Mengenali 'Putih yang Memadam Pudar'


Saya mengenali seorang sahabat kecil dari Tawau pada awal tahun 2020 menerusi aplikasi Instagram. Masa itu, saya belum bersahabat dengan beliau dan hanya berkenalan sekadarnya dengan beliau.

Beliau pernah menyaksikan saya menyampaikan tazkirah di surau sekolahnya pada suatu hari di bulan Februari tahun tersebut. Oleh sebab itu, pada pandangan saya ketika itu, beliau mengikuti saya di Instagram, lalu saya juga mengikuti beliau.

Ketika saya mengintai halaman Instagram beliau, saya mendapati beliau mempunyai kemahiran menyampaikan tazkirah dengan sangat baik. Malah, penerangan beliau terhadap sesuatu perkara yang dikupasnya juga agak terang dan nyata. Menariknya, beliau ketika itu baru sahaja berada di Tingkatan Dua!

Saya membayangkan betapa hebatnya kurniaan Allah kepada beliau sehingga seawal usia 14 tahun, beliau menyampaikan sesuatu ilmu seolah-olah usianya ditambah lagi sebelas tahun. Kehebatan beliau terbukti tidak boleh disangkal lagi.

Sepanjang beliau bersekolah di satu-satunya sekolah tahfiz milik Kementerian Pendidikan di Kota Kinabalu, beliau telah memenangi tempat ketiga, pertandingan hafazan al-Quran peringkat negeri Sabah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah bagi juzuk satu hingga 10, kategori lelaki sebanyak tiga kali.

Saya sendiri telah menyaksikan beliau bertanding dalam dua siri pertandingan tersebut, baik secara bersemuka mahupun secara dalam talian. Malah, saya sendiri telah sempat hadir ke tempat berlangsungnya pertandingan tersebut pada awal tahun 2023 ketika beliau memenangi tempat ketiga dalam pertandingan, acara dan kategori yang disebutkan untuk kali yang ketiga, sebagai tanda dukungan saya terhadap usaha murni yang dilakukan oleh sahabat kecil tersebut berserta guru tasmik beliau.

Saya sempat menulis sesuatu setelah beliau meraih kejayaan tersebut. Tulisan tersebut terkandung dalam salah satu puisi yang terkandung dalam buku kumpulan puisi ‘Bintang Mimpi’ (Ikatan Penulis Sabah, 2023).

Aku tidak melihat butir pingat dan piala gangsa
tetapi hatinya yang membias senyum dan bahagia

– Piala Gangsa (hlm. 52)

Saya sempat ‘hilang hubungan’ dengan beliau pada suatu ketika, terutamaya ketika COVID-19 melanda dunia. Namun, sejak saya dapat ‘kembali’ kepada sahabat kecil tersebut dan mengenali beliau dengan lebih baik pada pertengahan tahun 2022, saya selalu mengikuti rapat perkembangan beliau selama beliau menuntut di sekolah tahfiz tersebut.

Saya bersyukur kerana telah mendapat beberapa kesempatan bergiat dengan persatuan alumni sekolah lama saya. Oleh sebab itu, saya juga telah mendapat beberapa kesempatan untuk mengunjungi sekolah dan melihat sendiri perkembangan sekolah dan warganya.

Setiap kali saya berkunjung ke sekolah, setiap kali itu jugalah beliau meraikan kedatangan saya di tengah-tengah jemaah surau sekolahnya. Menariknya, ‘penyambut’ saya itu bukan calang-calang orang. Guru-guru dan rakan-rakan sepengajian beliau menerangkan beliau sebagai seseorang yang serba boleh.

Sebagai sebahagian daripada sejarah sekolah tahfiz tersebut, beliau merupakan satu-satunya pelajar di situ yang berjaya menghabiskan hafazan 30 juzuk al-Quran sebanyak tiga kali pusingan sepanjang tempoh lebih kurang empat tahun persekolahan. Rakan-rakan alumni sekolah lama saya memandang sahabat kecil saya itu sebagai masa depan yang amat cerah untuk bangsa dan negara. Malah, ada dalam kalangan mereka yang berharap sahabat kecil saya itu dapat menjadi seseorang yang terpenting di Sabah pada masa hadapan.

