Berterima Kasih kepada Usrah Anak Muda


Saya mendapat pengaruh daripada gerakan Usrah di Malaysia seawal tahun 2007, setahun selepas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Hj. Mohd. Said (SHAMS), Seremban memperkenalkan sukatan Usrah Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) untuk semua SMKA di seluruh Malaysia. Bayangkan, usaha untuk mencitrakan budaya Usrah ke semua institusi pendidikan agama bawah Kementerian Pendidikan hanya mula menampakkan hasilnya selepas 15 tahun usaha tersebut dimulakan oleh Persatuan Pelajar Islam SMKA SHAMS. BADAR pula dipercayai hanya rasmi wujud di SMKA SHAMS pada tahun 1999.

Ada baiknya sesekali kita berterima kasih kepada Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), Klang yang dikatakan mewujudkan BADAR seawal tahun 1967 dan membudayakan Usrah seawal itu juga. Faktanya, KISAS merupakan perintis kepada gerakan Usrah dalam kalangan anak muda di tanah air, bermula dari sekolah berasrama penuh sehingga ke SMKA dan akhirnya diperluaskan kepada sekolah-sekolah menengah harian biasa yang terpilih di seluruh negara.

Saya hanya menjamah dan meneguk hasil yang telah dituai oleh KISAS dan SMKA SHAMS dalam hal ini. Saya diperkenalkan dengan budaya Usrah seawal tahun 2007. Saya baru sahaja berada di bangku sekolah menengah. SMKA Tun Ahmadshah dan SMKA Kota Kinabalu, kedua-duanya di ibu kota negeri Sabah, telah banyak mendidik saya dengan budaya Usrah, baik sebagai anggota mahupun sebagai ketua. Dalam ketidaksempurnaan saya mengharungi dan menyongsong gerakan ini, saya tidak berputus asa dalam meneruskannya di menara gading.

Budaya Usrah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) banyak membuka mata hati dan minda saya. Sehingga sesekali saya ungkapkan kepada sahabat-sahabat yang jatuh dan bangun bersama saya daritahun 2012 hingga tahun 2017, betapa besarnya rahmat Allah untuk saya di UIAM sehingga saya dipertemukan dengan mereka dan masih bersahabat sehingga kini walaupun terlihat amat jauh di mata.

Rahmat Allah itu saya rasakan berterusan setelah mengajar di tiga buah sekolah menengah sejak tahun 2016. Tanpa mengurangi hormat dan penghargaan saya kepada kepada sahabat-sahabat rapat yang saya cintai yang pernah berada di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu, Gombak dan SMK Tansau, Putatan, saya mengkhususkan tulisan ini kepada sahabat-sahabat rapat yang saya cintai yang pernah berada di Sekolah Menengah Sains Sabah, Tuaran.

Saya pasti sahaja tidak pernah menendang bola di padang atau gelanggang, apatah lagi berlumba lari sejauh 100 meter bersama adik-adik remaja seperti mereka. Namun begitu, cinta kepada Allah dan Rasul-Nya SAW menyebabkan saya didatangi, dikelilingi dan disantuni oleh mereka hampir setiap hari saya menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak secara berjemaah dengan mereka dan rakan-rakan.

Asas Usrah hanya tiga, iaitu saling kenal-mengenali, saling faham-memahami dan saling bantu-membantu. Akan tetapi, telah banyak nilai tambah yang dipupuk dalam diri saya dan adik-adik yang membulat bersama sepanjang tujuh tahun kebelakangan, terutamanya sikap saling memberi dan menerima, hormat-menghormati, kasih sayang dan setia.

Mereka mungkin sahaja tidak menulis seperti kita, para penulis. Tetapi, banyak kata, tingkah laku, cita-cita dan peristiwa yang melibatkan saya dan sahabat-sahabat yang telah banyak mengajarkan saya pelbagai perkara, terutamanya kehidupan remaja yang terlalu banyak cabarannya.

Puisi 'Teruntuk Mereka yang Merangkul Diriku' (Utusan Borneo (Sabah), 12 Mac 2023, halaman 6) ialah salah satu bentuk penghargaan dan kenang-kenangan saya kepada ramai yang pernah dan masih bersama The Circle. Saya mengkhususkan kenang-kenangan ini kepada sepuluh orang anggota The Circle V, iaitu Muhammad Faizhaziq, Muhammad Huzaifah, Khaizuran Khabir, Muhammad Izzat, Muhammad Fakhrurrazi, Hifzhan Danish, Mohammad Syafiq, Raszaiqie, Haykal Farid Ridha dan Muhammad Danish... serta Daniel Shafie yang juga beberapa tahun dahulu pernah berada bersama kami.

Telah diterbitkan di Majalah Komposisi, Edisi 2/2023.

Comments