Ucapan sempena Peringatan Hari Ikatan Penulis Sabah ke-34


Selamat Hari Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang ke-34.

Pekan Samboja di hulu watan,
Laluan rentas wilayah aman;
Salam puja usia Ikatan,
Berlanjut merentas arus zaman.

Alhamdulillah. Dengan limpah kurnia dan izin Allah SWT, IPS telah menginjak ke usianya yang ke-34 pada hari ini. Ada baiknya kita harungi hari seperti hari ini dengan rasa syukur dan gembira, bukan sahaja kerana ruang dan peluang yang diberikan kepada kita untuk memperingati Hari IPS pada hari ini, tetapi juga kerana kemuliaan Hari IPS kali ini yang beriringan dengan mulianya Ramadan, penghulu segala bulan.

Kita selalu diingatkan agar mengimarahkan Ramadan dengan berpuasa, membayar zakat, menunaikan solat sunat Tarawih, Qiamullail, tadarus dan tadabbur al-Quran, berzikir, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, beriktikaf di masjid, bersedekah dan melakukan apa-apa sahaja perkara yang membawa kebaikan. Sebabnya, ganjaran yang tidak dapat dibayangkan gandaannya menunggu kita di hadapan.

Namun, kita juga selalu diingatkan, betapa kita masih sahaja memiliki dan memainkan peranan yang tersendiri dalam kehidupan. Yang belajar akan terus belajar dan yang bekerja akan terus bekerja sehingga memasuki fasa seterusnya dalam kehidupan.

Begitulah keadaannya dengan IPS yang diasaskan oleh tiga orang pemuda di Singgah Mata, Kota Kinabalu pada tahun 1990 dengan matlamat mengangkat harkat dan martabat bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan di Sabah melalui penulisan, penerbitan dan penataran karya yang membentuk individu dan masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia.

Kita mesti berterima kasih kepada Yang Berbahagia Datuk Jasni Matlani, Abd. Naddin Hj. Shaiddin dan Aliuddin Mohd. Salleh kerana menjadi pencetus kepada tertubuhnya IPS, 34 tahun yang lalu. Kewujudan IPS di tengah-tengah Sabah tidak pernah dan tidak akan menjadi sia-sia, malah akan menjadi amal jariah buat mereka dan sesiapa sahaja yang meneruskannya, Insya-Allah.

Saya bersyukur kerana IPS pada ketika ini sedang baik-baik sahaja di tangan para pengelolanya. Meskipun IPS sempat menghadapi cabarannya yang tersendiri mutakhir ini, langkah IPS menuju kejayaan masih sahaja belum berhenti, apatah lagi untuk berundur ke belakang walau seinci.

Perkara ini terbukti apabila IPS berjaya melancarkan inisiatif “Sepanggar Membaca” dan “Sepanggar Berpantun” pada 13 Januari 2024 yang lalu. Sebelum pelancaran kedua-dua inisiatif itu pun, telah ada aktiviti yang berjaya dilaksanakan dan memberi manfaat kepada golongan yang disasarkan.


IPS juga telah menghidupkan semula inisiatif “Puisi Adalah…” pada 8 Jun 2023 dengan menambahbaik konsep dan objektif inisiatif tersebut. Dahulu, sebahagian daripada kita mengenali inisiatif tersebut dengan apresiasi semata-mata. Kini, kita boleh mengenali inisiatif ini dengan lebih baik apabila kita memperluaskannya kepada sayembara, antologi dan wacana.

Menariknya, ketiga-tiga inisiatif tersebut, baik sebelum mahupun selepas dilancarkan, mengalami pengantarabangsaan dengan caranya yang tersendiri. Inisiatif “Sepanggar Berpantun”, misalnya, itu sendiri wujud hasil kerjasama dengan Balai Pantun Singapura dengan matlamat menggalakkan lebih ramai belia membudayakan pantun warisan melalui bacaan, penulisan dan persembahan.

Inisiatif “Puisi Adalah…” dan “Sepanggar Membaca” juga telah mengalami pengantarabangsaan dengan penglibatan diaspora Indonesia yang berada di Kota Kinabalu dalam dua buah kegiatan yang telah diadakan pada awal tahun ini dengan dukungan dan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dan Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK), iaitu Malam Hari Tiga Khas dan Aroma Meja Bulat Siri 1/2024.