Ketika beliau belum dirasakan menjadi siapa-siapa, beliau telah memiliki kedudukannya yang tersendiri, terutamanya pengajian tahfiz, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Di samping menjadi kawan kepada semua, beliau juga telah menjadi pemudahcara kepada beberapa orang rakan sepengajian dan guru kepada anak-anak kecil yang menuntut ilmu al-Quran dengan beliau di surau sekolah tahfiz tersebut.

Sepanjang persahabatan saya dengan beliau, saya telah menjadi makmum beliau dalam beberapa kali solat fardu berjemaah di surau sekolahnya. Saya juga pernah menjadi murid beliau dalam beberapa perkongsian ilmu yang beliau sendiri kelolakan, yang melibatkan beberapa orang murid dalam kalangan rakan sepengajian beliau.

Persahabatan saya dengan beliau sedikit sebanyak memotivasikan saya untuk menulis sebuah lagi puisi dalam buku ‘Bintang Mimpi’. Puisi ini saya tulis ketika menanti kehadiran beliau di hadapan saya pada suatu petang di halaman asrama lelaki sekolah tahfiz tersebut. Ketika puisi ini berjaya disiapkan dalam masa yang singkat, puisi ini benar-benar menjadi refleksi yang menerangkan keperibadian sahabat kecil saya yang tersebut.

Enam ratus ribu huruf itu telah dia simpan
dibaca dan diulang dengan penuh kesetiaan

Dari awal hingga akhir tujuannya hanya satu
untuk membawa huruf-huruf itu jauh ke situ

– Putih yang Memadam Pudar (hlm. 67)

‘Putih yang Memadam Pudar’ sebetulnya menyimpan tiga makna. Setiap makna datang daripada sesuatu sudut pandang yang tersendiri. Pertama ialah al-Quran yang menjadi petunjuk dan cahaya kepada sekalian manusia. Kedua, guru merupakan pemudahcara kepada masyarakat yang ingin mendekati dan menceburi ilmu. Ketiga dan yang tidak kurang pentingnya, sahabat kecil saya yang kebetulan putih orangnya, semakin putih dan ceria kerana ‘enam ratus ribu teman’ yang sentiasa berada di hatinya.

Dari itu sejuta langkahnya tak lagi tersesali
kerana ada enam ratus ribu teman sehari-hari

– Putih yang Memadam Pudar (hlm. 67)

Sejujurnya, saya mahu menjadi seperti diri beliau yang memiliki segala-galanya yang boleh dipelajari dan dikongsi daripada beliau, yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat sekitar. Tetapi, di sebalik pelbagai kekurangan dan kelemahan diri, alangkah baiknya saya menjadi diri saya sendiri sambil berusaha mengamalkan amalan yang telah beliau lakukan, kerana akhirnya…

Aku bukan dia, mungkin tangan ini akan terbiar
tetapi aku minta waktu, ke arah akhir ikhtiar

– Putih yang Memadam Pudar (hlm. 67)


Saya mengajak para pembaca untuk membaca penulisan ini bersama-sama buku kumpulan puisi ‘Bintang Mimpi’ terbitan Ikatan Penulis Sabah (2023) yang mengandungi puisi-puisi seperti ‘Piala Gangsa’ dan ‘Putih yang Memadam Pudar’. Penulisan ini disediakan, selain sebagai tanda terima kasih saya kepada sahabat kecil tersebut, untuk mengingat semula pengalaman dan peristiwa yang telah saya lalui sehingga puisi-puisi tersebut ditulis dan diterbitkan dalam sebuah buku kumpulan puisi karya saya sendiri.

Telah diterbitkan dalam Majalah Komposisi, Edisi 3/2023.

Comments

  1. Terbaik! Boleh kongsikan nama laman Instagram beliau untuk kami menatap & mengambil manfaat serta jadikannya sebagai inspirasi juga 😍

    ReplyDelete

Post a Comment