Ucapan Dasar Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah 2024
"Penting untuk Ikatan ini... menjadi penyelesai masalah, bukan lagi penyumbang atau penambah kepada masalah kerana selama mana kita memikirkan masalah, tidak ada apa-apa pun yang akan terselesaikan pada keadaannya. Apa yang lebih penting ialah untuk kita menyelesaikan masalah itu sendiri. Kita berada di sini untuk selesaikan masalah."
Setiap yang ada permulaan, pasti akan pengakhiran. Penggal yang sekarang akan berakhir dan kita akan masuk penggal yang baharu. Maka, peluang ini saya ambil untuk meninjau kembali apa sahaja yang Ikatan Penulis Sabah (IPS) telah jalani untuk tempoh setahun dan 51 minggu yang lepas yang sebenarnya kurang.
Penggal yang sekarang sebenarnya bermula pada 6 Februari 2022 dan seharusnya berakhir pada 6 Februari 2024. Tetapi, kita tidak boleh tunggu; kita kena teruskan sekarang. Oleh itu, selepas satu usul dipertimbangkan, maka kita akan meninggalkan penggal yang lama dan kita masuk penggal yang baharu.
Saya teringat kata-kata Willy Winarko, seorang pempengaruh dalam TikTok dan Instagram. Apa kata beliau? “Tahun ini kita tutup dengan: Terima kasih 2023 untuk baik dan buruknya, ketawa dan sedihnya, semuanya.” Lebih kurang begitulah kata-kata beliau. Maka, saya pun akan mengucapkan perkara yang sama, “Terima kasih kepada 2022 dan 2023.”
Pertama, kerana IPS sedang baik-baik sahaja di tangan para pengelolanya. Saya mahu beri jaminan bahawa IPS sekarang sedang baik-baik sahaja.
Kedua, tidak siapa yang boleh nafikan, bukan sahaja Ikatan ini, bukan sahaja ahli-ahlinya, malah saya sendiri menghadapi cabaran yang kita sedang harungi sehingga apabila datang seruan untuk mengkaji semula, akhirnya kajian semula itu bukanlah seperti mana yang kita telah faham dulu. Hari ini ialah hasil daripada kaji semula.
Hasil daripada kaji semula, pertama, kita telah bertemu Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada 3 Januari. Ternyata IPS merupakan pertubuhan yang pertama bertemu DBP pada tahun ini (2024).
Sehingga akhirnya, kedua-dua pihak telah mencapai satu kata bahawa hasil daripada kaji semula itu, kita akan tambah baik hubungan ini. Untuk pengetahuan, berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan IPS yang ke-32, kalau saya boleh sebut di sini, ialah hasil daripada kajian semula itu yuang akhirnya bukanlah membawa kita ke belakang, tapi membawa tangan DBP dan IPS itu semakin ke depan daripada dulu.
Ketiga, malah saya bersyukur kerana bukan tentang 2,520 orang peserta atau 24 buah organisasi yang telah turun tangan bersama kita di Ikatan. Tetapi, yang lebih mustahaknya ialah kemuncak pada hari ini. Belum lagi kita buka penggal baharu, kita sudah bukan saja teruskan kerjasama dengan DBP, tetapi kita buka pula lembaran baharu.
Saya berterima kasih kepada Rektor, Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah kerana telah menerima kunjungan saya dan Faiz (Muhammad Faizhaziq Mohd Sarizam) kelmarin dulu pada saat-saat akhir. Faiz sempat cerita dengan saya, kalau mahu jumpa Rektor, mesti jadi ahli eksekutif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dulu. MPP di UITM Sabah belum ada pada masa ini. Belum ada, belum dipilih pun seingat saya.
Yang ada malam tadi, MPP Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru dipilih ahli-ahli eksekutifnya. Tetapi, belum ada presiden sebab ahli-ahli eksekutifnya malam tadi baru dipilih.
Mahasiswa UMS memilih bukan lagi dengan cara menggunakan kertas undi dan memasukkannya dalam peti undi, tetapi main ‘tekan-tekan’ sahaja. Perkara itu sebenarnya boleh juga berlaku dalam Ikatan ini. Tetapi, saya akan jelaskan perkara ini selepas kita menutup penggal ini.
Apa yang lebih penting ialah kita memulakan tahun 2024 dengan membuka lembaran baru dengan satu kepercayaan bahawa kita, IPS, akan sentiasa ada sampai bila-bila. Itu yang paling penting. Kita akan sentiasa ada untuk bangsa dan negara sampai bila-bila.
