Hingga Saat Akhir Sirkila


“Danish.” Dalam keadaan aku yang berduka, aku memanggilnya ke ruang tengah masjid. Dia membelai dan memeluk badanku erat seperti biasanya.

Tetapi, tengah hari Jumaat selepas solat Jumaat itu luar biasa. Danish tidak pernah melihatku meraung sekuat-kuat jiwa. Seluruh penjuru masjid mendengar aku meraung dan melihat Danish memelukku.

“Abang.” Danish beberapa kali memanggil namaku selama dia memelukku. Beberapa kali itu jugalah Danish mencari-cari apa yang menyebabkan aku meraung dengan kuat sekali.

“Abang okey sudah?” Aku belum baik lagi ketika ini. Aku hanya dapat memperlahankan rasa kerana sudah ada orang baik seperti Danish yang merangkulku dengan kuat sekali.

Pagi sebelumnya, seorang karyawan dari luar Sirkila mengirimkan surat Pemerintah Pusat kepadaku. Surat itu datangnya daripada Setneg. Sepuluh hari menjelang Ramadan, Presiden menamatkan Sirkila pada akhir Syaaban.

Surat yang mengandungi Peraturan Presiden tersebut hanya aku dapat tunjukkan kepada Danish, kebetulan sesalinan surat tersebut aku sempat lipat dan simpan di poket baju. Aku rasa aku terlalu muda untuk meninggalkan Sirkila yang baru tujuh tahun lamanya, seolah-olah seorang bapa sedang meninggalkan seorang anak yang baru hendak mengenal dunia.

“Abang!” Giliran Danish pula meraung sambil setiap sudut dinding masjid itu membuka telinganya lalu mendengar. Mata-mata yang letaknya di balik lampu-lampu yang tergantung-gantung di siling masjid itu turut menyaksikan Danish memeluk aku sekuat hati untuk ke sekian kali.

“Saya baru saja berada di sini, bang.” Aku kehilangan butir-butir perkataan… kerana bukan aku seorang sahaja yang meninggalkan, tetapi seluruh pimpinan dan karyawan Sirkila yang akhirnya ditunjukkan jalan yang tidak terhubung dengan mana-mana jalan.

Dalam keadaan masih bersedih, aku mengangkat Danish untuk berdiri dan membawanya kembali ke ruang kerja yang letaknya bersebelahan dengan masjid tempat kami solat tadi. Tidak ada pimpinan atau karyawan Sirkila yang mengetahui berita besar ini kecuali kami. Malah, belum ada juga awak-awak media yang melaporkan peraturan Presiden yang akhirnya tidak memihak kepada kami.

“Huz, tolong saya, panggil semua sahabat kita ke surau,” pintaku kepada setiausahaku. Kesemua mereka telah berada di hadapanku tepat jam setengah tiga waktu sore, dalam keadaan bulatan itu terbentuk dengan sendirinya.

Aku memerhatikan setiap wajah yang selama ini bergerak dan membangun bersama Sirkila, sebuah agensi di bawah Kemenag yang menjalankan Usrah di peringkat akar umbi, baik di kota mahupun di desa. Ketika Presiden memerintahkanku menjadi ketua, tujuh tahun sudah, aku sudah siapkan Sirkila sebagai sebuah agensi yang berketuakan seorang guru kepada murid-muridnya, seorang abang kepada adik-adiknya dan seorang sahabat kepada sahabat-sahabat yang lain.

Aku mahu semua orang sentiasa senyum dan bahagia, merasakan aku sentiasa ada untuk mereka selama mengabdi untuk bangsa dan negara menerusi Sirkila… Tidak memandang Sirkila sebagai agensi milik pemerintah, tetapi sebuah keluarga yang memerima sesama dengan sederhana. Aku benar-benar berharap aku telah melakukannya.