Lebih awal daripada itu, IPS telah berhasil membantu DBP Cawangan Sabah meluaskan pengantarabangsaan Nadwah Serantau Sastera Islam Sabah 2023 dengan menjadi orang tengah kepada Majalah Adab Islami berbahasa Arab yang turut membuat liputan kegiatan tersebut secara jarak jauh. Majalah tersebut milik Liga Kesuasteraan Islam Antarabangsa Sabah yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi.

Lebih awal daripada itu juga, IPS juga telah berkesempatan bertemu banyak pihak di Brunei, Indonesia dan Thailand menerusi kegiatan-kegiatan yang dianjurkan sama ada oleh IPS sendiri atau oleh organisasi-organisasi kerajaan dan bukan kerajaan di negara-negara berkenaan sepanjang tahun 2023 yang lalu.


Semua perkara yang saya sebutkan itu tadi hanyalah sebahagian daripada 83 buah kegiatan yang melibatkan IPS mahupun yang dianjurkan sendiri oleh IPS dengan kerjasama 24 buah organisasi kerajaan dan bukan kerajaan dalam dan luar negeri dan anggaran penglibatan terkumpul seramai 2,520 orang peserta, sembilan naskhah kertas kerja yang wakil IPS bentangkan dalam persidangan-persidangan akademik tempatan dan antarabangsa, lima siri Majalah Komposisi yang berhasil diterbitkan secara dalam talian dan tujuh buah buku pelbagai genre yang berhasil diterbitkan secara fizikal sepanjang tahun lalu.

Alhamdulillah. Di samping sembilan orang ahli IPS yang meraih bermacam-macam anugerah dan pengiktirafan sepanjang tahun lalu, IPS juga telah berjaya melatih dan melahirkan 123 orang penulis baharu dari seluruh negeri Sabah, yang rata-rata mereka merupakan remaja. Sebahagian daripada mereka merupakan penulis kepada tiga buah buku antologi puisi dan cerpen yang telah IPS terbitkan pada tahun lalu.

Kita juga telah menyaksikan sendiri 13 daripada 22 buah buku pelbagai genre yang dihasilkan oleh 11 orang penulis tempatan Sabah dari kalangan ahli dan bekas ahli IPS diterbitkan dan dilancarkan oleh DBP pada 17 Oktober 2023 yang lalu. Tiga daripadanya telah pun dibicarakan dalam program Aroma Meja Bulat Siri 1/2024 pada 22 Februari 2024 yang lalu. Semua perkara yang saya sebutkan itu tadi membolehkan Ikatan ini mencapai prestasi melebihi 100 peratus pada tahun 2023.

Namun begitu, saya tidak berhasrat untuk memberi markah penuh kepada diri ini kerana Ikatan ini bukan milik saya seorang dan bukan amanah saya sendiri-sendiri. Ikatan ini milik rakyat dan penduduk Malaysia di Sabah yang pada saat ini diwakili oleh para ahli dan sukarelawan yang memiliki peranan dan memberikan sumbangan yang tersendiri kepada rakyat dan negeri.


Oleh hal yang demikian, saya berharap agar ahli-ahli Ikatan dapat terus aktif mengelola atau menyertai kegiatan yang dianjurkan oleh Ikatan mahupun yang melibatkan Ikatan, membayar yuran keahlian secara sekaligus mahupun tahunan, memberi pandangan dan saranan yang membina Ikatan dan bidang-bidang yang dijalaninya, mahupun menyumbang sebarang bentuk karya penulisan yang boleh diterbitkan di wahana fizikal dan digital yang diperakui secara profesional rasmi oleh Ikatan ini di dalam dan di luar negeri.

Dalam erti kata yang lain, saya mengajak seluruh ahli keluarga besar IPS untuk tetap berada dalam saf yang sama dan bergerak dengan langkah yang sama ke arah tujuan yang sama, untuk mencapai impak yang tinggi dengan semangat istiqamah dan wasatiyyah.

Saya yakin kita di IPS boleh melakukannya pada tahun ini dan tahun-tahun yang berikutnya, terutamanya ketika kita akan mendatangi dan didatangi oleh banyak lagi pihak berkepentingan yang ingin turun tangan bersama kita, membina impian mewujudkan masyarakat yang tetap membaca dan berkarya demi keluhuran dan kepentingan bangsa dan negeri kita.

