The Circle: Perjalanan Sebuah Usrah Dinamika


Saya pernah mengajar secara latihan di Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH), Tuaran di antara bulan Jun dan Julai 2016. Ketika itu, SMESH baru beberapa bulan berpindah dari kampus tetapnya di Bukit Padang, Kota Kinabalu ke kampus sementaranya di Kompleks Lama, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent di Jalan Bolong, Tuaran. Hal ini demikian kerana kampus tetapnya tidak lagi selamat untuk digunakan, perlu dirobohkan sepenuhnya dan dibina semula.

Sejak berada di SMESH Tuaran, malah setelah saya tidak lagi mengajar di SMESH Tuaran, saya sudah sering menunaikan solat fardu berjemaah bersama guru-guru dan pelajar-pelajar SMESH di Surau Nurul Yaqin. Saya juga sudah sering diundang oleh Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) SMESH untuk menjadi imam, muazzin dan penyampai tazkirah. Malah, saya pernah diundang dua kali juga oleh BADAR SMESH untuk naik ke mimbar dan menjadi khatib.

Saya juga pernah diberikan dua buah halaqah besar oleh BADAR SMESH untuk saya pimpin dalam majlis khatam al-Quran sempena Ihya Ramadan, masing-masing pada tahun Hijri 1438 (2016) dan 1440 (2018). Daripada dua buah halaqah khatam al-Quran tersebut, maka berpeluanglah saya duduk dalam bulatan bersama beberapa orang daripada mereka.

Daripada Halaqah Khatam kepada Kumpulan Fikir Masyarakat

The Circle telah wujud seawal bulan Julai 2016 dengan mempunyai tiga orang anggota tidak termasuk saya. The Circle juga wujud dari hujung tahun 2017 hingga hujung tahun 2018 dengan mempunyai lima orang anggota. Walaupun nama ‘The Circle’ belum berada di fikiran pada ketika itu dan, oleh itu, belum menjadi sebutan, kumpulan tersebut telah berfungsi dengan caranya yang tersendiri.


The Circle I bergambar secara berasingan pada bulan Julai 2016

Bermula daripada sebuah bulatan yang membualkan hal-hal peribadi dan sebuah pasukan yang cuba menghidupkan tradisi al-Quran dalam lingkup persekolahan, The Circle – yang belum mendapat namanya ketika itu – kemudiannya menjadi sebuah kumpulan yang membincangkan secara santai, bebas dan berkecuali, keadaan semasa dan masa depan negara dalam pelbagai aspek. Pilihan raya merupakan salah satunya.

Kami sempat berbincang mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan pilihan raya sekitar tahun 2018, baik sebelum mahupun selepas berlangsungnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Hanya saja mereka tidak sempat merasai pengalaman mengundi kerana umur minimum pemilih berdaftar ketika itu masih ditetapkan pada umur 21 tahun.


The Circle II pada penghujung SPM 2018

Pembinaan BADAR di Luar SMESH

Perbincangan bertemakan politik dan pemerintahan sempat juga mengambil tempat sekitar tahun 2019 selepas berlalunya kumpulan kedua dan masuknya kumpulan ketiga. Namun, kumpulan ini membawa fungsi yang lebih dinamik sehinggakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, Putatan mendapat manfaat langsung daripada kumpulan ini dalam bentuk penubuhan dan penjalanan BADAR di sekolah tersebut.

Penubuhan BADAR di SMK Tansau pada awal tahun 2019 tidak dibuat oleh saya sendiri. Muhammad Afiq Danial, salah seorang anggota kumpulan ketiga, telah saya undang untuk membicarakan BADAR di SMESH dan, oleh sebab itu, berperanan sebagai Pembina kepada BADAR di SMK Tansau. Sebagai orang tengah antara BADAR SMESH dan BADAR SMK Tansau ketika itu, beliau juga berperanan sebagai perunding kepada pembinaan dan pengembangan BADAR di SMK Tansau.

