Ucapan Dasar Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah 2023


"Dengan ilmu yang sedikit... dapatlah kita menulis sesuatu dengan indahnya... Keindahan kata-kata itulah sebenarnya bidang kebitaraan... ikatan kepada penulis-penulis di negeri Sabah."

“Katakanlah (wahai Muhammad), bekerjalah, nanti Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman akan melihat (dan menilai) pekerjaanmu...” (Surah at-Taubah, ayat 105)

Ayat al-Quran tersebut, walaupun begitu, tidak menuntut kita bekerja untuk diri kita sendiri, tetapi untuk mendapatkan keredhaan Tuhan yang Maha Melihat. Maka, dengan jalan istiqamah dan Wasatiyyah, Ikatan Penulis Sabah (IPS) masih berlangsung sampai ke hari ini.

Hari ini dengan sendirinya sudah menjadi bukti. Kehadiran Yang Berhormat Ahli Parlimen Sepanggar ke Mesyuarat ini mungkin sahaja menjadi faktor ‘wow’ kepada peristiwa hari ini. Walaupun perkara itu tidak semestinya, perkara tersebut tetap menunjukkan bahawa IPS masih dan tetap relevan sampai bila-bila. Saya berani menjamin perkara ini.

Sepanjang tahun 2022, banyak sebenarnya kejayaan yang telah dicapai oleh IPS sehinggakan pada hari ini, Sasterawan Negeri Sabah ketiga (SNS3) datang dari kalangan kerabat IPS. Saya bersyukur kerana keputusan Jawatankuasa IPS untuk menamakan Hasyuda Abadi sebagai calon SNS3 telah dijawab dengan doa kita semua dimakbulkan oleh Allah SWT.

Kita membuat perkumpulan sebegini sebagai sebahagian daripada keraian itu. Kita bukan sahaja meraikan Yang Berhormat Ahli Parlimen Sepanggar, tetapi juga meraikan tuan Rumah Puisi ini sebagai SNS3 sehingga nanti, penulisan-penulisan beliau akan tetap relevan sampai bila-bila.

Rabbaniyyah sebagai asas penulisan

Asas penulisan ialah ketuhanan Yang Maha Esa, Allah SWT. Menerusi Surah al-Alaq, ayat 3 dan 4, saya garis bawahkan perkataan ‘al-Qalam’. Mengapa pen? Sebabnya ilmu belum tentu dapat dipelajari melainkan dengan adanya tulisan... sehinggakan ayat-ayat al-Quran, setelah kewafatan Rasulullah SAW, ditulis dan dibukukan pada zaman Saidina Uthman RA... sehingga akhirnya al-Quran tersebut sampai kepada kita, lalu kita mendapat hidayah daripadanya.

Kita tidak mendapat hidayah dalam bentuk al-Quran semata-mata, tetapi juga as-Sunnah, Ijmak dan Qias... dan akhirnya banyak lagi ilmu yang terbit. Dengan ilmu yang sedikit yang telah Allah SWT berikan kepada kita, dapatlah kita menulis sesuatu dengan indahnya.

Akhirnya, keindahan kata-kata itulah sebenarnya bidang kebitaraan IPS, iaitu ikatan kepada penulis-penulis di negeri Sabah. Namun begitu, kita tidak menafikan sumbangan dan pengorbanan rakan-rakan kita yang berada di persatuan penulis lain yang telah bersama-sama saya membina IPS menjadi suatu jenama yang berharga dan berguna kepada bangsa dan negara, terutamanya di Sabah.

Pasca pemasyhuran Sasterawan Negeri Sabah ke-3

Jadi, ucapan dasar ini tidaklah bertujuan untuk sekadar bersyukur dan berbangga, tetapi untuk melihat apa yang seterusnya selepas SNS3. Adakah kita akan melahirkan Sasterawan Negeri Sabah keempat, kelima atau keenam? Allah SWT akan menjawabnya sementara kita masih ada usia. Tetapi, janganlah risaukan itu semua kerana anugerah tersebut hanyalah semata-mata suatu motivasi. Yang penting ialah kita beraspirasi untuk mendukung visi dan misi. Itu lebih penting.

Hari ini, kita masih ada SNS3 yang menjadi teladan kepada kita semua. Kita belum tahu siapakah yang akan menjadi Sasterawan Negeri Sabah keempat. Mungkin tahun ini, mungkin juga tahun depan baru kita akan tahu. Tetapi, jangan risau. IPS, dengan sifatnya yang masih dan akan terbuka sampai bila-bila, akan mendukung ketokohan sesiapa sahaja yang selepas tuan Rumah Puisi ini menjadi Sasterawan Negeri Sabah.

Dalam hal ini, suka saya mengajak rakan-rakan kerabat IPS mahupun sahabat-sahabat IPS untuk membantu negeri Sabah untuk mencari Sasterawan Negeri Sabah yang seterusnya, yang kita boleh hargai karya-karyanya dan yang kita boleh teladani ilmu-ilmunya.

