitulah keadaannya dengan mereka. Maka, sampaikanlah berita gembira kepada mereka kerana perbuatan itu tetap dikira sebagai pengorbanan.
Khabarkanlah mereka bahawa Allah SWT sentiasa ada untuk mereka. Allah SWT tidak pernah sesaat pun meninggalkan mereka. Tidak ada hari yang Allah SWT ciptakan untuk mereka kesedihan dan kesengsaraan yang berpanjangan melainkan setelahnya, Allah SWT ciptakan pula dengan kegembiraan dan kebahagiaan yang berterusan dengan cara mendatangkan pengganti yang lebih berharga dan bermakna buat kita berbanding sebelumnya; cukuplah sebagai pengajaran kepada kita agar tidak sekali-kali lupa untuk bahagia di setiap tempat dan pada setiap ketika, walaupun hanya sedikit yang diterima dan perlu bersederhana. Firman Allah SWT dalam surah asy-Syarh, ayat 5 dan 6:
“(Tetapkanlah kepercayaanmu, wahai Muhammad) bahawa setiap kesukaran akan disertai dengan kemudahan; (kerana memang) sesungguhnya setiap kesukaran akan disertai dengan kemudahan.”
Sesungguhnya kita dididik untuk berkorban. Jangankan untuk orang lain, untuk diri sendiri juga kita dididik untuk berkorban. Sebabnya, kehidupan sentiasa mengenai pengorbanan. Kehidupan juga sentiasa menuntut pengorbanan. Ketika kita merasakan pengorbanan hanyalah suatu galakan, kita akan sampai ke suatu tahap dalam kehidupan yang menghendaki pengorbanan menjadi suatu kewajipan.
Mari kita baca dan hayati kembali sejarah agama dan tanah air kita. Nanti, kita akan tahu dan faham bahawa kejayaan dan kebahagiaan tidak dapat dicapai melainkan dengan pengorbanan. Tanpa pengorbanan, kita belum pasti akan mendapat sesuatu yang kita inginkan. Tanpa pengorbanan, belum tentu kita akan mencapai kejayaan yang diharapkan. Tanpa pengorbanan, mana mungkin kita berhak untuk menikmati kebahagiaan yang diimpikan.
Tiada siapa yang menafikan, pengorbanan itu tidak pernah mudah. Hakikatnya, kita tidak selalu bersedia untuk melepaskan sesuatu yang telah kita miliki dan nikmati selama ini dan mengembalikannya kepada pemegang hak milik yang mutlak ke atasnya, iaitu Allah SWT. Tetapi, sedarlah, pengorbanan yang dilakukan pada masa lalu menjadikan kejayaan dan kebahagiaan itu mudah pada masa hadapan.
Belajarlah daripada kisah Nabi Ayub AS yang diuji dengan kesakitan, 18 tahun lamanya, sehingga ramai yang menjauhkan diri daripada Baginda, kecuali isteri Baginda yang taat dan setia. Hanya setelah 18 tahun penuh dengan kesakitan, berbekalkan kesabaran yang berterusan, Allah SWT telah kurniakan kesembuhan kepada Baginda sehingga mereka yang dahulu menjauhkan diri daripada Baginda, kembali mendekatkan diri kepada Baginda. Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya, ayat 83 dan 84:
“...dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub AS, ketika Baginda berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata, ‘Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedangkan Engkau sahaja yang Maha Mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.’ Maka, Kami perkenankan doanya, Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, dan Kami kurniakan kepadanya keluarganya, dengan seganda lagi ramainya sebagai satu rahmat daripada Kami satu peringatan kepada orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).”
Sidang hadirin yang budiman,
Hari Raya Aidiladha yang sentiasa sinonim dengan pengorbanan dapat kita rayakan sebagai hari untuk meraih kembali, memperbaharui dan meningkatkan rasa bahagia dalam diri kita dan orang-orang yang berada di sekeliling kita. Janganlah kita beritahu orang lain bahawa kita tidak berhak untuk hidup bahagia kerana dalam apa jua keadaan sekali pun, kita, umat Islam, sangat berhak untuk hidup bahagia, bukan sahaja di dunia ini, tetapi juga di akhirat nanti.
Ingatlah, bahagia itu mudah selagi kita berusaha mencapai sesuatu yang bermakna dalam kehidupan kita tanpa berputus asa, bersabar selama mengharungi hari-hari yang penuh dengan suka dan duka, bersederhana tanpa mengira sedikitnya atau banyaknya sesuatu yang ada pada kita, merelakan sesuatu yang bukan atau tidak lagi menjadi milik kita dan, yang paling penting, bersyukur kepada Allah SWT atas segalanya yang telah Dia kurniakan kepada kita, apa pun bentuknya. Malah, bahagia menjadi lebih indah apabila kita selalu menyedari dan menghargai ramai yang sesungguhnya telah mengorbankan sesuatu dalam kehidupan mereka untuk kelangsungan dan kebahagiaan kehidupan kita. Hakikatnya, hidup tidak akan berat saat kita tidak merasa sendiri.
Mari kita ucapkan terima kasih kepada diri sendiri yang mengorbankan segalanya agar kita tetap bertahan dalam meneruskan kehidupan. Malah, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas nama kita semua kepada ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban mengasuh dan membesarkan, guru-guru yang banyak berkorban dalam mendidik anak-anak muridnya menjadi insan yang berguna pada masa hadapan, sanak saudara dan jiran tetangga yang banyak berkorban mengekalkan suasana kekeluargaan dan kejiranan, sahabat-sahabat akrab yang banyak berkorban mewujudkan persahabatan yang berkekalan, dan rakan-rakan yang banyak berkorban memastikan segala impian dapat direalisasikan.
Mari kita ucapkan juga terima kasih kepada sesiapa sahaja dalam kehidupan ini kerana telah dan masih berjuang dan berkorban, mencurahkan jasa dan bakti kepada rakyat dan watan dalam apa jua lapangan. Semoga Allah menerima daripada mereka dan kita segala bentuk pengorbanan dan mengurniakan kekuatan kepada mereka dan kita untuk meneruskan amalan dan perjuangan.
Isnin, 17 Jun 2024, pukul 8.00 pagi.
Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Comments
Post a Comment