Beliau bersama-sama saya merintis hubungan antara dua buah BADAR sehinggakan kedua-dua BADAR, SMESH dan SMK Tansau, berhasil menandatangani Memorandum Persefahaman di Tuaran pada 3 Ogos 2019. Itu pun setelah kedua-dua buah BADAR berhasil mengadakan satu-satunya Muzakarah BADAR SMESH-SMK Tansau di bawah kepengerusian Alif Eimran yang kemudiannya turut bersama saya dalam kumpulan ketiga. Hasilnya, Safwan, salah seorang anggota kumpulan kedua, telah diundang untuk menyampaikan tazkirah di Surau Nur al-Hidayah, SMK Tansau dua hari selepas MoU ditandatangani antara dua buah BADAR.

Penghubung antara Dua Buah Sekolah dan BADAR

The Circle – yang sempat dinamakan ‘Team Muizz’ sekitar tahun 2019 – telah diletakkan sebagai Divisyen Pemikiran, salah sebuah kumpulan kerja di bawah BADAR SMK Tansau yang dijalankan oleh anggota-anggota kumpulan ketiga di SMESH. Jika kami tidak bertukar-tukar cerita daripada sekolah masing-masing, kami membincangkan keadaan dan masa depan masyarakat menuju tahun 2020.

Kumpulan ketiga sempat terjejas kerana Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) di menular di seluruh Malaysia dalam tempoh yang sangat lama. Malah, semangat menjaga dan mengekalkan hubungan dalam kalangan anggota kumpulan juga sempat terjejas selama berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan. Lebih menyedihkan, Abdul Quzzaimie, salah seorang anggota kumpulan ketiga, meninggal dunia pada 3 Ogos 2020 kerana kemalangan jalan raya di Tuaran.


The Circle III bergambar pada 8 Ogos 2020

Nama ‘The Circle’ hanya muncul dan disebut dalam kumpulan ketiga sehari selepas itu. Sejak daripada itu, kumpulan-kumpulan yang telah dan masih ada bersama saya di SMESH Tuaran dilabelkan sebagai The Circle I (2016), The Circle II (2017-2018) dan The Circle III (2019-2021).

Khidmat kepada Masyarakat di Alam Maya dan Alam Nyata

The Circle III sempat dipertahankan menerusi aktiviti yang diadakan secara dalam talian sepanjang tahun 2020, baik menerusi panggilan dan mesej saya kepada anggota mahupun penglibatan anggota dalam program yang diadakan menerusi siaran langsung di media sosial. Bicara Santai: Rasulullah, Guru Dunia anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang pada 20 November 2020, misalnya, telah melibatkan Alif Eimran sebagai Penyelidik.


The Circle III bergambar pada 20 September 2020

Walaupun The Circle III yang mempunyai 13 orang ahli (termasuk Abdul Quzzaimie yang meninggal dunia pada 3 Ogos 2020) akhirnya tamat setelah berakhirnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pada bulan Mac 2021, The Circle dapat disambung dengan adanya kumpulan keempat. Kebanyakan anggotanya ialah mereka yang pernah berada dalam The Circle III.

The Circle IV meneruskan dinamikanya menerusi penglibatan lebih aktif dan lebih ramai anggota dalam menjayakan kegiatan dakwah yang diadakan secara dalam talian. Nama-nama seperti Harith Iskandar dan Muhammad Faizhaziq telah terlibat langsung sebagai Penyelidik, Bicara Santai: Pengorbanan, Cinta yang Agung anjuran PPD Penampang pada 16 Julai 2021. Muhammad Danish Syabil, anggota kepada The Circle III yang baru selesai, juga telah ikut menjadi Penyelidik dalam Bicara Santai yang sama.

Kemuncak kepada The Circle IV ialah Muzakarah BADAR+4 yang saya sendiri pengerusikan pada 31 Julai 2021, sehari selepas Hari Persahabatan diperingati pada tahun tersebut. Di samping SMK Tansau dan SMESH, turut serta dalam Muzakarah tersebut ialah SMK Agama Kota Kinabalu (SMKAKK) dan SMK Sungai Pusu, Gombak. Walaupun muzakarah tersebut hanya semata-mata bertemakan persahabatan, tetapi impak kepada Muzakarah tersebut masih dapat dirasai selepas Muzakarah berhasil dilaksanakan, iaitu hubungan baik yang berterusan sesama mereka yang berkenaan.

