Hafiz dan Cerita Sang Guru Mantan Kepala Daerah


Entah siapa yang datang ke ruang kerjaku, padahal aku masih bercakap di telefon dengan Gubernur. Betapa hebatnya dia sehingga dia tidak memasuki ruang kerjaku sendiri-sendiri. Tetapi, Direktur Utama Aliff yang tadinya menyambut di foyer, turut mengiringi.

Aku mengangkat tangan, meminta Aliff dan seorang lagi tunggu sebentar di luar. Sementara aku masih berbicara dengan Gubernur, Aliff dan seorang lagi meneruskan celotehnya di depan pintu sambil bergerak ke depan dan mengundur.

Mereka masuk ke ruang kerjaku setelah aku meletakkan telefon.

“Assalamualaikum, Ustaz!” Entah siapa yang memanggilku sebegitu padahal aku sudah lama tidak berkiprah di lapangan pendidikan.

“Siapa ini, Pak Dirut?” Saya memandangnya dari kiri ke kanan dan dari atas ke bawah.

“Ustaz masih ingat saya lagi?” Aku memusing-musingkan kepala ikut bentuk bujur sebab masih memikirkan siapakah yang telah Aliff iringi ke ruang kerjaku.

“Sayalah yang Ustaz panggil saya ‘adik’ lama dahulu.” Dia benar-benar cuba yakinkan aku bahawa bukan sahaja dia mengenaliku, tetapi juga aku yang mengenalinya. Aku seperti ingat akan orangnya, senyumannya, hatta tawarikh ringkasnya.

“Pak Dirut kenal dia ini?” Aliff mengangguk-angguk, tetapi aku bertambah kehairanan.

“Ustaz masih ingat kah, masa saya balik ke Sepagaya lepas habis di ITI, Ustaz yang hantar saya ke bandara? Saya ingat, Ustaz dulu pakai Myvi warna kelabu.” Aku sudah lama meninggalkan ITI. Kereta Myvi warna kelabu juga tidak lagi aku miliki.

Aku cuba mengingati orang ini. Malah, aku cuba menyebut namanya tetapi tidak akan pernah lagi nama itu terlintas di fikiranku. “Siapa ya?”

“Saya keluar. Abang teruskan dulu,” Aliff terus beredar dari ruang kerjaku. Yang tinggal di sini hanyalah orang itu dan aku.

“Ustaz masih ingat kah juga, dua minggu sebelum saya habis, Ustaz jerit dan kejar saya dari masjid sampai ke dalam asrama? Sayalah yang Ustaz pernah kejar dulu.” Aku ingat wajah ini. Tetapi, aku tidak pernah tahu lagi tentang orang ini.

Hanya setelah kedua tangannya memegang erat kedua tanganku, barulah dia memperkenalkan dirinya. Sambil mengalir air mata, Hafiz memeluk erat aku setelah menyebut namanya. Pipi aku juga turut ikut membasahi.

Aku sudah lama tidak pernah melihat kelibatnya. Terakhr kali aku melihatnya ialah ketika dia meninggalkan ITI di Malawa buat terakhir kalinya.

Aku hanya bersamanya lebih sedikit daripada 12 bulan sebelum dia beralih ke PLTT di Rengit jauh di laut seberang. Aku meninggalkan ITI ketika ITI masih memerlukanku. Tetapi, tanah air ini tidak kurang pentingnya, juga memerlukan perjuangan dan pengorbananku. Aku meninggalkan kiprah pegawai negeri untuk memasuki kancah politik negeri.

Ketika Hafiz masih di PLTT di Rengit dan kemudiannya menyambung di Universiti Parit Raja sehingga meraih S1 dengan predikat cum laude, aku telah pun menempatkan diri sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Provinsi Nusa Utara mewakili Parti Kelabu dan daerah pemilihan Pantai Dalit. Seawal usia yang ke-30, langkah pertamaku dalam politika bermula di sana.

Aku mengambil masa lima tahun berada di Dewan sebelum parti mengusungku menjadi calon Bupati Sulaman dan terpilih. Aku mengambil masa lima tahun lagi di pemerintahan daerah sebelum diusung menjadi calon Gubernur Nusa Utara dan terpilih.

