Pengorbanan Meraih Cinta Terakhir


"Ketika kita memiliki cinta, kita merasakan bahawa kita mempunyai segala-galanya di dunia walaupun hanya pinjaman daripada Allah semata-mata. Namun, ketika kita kehilangan cinta, barulah kita tersedar bahawa Allah bukan sahaja Maha Berkuasa memberikan kita cinta, tetapi juga Maha Berkuasa mengambil semula daripada kita sesuatu yang kita anggap sebagai cinta."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia: Salam Malaysia Madani, Salam Sabah Maju Jaya dan Selamat Hari Raya Aidiladha.

Mari kita mulakan hari ini dengan mengucapkan segala puji dan syukur kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa kerana dengan izin dan rahmat-Nya, dapatlah kita meraikan hari ini dengan rasa sukacita. Mari kita iringinya jua dengan jiwa yang merasa takut kepada Allah, jiwa yang beramal dengan kalam-Nya, jiwa yang bersederhana dengan sesuatu yang tidak seberapa, dan jiwa yang bersedia untuk mengharungi hari kita semua kembali kepada-Nya. Semoga dengan memiliki jiwa yang bertaqwa, kita dapat meraih kasih sayang-Nya di dunia ini dan di akhirat sana.

Atas nama peribadi dan keluarga, bangsa dan negara, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua sempena perayaan Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik yang berikutnya. Saya menaruh harapan agar hari besar ini dan tiga hari besar yang berikutnya dapat kita rayakan bersama-sama semua yang masih ada di sekeliling kita dengan rasa bahagia.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Realitinya, tidak semua kita meraikan Hari Raya Aidiladha pada hari ini. Pertama, kerana pada ketika ini, seramai 1,845,045 orang jemaah haji dari seluruh dunia sedang melengkapkan manasik haji pada ketika ini. Kita doakan agar mereka kembali ke tanah air masing-masing dengan memperoleh haji yang mabrur.

Kedua, kerana tidak semua kita diizinkan untuk meneruskan kehidupan pada hari ini. Sebahagian daripada kita telah terlebih dahulu pulang kepada Penciptanya. Termasuk dalam kumpulan ini adalah mereka yang terkorban dalam perjuangan di jalan Allah, membela nasib keluarga dan masyarakat, mempertahankan bangsa dan negara serta mendaulatkan syiar agama. Kita doakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan menempatkan mereka di Syurga bersama-sama orang-orang yang dikasihi-Nya.

Ketiga, kerana sebahagian daripada kita sedang bertugas di stesen penugasan masing-masing pada hari ini. Merekalah pegawai dan anggota tentera, polis, bomba, pertahanan awam dan pasukan berpakaian seragam yang lain yang memelihara dan mempertahankan kita semua di lautan, di daratan dan di langit tinggi. Merekalah petugas kesihatan yang bersiap sedia menjaga dan merawat para pesakit di hospital dan klinik kesihatan. Merekalah kapten, nakhoda, pemandu dan penunggang yang setia menghantar penumpang dan barangan ke tempat yang diinginkan. Tidak dilupakan, para pekerja di pelbagai sektor pekerjaan yang meneruskan pekerjaan masing-masing bagi menjaga kelangsungan masyarakat dan organisasi. Kita ucapkan terima kasih kepada mereka. Semoga pekerjaan mereka semua dipermudahkan walaupun cuti umum yang sepatutnya mereka nikmati pada hari ini, harus mereka lepaskan.

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah,

Keempat dan yang lebih penting, kerana kita yang tidak berihram haji disyariatkan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha. Seawal selepas solat fardu Subuh, 9 Zulhijjah, malah sehingga selepas solat fardu Asar, 13 Zulhijjah, kita disunatkan melaungkan takbir, tahlil, tahmid dan tasbih sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan kita, umat Islam, merayakan Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik berikutnya.

Pada awal pagi 10 Zulhijjah, kita dianjurkan menunaikan solat sunat Aidiladha sama ada di masjid, surau, tanah lapang atau kediaman masing-masing. (Alhamdulillah, kita telah selesaikannya sebentar tadi.) Bagi yang berkemampuan, sebahagian daripada empat hari perayaan dimanfaatkan untuk melaksanakan ibadah korban sesuai dengan firman Allah dalam Surah al-Kauthar, ayat 1 hingga 3 seperti yang telah dibacakan pada awal ucapan ini.

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah binatang korbanmu (sebagai tanda bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diingininya).”

Semua ini bertitik tolak daripada suatu peristiwa yang benar-benar menggambarkan pengorbanan sebagai cinta yang agung. Itulah kisah seorang ayah dengan anaknya, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS. Ketika si ayah diperintahkan oleh Allah untuk mengorbankan si anak, kedua-dua mereka menerimanya dengan hati yang redha sebelum kemudiannya si anak digantikan dengan seekor kibas.

Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang telah menjadikan ibadah korban di bulan Zulhijjah. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan korban sebagai bentuk cinta yang agung. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS sebagai asas kepada pensyariatan ibadah korban. Walillahilhamd! Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kemampuan kepada hamba-hamba-Nya untuk melaksanakan ibadah korban.

Muslimin dan Muslimat yang berbahagia,

Penyembelihan binatang korban bukan sahaja merupakan ibadah yang disyariatkan oleh Allah SWT dan dianjurkan oleh Rasul-Nya SAW untuk dilaksanakan oleh umat Islam pada setiap tahun, tetapi juga merupakan ibadah yang sangat besar ganjaran pahalanya. Apa tidaknya, penyembelihan binatang korban merupakan salah satu cara seorang Muslim mencapai darjat keimanan dan ketaqwaan di sisi Allah. Firman-Nya dalam Surah al-Haj, ayat 37:

“Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah ketaqwaan dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya, dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang ihsan (yang berusaha supaya sentiasa baik amalannya).”