Yang boleh meniadakan kita hanya dua saja. Pertama, takdir Allah SWT. Kedua, hari akhirat. Selagi hari akhirat belum datang, walaupun kita di akhir zaman, dan selagi Allah takdirkan Ikatan ini masih ada, kitalah yang akan menjaga Ikatan ini, bukan orang lain. Itu tidaklah pula bermakna saya tidak akan mengalu-alukan orang lain.
Harus saya tegaskan balik bahawa IPS adalah sebuah pertubuhan yang sentiasa terbuka dengan siapa-siapa. Jadi, untuk mendengar mereka yang telah tertutup minda dan jiwanya, kita hanya mampu memberikan kemaafan sahaja dan doa tulus untuk mereka.
Saya secara peribadi, atas segala kritikan yang telah dilontarkan sebulan ataupun mungkin dua yang berlalu, saya terima semuanya. Saya tiada masalah kerana ternyata orang yang paling banyak buat silap ialah orang yang paling banyak kerja. Perkara itu, semua orang kena terima.
Tetapi, apa yang lebih penting untuk Ikatan ini ialah untuk menjadi penyelesai masalah, bukan lagi penyumbang atau penambah kepada masalah kerana selama mana kita memikirkan masalah, tidak ada apa-apa pun yang akan terselesaikan pada keadaannya. Apa yang lebih penting ialah untuk kita menyelesaikan masalah itu sendiri.
Kita berada di sini untuk selesaikan masalah. Malah, saya masih dengan Ikatan ini pun sebab saya rasa tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Semua masalah ada penyelesaian.
Kenapa saya katakan tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan? Sebabnya, Allah sudah tunjuk jalan dalam surah at-Talaq, ayat 2 dan 3.
“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah SWT, maka akan Allah tunjukkan kepadanya jalan keluar. Akan Allah berikannya rezeki dari jalan yang tidak dia sangka-sangka. Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan cukupkan dia. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah juga tentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
Kalau bukan kerana surah at-Talaq, ayat 2 dan 3, tidaklah kita berkumpul di sini, menyelesaikan masalah kita pada hari ini. Malah, kita akan terus menyelesaikan masalah dengan mengutamakan wahyu dan prinsip-prinsip Rukun Negara dan kita akan sandarkan sekali dengan gagasan Malaysia Madani dan hala tuju Sabah Maju Jaya.
Saya yakin, pada penggal yang seterusnya, kita boleh lakukannya lagi kerana saya bukanlah seseorang yang mengatakan kata.
Saya tidak mahu cakap besar. Tetapi, Alhamdulillah. Kita semua sudah nampak bahawa kata-kata itu telah pun menjadi kota-kota yang dilaksanakan oleh mungkin hanya beberapa orang sahaja, tetapi yang boleh disyukuri dan dibanggakan oleh semua. Jadi saya ucapkan tahniah kepada kita semua.
Kita tidak masalah pun untuk meneruskan walaupun sesekali diuji... dan saya memang diuji. Tiada siapa yang boleh lari daripada ujian.
Saya membayangkan satu sahaja. Kalau selepas ini bukan saya Ketua Satu pun, saya tiada masalah. Saya tidak akan lari pun daripada IPS.
Sepertinya, ada orang mahu mengambil tempat saya. Kalau betul ada, silakanlah, tiada masalah. Kalau dia mengambil tempat saya selepas ini, saya dengan selesanya akan meneruskan kajian peringkat Doktor Falsafah di Universiti Malaysia Sarawak. Tiada masalah. Tapi, akhirnya jadi masalah sebab ramai orang boleh menambah masalah, tetapi tidak mampu selesaikan masalah. Itu masalahnya.
Jadi, saya berpesan kepada diri sendiri dan rakan-rakan semua, alangkah baiknya kita menjadi penyelesaikan masalah kerana usaha menyelesaikan masalah itulah yang lebih dekat dengan redha Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa. Itu yang lebih penting. Sebab itu, kita ada Mesyuarat Agung setiap tahun.
Saya sebenarnya pernah disyorkan oleh Ketua Satu, Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA), Profesor Dr. Harun Haji Pudin. Kata beliau pada tahun 2022 kelmarin, apa kata mesyuarat agung IPS dibuat dua tahun sekali.
Mungkin untuk nuansa Labuan, sesuai Mesyuarat Agung PERWILA dua tahun sekali. Tetapi, untuk nuansa Sabah—nuansa IPS—tidak sesuai. Bayangkan, kalau Mesyuarat Agung IPS dibuat dua tahun sekali, nanti ada yang bilang Ketua Satu dan Majlis Tertinggi tidak buat apa-apa; sedangkan kami di belakang dan di depan sedang buat apa-apa.
