Ucapan sempena Peringatan Hari Ikatan Penulis Sabah ke-33


Selamat Hari Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang ke-33.

Alhamdulillah. Hari ini, genaplah 33 tahun IPS mengabdi kepada Tuhan, bangsa dan negara di lapangan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah. 

Mengawali ucapan, saya mengucapkan Salam Ramadan al-Mubarak kepada seluruh kerabat, sahabat dan rakan IPS di mana-mana jua berada di seluruh pelusuk dunia. Semoga kita semua dikurniakan kekuatan dan ketekalan untuk mengharungi dan menghidupkan bulan Ramadan dengan sepenuh keyakinan dan pengharapan.

Ramadan ialah kesempatan berharga untuk melaksanakan banyak perkara termasuklah mengusahakan penulisan dan penerbitan karya mempromosikan nilai-nilai masyarakat madani. Hakikatnya, Ramadan merupakan bulan terbaik buat para penulis di Sabah untuk menulis dan menerbitkan karya-karya mereka dalam buku, majalah mahu pun surat khabar, secara fizikal mahu pun secara dalam talian.

Alhamdulillah. Tahun ini, IPS telah menghidupkan semula Majalah Komposisi untuk membolehkan para penulis di Sabah, lebih-lebih lagi kerabat IPS, untuk mempamerkan penulisan mereka yang terkini dan memenuhi cita rasa pembaca. Mulai tahun ini, Majalah Komposisi akan diterbitkan secara dalam talian sebanyak lima kali setahun. Sekiranya diberi kemampuan, IPS berhasrat untuk menerbitkan semula majalah ini secara fizikal suatu hari nanti.


IPS juga bercita-cita untuk menerbitkan beberapa buah buku yang diusulkan dan diusahakan oleh kerabatnya. Namun, IPS menyedari kekangan yang dihadapinya dalam menunaikan hasrat tersebut. Oleh itu, IPS berusaha sedaya upaya membina kemampuannya melaksanakan fungsi penulisan dan penerbitan.

IPS menyampaikan ucapan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Dr. Hj. Mohd. Arifin bin Datuk Hj. Mohd. Arif, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Sabah kerana telah bersetuju membiayai penerbitan lima buah buku terbitan IPS pada tahun ini.


IPS turut menyampaikan menyampaikan ucapan berbanyak terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana telah meluluskan penerbitan 14 buah buku kumpulan puisi karya penulis Sabah, yang mana 11 daripadanya merupakan karya ahli IPS. Begitu juga kepada sahabat IPS, Persatuan Sastera dan Budaya Sabah kerana telah sudi menjadi pemangkin kepada misi besar ini.

IPS turut menyampaikan menyampaikan ucapan berbanyak terima kasih kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SANZAC, Kota Kinabalu kerana memilih IPS sebagai penerbit kepada sebuah antologi puisi karya warganya. Begitu juga dengan sahabat IPS, Persatuan Pemuisi D’Bayu, kerana telah bersama IPS menjayakan aktiviti pembinaan bakat sastera di sekolah tersebut pada Disember tahun lepas.

Pada hemat saya, semua ini bertitik-tolak daripada kebitaraan dan ketokohan yang dimiliki oleh Pengerusi, Majlis Penasihat IPS, Tuan Hj. Sukor bin Hj. Usin (Hasyuda Abadi). Perkhidmatan dan sumbangan beliau kepada bahasa, sastera dan budaya tidak boleh disangkal lagi sehingga akhirnya beliau menjadi satu-satunya ahli IPS yang diangkat menjadi Sasterawan Negeri.

IPS menjunjung setinggi-tinggi kasih ke hadapan majlis Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Hj. Juhar bin Datuk Hj. Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah atas perkenan beliau mengurniakan watikah pemasyhuran Sasterawan Negeri Sabah ketiga kepada Hasyuda Abadi pada 3 Mac 2023 yang lalu.


IPS turut merakamkan berbanyak terima kasih kepada Panel Pemilih Penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah kerana telah memilih Hasyuda Abadi sebagai Sasterawan Negeri Sabah ketiga, dan kepada Panel Pemilih Penerima Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 kerana telah memilih enam orang ahli IPS sebagai penerima Hadiah tersebut bagi kategori puisi eceran, cerpen eceran dan esei kritikan sastera separa ilmiah.

IPS mengalu-alukan dukungan DBP menerusi Ketua Pengarahnya, Dr. Hazami bin Jahari, terhadap usaha IPS merayakan jasa dan bakti Hasyuda Abadi kepada pembinaan dan pengembangan bahasa, sastera dan budaya.

Perayaan tersebut telah IPS mulakan seawal 21 Januari 2023 yang lalu di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RuPHA) menerusi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) IPS 2023. IPS mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Tuan Ts. Hj. Mustapha bin Hj. Sakmud, Timbalan Menteri Sumber Manusia kerana telah sudi mengunjungi RuPHA dan menyempurnakan perasmian AGM IPS 2023.