Namun begitu, Hari Raya Aidiladha berikutnya tidaklah diciptakan untuk sekadar memperingati peristiwa dan sejarah penting pengorbanan, apatah lagi hanya untuk meneruskan ibadah korban yang disyariatkan oleh Allah untuk diadakan secara tahunan. Sebagai perayaan yang terbesar dalam Islam, Hari Raya Aidiladha merupakan kesempatan yang berharga untuk memperbaiki dan menguatkan hubungan kekeluargaan, kekerabatan, persahabatan dan persaudaraan sesama insan.

Selain ibadah korban, kita digalakkan bertukar-tukar ucapan tahniah dan selamat sempena empat hari perayaan, kunjung-mengunjung sesama ahli keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan, memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin, yatim piatu, orang kelainan upaya dan golongan-golongan yang memerlukan pembelaan, dan bertukar-tukar pemberian sebagai tanda kasih sayang dan ingatan. Sebabnya, di samping untuk melaksanakan ibadah korban, Hari Raya Aidiladha diciptakan untuk membolehkan kita bersyukur dan bergembira dengan segala nikmat yang Allah kurniakan bersebab daripada terlaksananya ibadah korban.

Muslimin dan Muslimat yang dimuliakan,

Di sebalik rasa sukacita yang Allah kurniakan kepada kita semua di Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik berikutnya, terdapat pula satu hal yang kita perlu mengerti sebaiknya. Kehidupan sentiasa mengenai pengorbanan. Kehidupan juga sentiasa menuntut pengorbanan. Hakikatnya, setiap manusia terikat dengan kewajipan untuk berkorban. Tidak ada manusia yang menjalani kehidupan di dunia ini yang tidak diuji. Tidak ada juga manusia yang diuji hampir setiap hari, tidak mempunyai sesuatu untuk diperjuangkan dan sesuatu yang lain untuk dikorbankan.

Ketika kita merasa gembira kerana menerima sesuatu yang berharga pada suatu hari yang bermakna, kita kadangkala terlupa, kita tidak akan berada di dunia ini selama-lamanya. Malah, setiap sesuatu yang berada di dunia ini juga, di samping permulaan, akan ada pengakhiran. Sebelum tiba hari kita ditakdirkan beralih ke alam yang berikutnya, akan tiba hari yang membuatkan kita berdukacita kerana sesuatu yang berharga akan terlepas dari genggaman kita pada suatu hari yang tidak dijangka-jangka.

Ketika kita memiliki cinta, kita merasakan bahawa kita mempunyai segala-galanya di dunia walaupun hanya pinjaman daripada Allah semata-mata. Namun, ketika kita kehilangan cinta, barulah kita tersedar bahawa Allah bukan sahaja Maha Berkuasa memberikan kita cinta, tetapi juga Maha Berkuasa mengambil semula daripada kita sesuatu yang kita anggap sebagai cinta.

Benarlah kata orang, kita tidak selalu mensyukuri segala yang ada di sekeliling kita. Hanya setelah ketiadaan, barulah kita terbangun daripada mimpi, menghargai segala yang mana mungkin akan kembali untuk selamanya. Janganlah nanti setelah terhantuk, baru terngadah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada lagi gunanya.

Ada baiknya kita detikkan hati dan minda untuk kembali kepada Tuhan yang Maha Memulakan dan Maha Mengakhirkan segala yang ada di dunia, termasuk cinta. Lazimkan diri kita mengingati bahawa Dialah Allah, cinta pertama dan cinta terakhir kita. Kita juga masih ada Rasulullah SAW untuk kita hayati cinta sejati Baginda kepada keluarga, sahabat dan umat.

Pada masa yang sama, mari kita gunakan kesempatan yang berharga pada Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik untuk memperbaiki hubungan, menguatkan kesefahaman, serta menghargai dan membalas jasa dan bakti mereka yang telah dan masih mengorbankan sesuatu untuk kita. Hakikatnya, Hari Raya Aidiladha merupakan medan yang terbaik untuk menyampaikan ucapan terima kasih kita kepada mereka, bukan sahaja sebagai penghargaan kita kepada mereka, tetapi juga sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah.

Kepada ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban mengasuh dan membesarkan, guru-guru yang banyak berkorban dalam mendidik anak-anak muridnya menjadi insan yang berguna pada masa hadapan, sanak saudara dan jiran tetangga yang banyak berkorban mengekalkan suasana kekeluargaan dan kejiranan, sahabat-sahabat rapat yang banyak berkorban mewujudkan persahabatan yang berkekalan, dan rakan-rakan yang banyak berkorban memastikan segala impian dapat direalisasikan, terima kasih banyak-banyak atas segalanya yang telah diberikan dan dikongsikan.

Kepada seluruh masyarakat Malaysia Madani yang telah dan masih berjuang dan berkorban, terima kasih banyak-banyak atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan. Terima kasih banyak-banyak juga diucapkan kerana menjadikan 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' suatu kenyataan. Semoga Allah menerima daripada mereka dan kita segala pengorbanan dan mengurniakan kekuatan kepada mereka dan kita untuk meneruskan perjuangan.

Khamis, 29 Jun 2023, jam 8.00 pagi.
Surau Al Azwar Ronalan, Kampung Monteki Kauluan, Kundasang, Ranau, Sabah.

Comments