Ucapan sempena Program 'Puisi Adalah...: Apresiasi Hari Malaysia bersama Komuniti'


"Hari Malaysia selalu saja dirayakan di bandar-bandar besar, biasanya di peringkat negeri dan kebangsaan. Ada baiknya pada hari seperti hari ini, kita lari seketika daripada kebiasaan. Kita bawakan peringatan dan perayaan besar ini ke kawasan yang tidak selalu kita fikirkan; itulah kawasan pedalaman yang sentiasa menyimpan banyak harapan, luahan dan pengertian."

Tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari yang saya banggakan:

Siangnya hari tidak pernah kaku,
meskilah tertumpah nila di kata;
Selamat hari lahir negaraku,
tempatlah tumpah kesetiaan kita.

Hari ini, genaplah 60 tahun berdirinya di tengah-tengah dunia, Persekutuan Malaysia dan 14 buah negara bahagiannya. Hari ini juga, genaplah 60 tahun Sabah menjadi bahagian yang penting dalam pembentukan dan penerusan Persekutuan Malaysia.

60 tahun ternyata bukanlah kelmarin. 60 tahun merupakan suatu tempoh yang panjang untuk suatu sejarah yang panjang. Sama ada kita lahir sebelum mahupun selepas pengasasan Malaysia, segalanya telah kita lalui. Baik pahit atau manis, suka atau duka, semuanya juga telah terjadi.

Tetapi, kita bukanlah dari kalangan mereka yang berputus asa. Kita selalu dididik oleh orang tua dan guru kita agar tetap bersemangat waja menghadapi lebih banyak episod sejarah yang tidak selalu dapat diduga.

Walaupun hari ini hari kelepasan am Persekutuan, hari ini bukanlah hari untuk jeda mahupun berhenti daripada kehidupan. Hari ini merupakan titik penerus kepada kehidupan kita sebagai sebuah bangsa dan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,

Hari Malaysia selalu saja dirayakan di bandar-bandar besar, biasanya di peringkat negeri dan kebangsaan. Ada baiknya pada hari seperti hari ini, kita lari seketika daripada kebiasaan. Kita bawakan peringatan dan perayaan besar ini ke kawasan yang tidak selalu kita fikirkan; itulah kawasan pedalaman yang sentiasa menyimpan banyak harapan, luahan dan pengertian.

Dalam hal ini, kami, keluarga besar Ikatan Penulis Sabah (IPS), merasa bertuah dan berterima kasih sekali kepada Kawasan Rukun Tetangga Empat Sahabat, Kota Marudu yang dipengerusikan oleh Encik Amat bin Ali Omar kerana telah menghadirkan IPS ke mari dan telah bersama mewujudkan mimpi menjadi realiti, iaitu untuk meraikan hari lahir negara kita di sini, di kampung ini.

Kami bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana walaupun kami tidak ramai, kami tetap ada. Ketika kami tidak selalu dipandang bererti, kami sentiasa ada, berdiri dengan taat dan setia untuk ibu pertiwi.

Kami tetap bererti untuk semua yang sudi. Amalan kami hanyalah untuk menyantuni semua yang sudi disantuni. Peranan kami hanyalah untuk memantapkan jiwa, mencekalkan minda, memajukan bangsa dan menyumbang karya kepada negara dengan cara kami sendiri.

Kami juga bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kami tidak melakukannya sendiri. Atas nama diri saya sendiri dan keluarga besar IPS, saya menyampaikan ucapan terima kasih kepada Ketua Jabatan saya, Tuan Ts. Sudirman bin Hammade, rakan-rakan pegawai, kakitangan dan pelajar Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) yang telah sudi bersama turun tangan menjayakan perayaan Hari Malaysia kita pada hari ini.


Kami juga menyampaikan ucapan terima kasih atas dukungan terhadap majlis ini daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah; Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Matunggong, Jabatan Ketua Menteri Sabah; Pejabat Perpaduan Daerah Kota Marudu dan Pitas; Hospital Kota Marudu; Pejabat RELA Daerah Kota Marudu; Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kota Marudu serta pihak yang kami tidak dapat sebutkan namanya satu persatu.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan,

Hari Malaysia ternyata bukanlah sekadar hari untuk memperingati pengasasannya oleh Borneo Utara, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Pada sudut pandang yang lebih luas, Hari Malaysia harus kita lihat sebagai sebuah mercu kepada perpaduan dan keterangkuman yang kita sama-sama impikan dan usahakan.

Oleh hal yang demikian, kita tidak sekadar memperingati hari lahir Persekutuan Malaysia pada tarikh seperti hari ini (16 September), tetapi juga merayakannya dengan rasa syukur dan bangga sebagai anak Sabah berjiwa Malaysia.