Aku menjabat selama lima tahun sebelum purna tugas dan menjadi komisaris utama kepada perusahaan yang Aliff menjadi direktur utamanya. PT Dawama namanya, sebuah badan usaha milik negara yang duduk di Wisma Budaya di tengah-tengah bandar raya Deasoka, menjual karya bahasa, sastera dan budaya negara yang rencam adunannya.

Aku menjemput Hafiz duduk sementara aku mendapatkan kembali Aliff melalui telefon untuk kembali kepada komisaris utama perusahaannya. Mujur sahaja Aliff belum berjalan jauh sehingga dia berjalan dengan pantas dan masuk semula ke ruang kerjaku dengan lekas.

“Pak Dirut macam mana kenal Hafiz?”

Aliff kelihatan yakin untuk bercerita. “Saya selalu pergi Abang Hafiz punya kedai komputer dulu di Sepagaya masa saya menjadi pengurus pentadbiran di PT Jiwasraya. Agak lama jugalah Abang Hafiz mengusahakan sendiri kedai itu, lima tahun lebih kurang. Barulah dijualnya kedai itu kepada Abang Ali dan dipindahkan ke Bugaya. Nilai kedai itu pada masa itu sudah mencapai 500,000 Dirham.

“Selepas itu, barulah Abang Hafiz masuk PT Dawama sebagai Direktur IT selama tiga tahun. Sebelum dia keluar dari jawatan Direktur IT, saya masuk jadi Dirut, bang. Jadi kami ini berselisih. Baru pagi tadi, Gubernur mengambil sumpahnya sebagai Kepala Diskominfo. Saya ada tadi menyaksikan di Gedung Negeri.”

“Oh iyalah, saya tadi kan ada mesyuarat dalam talian dengan menteri,” sehingga aku tidak disempatkan ke Gedung Negeri untuk menyaksikan. Perasaanku bercampur-baur mengingat betapa panjangnya perjalanan Hafiz, dari menjadi siswa, wirausaha, pegawai swasta dan kini pegawai negeri.

Aku sedih kerana Hafiz tidak menjadi kepala dinas ketika aku dan Danial menjadi gubernur dan wakil gubernur. Namun, aku tetap mengucapkan syukur kerana salah seorang pelajarku di ITI dulu sudah dipilih oleh Bapak Gubernur menjadi pemimpin negeri dalam bidang IT.

“Pak Gubernur, saya ucap terima kasih sudah melantik anak didik saya di ITI menjadi Kepala Diskominfo Provinsi. Saya harap dengan adanya Kadis seperti Pak Hafiz, visi dan misi Bapak Gubernur untuk negeri, terutamanya dalam bidang komunikasi dan informasi, tercapai suatu hari nanti,” begitu saya tulis kepada Gubernur melalui aplikasi Telegram, barulah Hafiz memulakan cerita-cerita yang dia simpan di minda dan jiwa untuk sekian lama.

“Ustaz, saya tidak sangka, saya sudah sampai ke tahap ini. Dulu, saya fikir saya akan habis di D2 sahaja. Mahu sambung D3, duit hampir tidak ada. Mula-mula saya di Rengit, duit hanya ada tidak sampai 100 Dirham sahaja. Mahu bertahan sebulan setelah masuk sekurang-kurangnya, memang hampir tidak mampu rasanya. Memang setiap bulan, keluarga mampu bagi saya 100 Dirham sahaja.

“Tetapi, ada insan yang sangat berbudi menaja saya hingga ke S1, malah sehingga saya dapat buka kedai komputer di Sepagaya. Sejak D3 sampai sekarang, rezeki sudah datang melimpah-ruah, mungkin sebab doa Ustaz makbul, barangkali.”

Aku masih ingat betapa susahnya dulu dia bermusafir ke Malawa dari Sepagaya hanya untuk menghadiri pengajian jenjang D2 di ITI. Perjalanan dengan menaiki bas mengambil masa separuh hari lamanya belum termasuk berhenti di sini dan di sana, ditambah dengan jeraya dan lebuh raya yang berlubang-lubang juga di sini dan sana.