Kembali kepada Peribadi Pemiliknya

Sebelum impak tersebut sempat dirasai oleh The Circle, saya telah berpindah ke Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) pada 13 Disember 2021. Dua hari sebelumnya, pengurusan SMK Tansau telah memutuskan pembubaran BADAR secara kekal. Oleh sebab itu, The Circle IV dengan sendirinya kembali ke pangkuan saya dan sahabat-sahabat pelajar SMESH yang ada pada ketika itu, sebelum kumpulan yang mempunyai enam orang anggota tersebut berakhir dengan sendirinya pada bulan Mac 2022 kerana berakhirnya SPM 2021.


The Circle IV bergambar pada 25 Mac 2022

Sebilangan anggota The Circle IV yang masih ada selepas SPM 2021 tetap bersama saya untuk membentuk The Circle V. Kumpulan ini sempat membawa seluruh warga SMESH mengikuti program Ramadan di London secara dalam talian anjuran Majlis Dakwah Negara, Negeri Sabah pada 23 April 2022. Salah seorang personaliti yang berkongsi pengalaman belajar di London ialah Mohd. Khairul Farhan, anggota The Circle I yang juga Ketua Pelajar SMESH 2016.

The Circle V mengalami perubahannya yang tersendiri selepas bulan April 2022 dan menjalaninya sehingga kumpulan ini berakhir pada bulan Mac 2023, iaitu setelah berakhirnya SPM 2022. Daripada sebuah kumpulan yang berusrah dan berdakwah, kumpulan ini turut merasai bahasa dan sastera Melayu. The Circle V sempat berfungsi sebagai Pejabat Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah (IPS) setelah saya dipilih menjadi Ketua Satu IPS pada 6 Februari 2022.

Kumpulan yang Lebih Mendekat ke Hati

Di sebalik perubahan sudut pandang The Circle V, turut berubah ialah kandungan perbincangan yang berlegar sesama anggota. Kumpulan ini masih saja membicarakan isu semasa yang berlegar dalam kalangan masyarakat, terutamanya ketika Malaysia mengharungi musim PRU ke-15. Tetapi, isu-isu semasa sudah kurang kedengaran dalam bulatan perbincangan.

Kumpulan ini sifatnya lebih mendekat di hati sehingga perbincangan dalam bulatan, jika tidak berkisar pada soal jawab agama atau perkara-perkara santai, lebih terlihat dari hati ke hati. Mungkin saja kerana kumpulan ini lebih kerap dapat berjumpa berbanding kumpulan-kumpulan sebelumnya, terutamanya selepas Syawal 1443 Hijrah, hubungan sesama anggotanya terlihat sangat dekat. Malah, beberapa orang daripada mereka telah mendapat kesempatan berjalan dan bersiar-siar dengan saya di sekitar daerah Tuaran, sehinggakan perasaan tidak sentiasa dapat diluahkan dalam bentuk perbuatan dan perkataan, tetapi dalam bentuk tulisan.

Sifat kumpulan ini yang lebih mendekat di hati telah sedikit sebanyak memotivasikan saya untuk menulis lebih banyak karya sastera dan menerbitkannya dalam buku, akhbar dan majalah. Menariknya, setiap anggota The Circle V diambil namanya untuk dijadikan watak dalam beberapa buah cerpen yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Borneo (Sabah) dan majalah Komposisi terbitan IPS.

Dari Sebuah Nama kepada Sebuah Cerita yang Tidak Seperti Biasanya

Nama-nama seperti Muhammad Fakhrurrazi dan Hifzhan Danish, sebagai contoh, menghiasi cerpen bertajuk ‘Ketika Demokrasi Bermahrajan’ (Utusan Borneo (Sabah), 4 Disember 2022) dengan watak Razi dan Danish, calon bupati Pegalungan dan Kaiduan. Tidak ketinggalan ialah anggota-anggota The Circle I seperti Eldy Mohd. Adland dan Ilham yang dijadikan watak Adland dan Ilham, menteri dan timbalan menteri kabinet yang memegang portfolio yang tidak dinyatakan, dalam cerpen bertajuk ‘Musim Tangan Panjang di Nusa Utara (Utusan Borneo (Sabah), 12 Jun 2022).

Kedua-dua cerpen yang saya petik di sini mungkin saja berbunyi politik. Namun, politik bukan tema besar bagi cerpen-cerpen tersebut, apatah lagi cerpen-cerpen tersebut tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan atau parti politik. ‘Musim Tangan Panjang di Nusa Utara’ mengupas keselamatan makanan yang menjadi kebimbangan masyarakat sejagat. ‘Ketika Demokrasi Bermahrajan’ pula mengupas penjalanan pilihan raya yang membolehkan rakyat memilih pemimpin mereka dalam badan perundangan dan eksekutif.

