Sepatah Dua Kata sempena Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah


Dapat melalui Ramadan dari awal hingga akhirnya dan merayakan Hari Raya Aidilfitri itu sebahagian daripada nikmat yang Allah telah anugerahkan kepada kita pada tahun ini. Alhamdulillah, saya tidak melaluinya sendiri, tetapi bersama keluarga yang sentiasa di sisi, sahabat-sahabat rapat yang saya cintai dan ramai lagi yang saya tidak dapat sebut di sini.

Ketika Hari Raya Aidilfitri hanya disyariatkan sehari, kita masih ada sebulan Syawal yang untuk kita teruskan tradisinya tanpa membelakangkan ibadah yang telah sedia difardukan atau disunatkan kepada kita. Saya memilih untuk mengawalkannya ke sebulan Ramadan yang baru berlalu, semoga ada berkahnya meski selama itu, kita menjalani Subuh hingga Maghrib dengan ibadah puasa.

Kerana cinta kepada-Nya, ada waktu-waktunya saya berjalan jauh membelah hutan belantara dan mungkin saja terbang merentas angkasa atau berlayar membelah samudera. Saya hanya ingin memperbaiki hubungan yang masih ada, menyatakan segala yang terbuku dalam jiwa, memberi apa-apa yang masih ada, dan yang lebih besar daripada itu, melakukan sesuatu secara bersama sehingga menjadi semakin dekat kepada Yang Maha Kuasa.

Ramadan lepas, tidak semua berpeluang bertemu langsung dengan saya. Maka, untuk mereka-mereka ini, saya hanya dapat bermesej atau menghubungi terus, bertanya khabar, berkirim salam dan bertukar cerita sahaja.

Saya sedar, tidak semua menerimanya. Ada harga yang sangat mahal yang saya perlu bayar untuk menjalaninya. Saya takut untuk menyebutnya kerana sebentar lagi, mungkin saja akan ada orang seterusnya yang melakukannya. Semoga saja tiada. Begitu pun, saya berharap agar saya telah benar-benar melakukannya… dan saya akan meneruskannya… hanya kerana mendambakan kasih sayang-Nya. 

Terima kasih banyak kepada semua yang masih ada… dan masih setia, yang menerima saya sekadarnya. Jazakum Allahu khairan kathira. Selamat Hari Raya Aidilfitri. Mohon maaf zahir dan batin. Taqabbal Allahu minna wa minkum.

Comments