Aku menyertai ITI lima bulan setelah Hafiz memulakan pengajian D2. Itu pun, pengajian bermula di alam maya kerana virus korona telah buat sementara memisahkan manusia daripada alam nyata. Tetapi, aku hanya mengenalinya setelah dia memasuki semester tiga. Ketika itu, aku juga baru meraih S2 dari Universiti Nusa Utara dalam bidang sejarah dan ketamadunan.

Belum pun sempat dia menghabiskan D2, sebuah PLTT di Rengit sudah menawarkan pintasan ke jenjang D3 dengan tambahan tiga semester lagi. Maka, tidak banyak yang telah aku lakukan untuknya melainkan masuk ke bilik kuliahnya dan berkuliah seperti biasa, seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa.

Aku hanya bertentang mata dengan kelas mereka hanya di bilik kuliah, seminggu sekali sahaja. Padahal, setiap hari, ketika matahari baru muncul di aras dahi, mereka telah berhimpun mendengar bicara awal daripada para pengajar. Setelah itu, masuk ke makmal dan bengkel bagi pembelajaran teori dan praktikal. Kadangkala, mereka bersindiket di ruang pengajar, merancang teknikal dan taktikal.

Aku pernah melihat mereka betapa susahnya mengingat singkatan-singkatan yang terlalu banyak untuk diingat. Tidak kurangnya juga komponen-komponen dalam otak dan jantung komputer yang memerlukan mereka sangat hati-hati ketika mencabut dan menyemat.

Belum dikira betapa panjangnya kabel yang perlu ditarik sejauh ratusan meter dari stor pusat ke lapangan hanya bagi tujuan pembelajaran. Belum juga dikira betapa susahnya memotong wayar dan menyambungkannya ke lekuk-lekuk dan sudut-sudut yang membolehkan rangkaian Internet dan Intranet tersambung.

Di sebalik hati kecil yang merasakan penyesalan, aku bersyukur kerana beliau merupakan salah seorang pelajar terbaik mata kuliah pengajian agama yang aku pernah ajar di ITI. Nama Hafiz, malah, banyak meniti di bibir-bibir para pensyarah dan pengajar kemahiran yang memuji akhlak mulianya dan baik hatinya.

Dia sendiri, bagiku, banyak memberikan motivasi kepadaku untuk terus bersemangat mendidiknya dan kawan-kawan yang aku tidak dapat sebut satu persatu namanya.

“Mereka semua sekarang sudah ada di mana, Hafiz?” Hafiz menceritakan satu persatu nasib mereka yang semuanya baik-baik belaka walaupun tidak terjun sepertiku ke ranah politika.

“Ali masih mengusaha di Bugaya, menjadi taukeh kedai lama saya. Rojes dan Eizlan jadi rakan kongsi kedainya Ali, tapi menjadi taukeh juga di Luasong dan Kabota. Rosdian pun begitu di Usukan.

"Jeffrey dan Azril dan sama macam saya, Kepala Diskominfo, tetapi menjaga kabupaten. Jeffrey di Kaiduan, Azril di Merintaman. Mizwan kini di Nusantara jadi pegawai Badan Siber Negara.”

Rata-rata mereka menjadi wirausaha dalam bidang teknologi maklumat. Tidak pula kurangnya mereka yang habis di jejangnya dan kemudiannya masuk jalur pegawai negeri.

“Semuanya berkat doa Ustaz dan para pengajar yang pernah mengajar saya dulu di ITI.” Aku bukan sahaja terharu dengan kuatnya ingatan Hafiz terhadap masa lalu, tetapi aku juga menahan tangis kerana aku dapat berjumpa lagi dengan seseorang yang pernah aku kasihi.

Ramai yang tidak tahu sehinggalah aku menulis ceritaku di sini: aku telah meraih D4 dalam bidang rangkaian komputer menerusi pengalaman kerja sebelum aku meninggalkan ITI. Sebabnya aku turut mempelajari ilmu dan teknik rangkaian komputer daripada mereka yang juga belajar dengan pengajar-pengajarnya. Di samping aku mengajar mereka, aku juga belajar daripada mereka banyak perkara.