IPS akan terus memanfaatkan gagasan Malaysia Madani dan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membina, memgembangkan dan membudayakan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah secara istiqamah dan wasatiyyah menerusi lebih banyak aktiviti bahasa, sastera dan budaya yang melibatkan lebih banyak golongan sasar, tertuamanya golongan belia, remaja dan kanak-kanak.

IPS tidak akan melakukannya sendiri. Ada padi, semua kerja jadi; ada beras, semua kerja deras. IPS mengundang lebih banyak pihak berkepentingan, baik di sektor kerajaan, sektor swasta, NGO mahupun orang perseorangan, untuk bersama IPS mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, memartabatkan sastera sebagai bunga bangsa, dan mengapresiasi kearifan tempatan dalam bahasa dan sastera Melayu Sabah.

IPS juga mengajak semua ahli untuk bersama menyemarakkan Sabah dengan keutuhan bahasa, keindahan sastera dan kerencaman budaya. Ahli-ahli IPS boleh menjayakannya bukan dengan menyumbang wang bayaran tahunan sahaja, tetapi juga dengan menyumbang idea dan tenaga menjayakan acara, dan menyumbang karya dalam pelbagai wahana yang tersedia.

Sudah sampai masanya setiap penulis di Sabah untuk memprofilkan dirinya. Hal ini penting supaya para penulis di Sabah mempunyai karya yang layak meraih pengiktirafan, kepakaran yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat dan watan, dan pengalaman yang boleh dihayati pelbagai generasi merentas zaman.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Boleh jadi pada masa depan, IPS memiliki ahli yang menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara, yang disampiri gelaran Sasterawan Negara atau Sasterawan Negeri Sabah, atau sekurang-kurangnya mendapat Hadiah Sastera Perdana Malaysia atau Hadiah Sastera Sabah. Untuk membolehkan perkara tersebut menjadi kenyataan untuk kali yang berikutnya, IPS bersedia membantu para penulis di Sabah memprofilkan diri mereka.

Saya mengundang para penulis di Sabah, terutamanya ahli IPS, untuk mengunjungi RuPHA. Hakikatnya, RuPHA kini bukanlah sebuah rumah biasa yang dihuni oleh tokoh sastera, tetapi sebuah tarikan budaya yang mengandungi segala-galanya yang diperlukan oleh para penulis, peneliti dan pencinta bahasa dan sastera.


Besar harapan IPS agar RuPHA dapat berdiri setanding dengan rumah-rumah puisi yang terdapat di Malaysia dan negara-negara jirannya. Hakikatnya, usaha menginstitusikan RuPHA mesti dimulakan dan digiatkan oleh IPS sebelum melibatkan lebih banyak pihak berkepentingan untuk turut sama menjayakannya. Pendek kata, tahun 2023 ialah tahun IPS meneruskan lebih banyak usaha sesuai dengan asal muasal amalan dan perjuangannya.

Setelah lebih setahun menerajui IPS, saya telah mendapati IPS terus berada di kedudukannya yang tersendiri dalam bidang-bidang yang diceburinya. Semua ini tidak lain dan tidak bukan merupakan berkat doa, usaha dan sokongan yang disumbangkan oleh semua pihak berkepentingan baik di dalam mahupun di luar IPS. Bagi pihak IPS, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama IPS menjayakan amalan dan perjuangannya selama ini.

Saya khususkan ucapan penghargaan ini kepada DBP Cawangan Sabah, ‘ibu’ yang mengharungi sendiri kelahiran IPS di tengah-tengah ibu kota negeri Sabah pada tahun 1990, dan kepada Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu yang telah memberi sokongan padu dalam terhadap usaha IPS mengindustrikan penulisan dan penerbitan di Sabah.

Saya khususkan ucapan berbanyak terima kasih saya kepada kesemua 10 orang anggota The Circle V di Tuaran atas dukungan, kerjasama dan semangat yang dikongsikan dengan saya selama ini dalam pelbagai bentuk dan rupa. Saya bersyukur kerana telah dapat mempelajari dan meraih banyak perkara daripada mereka semua. Tanpa semestinya mengharapkan apa-apa balasan, saya berharap agar saya dapat menyerahkan sendiri buku saya yang seterusnya kepada mereka tidak lama lagi selagi saya ingati.


Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua ahli IPS yang telah dan masih menyumbangkan wang ringgit, idea, tenaga dan karya penulisan. Saya berharap agar semua ahli IPS dapat terus menyumbang sekurang-kurangnya salah satu daripada empat bentuk sumbangan yang diharapkan bagi membuktikan kesetiaan mereka kepada IPS, bangsa dan negara.

Sebagai intiha, marilah kita berdoa untuk Sabah yang lebih harmoni, Malaysia yang lebih madani, dan dunia yang lebih berseri. Semoga dengan doa, usaha dan sokongan daripada semua, IPS akan berlanjutan usianya untuk berkiprah kepada bangsa dan negara, menjadikan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah terus megah dan bangga pada kelasnya yang bitara.

Comments