Aku meletakkan harapan itu ketika aku melihat wajah-wajah yang selama ini juga telah membuatku sentiasa tersenyum dan sentiasa merasa bahagia. Haziq, Huz, Khabie, Jat, Razey, Hifzan, Syafiq, Jai, Haykal mahupun Danish, merekalah orang-orangnya.

Aku bersyukur kerana mereka masih ada sampai pada saat yang aku minta. Kami melihat dan merasai sendiri jatuh dan bangun Sirkila di mata bangsa dan negara, sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun yang terakhir.

Kami sudah meneroka seluruh negara menyebarkan risalah Usrah kepada akar umbi. Sama ada di kota besar Dang Wangi mahupun di pinggir Sungai Pusu, di desa Dengkil mahupun di hujung Tanjung Puteri dan di hulu Wang Kelian, hatta di sepanjang sungai Salarong dan Batang Ai, semuanya telah aku dan sahabat-sahabat di Sirkila selama ini tempuhi.

Kami telah menyaksikan, betapa susahnya memastikan Usrah diterima di hati-hati komuniti. Keretaku pernah dirosakkan ketika mempromosikan aktiviti Usrah di sebuah desa. Huz dan Jai yang kebetulan ada denganku membantu menggantikan tayar kereta Ativa yang dipecahkan oleh paku yang tebal dan tajam.

Mukaku juga pernah ditumbuk oleh seorang anak muda di kota yang tidak dapat menerima Usrah yang aku cuba bawa. Mujur ada Khabie dan Razey yang ketika itu membawa set pertolongan cemas lalu merawat mukaku yang luka.

Belum dikira Haziq dan Danish yang pernah dikepung gangster di luar sebuah sekolah di pinggir kota kerana tidak berpuas hati dengan kempen kemasyarakatan yang dibawanya walaupun pengetua sekolah tersebut telah menerimanya.

Banyak lagi episod yang ingin aku nukilkan, jatuh dan bangun perjuangan untuk menyayangi dan menerima semua selama tujuh tahun lamanya. Cuma, aku sudah mula tertanya, ke manakah mereka akan pergi selepas berlalunya Sirkila?

Aku mengangkat bicara dengan mata yang masih lagi merah-merah; Danish pun begitu juga. “Sahabat-sahabat, saya harap saya masih di sini untuk mengasihi satu dan semua di sini, terutamanya sepanjang Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.”

Mata Haziq juga sudah mulai merah mendengar kata-kataku yang nadanya sebak. “Namun, Presiden telah mengeluarkan peraturan pada beberapa hari yang terakhir. Sirkila akan berakhir.”

Mata-mata mereka langsung berair setelah melihat aku juga mengalirkan air mata. Aku sedih kerana akan kehilangan Sirkila. Berganda-ganda rasa sedihku kerana mereka semua tidak akan lagi bersamaku setelah berakhirnya kami di sini.

Khabie yang sentiasa berada di sebelahku, memeluk aku kuat-kuat. Ketika dia tidak tahu dia juga entah akan ke mana, dia masih sempat menenangkan rasaku. “Tidak apa, bang. Semua ini suratan untuk kita.” Suara Khabie berkata kepadaku dengan perlahan sekali sambil menahan sedih di hati.

“Abang mahu apa pada hari-hari terakhir ini? Kami semua akan usahakan untuk abang.” Aku sebetulnya tidak mahu meminta apa-apa. Oleh kerana Razey telah meminta dan Hifzan tersenyum sambil mengangguk dengan yakinnya, maka aku ikutkan sahaja.

“Saya ikut sajalah, Razey. Saya tidak kisah asalkan sahabat-sahabat semua tidak susah.”

“Abang, kita ke Monteki, mahu?” Khabie senyum lebar mendengar Huz mengharapkan sebegitu rupa. “Aku ikut! Aku ikut!” Semua dalam itu sudah mengangkat tangan terkinja-kinja, Jai terutamanya.