D4 aku menjadi bermanfaat sehingga aku dapat membuat perancangan berikutnya untuk PT Dawama. Aku mahu PT Dawama meneroka portfolio niaga yang seterusnya. Setahun dahulu, Komisariat dengan empat orang komisaris telah bersetuju agar PT Dawama meneroka bidang rangkaian komunikasi.

PT Dawama sudah lama ada Divisyen IT, Hafiz pernah menjadi direkturnya. Hari ini, PT Dawama menerusi sebuah anak perusahaannya rasmi menjadi penyedia rangkaian telekomunikasi di Nusa Utara.

“Ustaz, saya datang mohon doa restu, sambil ucapkan terima kasih kerana pernah mengajar saya dulu di ITI. Saya tidak memperingati Ustaz sebagai gubernur saya, tetapi sebagai sahabat tua yang pernah mengajar saya,” sambil dia mengambil tanganku dalam keadaan pipinya basah sekali lagi dengan air yang menitik dari hujung kedua belah matanya. Aku memeluknya erat seperti yang telah aku lakukan dulu semasa kami masih berada di ITI.

“Pak Kadis, tahniah dan selamat. Negara dan provinsi ini berbangga ada anak seperti anda. Saya juga ikut bangga. Jalani masa dinas dengan amanah dan intergriti. Doa para Bapak dan Ibu Guru kita selalu mengiringi. Saya ikut terharu kerana doa kami yang pernah menjadi dosen, pengajar dan guru telah terkabul sejauh ini.” Itu sahaja pesan yang aku dapat titipkan.

Keterharuan Hafiz ketika bertemu denganku di ruang kerja membuatkan dia terlupa bahawa ramai yang telah menunggu kami – aku, Aliff dan Hafiz – di luar ruang kerja. Sementara awak-awak media menunggu untuk menemubual Hafiz di ruang sidang media, kawan-kawan Hafiz telah terlebih dahulu menunggu untuk bertemu di luar wisma.

Aku berganding dengan Hafiz dan Aliff sambil berjalan dengan mereka ke luar wisma. Puluhan bersorak dan bertepuk tangan dengan meriah untuk kami sebaik sahaja pintu lif terbuka. Aku sudah dapat mengingat pelajar-pelajarku di ITI suatu masa dulu dengan berkumpulnya mereka di luar wisma.

Presley dan Ah Hau antara yang berada dalam keramaian untuk mengucapkan selamat atas pengangkatan Hafiz sebagai Kepala Diskominfo Provinsi Nusa Utara. Kedua-duanya akan menyertai PT Dawama Komunika, anak kepada PT Dawama, di Menara Shell pada hari berikutnya sebagai Direktur Rangkaian dan Direktur Hubungan Masyarakat.

Aku gembira kerana beberapa pelajarku di ITI dulu ikut aku menjayakan PT Dawama Komunika. Aku telah bertemu kedua-duanya di luar wisma sebelum mengiringi Hafiz dan Aliff ke ruang sidang media.

PT Dawama menerusi direktur utamanya dan Diskominfo Nusa Utara menerusi kepalanya telah sebelumnya menandatangani perjanjian persefahaman bernilai 5 juta Dirham bagi membolehkan projek pendigitalan bahasa, sastera dan budaya dijalankan dengan besar-besaran di seluruh negeri.

Setelah berlalunya Hafiz ke ruang kerjanya, aku tetap sahaja meneruskan kerja di Wisma Budaya sambil sekali-sekala membelek gambar puluhan tahun dahulu, bahawa aku pernah ada kenangan indah dengannya.

Hari berikutnya, Kepala Sekolah Kilang mengundang aku ke sana. Hafiz dan kawan-kawan ialah alumni ITI yang dapat aku jadikan isi cerita yang amat berguna dalam pidatoku yang perdana setelah tidak lagi menjabat Gubernur Nusa Utara.

Diterbitkan oleh Utusan Borneo (Sabah) pada 15 Januari 2023.
Gambar oleh Plaza Shell KK.

Comments