Menjana Ekonomi Negara, Ummah Sejahtera


"Islam... mementingkan kesempurnaan dalam semua lapangan kehidupan. Pengurusan yang cekap dan berintegriti amat dititikberatkan oleh lslam, khususnya dalam menterjemahkan natijah yang sempurna untuk kehidupan manusia."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa, dengan mematuhi segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam telah mensyariatkan ibadah zakat sebagai cara untuk mengagihkan harta kepada yang berhak. Zakat bukan sahaja dapat melepaskan golongan yang memerlukan daripada belenggu kemiskinan, bahkan dapat memastikan kebajikan mereka terpelihara. Inilah sebahagian hikmah ibadah zakat kepada ekonomi umat Islam. Pada masa yang sama, Islam tidak menolak sistem percukaian yang telah diamalkan di setiap negara selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Dalam sejarah, kerajaan-kerajaan lslam telah memperkenalkan Jizyah, iaitu cukai yang dikenakan kepada golongan bukan lslam bagi melayakkan mereka untuk mendapat perlindungan dan penjagaan sama ada harta, keluarga, darah dan sebagainya. Begitu juga dengan Kharaj, cukai tanah yang diperkenalkan pada zaman Saidina Umar al-Khattab RA dan juga Usyur, iaitu cukai perdagangan. Cukai-cukai tersebut berkembang seiring keperluan semasa sesebuah negara.

Sejarah telah membuktikan bahawa sistem percukaian merupakan antara wahana ekonomi yang penting dalam menjana kelangsungan pendapatan sesebuah negara. Cukai bukanlah sebuah amalan baru bagi negara kita. Sistem percukaian ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Pada ketika itu, telah wujud perundangan yang berkaitan dengan struktur percukaian, yang ditadbir oleh Penghulu Bendahari dan dibantu oleh Syahbandar, yang berfungsi menguatkuasakan peraturan bagi perihal perkastaman dan percukaian, khususnya di kawasan pelabuhan.

Merentasi zaman, fungsi dan peranan Syahbandar kini telah dimainkan secara signifikan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertindak selaku agensi pemungut cukai, sekali gus menjadi antara penyumbang hasil terbesar buat negara kita, Malaysia. Khutbah hari ini ialah bentuk apresiasi kepada JKDM yang meraikan Hari Kastam Sedunia ke-41, semalam (26 Januari 2023).

Mimbar ingin mengajak diri sendiri dan sidang jemaah sekalian untuk bersama-sama memberikan komitmen sebaik mungkin kepada pembangunan dan penjanaan ekonomi negara dalam memacu pertumbuhan positif ke arah kemakmuran negara. Firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas, ayat 77:

“...dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuatlah baik (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi (kerana) sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan.”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Islam merupakan agama yang sempurna dan mementingkan kesempurnaan dalam semua lapangan kehidupan. Pengurusan yang cekap dan berintegriti amat dititikberatkan oleh lslam khususnya dalam menterjemahkan natijah yang sempurna untuk kehidupan manusia. Firman Allah SWT dalam Surah as-Sajadah, ayat 5:

“Dialah yang mengatur segala urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari kadarnya (lamanya) adalah seribu tahun mengikut perhitungan kamu.”

Justeru, sumber perbendaharaan negara perlulah ditadbir dengan sebaik mungkin bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang ketirisan. Setiap warga kerja perlulah menghayati serta mempraktikkan amalan-amalan pengurusan yang boleh meningkatkan kecemerlangan dalam sesebuah organisasi. Hal ini demikian sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Yusuf, ayat 47 dan 48 ketika merakamkan kisah Nabi Yusuf AS:

“Dia (Yusuf) berkata: Hendaklah kamu bercucuk tanam tujuh tahun (berturut-turut) sebagaimana biasa; kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu membiarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan… Kemudian setelah itu akan datang tujuh (tahun) yang sangat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sukar), kecuali sedikit dari apa-apa yang kamu simpan (bibit gandum).”