Aku setujukan permintaan Huz. Cuma, “Bah marilah. Saya bersetuju Sirkila menutup pejabat tiga hari lebih awal. Selepas itu, Perpres-nya kita patuhi. Sirkila berakhir setelah kita semua selesai di Monteki.”

Besoknya, ada tiga buah kereta Land Cruiser milik Huz, Jat dan Jai sedia membawa kami ke Monteki, menyusuri alur-alur jalan yang diapit oleh hijau alam dan biru awan sambil menghirup udara yang sejuk-sejuk, bawah dua belas suhunya, sehingga berkepul-kepul asap yang keluar dari mulut apabila kami sudah mencapai arasnya.

Hatta saat akhir mereka semua berlindung di bawah payung yang sama, aku mahu mereka semua tersenyum dan merasa bahagia. Tiga hari dua malam di Monteki, aku minta mereka merenung sayur-sayur yang boleh dipilih-pilih untuk dirasai, menenung ikan-ikan yang menari di seluruh tasik, dan melihat puncak Aki yang mengilaukan senyumnya sambil disaksikan putih awan yang bercahaya.

Kebiruan dan kehijauan Monteki itu benar-benar mereka hayati dan nikmati, terutamanya ketika senja kuning menghampiri. Haykal dengan lincahnya membawa orang-orang seperti Huz, Razey dan Hifzan berlumba lari dari bawah bukit ke atas bukit, sambil disaksikan Jat dan Danish yang leka mencari ikan keli yang masih menari-nari.

Syafiq kulihat bersama Jai memetik terung, kobis dan kailan. Khabie, tuan rumah Monteki, dan Haziq bersama anak-anak desa memasak nasi dan menyediakan lauk-pauk, baik ayam masak Likku, ikan keli masak tiga rasa mahupun daging lembu masak lada hitam dan termasuk air sirap limau berais.

Ketika puncak Aki melihat matahari terbenam di ufuk barat, sudah masuk hari kedua Sirkila berpindah sementara ke Monteki, sahabat-sahabat sudah bersiap untuk menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak bersamaku. Danish imamkan solat Maghrib dan Khabie imamkan solat hajat di surau yang terletak bawah sedikit daripada rumah inap.

Mereka semua bergembira dengan sajian yang Khabie, Haziq dan anak-anak desa telah sediakan secara gotong-royong untuk dimakan antara Maghrib dan Isyak di rumah inap. Haziq mengimamkan solat Isyak setelah selesai makan-makan.

Sahabat-sahabat duduk membulat denganku sekali lagi selepas Isyak, bersalaman dan berpelukan sesama sendiri seperti biasa. Aku cuba untuk mengindahkan rasaku saat menatap wajah mereka semua. Namun, dinding surau yang terasa sejuk itu tidak dapat menyejukkan betapa suamnya hatiku.

“Hari ini ialah hari terakhir Sirkila. Saya mahu bicarakan sesuatu, tetapi saya minta semua bicara dulu. Ya, sila.” Aku mendengar dan menghayati setiap kata yang keluar dari mulut setiap sahabat tanpa tertinggal satu huruf pun.

“Abang, semoga kami masih dapat melihat Abang yang sejak dulu, sentiasa ceria, sentiasa menerima dengan lapang dada dan sederhana, dan sentiasa berkongsi kebaikan dengan semua.”

“Ya, bang. Kami mungkin telah biasa sejak dari zaman sekolah. Tetapi, sebab Abang dari dulu sampai kini ada dengan kami, kita semua sudah belajar apa erti untuk kenal-mengenali, faham-memahami, bantu-membantu sesama sendiri… dan banyak lagi.”

“Abang memang luar biasa. Sebelum adanya Sirkila, Abang sudah sangat prihatin dengan orang-orang seperti kami. Ketika Sirkila sudah ada pun, Abang masih sanggup cari kami. Sedar tidak sedar, kami sudah menjadi sebahagian daripada tujuh tahun Sirkila berjalan satu jalan dengan bangsa dan negara.”

