Cinta Terakhir: Cerita dan Imbauan Sedalam Rasa


Sudah menjadi Sunnatullah dan resam dunia, setiap manusia yang hidup di dunia ini dikurniakan dengan cinta dan cita-cita. Ketika cita-cita bercerita tentang bayangan, kehendak dan harapan seseorang pada masa depan yang penuh dengan ketidakpastian, cinta bercerita tentang kedekatan, ketertarikan, keterujaan dan minat seseorang pada seseorang yang lain atau sesuatu yang tidak manusiawi.

Begitu pun, cinta itu sendiri merupakan perkara yang juga sarat dengan ketidakpastian. Sebabnya, cinta bukan sahaja bercerita tentang kenangan pada masa lalu dan kehidupan pada masa kini, tetapi juga bercerita tentang harapan dan impian pada masa depan. Oleh itu, Aiman Sidek (2008) dalam lagu ‘Cinta Terakhir’ menyatakan, tidak ada apa-apa jaminan dapat diberikan kepada sesiapa pun jua bahawa cinta yang terjadi pada hari ini akan terus terjadi pada esok hari.

Mungkinkan terputus di tengah jalan
Mungkinkan terlerai tanpa ikatan
Usah ragu dengan takdir

Mungkin kitakan berbeza haluan
Berakhirnya cerita percintaan
Segalanya ketentuan Tuhan

Cinta itu sendiri sesuatu yang tidak berkekalan. Seseorang belum tentu dicintai oleh orang yang dia selama ini cintai. Sama halnya dengan seseorang yang mencintai seseorang yang lain pada hari ini, belum tentu orang yang sama mencintainya pada esok hari. Kalaupun kedua-dua orang tersebut saling mencintai sesama sendiri, cinta itu sendiri sifatnya tidak abadi di dunia ini.

Pengorbanan, Cinta yang Agung

Sampai ke suatu tahap, seseorang harus mengorbankan sesuatu yang dia cintai kerana mengejar cinta yang lebih hakiki. Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik yang disambut pada 10 hingga 13 Zulhijjah setiap tahun Hijri selalu mengingatkan bahawa tidak akan ada sesuatu yang kita miliki akan kekal abadi dan harus direlakan apabila telah sampai waktu yang ditakdirkan Ilahi.

Walaupun yang dikorbankan pada salah satu hari yang dimaksudkan hanyalah seekor binatang al-An’am seperti kambing, lembu atau unta, pengorbanan tersebut bukan sekadar suatu simbolik yang mengulang kisah Nabi Ibrahim AS ‘mengorbankan’ Nabi Ismail AS. Tetapi, yang lebih besar daripada itu, pengorbanan tersebut membuktikan kerelaan seseorang untuk mengejar cinta Allah SWT dan Rasul-Nya SAW dengan melepaskan sesuatu yang ternyata hanya bersifat sementara.

Dalam tempoh tiga bulan terakhir sehingga penulisan ini dapat disiapkan, saya (penulis) cuba mengerti bahawa cinta mungkin sahaja harus dikekalkan dan dipertahankan sekuat jiwa dan raga, tetapi tidak semestinya dengan hanya memiliki. Hakikatnya, kita semua, manusia, merupakan milik Allah yang Maha Mencipta. Saya tidak memiliki sesiapa melainkan sementara dipinjamkan kepada saya dan saya juga tidak dimiliki oleh sesiapa melainkan sementara saya pinjamkan diri ini kepadanya.

Atas kesedaran diri ini dipinjamkan untuk dicintai dan meminjam orang lain untuk mencintai, maka saya mohon kepada Allah SWT agar cinta sementara ini mendapat restu-Nya yang berterusan selamanya. Saya sentiasa percaya jaminan yang Allah SWT berikan kepada hamba-hamba-Nya yang berkasih sayang sesuai dengan sebuah hadis.

Saidina Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah akan berfirman pada Hari Kiamat, ‘Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Hari ini Aku naung mereka di bawah naungan-Ku pada hari yang tidak ada naungan dihamparkan selain naungan-Ku.’” (Hadis riwayat Muslim, hadisnya sahih.)

Cinta Sementara

Cinta hanya berterusan pada suatu ketika, di suatu tempat dan dalam suatu keadaan yang mungkin sahaja diusahakan oleh orang-orang yang berkenaan. Namun, cinta sentiasa bergantung pada takdir Tuhan Maha Pemilik Cinta. Boleh sahaja cinta itu berakhir kerana salah seorang daripada mereka sudah beralih arah hatinya. Mungkin sahaja cinta itu berakhir kerana tertutup usia salah seorang daripada mereka. Tidak kurang pula sesuatu cinta berakhir kerana masing-masing ada cita-cita yang ingin dikejarnya.