Setelah saya memikirkannya kemudian, tiada apa yang perlu diubah... melainkan kita tetap bermesyuarat pada pembukaan tahun 2024 dan seterusnya, kalau dipanjangkan umur, Insya-Allah.
Besar maknanya kita berkumpul di DBP Cawangan Sabah pada hari ini kerana sejarahnya pada tahun 1990—saya sendiri pun belum lahir pada masa itu—DBP Cawangan Sabah menjadi ibu yang melahirkan IPS. DBP Cawangan Sabah melahirkan IPS pada 23 Februari 1990. (Orang-orang yang ada masa itu ada di sini, termasuk yang tadi datang pun ada. Alhamdulillah.) IPS diberi surat beranak pada 24 Mac 1992. Kita akan pinda Perlembagaan IPS supaya kita tepatkan tarikh itu.
Orang-orang yang dulu masih ada sampai sekarang. Kita boleh melihat tiga atau empat generasi di IPS. Sebagai penggiat dan pejuang, tanggungjawab kita ialah untuk menjaga dan mempertahankan IPS bersama-sama sehingga tercapai salah satu daripada dua saat yang saya sudah sebut itu tadi. Malah, kita telah lakukan pun.
Tahun lepas luar biasa. Kita telah menjalani 83 kegiatan. Dengan penyertaan 2,520 orang peserta dan kerjasama 24 buah organisasi di Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand.
Mungkin ada persatuan yang kata, "Ya, aku pun boleh buat." Tapi sebelum itu, silalah fikirkan, bukan berkata besar. Perkara itu Allah datangkan dengan sebabnya: kita menyentuh dan disentuh dengan 24 buah organisasi tersebut. Malah sebenarnya, belum kita mula penggal baru, kita telah mulakan lembaran kerjasama yang baharu dengan UiTM Cawangan Sabah untuk penerbitan sebuah antologi.
Malah, dalam tempoh beberapa bulan ke depan, Saya telah minta pada diri saya sendiri, Dr Uji (Profesor Madya Dr Rozita Mohammed) dan Faizhaziq untuk menjadi penyelenggara antologi yang akan datang daripada UiTM Cawangan Sabah.
Sebelum itu, kita kena bersyukur sebab selepas lapan atau sembilan tahun, IPS, sebagai penerbit yang berdaftar dengan Pempustakaan Negara yang sudah lama tidak terbitkan buku, telah memunculkan tujuh buah buku, termasuk salah sebuahnya, yang para penulisnya hadir pada hari ini; penulis daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, Tuaran.
15 orang penulis daripada SMK Badin itu adalah sebahagian daripada 64 orang penulis muda yang telah IPS usahakan pada tahun lepas.
Jadi, kita mau pergi mana lepas ini? Adakah kita kembali ke belakang, mengingat kisah-kisah lalu yang tidak semengah mana? Bagi saya. Itu bukan pilihannya.
Kita tidak ada pilihan lain melainkan untuk terus jalan ke depan tanpa memandang lagi perkara-perkara yang mungkin menyebabkan kita tetap berada di belakang. Kerana akhirnya, kita tidak berada di belakang pun; kita berada di depan.
Saya tidak membawa Ikatan ini ke depan bersendirian. Ramai yang mendukung saya walaupun kadang-kadang saya boleh kira dengan jari. Tetapi, masih ramai yang mendukung. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka semua.
Malah, saya ucapkan juga terima kasih kepada mereka yang akan berlalu dan yang telah pun berlalu daripada Ikatan ini mahupun Majlis Tertingginya. Semua jasa mereka saya hargai. Cuma, saya hanya memohon doa restu. Kita akan lanjutkan lagi untuk penggal yang seterusnya tanpa mengira siapa Ketua Satu dan Ketua Dua pada masa itu.
Kerana akhirnya, kita ada untuk menghebatkan bangsa dan negara sesuai dengan tunjang kita, iaitu wasatiyyah, istiqamah dan berimpak tinggi. Kita telah memenuhi ketiga-tiganya sepanjang dua tahun yang berlalu. Saya ucapkan tahniah kepada semua.
Pencapaian terbesar IPS ialah dengan adanya Sasterawan Negeri Sabah ketiga—satu fakta yang tiada siapa boleh sangkal, hatta DBP. Malah, kita ada potensi melahirkan Sasterawan Negeri Sabah yang keempat, kelima dan keenam. Jadi saya minta kita semua bersedia. Kita akan jalankan misi ini untuk mencari orang yang bersesuaian untuk menjadi Sasterawan Negeri Sabah yang seterusnya.