Mimbar juga ingin mengajak para jemaah sekalian untuk mengambil teladan daripada kisah Saidina Umar RA. Beliau merupakan pemimpin yang berjaya membawa masyarakat Islam membina asas agama yang kuat. Beliau sangat mengutamakan pekerjaan dan produktiviti yang tinggi dan menjadikan pekerjaan sebagai bentuk ibadah yang tertinggi. Hal ini juga bertepatan dengan pesanan Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

"Sesungguhnya Allah mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia melaksanakannya dengan sempurna.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Tentunya bukan mudah bagi JKDM untuk mengekalkan kelangsungan menjana sumber ekonomi demi untuk mencapai keperluan rakyat dan kemakmuran negara kita, Malaysia. Dengan kekuatan seramai hampir 14,000 orang pegawai dan anggota dari pelbagai latar belakang, sudah tentu memberikan cabaran yang besar kepada sesebuah agensi seperti JKDM yang terlibat dalam menguruskan kutipan cukai dan tugas-tugas penguatkuasaan yang tentunya bertemu dengan penyeludup yang licik dan melanggar undang-undang perdagangan negara.

Justeru, perlunya setiap warga JKDM diingatkan bahawa tugasan sebagai warga JKDM merupakan satu tanggungjawab dan amanah daripada Allah SWT. Mimbar ingin mengajak para jemaah sekalian untuk mengambil teladan kisah kekaguman dua anak perempuan Nabi Syuaib AS terhadap Nabi Musa AS dalam membantu mereka mengambil air minuman untuk ternakan. Mereka terpegun dengan keterampilan Nabi Musa AS, seorang pemuda yang kuat melaksanakan kerja dengan penuh rasa tanggungjawab, tekun serta akhlak yang terpuji tanpa mengambil kesempatan terhadap wanita yang lemah. Allah SWT merakamkan prinsip kekuatan dan amanah menerusi firman-Nya dalam surah al-Qasas, ayat 26:

“...dan salah seorang daripada kedua (perempuan, anak Nabi Syuaib AS) itu berkata: wahai ayahku, jadikanlah dia (Nabi Musa AS) sebagai pekerja (kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (kita) ialah orang yang kuat dan dapat dipercayai.”

Secara mudah, al-Qawi dalam konteks ini ialah seseorang yang mempunyai kekuatan dan kompetensi. Al-Amin pula merujuk kepada orang yang baik, beriman, beramanah dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab. Allah SWT menegaskan bahawa ciri individu paling tepat diberikan tugas adalah individu yang memiliki kekuatan dan amanah. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak sempura keimanan bagi orang yang tidak amanah, dan tidak sempurna agama seseorang bagi yang tidak memenuhi janji.” (Hadis riwayat Ahmad)

Justeru, ciri-ciri al-Qawi dan al-Amin inilah yang seharusnya ada pada setiap anggota masyarakat dan amat dituntut oleh ajaran Islam demi mencapai keberkatan dalam kehidupan di dunia dan juga di akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang budiman,

Dalam usaha untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi, Kerajaan telah mempergiatkan pelbagai usaha untuk mencorak pertumbuhan positif ekonomi negara. Salah satu faktor utama yang dititikberatkan ialah Iangkah untuk mengurangkan ketirisan hasil negara di samping mengembangkan capaian hasil sedia ada.

Ajaran Islam telah menetapkan bahawa menjadi tanggungjawab dan kebersamaan umat Islam untuk melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar (menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran) bagi memastikan lima perkara asas iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara dengan sebaiknya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 188:

“...dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim (pemerintah), dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui.”

Perbuatan seperti meminta dan memberikan rasuah merupakan perbuatan mungkar yang boleh menyebabkan ketirisan hasil negara, bahkan memberi kesan besar kepada prestasi ekonomi negara secara keseluruhannya. Rasulullah SAW juga melaknat orang yang memberi rasuah, orang yang menerima rasuah dan orang yang menjadi perantaraan antara kedua-duanya. Thauban RA meriwayatkan:

“Bahawa Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya.” (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Oleh hal yang demikian, marilah kita bersama-sama bertekad untuk menghindarkan dari sebarang bentuk perlakuan rasuah agar kita dapat membina jati diri dan integriti yang kukuh, sama ada dalam perkhidmatan kerajaan mahupun swasta sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam.

Mengakhiri khutbah, marilah kita menghayati intipati khutbah sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Islam memberikan penekanan tentang pengurusan yang cekap dan berintegriti dalam menjana ekonomi negara.

Kedua: Jadilah manusia yang kompeten dan berintegriti demi mencapai keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Ketiga: Jauhilah sebarang bentuk perlakuan rasuah kerana ianya merupakan perbuatan yang keji dan dilaknat oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

“...dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah at-Taubah, ayat 105)

Jumaat, 27 Januari 2023.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Comments