IPS menghargai kesudian Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah dan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu menerima niat IPS secara dasar untuk memulakan dan meneruskan kerjasama menjayakan inisiatif “Sepanggar Membaca” pada tahun ini menerusi pelaksanaan bengkel dan forum serta penerbitan antologi dan berharap agar kerjasama yang serupa dapat dipanjangkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara pada tahun ini juga, Insya-Allah.

IPS mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan seluruh tenaga kerja Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar yang telah memberi dukungan yang bersesuaian dan berterusan kepada segala yang IPS usahakan, terutamanya inisiatif “Sepanggar Membaca” yang bermatlamat menggalakkan budaya membaca dan menulis dalam kalangan masyarakat di kawasan Sepanggar, terutamanya golongan kanak-kanak dan remaja.

IPS turut mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Sabah yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu kerana telah memberikan sumbangan yang membolehkan IPS memberikan manfaatnya kepada rakyat dan negeri Sabah dalam bidang-bidang yang IPS ceburi selama ini. Berhasilnya IPS melakukan segalanya pada tahun lalu merupakan hasil sumbangan para penyumbang yang budiman.

IPS di bawah teraju Ketua Satu yang sekarang akan meneruskan usaha-usaha yang telah dilakukan pada tahun lalu, pada tahun ini dan tahun-tahun yang berikutnya. Dalam hal ini, IPS akan memberi keutamaan kepada empat perkara.

Pertama, penerusan inisiatif “Puisi Adalah…”, “Sepanggar Membaca” dan “Sepanggar Berpantun” dan peluasannya kepada lebih banyak golongan sasar di dalam dan luar kawasan Sepanggar. Kedua, penerbitan lima buah buku secara fizikal dan lima siri Majalah Komposisi secara dalam talian.

Ketiga, penerusan kerjasama antarabangsa di peringkat rantau Asia Tenggara dan Timur Tengah; dan keempat, penglibatan lebih banyak institusi pendidikan, kemahiran dan kemasyarakatan di Sabah dalam menyemarakkan dan melestarikan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan di Sabah.

Tahun hadapan, Ikatan ini menyambut ulangtahunnya yang ke-35. Saya mempelawa seluruh ahli keluarga besar IPS, rakan-rakan penggiat bahasa, sastera dan budaya di Sabah dan semua pihak berkepentingan, di samping bersama IPS menjayakan semua yang ingin diusahakannya pada tahun ini, untuk mula bersiap bagi meraikan hari tersebut pada dan selepas 24 Mac 2025 mendatang.

Lebih besar daripada itu, saya mengajak semua untuk mula memikirkan apakah yang hendak ditinggalkan kepada generasi seterusnya yang akan memimpin, menggerakkan dan menyertai Ikatan ini selepas tahun 2025 dan untuk tempoh 35 tahun yang akan datang. Walaupun tiada siapa yang tahu keadaan Ikatan ini pada dan selepas tahun 2060, tidak ada salahnya kita mula bertindak dari sekarang.

14 tahun yang lalu, Hasyuda Abadi dan Sahara Jais telah berjaya membuka rumah puisi mereka di Kampung Gudon, Manggatal, Kota Kinabalu. Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RuPHA) – dan sebelahnya, Rumah Ngaji Baitul Muqaddam – ternyata bukan sekadar sebuah nama dan sebuah rumah yang biasa-biasa.

Mereka yang sudah biasa datang ke RuPHA sudah mengerti peranan dan sumbangan kedua-duanya kepada masyarakat di sekitar kawasan Sepanggar sejak pertama kali dibuka. Tiada siapa yang memikirkan, 12 tahun kemudian, kita mengenali RuPHA kerana tuan rumahnya yang telah rasmi diakui pada 15 Disember 2022 sebagai Sasterawan Negeri Sabah ketiga.


Bertitik tolak daripada sejarah tersebut, saya berharap agar akan ada lagi ahli IPS yang menerima pengiktirafan yang serupa, malah yang lebih baik berbanding yang sedia ada pada pada masa hadapan. Dalam hal ini, suka saya mengulang kembali pesanan saya agar segera memprofilkan dirinya dan mencontohi Hasyuda Abadi dalam pemprofilan penulis sastera.

Realitinya, Sabah sentiasa memerlukan seseorang yang boleh diamati karyanya, boleh difahami falsafah kehidupannya, boleh dicontohi semangat juangnya dan boleh diteladani sumbangannya kepada bangsa dan negara dalam bidang-bidang yang diceburi. Sosok tubuh individu tersebutlah yang IPS harapkan, sama ada dari dalam mahupun luar IPS, dapat memangkin semangat Generasi Z dan Alpha di Sabah untuk berkarya ke arah mencapai kejayaan yang mereka impikan pada masa hadapan.