Tidak salah untuk saya katakan bahawa tahun ini ialah tahun kita mengapresiasi SNS3. Kita akan mengapresiasi dengan cara kita. Acara yang telah selesai tadi – Ramah Mesra Penulis Sabah bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia – merupakan salah satu daripadanya. Banyak lagi yang kita mahu lakukan sebenarnya.

Pemerkasaan imej dan bakat Ikatan

Melalui kesempatan yang ada pada saat ini, saya berharap agar kita dapat membincangkan banyak perkara. Pertama, tentang imej. Baru-baru ini, kita telah membuat kalendar. Alhamdulillah, kalendarnya sudah pun ada. Tahun lepas, kita juga telah ada buku catatan; kita boleh mengulanginya pada tahun ini. Tahun lepas juga, kita juga telah ada laman sesawang. Apabila dibuat carian IPS, pelayar Internet terus sampai ke tujuannya... dan begitulah jua di Google Maps. Hanya di Apple Maps, IPS belum dijumpa.

Kedua, tentang bakat. Setelah adanya laman sesawang, segalanya ada di sana. Kita ada produk-produk yang berharga dan berguna, yang kita boleh pasarkan ke mana-mana. Kita hanya perlu mempromosikannya sahaja. Tahun ini, kita akan mempromosikan sebaik-baiknya bakat-bakat yang masih ada sambil kita mencari bakat-bakat yang seterusnya.

Sebabnya, kerisauan saya ialah generasi berumur bawah 40-an di IPS, bilangannya sangatlah sedikit, boleh dikira dengan jari. Selain saya, ada Mohilis, Wan Azzuar Shah dan Fahaiz yang akan muncul tahun ini. Nama-nama tersebut, setakat ini, nampak ke depan. Untuk yang berada di belakang sedikit, kita ada orang-orang seperti Safiah Masbaka, Iman Ainnur dan Nur Fathi Ibtisam.

Sebetulnya, ada lagi yang cuba untuk masuk. Tetapi, saya masih tercari-cari orangnya sebab namanya belum masuk-masuk. Pendaftaran memasuki IPS hari ini menjadi semakin mudah. Hakikatnya, kita tidak lagi berada 20 tahun kebelakangan yang mana borang perlu diisi secara bertulis, perlu ditandatangani dan sebagainya.

Hari ini, itu semua tidak diperlukan lagi kerana pendaftaran menyertai IPS boleh dilaksanakan dalam tempoh ‘sesaat’ sahaja. Selepas pendaftaran, kita boleh sahkan keahlian dan orangnya boleh terus membayar yuran, baik yuran tahunan mahupun yuran seumur hidup.

Tahun lepas, kita telah jenamakan IPS sebagai entiti niaga di samping jenama persatuan yang masih ada. Organisasi IPS Enterprise (IPSE) ada ketua eksekutif, pengurus besar dan sebagainya sehingga pada akhirnya, transaksi kewangan menjadi lebih mudah. Tetapi, kita tidak mengabaikan tanggungjawab IPS sebagai sebuah persatuan.

Kita hanya perlu mencari jalan yang lebih mudah untuk kemudahan kita semua di IPS. Hari ini, orang semakin memandang kepada IPS – walaupun tidak semua. Kita masih sahaja tidak ramai, tetapi kita masih ada – itulah fakta mengenai IPS.

Majalah Komposisi yang membangunkan sang pemimpi

Ketiga, tentang penerbitan. Pada 1 Januari hari itu, sebahagian daripada kita – penulis di Sabah – bangun daripada tidur dengan rasa bangga dan sebahagian lagi bangun dalam keadaan terpinga-pinga dengan sebab Majalah Komposisi muncul semula. Tepuk tangan untuk kita semua.

Majalah Komposisi ialah majalah yang membangunkan ramai orang dari tidur pada malam hingga siang 1 Januari. Saya berterima kasih sekali kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kerana, walaupun susahnya urusan permohonan kerana sistem Depositori PNM ‘hilang’ begitu sahaja, sudah ada platform alternatif sebagai pemudahcara sehingga kita dapat memohon melaluinya. Akhirnya, beberapa orang penulis Sabah bangun daripada tidur dalam keadaan terkejut kerana rupanya Majalah Komposisi yang sudah lapan tahun tidak muncul, muncul semula. Alhamdulillah.

Mulai tahun ini, kita akan menggiatkan semula Majalah Komposisi. Karya-karya dari Sabah, kita utamakan dan kita alu-alukan. Majalah ini akan kita kedepankan untuk dinilai, manalah tahu ‘tersangkut’, paling kurang mendapat Hadiah Sastera Sabah pada tahun penilaian yang berikutnya. InsyaAllah.

Dulu, DBP Sabah ada majalah Wadah. Kemudiannya, majalah Kreatif muncul dari rumah BAHASA. Sehingga keluarannya yang terakhir pada tahun 2021, majalah tersebut sudah tidak ada. Disebabkan oleh kemunculan semula Majalah Komposisi, orang yang membuat majalah Kreatif telah ‘terbangun daripada tidurnya’.

