Kenyataan sempena Permulaan Penggal 2024-2026, Ikatan Penulis Sabah


Ikatan Penulis Sabah (IPS) telah banyak berubah sepanjang lebih kurang dua tahun kebelakangan. Sebelum 6 Februari 2022 pun, IPS itu sendiri sentiasa bersifat dinamik dan, oleh itu, sentiasa terbuka dengan perubahan yang berlaku di hadapan.

IPS tetap saja mengakar umbi di tanah air kita ini. Tetapi, IPS sentiasa dipandu oleh prinsip istiqamah dan wasatiyyah yang membolehkannya mencapai impak yang tinggi dengan kaedahnya yang tersendiri.

IPS telah membuktikannya dengan banyak cara. Hanya saja saya tidak dapat menceritakan semuanya, kecuali Mesyuarat Agung Tahunan IPS 2024 yang berlangsung pada pagi hari ini (Sabtu, 13 Januari 2024) yang sudah kita saksikan beberapa peningkatan berbanding sebelumnya.

Sebabnya, IPS – hatta diri saya sendiri – telah menghadapi cabaran yang tidak kurang besarnya; untuk sekurang-kurangnya beberapa waktu yang telah meninggalkan kita. Saya menerima sekadarnya dan saya mohonkan kemaafan atas salahnya, silapnya, lemahnya dan kurangnya saya, apa pun kapasiti diri saya.


Yang lebih penting kepada IPS ialah untuk tetap bergerak ke depan sahaja, menjadi penyelesai dan pemudah cara kepada masalah yang masih melanda bangsa dan negara kita dan sahabat kepada ramai yang masih dan akan bergerak dengan langkah dan jalan yang sama dengan kita.

Saya tidak janji untuk menjadi yang pertama dan utama dalam kalangan ramai yang masih ada; ada yang tidak dapat menerimanya. Tetapi, saya boleh jamin, dengan menjadi satu dan semua, banyak lagi yang boleh kita capai bersama-sama… sesuai dengan kedudukan IPS yang sedang dan akan selalu baik-baik saja di tangan para pengelolanya.

Comments