Di Langit Kuching dan Kota Samarahan


Salah satu daripada banyak mimpi yang saya simpan di suatu tempat yang hanya saya ketahui ialah untuk belajar di Sarawak. Saya datang ke Kota Samarahan buat julung kalinya – dan akan datang lagi selepas kali ini – untuk mewujudkan mimpi agar menjadi realiti.

Setelah itu, saya masih saja bermimpi tanpa mengira malam atau siang hari… apatah lagi setelah 14 tahun terakhir kali belajar di Kuching selama empat hari, saya menunggu hari seperti hari ini. 14 tahun kemudian, saya masih saja tercari-cari mana yang dulu, kini dan selamanya di sini, guru-guru dan sahabat-sahabat saya.

-----


14 tahun lepas, saya dibawa oleh sekolah lama (Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Inanam, Kota Kinabalu) mengikuti Program Pertukaran Pelajar dengan SMKA Tun Ahmad Zaidi, Kuching selama empat hari. Program yang diadakan di bawah inisiatif Ashabul Imtiyaz ketika itu bertujuan membawa pelajar Tingkatan Tiga SEMAI waktu itu untuk melihat suasana pembelajaran yang berbeza di sebuah sekolah yang terletak juga di negeri yang berbeza. Berkat empat hari saya menuntut di TUNAZ, maka saya pun bersahabat dengan orang-orang di sana.


TUNAZ membalas lawatan tersebut pada tahun 2011. Pengetua yang dahulunya membawa saya dan sahabat-sahabat di SEMAI mengunjungi Kuching ialah pengetua yang sama membawa sahabat-sahabat dan rakan-rakan di TUNAZ mengunjungi Kota Kinabalu. Salah seorang yang berada dalam salah satu daripada tiga keping gambar yang ditayangkan semula melalui penulisan bercampur ini, merupakan salah seorang anggota delegasi yang mengunjungi saya di SMKA Kota Kinabalu dan sahabat-sahabat yang masih berada di SMKA Tun Ahmadshah (SEMAI yang ditukar namanya selepas 9 September 2009).


14 tahun kemudian, sebilangan mereka telah menjadi doktor perubatan di dalam dan luar Malaysia. Sebilangan mereka yang lain menjalani profesion masing-masing, baik sebagai hakim, peguam, jurutera, teknologis maklumat mahupun pensyarah. Pendek kata, masa depan yang kami sama-sama kejar dengan cara kami sendiri dulu, telah terjawab menjadi masa kini. 

Dalam tempoh tersebut, ada yang menuntut di universiti yang sama dengan saya, baik di kampus Petaling Jaya, Gombak, mahupun Kuantan. Ada yang telah saya jenguk di Seremban kerana melanjutkan pengajian di sana. Ada juga doa saya yang dimakbulkan pada tahun 2019 apabila salah seorang daripada yang saya temui di TUNAZ, akhirnya melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau telah tamatkan pengajian peringkat diploma lepasan ijazah di sana dengan jayanya. Banyak lagi cerita yang saya ingat dan saya tidak ingat mengenai TUNAZ, guru-gurunya, sahabat-sahabat saya dan rakan-rakan saya yang berada di sana.

Sebelum puisi dengan tajuk yang dinyatakan dalam halaman ini saya tulis, saya telah sempat bercakap dengan seorang sahabat senior dan seorang sahabat junior TUNAZ-UIAM. Saya juga telah sempat berjumpa langsung dengan seorang ustazah di tempat saya menyambung pengajian kini, yang dulunya merupakan rakan sekelas saya semasa saya belajar secara pertukaran di TUNAZ dulu. 

-----

(i) Kuching

Kubu yang menugu di pintu masuk itu
masih saja tidak berubah warnanya
dua jingga yang sirna dan bercahaya

Dinding-dinding bangunan yang menawaf
mengelilingi dataran yang tidak berbongkah
belum berubah mudanya tubuhnya, raga dan saraf

Panglima mungkin saja bertukar baton
tetapi masih di situ perwira dan bintara yang waja
mempertahan sebuah nama yang berharakat mulia

Sambutannya tetap saja meriah, rasanya masih indah
dialu tanpa kompang, tetapi hati yang tidak kontang
mendakap kasih sepupu yang melompat dari seberang

Hilai tawa masih saja ada. Masing-masing masih menyimpan
cerita yang hanya terungkap setelah kedua-dua sepupu berdatangan
sebelum disimpan semula di khazanah Tuhan, dibuka pada masa muka.

(ii) Kota Samarahan

Tidak pernah wajah ini menatap wajahnya
yang mencipta seribu sejarah buat istana burung yang
mengangkat harkat dan martabat keilmuan dan kemahirannya

Dua kaki tidak larat menapak berjalan
Sesekali kaki sebelah telah terasa kesakitan
kerana melalui titan hidup yang tiada mundur, hanya terus

Wujudnya bermakna. Jiwa dan raga yang bermata
turut merasai seawal dari tanah air Pantai Dalit agar
di gerbang Samarahan, air tasik itu diminum dengan gelas hikmah

Airnya tidak manis. Air tasik itu telah tercampur air mata
membayangkan bangunan tawaf itu, ingatan masih saja menebal
lagikan yang aku kasihi sampai kini, seperti aku yang ada cita dan kasih

Bayang itu tetap ada di kalbu dan hakibah sewaktu-waktu
agar suatu hari, jawapan yang dibalas tetap saja nuan berita
kepada eyan abar dan palap kam yang mengiringmu denakan

Kota Samarahan, 15 November 2023

-----

Glosari

denakan (Bajau) = saudara

eyan abar (Bajau) = apa khabar

nuan berita (Iban) = khabar baik

palap kam (Bajau) = baik-baik, ya

Comments