Ketika seseorang berharap agar seseorang yang lain kembali lagi di sampingnya setelah seketika mengambil arah yang berbeza, tidak ada jaminan bahawa orang yang dia cintai akan kembali bersamanya seperti dahulu kala. Ketika seseorang bermimpi agar tertunai satu lagi hasratnya bersama seseorang yang dia cintai, tidak ada juga jaminan bahawa orang yang dia cintai akan berusaha untuk menunaikannya.

Ternyata Allah sebagai yang Maha Awal dan Maha Akhir, Maha Berkuasa memulakan sesuatu cinta serta mengakhirkan sesuatu cinta. Justeru, sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Tuhan yang Maha Kuasa, di samping kita meneruskan usaha sedaya upaya, kita dianjurkan untuk meminta sebenar-benar cinta kepada Tuhan Maha Pemilik Cinta.

Cinta Terakhir Manusia ialah Cinta Pertamanya

Hakikatnya, ‘cinta terakhir’ seorang manusia ialah cinta pertamanya. Benar, setiap manusia mempunyai konotasi yang tersendiri terhadap ‘cinta terakhir’. Malah, saya sendiri mempunyai takrifan ‘cinta terakhir’ yang tersendiri. Pun begitu, tidak akan ada sesiapa yang dapat menyangkal hakikat bahawa Allah SWT, Tuhan yang Maha Menciptakan seluruh alam semesta, merupakan cinta pertama dan ‘cinta terakhir’ setiap manusia.

Begitulah juga keadaannya dengan Rasulullah SAW yang mengajarkan manusia erti dan cara bercinta berdasarkan petunjuk wahyu Allah SWT, iaitu untuk mencintai manusia yang lain sesuai dengan masa, keadaan dan kedudukan mereka. Dalam hal ini, Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umat manusia akan tiga peranan asasnya, iaitu untuk menjadi hamba kepada Allah SWT (al-Quran, 51:56), khalifah di muka bumi Allah SWT (al-Quran, 2:30) dan Daie kepada sekalian makhluk Allah SWT (al-Quran, 3:104).

Dalam erti kata yang lain, ketika kita mempunyai diri kita sendiri, ibu bapa, isteri atau suami, keluarga, sanak saudara, guru-guru, sahabat-sahabat dan rakan-rakan, kita juga mempunyai masyarakat di sekeliling kita untuk kita santuni dengan cara kita sendiri. Yang berada dalam kekalutan, kita tunjukkan kepada kefahaman. Yang berada dalam kesusahan, kita berikan kemudahan. Yang berbalah, kita anjurkan kedamaian. Yang berada dalam kesedihan, kita usahakan ketenangan. Tidak kurang pula, yang berada dalam kegembiraan, kita ikut serta meraikan.

Begitulah cinta manusia yang saling melengkapi antara satu sama lain. Walaupun manusia mampu hidup bersendirian, manusia tetap memerlukan kepada manusia yang lain sesuai dengan aturan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Sudah menjadi fitrah, manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku dan dalam dua jantina yang berbeza untuk saling berkenalan antara satu sama lain (al-Quran, 49:13).

Mencintai Cinta Sementara dan Cinta Selamanya

Ketika ramai menyedari bahawa ‘cinta terakhir’ ialah orang terakhir yang dia akan cintai di akhir hayatnya di dunia ini, saya memahami ‘cinta terakhir’ dalam ruang pandang saya sendiri. Di samping orang-orang yang telah dan masih saya cintai, yang saya akan ucapkan terima kasih sampai bila-bila pun dengan cara saya sendiri, ‘cinta terakhir’ saya sebetulnya sama saja seperti ‘cinta terakhir’ mereka yang lain, iaitu Tuhan Maha Pemilik Cinta serta Kekasih-Nya yang Dia cintai.

Semoga Allah mengurniakan cinta yang tulus dan ikhlas dalam diri ini, semua yang mencintai saya dan semua yang saya cintai, sesuai dengan petunjuk-Nya dan ajaran Kekasih-Nya SAW. Sesungguhnya ‘cinta terakhir’ kita ialah cinta pertama dan abadi kita yang menunjukkan kita jalan untuk menuju ke Syurga dan kekal di dalam-Nya. Dialah yang mewujudkan rasa cinta dan benci dalam diri setiap manusia yang hidup di atas dunia, dan Dialah yang menghilangkan rasa benci dan mengekalkan rasa cinta setiap hamba-Nya yang layak menuju ke Syurga dan kekal di dalamnya untuk selamanya.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.” (Surah Maryam, ayat 96)

Comments