Kalau tiada dari Ikatan, kita akan berikan sokongan kepada mereka yang berada di luar Ikatan. Kita akan mendukung sesiapa saja yang menjadi Sasterawan Negeri Sabah yang seterusnya. Tidak ada masalah kerana Sasterawan Negeri Sabah bukan milik mana-mana golongan, tetapi milik rakyat dan negeri Sabah. Itu yang kita semua perlu tahu.
Malah, jerayawara yang telah kita lakukan dulu pun akan kita teruskan. Perkara-perkara yang belum terselesaikan, akan kita teruskan juga. Itu yang telah saya sampaikan kepada Pengarah DBP Cawangan Sabah, 3 Januari yang lalu. Maka, tidak ada sebab untuk kita tetap berada di belakang.
Ketahuilah, tiada anjing yang akan mengejar. Kalau anjing mengejar, tunjuk sahaja kaki, anjing akan lari. Apa yang lebih penting adalah untuk ke depan, ke depan dan ke depan. Tidak ada lagi memandang ke belakang.
Ramai yang mengkritik. Tetapi akhirnya, bukan saja macam-macam itu yang diperkatakan, tetapi juga sedikit sebanyak menghalang usaha yang sepatutnya. Saya berpesan kepada diri sendiri dan semua untuk sentiasa memberi panorama atau landskap yang positif kepada Ikatan ini dan kita semua kerana dengan landskap positif inilah, kita boleh berkembang ke depan. Malah, mungkin sahaja kita boleh buat lebih baik daripada yang kita telah capai pada tahun lalu.
Saya sentiasa optimis sebab saya menyaksikan perkembangan-perkembangan yang sebenarnya saya tidak pernah fikirkan. Saya tidak pernah fikirkan dalam kepala saya bahawa IPS akan melahirkan 123 orang penulis pada tahun 2023. Tidak pernah. Tapi, dengan takdir Allah SWT, kita telah lakukan kerjasama SMK SANZAC, Kota Kinabalu dan SMK Badin, Tuaran. Kita juga telah jayakan dengan SMK St. John, Beaufort.
Yang berbaris di belakang ada lagi lima buah sekolah dan institusi kemahiran awam, iaitu institut saya sendiri, Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu—Pengarahnya telah datang tadi—dan tiga buah sekolah di Sepanggar, iaitu SMK Tebobon, SMK Bandaraya dan SMK Inanam, serta SMK Agama Tun Datu Mustapha Limauan di Papar.
Ini semua, kita sedang tunggu. Insya-Allah, kalau tidak aral melintang, kita akan selesaikan semua sebelum Ramadan. Kalau tidak selesai sebelum Ramadan, selepas Hari Raya Aidilfitri, kita akan nampak buku-buku itu. Tidak masalah kerana akhirnya kita telah melakukannya.
Dulu, orang boleh bermimpi. Komposisi muncul semula dalam tidur. Akhirnya bangun tidur, nampak Komposisi. Telah pun kita capai lima siri pada tahun lepas. Alhamdulillah. Tahniah. Cuma saya mohon maaf. Majalah Komposisi Edisi 1/2024 belum keluar.
Saya menunggu bahan-bahan sebenarnya. Sebab kemarin dulu, kita baru putuskan lima puisi terbaik Sayembara “Puisi Adalah...” edisi Disember 2023. Insya-Allah selepas 15 Januari, kita akan paparkan lagi puisi-puisi yang seterusnya.
Bagi saya, IPS punya imej senang saja. Pertama, istiqamah. Walaupun benda yang kecil, kita jalankan dengan tekal; dengan berterusan.
Kedua, wasatiyyah. Kita buat sekadarnya. Memang kita pertumbuhan akar umbi. Kita bukan pertubuhan perdana macam beberapa buah yang lain. Tapi, tiada yang menghalang usaha-usaha kita untuk melakukan apa yang kita telah rancang.
Ketiga, ternyata kita telah melakukannya dengan menghasilkan impak yang tinggi. Semuanya telah dibuktikan dalam Laporan Setiausaha Satu yang dibentangkan oleh Setiausaha Dua. Maka, tidak ada sebab kita menukar dasar Ikatan yang telah sedia ada kita bina.
Dasar itu sebenarnya datang daripada seseorang yang dulu mendirikan Ikatan ini. Saya bersyukur sebab untuk sekali lagi, keempat-empat Ketua Satu IPS telah datang ke satu tempat yang sama. Alhamdulillah.
Ketua Satu IPS yang kelima, belum tahu, wallahu a’lam. Sebabnya apa? Kita akan jawab sebentar lagi.