Di samping cerpen-cerpen tersebut, setiap anggota The Circle V telah dituliskan dengan sebuah puisi karya saya yang bercerita tentang individu tersebut. Muhammad Faizhaziq dan Muhammad Huzaifah, sebagai contoh, diterangkan dalam puisi bertajuk ‘Mendewasa Bersamamu’ dan ‘Permata Kilat dari Jauh’. Begitu juga dengan Khaizuran Khabir yang diceritakan sebagai ‘Lelaki yang Terbang dari Gunung’ dalam sebuah puisi saya yang lain.

Kumpulan yang Memotivasikan Penerbitan Buku Sastera

Buku sulung saya, iaitu kumpulan puisi ‘Catatan buat Teman Setia’ nukilan dan terbitan saya, lahir di sebuah kilang percetakan di Inanam, Kota Kinabalu pada 19 Julai 2022. The Circle V merupakan kumpulan yang bertuah kerana dapat menyaksikan kelahirannya walaupun tidak berkesempatan menghadiri pelancarannya di ILPKK pada 15 September 2022. Mereka juga hanya mendengar dari jauh, buku tersebut diperkenalkan di Universiti Maritim Raja Ali Haji, Tanjungpinang, Kepulauan Riau, Indonesia pada 26 September 2022 sempena Festival Sastera Antarabangsa Gunung Bintan.

‘Catatan buat Teman Setia’ ialah sebuah puisi yang saya tulis untuk memperingati seorang sahabat yang paling dekat dengan saya di antara tahun 2015 dan 2017 ketika saya masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Daripada sebuah puisi yang hanya bercerita tentang dirinya, ‘Catatan buat Teman Setia’ diarus perdanakan sehingga menjadi tajuk buku sulung saya, yang memang mengandungi catatan-catatan yang berguna untuk mereka yang selayaknya digelar ‘teman setia’ seperti mereka yang telah dan masih duduk bersama saya dalam The Circle.

Walaupun buku tersebut tidak bercerita langsung tentang The Circle V, buku tersebut mengandungi puisi-puisi yang bercerita tentang The Circle yang wujud sebelum mereka, seperti puisi ‘Wajah Si Rumah Tua’ yang bercerita tentang The Circle II dan puisi ‘Rasa yang Tak Terungkap’ yang bercerita tentang The Circle III. Buku tersebut telah dapat diperkenalkan kepada The Circle V setelah kelahirannya dan dikupas oleh saya sendiri dalam sebuah tazkirah Maghrib di Surau Nurul Yaqin, Kompleks Lama IPG Kampus Kent dalam bentuk ‘tadabbur puisi’.

Puisi-puisi yang bercerita tentang The Circle V dan para anggotanya dimuatkan dalam dua buah buku puisi yang dijangka dapat dilancarkan pada tahun ini (2023). Ketika artikel ini ditulis, buku kumpulan puisi remaja ‘Gedung Kesaksian’ nukilan saya sedang disiapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, manakala buku kumpulan puisi ‘Bintang Mimpi’ juga nukilan saya sedang disiapkan oleh IPS.

Ketika The Circle V masih ada, saya telah berhasil menyiapkan tesis sarjana dalam bahasa Inggeris bertajuk ‘Pelaksanaan Usrah di UIAM dan Sumbangannya kepada Pembangunan Rohani: Sudut Pandang Alumninya di Sabah’ dan meraih Ijazah Sarjana Sastera (Pengajian Islam) daripada Universiti Malaysia Sabah setelah lebih empat tahun pengajian yang penuh dengan cabaran. Namun begitu, tesis tersebut bukanlah produk terakhir yang telah disaksikan oleh The Circle V.