Perancangan tahun 2023

Begitu pun, jangan risau, kita menghargai semuanya. IPS ialah medan untuk menyambung yang tergendala dan menghargai pendahulu yang telah tiada mahupun yang masih ada. Banyak lagi yang ingin dirancang oleh IPS kerana banyak jugalah idea yang datang kepada saya, yang mungkin saya terlupa untuk menyebut sebahagiannya.

Kita akan membuat Jerayawara Sasterawan Negeri Sabah dengan cara kita di samping meneruskan beberapa perkara yang tertangguh dari tahun sebelumnya termasuk dari segi menyambung semula Bengkel Penulisan Skrip Drama Pendek Tiga Minit. Kita akan membuat juga Bengkel Penulisan Kewartawanan, barulah kita boleh sebut tentang TikTok.

Seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Sepanggar sebentar tadi, kita juga akan membuat juga Bengkel TikTok kerana faktanya, pola masyarakat pada hari ini banyak bergantung kepada nilai penerimaan diri mereka di TikTok sehingga faktor itu mempengaruhi Pilihan Raya Umum baru-baru ini.

Pengaruh TikTok kepada masyarakat masa kini

Faktanya juga, semua analisis pilihan raya yang dibuat tanpa mengambil kira pengaruh TikTok, habis jatuh semuanya. Faktor TikTok rupanya telah terbukti memuncak di Malaysia pada tahun lepas. Tetapi, jangan risau. Kita mempelajari perkara ini agar diri kita dapat diberitahu bahawa kita berurusan dengan generasi yang makin mencabar dari segi sifat dan tingkah laku... sehingga nilai penerimaan atau harga diri seseorang digantungkan di alam maya dan bukan di alam nyata.

Generasi Y dan sebelumnya masih meletakkan nilai penerimaan di alam nyata. Tetapi, bagi Generasi Z dan seterusnya, terutamanya mereka yang lahir selepas tahun 2000, nilai itu duduknya di alam maya. Perkara ini, hari itu, disebut-sebut sebagai ‘Generasi yang Hilang’. Mereka ini hakikatnya belum hilang, tetapi kita mesti selamatkan mereka.

Maka, IPS masih dengan dasarnya untuk merakyatkan bahasa, sastera dan budaya di sekolah-sekolah. Tahun ini, kita akan banyak berfokus di Sepanggar, Tuaran, Tawau dan Keningau, hatta sedalam Tongod dan Paitan. Daerah Sandakan tidak kita lupakan kerana daerah Sandakan sentiasa menjanjikan.

Kewangan sebagai pendukung kegiatan

Akhir kalam, untuk menyenaraikan semua perancangan itu tidak cukup melainkan dengan dukungan dan sokongan daripada kerabat semua, dan kewangan. Apabila ada duit, semuanya jadi. Selain menjemput semua ahli untuk membayar yuran, kita juga menjemput ahli yang sudi menyumbang sesuatu yang sama nilai dengan yuran seumur hidup dan ke atas dalam sebarang bentuk, baik makanan atau barangan atau lain-lain, untuk menyumbang kepada aktiviti yang dianjurkan oleh IPS.

Saya telah mengambil keputusan pada tahun lepas bahawa ahli-ahli yang menyumbang sejumlah yuran seumur hidup dan ke atas kepada aktiviti anjuran IPS diberikan keahlian seumur hidup dengan sendirinya. Sebabnya, yuran seumur hidup yang sepatutnya menjadi hasil kepada IPS boleh terus direkodkan sebagai belanja daripada IPS bagi tujuan yang ditentukan.

Contohnya, jika sumbangan ahli tersebut berbentuk barang, seolah-olah IPS telah membelanjakan wang bagi tujuan mendapatkan barang yang memberi manfaat kepada IPS. Telah ada beberapa orang ahli biasa yang menjadi ahli seumur hidup melalui cara ini. Nama-nama mereka nanti akan kita kemaskini.

Dengan adanya duit juga, kita boleh terbang ke tempat yang jauh. Salah satunya ialah ke Balikpapan. InsyaAllah kita akan mengembara ke Balikpapan pada 29 Mei hingga 3 Jun ini. Penyertaan masih dibuka. Rasanya ramai yang mahu ikut mengembara ke Balikpapan kerana salah satu misinya ialah mencari prospek yang boleh diambil menjelang pembukaan Ibu Kota Nusantara pada Ogos tahun depan. Peristiwa itu akan berlaku tidak lama lagi.

Terima kasih banyak kerana mendengar Ucapan Dasar ini.

Mesyuarat Agung Tahunan Ikatan Penulis Sabah 2023.
Sabtu, 21 Januari 2023, jam 12.15 tengah hari.
Rumah Puisi Hasyuda Abadi, Kampung Gudon, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Comments