Apa-apa pun, bermimpilah. Bukannya kita mimpi itu semata-mata untuk tujuan mimpi itu sendiri. Hakikatnya, mimpi tidak membawa kita ke mana. Maka, jadikanlah mimpi kita itu realiti.
Saya secara pribadi mengucapkan terima kasih kepada sahabat senior saya, Cikgu Dr. Norawi Haji Kata kerana 11 orang daripada IPS telah berjaya menerbitkan kumpulan puisi. Terima kasih banyak-banyak. Sebenarnya, kalau bukan saya, Ikatan ini sendiri telah rasa amat bersyukur kerana telah menjayakan misi itu. Sehingga akhirnya—Alhamdulillah—dengan reda Allah SWT, Cikgu Norawi telah dikurniakan Bintang Setia Kinabalu.
Saya menjamin kerjasama yang sedia ada terjalin mahupun yang baharu akan teruskan tanpa apa-apa yang menghalang. Insya-Allah. Saya yakin dan percaya tiada apa-apa yang menghalang ini kecuali takdir Allah SWT sahaja.
Kalau tidak ada duit, minta maaf; saya bilang awal-awal, tiada duit. Tapi mengingat kepada prestasi kewangan yang lepas, sebuah ikatan penulis Sabah seperti kita ini sekarang memerlukan RM 32,000 setahun untuk beroperasi. Kalau dapat bawah daripada itu, maka kita akan jalankan juga Ikatan ini, tetapi apa adanya saja.
Saya ingin mengingatkan rakan-rakan, terutamanya yang tidak mendapat pengecualian: harap dapatlah bayar RM 10 setahun sebab itu masih sahaja kewajipan di bawah Perlembagaan IPS. Kalau tidak mahu bayar RM 10 setahun, silakanlah membayar RM 150 sekali bayar.
Kita tidak akan biarkan RM 150 itu kosong sebab kita masih banyak buku sebenarnya. Siapa mahu baca kalau kita cetak banyak-banyak?
Bagi kita, yang lebih penting ialah mencari pembaca, bukan mencari pembeli sahaja. Kita kena pastikan buku-buku ini disampaikan. Jadi, kita telah usahakan untuk sampaikan buku-buku ini ke Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Kampus Kota Kinabalu, Perpustakan UMS. Saya pergi ke Labuan hari itu pun atas sebab yang sama. Kita perluaskan.
Untuk pengetahuan, buku yang mempunyai 15 orang penulis ini pun sebenarnya telah pun sampai di Labuan. Orang Labuan sudah boleh baca buku ini. Maka, tidak mustahil. Saya pergi ke perpustakaan yang seterusnya, saya bagi orang baca, ini karya SMK SANZAC; ini karya SMK Badin, Tuaran; ini karya SMK St. John, Beaufort.
Kita promosi karya orang, bukan karya diri sendiri. Tiadanya diri sendiri yang ingin promosikan karya diri sendiri sebab saya malas.
Yang saya rajin ialah beli buku-buku DBP yang sudah terbit hari itu, lima naskhah satu orang punya penulis; kita jual. Masih ada di luar tu. Kalau tidak terjual, bagilah. Tidak ada masalah pun sebab itu amal jariah Datuk Jasni (Datuk Jasni Matlani), pak Hasyuda (Hasyuda Abadi), bang Naddin (Abd Naddin Shaiddin), saya sendiri, kak Fauziah (Fauziah Moksin), Cikgu Puad (Profesor Madya Dr Mohammad Puad Bebit) dan sebagainya. Itu amal jariah semua orang.
Sebenarnya saya mahu cakap tadi, saya gembira Datuk Jasni datang sebab Datuk Jasni melihat amal jariah yang telah dia buat dulu pada tahun 1990. Kita telah berhasil pada hari ini. Tahniah saya ucapkan. Kita akan teruskan lagi.
Cumanya, untuk apa-apa yang terkurang daripada saya sendiri atau pun kesalahan daripada saya, saya mohon maafkan. Begitu juga pihak Majlis Tertinggi. Selanjutnya, saya serahkan nasib saya kepada Mesyuarat Agung ini untuk Mesyuarat Agung tentukan apa lagi.
Kalau bukan mungkin nasib saya, nasib Ikatan ini sendiri kerana kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi dan kalau bukan di sini, di mana lagi mahu ditentukan nasib kita semua?
Terima kasih.
Mesyuarat Agung Tahunan Ikatan Penulis Sabah 2024.
Sabtu, 13 Januari 2024, jam 1.00 tengah hari.
Sudut Penulis, Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Comments
Post a Comment