The Circle V bergambar pada 4 Mac 2023

Perjalanan Remaja Menuju Dewasa

Produk terakhir yang kumpulan tersebut saksikan daripada saya ialah puisi bertajuk ‘Teruntuk Mereka yang Merangkul Diriku’ (Utusan Borneo (Sabah), 12 Mac 2023) yang bercerita langsung tentang The Circle itu sendiri, terutamanya The Circle V. Kumpulan tersebut berakhir setelah berakhirnya SPM 2022 sehari kemudiannya. Setelah berdiri, duduk dan berjalan bersama lima buah kumpulan The Circle, saya telah menyaksikan sebahagian daripada perjalanan hidup mereka sebagai remaja dan dewasa. Mereka juga telah menyaksikan sebahagian daripada perjalanan hidup saya memimpin dan mengikuti perjalanan mereka menjadi dewasa.

Walaupun saya tidak berpeluang bermalam di asrama, berlumba lari di padang, duduk bersama mereka dalam kelas ketika waktu ulangkaji dan persediaan dan menyaksikan sekolah melepaskan mereka pergi melalui majlis graduasi, saya bersyukur kerana lima buah kumpulan The Circle telah bergerak dengan caranya yang unik dan berbeza daripada sebuah kumpulan Usrah yang bergerak dengan cara yang biasa. Saya juga bersyukur kerana setelah berlalunya sesuatu ‘Circle’, masih ada sebilangan yang dapat saya temui dan luangkan masa di pelbagai tempat di seluruh negara.

The Circle mungkin sahaja sebuah kumpulan yang bercerita tentang mereka dan saya. Namun, The Circle telah menjadi sebuah kumpulan yang dibarisi oleh orang-orangnya yang diberi pendedahan terhadap sesuatu perkara dalam skala kecil untuk disampaikan kepada sasaran yang berskala sederhana dan besar, sesuai dengan tiga rukun Usrah yang diterapkan oleh Imam Hassan al-Banna, iaitu kenal-mengenali, faham-memahami dan bantu-membantu.

Perkara ini terbukti apabila The Circle menerusi anggota-anggotanya berhasil menjayakan beberapa buah program bertemakan dakwah Islamiah, pendidikan, kemasyarakatan dan hubungan antarabangsa yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat, terutamanya golongan remaja dan dewasa muda seperti pelajar-pelajar SMESH, SMK Tansau dan ILPKK. Lebih daripada itu, telah ada anggota The Circle seperti Muhammad Faizhaziq yang rasmi masuk ke dalam lapangan sastera dengan menjadi anggota dan kemudiannya Setiausaha Dua IPS sebelum SPM 2022 bermula.

Setiap yang Hadir Pasti Akan Berakhir

Walaupun begitu, keberhasilan bukanlah tujuan akhir adanya The Circle untuk orang-orang seperti saya dan mereka. Keberhasilan hanyalah sebuah perjuangan yang berdasarkan kepada amalan yang diajarkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, untuk mempertahankan nilai kekeluargaan, mengukuhkan persaudaraan, mengekalkan persahabatan dan menjaga baik-baik kasih sayang, hormat-menghormati dan ihsan yang melestarikan hubungan.

Amalan-amalan tersebut yang sesungguhnya menjadi sebab kepada keberterusan hubungan antara anggota The Circle walaupun kumpulan tersebut telah berakhir pada waktu dan peristiwanya. Sebabnya, amalan-amalan tersebut merupakan sebahagian daripada janji saya ketika mula-mula saya mendekati SMESH Tuaran pada bulan Jun 2016, iaitu untuk menjadi seorang guru kepada murid-muridnya, seorang abang kepada adik-adiknya, dan seorang sahabat kepada sahabat-sahabat yang lain.

Saya berharap agar The Circle masih ada lagi pada hari dan masa saya menyediakan artikel ini. Kalau pun The Circle yang seterusnya dapat dipindahkan ke sekolah lama saya, “setiap yang hadir pasti akan berakhir,” kata Aniq Muhai (Hingga Saat Akhir, 2020), sehinggakan tidak ada lagi The Circle yang seterusnya di surau yang telah biasa membuatkan dan menyaksikan saya menerima sahabat-sahabat rapat yang saya cintai selepas selesai solat fardu Isyak berjemaah, seperti biasanya.

Di samping saya berdoa agar Allah SWT mengurniakan dan mengekalkan cinta kami kepada-Nya dan Rasul-Nya dan kasih sayang sesama kami, saya berdoa agar semua itu menjadi sebab kami, The Circle, dan keluarga kami meraih kasih sayang Allah SWT yang membuatkan kami masuk dan kekal di Syurga buat selamanya.

Comments