Sebagai teraju utama IPS dan pemimpin negeri Sabah di lapangan bahasa, sastera dan budaya, saya bersyukur dan berbangga dengan peranan bahasa, sastera dan budaya dalam memupuk dan mengekalkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Sabah. Kerencaman dan keberagaman etnik dan budaya sentiasa menjadi sumber insiprasi kepada golongan yang berkarya.

Sastera, secara realitinya, sentiasa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk jati diri sebuah bangsa, sebuah negara dan sebuah tamadun. Peranannya tidak berkurang pula pentingnya ketika gagasan Malaysia Madani diilhamkan dan hala tuju Sabah Maju Jaya ditatarkan.

Melalui kata-kata, kita mampu menceritakan kisah-kisah kepahlawanan, menghidupkan legenda dan mitos, serta merungkai semangat kebangsaan yang mampu merentasi kepelbagaian bangsa, bahasa dan budaya. Sastera ternyata bukan sekadar wahana untuk menghibur, tetapi juga instrumen yang ampuh untuk memupuk semangat cinta akan tanah air dan mengukuhkan kepercayaan sesama kita.

Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman,

Penulis-penulis Malaysia di dalam dan luar Sabah sentiasa mempunyai tanggungjawab untuk menyatukan kita sebagai sebuah bangsa dan sebuah negara. Merekalah 'diplomat' yang senyap, yang bekerja melalui pena dan kertas, melalui kata dan ayat yang gramatis dan puitis, untuk membawa kita lebih dekat ke arah visi perpaduan yang tuntas.

Dalam hal ini, kami di IPS bersedia untuk memekarkan kebertanggungjawaban para pengkarya tempatan terhadap pembinaan dan pengembangan berterusan karya-karya yang mengangkat semangat kebangsaan, menghargai keunikan kearifan tempatan, serta mempromosikan perpaduan dan keterangkuman.

Sebelum ini pun, kami di IPS, dengan dukungan pelbagai pihak yang namanya tidak dapat kami sebutkan satu persatu, telah menyumbang sebaik mungkin demi kepentingan bangsa dan negara. Program ‘Puisi Adalah…: Apresiasi Hari Malaysia bersama Komuniti’ ini merupakan program yang ke-54 yang melibatkan IPS pada tahun ini dan setakat hari ini.

Alhamdulillah, kami telah mencapai sasaran 52 buah program untuk tahun ini pada Jumaat lepas (8 September 2023) menerusi Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat ILPKK. Kami juga telah berjaya menerbitkan tiga siri Majalah Komposisi secara dalam talian dan lima buah buku fizikal pada tahun ini setakat hari ini; belum termasuk 11 buah buku karya ahli IPS yang telah diterbitkan dan akan diterbitkan oleh DBP menjelang Oktober tahun ini. Kejayaan ini menyumbang kepada petunjuk prestasi organisasi pada tahap 95 peratus setakat hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang kami banggakan,

Amalan dan perjuangan kami akan berterusan. Banyak lagi yang kami di IPS akan lakukan pada masa hadapan dengan dukungan pelbagai pihak secara berterusan.

Dengan memohon taufik dan hidayah daripada Allah SWT, IPS mengumumkan permulaan pertandingan Hadiah Puisi K. Bali pada hari ini dan pada saat ini. Kami mengundang para penulis dari dalam dan luar Sabah untuk menyumbang sebuah manuskrip buku kumpulan puisi berisi paling kurang 50 buah puisi untuk dipertandingkan, dinilai dan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.



Sempena perayaan negara kita pada hari ini, saya mengajak diri saya sendiri dan semua yang lain agar terus menghargai bahasa, sastera dan budaya sebagai penyumbang kepada perpaduan dan keterangkuman masyarakat kita. Saya yakin, dengan doa, restu dan dukungan daripada semua, mimpi kita semua ke arah Malaysia yang lebih bahagia dan Sabah yang lebih maju dan berjaya berbanding sebelumnya akan terwujud tepat pada waktunya. InsyaAllah.

Selamat jeraya di kampung kita,
Walau dijemur, jalan selesa;
Selamat meraya negara kita,
Panjang umur, aman sentosa.

Selamat Hari Malaysia. Terima kasih atas semua cinta.

Puisi Adalah...: Apresiasi Hari Malaysia bersama Komuniti
Sabtu, 16 September 2023, jam 11.40 pagi.
Anjung Fikrah, Kampung Seri Aman, Kota Marudu, Sabah.

Comments