“Abang, semoga selepas berlalunya Sirkila, kita berjumpa lagi. Saya mahu Abang tahu, kami masih ada untuk Abang walau berada di mana-mana jua.”

“Kami mahu jadi macam Abang juga yang kuat semangatnya, tidak mudah berputus asa, walaupun banyak komitmen untuk bangsa dan negara, tetapi untuk kami, selalu saja ada. Walaupun sudah tiada Sirkila, Usrah ini akan kami teruskan dengan cara kami.”

Aku mendengar kata-kata itu sehingga aku sudah tidak dapat pastikan siapakah tuan punya suara yang memperkatakannya kecuali Danish dan Khabie. Aku hanya mengangguk, tunduk dan menangis mengenangkan betapa indahnya saat-saat aku bersama mereka. Itu pun aku tetap mencuba untuk mengeluarkan kata dari bibir yang terkatup lama.

“Sahabat-sahabat, di dunia ini tiada yang kekal. Kalau mahu minta sesuatu yang kekal, mintalah di Syurga. Begitu pun, ketahuilah, tiada yang lebih bererti di dunia ini selain mengasihi… dengan kasih sayang yang tidak bertepi.” Begitulah lebih kurang aku mengakhiri kata-kataku kepada bulatan Sirkila. Aku tetap tersenyum walaupun mata masih mengalirkan airnya.

Ketika matahari terbit sekali lagi dari ufuk timur pada hari dan saat akhir, seorang demi seorang meninggalkan aku dan Khabie… dan meninggalkan Sirkila bersama sesuatu yang telah aku hadiahkan kepada setiap daripada mereka. Mereka semua juga telah menitipkan aku dengan memento yang aku boleh kenang bersama keturunanku pada masa muka.

Aku juga menitipkan Khabie di desanya sendiri dengan bingkai gambar yang menunjukkan bulatan Sirkila bergambar menunjuk cahaya mentari di puncak bukit Maragang. Aku juga menitipkannya di situ dengan rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan pendamping yang sentiasa berganding di sisi dan mengirim pesan yang sentiasa menyentuh hati.

“Abang kalau rindu saya, datanglah ke klinik. Saya sedang siapkan klinik di pekan Karanaan. Klinik yang boleh dibuat tempat berusrah. Kalau Abang datang nanti, saya tidak akan caj apa-apa sama Abang,” kata Khabie yang sudah setahun lebih mengabdi bersama Sirkila dan merawat pesakit di sebuah lagi klinik milik seorang doktor pakar yang lain di ibu kota Deasoka sejak lebih setahun lamanya.

Tiga hari setelah aku meninggalkan Monteki dan ditinggalkan Sirkila, aku membawa diri ke Geneva sambil berkira-kira di jari, siapakah yang boleh menjadi pendamping yang dapat mengubat tangis di hati dan mata, yang dapat memberiku penawar yang selayaknya, dan yang dapat menguatkan aku dengan kata-kata yang bertenaga.

Walaupun aku teruskan perjuangan hidup dengan caraku sendiri, aku masih berkira-kira, membaca fail perubatan yang sentiasa aku perlukan bagi mendapatkan rawatan sakit mental yang doktor telah sahkan aku hadapi sejak dua tahun lamanya. Benar, aku telah menghadapinya sejak seorang pimpinan Sirkila tertutup usianya kerana kecelakaan jalan raya.

Mujurlah ada sepasangan doktor, kedua-duanya rakan senegara, yang sudi memantau kesihatanku selama Pemerintah Pusat memintaku mengabdi sebagai wakil tetap bertaraf menteri kabinet di Geneva. Di tempat penugasan yang baru, aku tidak menyematkan Sirkila di meja kerja, tetapi juga di hati dan bendera yang aku wakili dengan rasa syukur dan bangga.

Diterbitkan di Utusan Borneo (Sabah) pada 19 Mac 2023.

Comments