Sementara kita meneruskan pencarian individu yang dimaksudkan, saya ingin memberi jaminan bagi pihak Ikatan ini bahawa bahasa dan sastera Melayu dan etnik tempatan Sabah masih dan akan tetap bertahan mengharungi arus zaman dengan adanya mereka yang – dengan semangat istiqamah dan wasatiyyah – meneruskan segala amalan dan perjuangan yang dapat memberikan kesan kepada masyarakat yang disasarkan.

Percayalah kepada Ikatan ini yang tidak ramai jumlah insannya tetapi tetap ada, dan jadikan titah Yang di-Pertuan Agong di Parlimen pada 26 Februari yang lalu sebagai pembakar semangat untuk tetap memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Malaysia dan mengiringkannya dengan penerapan bahasa etnik dan bahasa antarabangsa yang memberi nilai tambah kepada kemajuan tamadun yang menaungi kita, dan sastera sebagai bunga kepada bangsa, bahasa dan budaya.

Sebagai generasi yang masih ada, ada baiknya kita menjadi hamba kepada Tuhannya yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan menterjemahkannya dengan kerajinan berkarya, khalifah yang giat memimpin amalan dan perjuangan yang diiringi dengan pahala yang berterusan, dan dai yang sentiasa memotivasikan masyarakat untuk sentiasa mendekati dan melaksanakan kebaikan.

Saya mempelajarinya daripada tenaga jiwa bangsa, nama dari suatu sejarah dan api dari suatu zaman yang telah mengabdi kepada Tuhan, Raja dan watan sejak 68 tahun lamanya. Itulah DBP, ibu yang melahirkan IPS, 34 tahun setelah pengasasannya dan ibu yang sentiasa memberi dukungan kepada apa-apa sahaja amalan dan perjuangan anaknya yang menjamin penerusan bahasa, sastera dan budaya di tanah air kita.

Bagi pihak keluarga besar Ikatan ini, saya berterima kasih kepada DBP, baik di Kuala Lumpur mahupun di Kota Kinabalu, atas segala bantuan, nasihat dan sokongan yang Ikatan ini terima daripadanya sehingga Ikatan ini tetap sahaja berjalan seperti biasa dengan tabah dan bersemangat, mengharapkan DBP akan turut abadi dan keramat.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada ILPKK dan induknya, Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia atas bantuan, nasihat dan sokongan yang saya dan Ikatan yang saya wakili terima sejak saya dipercayakan menerajui Ikatan ini. Besar harapan saya agar wujudnya IPS menjadi sahabat kepada ILPKK membolehkan ILPKK menunaikan janjinya untuk membentuk negara yang berjaya menerusi kelahiran tenaga mahir yang mampu mencipta karya yang mengesankan bangsa dan jagat raya.


Saya khususkan ucapan terima kasih saya kepada Setiausaha saya dan 16 orang anggota The Circle VI dan VII di Kota Kinabalu atas atas dukungan, kerjasama dan semangat yang dikongsikan dengan saya selama ini dalam pelbagai bentuk dan rupa. Saya bersyukur kerana telah dapat mempelajari dan meraih banyak perkara daripada mereka semua.

Saya turut mengkhususkan ucapan terima kasih saya kepada para sahabat dan rakan senior, sebaya dan junior, para ahli dan sukarelawan dan sahabat Ikatan ini yang telah dan masih bersama saya membina dan mengembangkan segala-galanya yang Ikatan ada pada masa lalu dan kini sehingga menjadi seperti yang dilihat dan dirasakan ketika ini.

Sebagai intiha, saya mengajak semua berdoa untuk Sabah yang lebih maju dan berjaya, Malaysia yang lebih makmur dan sentosa, dan dunia yang lebih damai dan bahagia. Semoga dengan doa, usaha dan sokongan daripada semua, IPS akan berterusan kehidupannya untuk berkiprah kepada bangsa dan negara, menjadikan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah terus megah dan bangga pada kelasnya yang bitara.

Kalau bersumur di tengah lembah,
Jangan bersisa padi di sawahnya;
Panjanglah umur penulis Sabah,
Balasan jasa, tiada taranya.

Comments