Ucapan Alu-aluan sempena Ramah Mesra Penulis Sabah bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia Malaysia


"Masyarakat madani ialah cita-cita kita semua, ke arah Malaysia yang lebih makmur dan bahagia. Tetapi, kita tidak boleh membiarkan gagasan tersebut berjalan hanya begitu. Gagasan tersebut memerlukan kita semua untuk menggerakkannya bersama-sama. Dalam hal ini, IPS dan sahabat-sahabat persatuan penulis... menggembeling tenaga dalam bentuk penulisan, pengkaryaan, penataran media, perkongsian keilmuan dan perkongsian kepakaran..."

Ramai yang gembira pada hari ini – Alhamdulillah – untuk pengetahuan Yang Berhormat Timbalan Menteri. Pertama, kerana kawan sekolah yang dulu duduk sebelah meja telah datang ke sini. Kedua, kerana seseorang yang memakai baju kelabu sama-sama dengan saya – yang menjadi Pemerhati Pilihan Raya – merupakan pendukung kepada seseorang yang telah pun terpilih menjadi Ahli Parlimen Sepanggar.

Ketiga, kerana orang yang bercakap di depan ini baru sahaja bercakap dengan orangnya tiga minggu lepas di Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK). Apabila saya memohon beliau datang ke Kampung Lokub, beliau telah pergi dan telah ada gambarnya.

Tiga minggu lepas, ketika beliau mengunjungi ILPKK, telah ada juga gambarnya. Apabila saya memohon beliau datang ke sini, beliau telah pun berada di sini. Kampung Gudon bertuah sekali kerana Yang Berhormat Timbalan Menteri telah mengunjunginya lebih daripada sekali... dan ini mesej yang terbaik untuk kita semua.


Perkumpulan pada hari ini bukan semata-mata Mesyuarat Agung Tahunan Ikatan Penulis Sabah (IPS) 2023. Pertama, hari ini, yang lebih penting, bagi mereka yang tinggal di kawasan Parlimen Sepanggar – seperti saya yang berasal dari Kampung Lokub, sekadar mengingatkan – mereka boleh berjumpa dengan wakil rakyat kawasan.

Kedua, wakil rakyat kawasan ini merupakan wakil kepada Kerajaan Persekutuan. Jadi, ada sesuatu yang kita boleh sampaikan kepada Kerajaan Persekutuan, terutamanya Kementerian yang menyentuh beberapa perkara. Rupa-rupanya pada hari ini, Yang Berhormat Ahli Parlimen Sepanggar satu kementerian dengan saya, iaitu Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Ketiga dan yang lebih mustahak lagi, kita baru bercerita tentang suatu gagasan yang diperbaharui – bukan yang baru – dan dihidupkan semula, iaitu gagasan ‘Malaysia Madani’ yang sebenarnya rakan-rakan penulis di Sabah telah melaksanakannya sejak sekian lama. Sebabnya, kita tidak memahami ‘madani’ itu semata-mata sebagai pemodenan, tetapi juga sebagai suatu bentuk pembangunan insan.

Bagaimana daripada insan biasa, seseorang itu dapat membangun menjadi masyarakat madani? Dari perspektif IPS dan Rumah Puisi Hasyuda Abadi, kita membangunkannya menerusi penulisan, pembangunan ilmu dan ekonomi berasaskan keilmuan (k-economy). Kami mengeluarkan penulisan sastera, penulisan akademik, penulisan kewartawanan dan penulisan bebas yang menterjemahkan kita sebagai masyarakat yang berilmu dan berbudaya. Itulah sebenarnya misi IPS sejak tahun 1990 – saya belum pun lahir pada masa itu.


IPS mula-mula lahir pada tahun 1990 di tengah-tengah Singgah Mata, Kota Kinabalu. Pada tahun lepas, kita telah memasyhurkan Rumah Puisi ini sebagai ibu pejabat IPS yang baru, bukan untuk IPS, tetapi untuk semua penulis yang masih ada dan masih Allah berikan kehidupan di negeri Sabah untuk kita sama-sama menimba ilmu dan kemahiran.

Bagi saya secara peribadi dan bagi organisasi yang saya wakili, itulah yang kami fahami daripada maksud Malaysia Madani. Kami mendukung gagasan ini kerana masyarakat madani ialah cita-cita kita semua ke arah Malaysia yang lebih makmur dan bahagia. Tetapi, kita tidak boleh membiarkan gagasan tersebut berjalan hanya begitu.

Gagasan tersebut memerlukan kita semua untuk menggerakkannya bersama-sama. Dalam hal ini, IPS dan sahabat-sahabat persatuan penulis seperti Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS), Kelab Penulis Kadazan Dusun Murut Sabah (Momogunsia), Kelab Penggiat Komuniti Buku Negeri Sabah (KEBUKU) dan sebagainya – kami semua – menggembeling tenaga dalam bentuk penulisan, pengkaryaan, penataran media, perkongsian keilmuan dan perkongsian kepakaran untuk memastikan ada nilai-nilai yang boleh diserapkan dalam gagasan ‘Malaysia Madani’.

Dalam pada itu, memang perkumpulan ini juga bertujuan untuk meraih sokongan peribadi dan profesional daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Sebabnya, untuk pengetahuan semua, IPS sedang dalam proses menerbitkan buku... dan saya mohon izin untuk mengumumkan di sini bahawa pada bulan Mei ini, ada 14 buah buku akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), karya 14 orang penulis sastera di negeri Sabah. Buku-buku tersebut akan dilancarkan pada bulan Mei ini, InsyaAllah.

Semoga, dengan kedatangan Timbalan Menteri ke sini pada hari ini, sokongan dapat diberikan agar buku-buku tersebut dapat ditatarkan di institusi pendidikan bawah KSM di seluruh negara serta institusi pendidikan yang ada di kawasan Parlimen Sepanggar seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) – dan termasuk sekolah-sekolah rendah dan menengah yang ada di kawasan Parlimen Sepanggar.

Bulan depan (Februari 2023), kita akan berkumpul lagi di sini – InsyaAllah, kalau panjang umur – untuk Wacana Penulis Sabah 2023. Tempat ini menarik sekali sebab di sini telah ada Sasterawan Negeri Sabah ketiga yang telah dimasyhurkan oleh DBP. Sebagai menghargai ketokohan dan kepakaran beliau dalam bahasa, sastera dan budaya, bukan sahaja kita akan menerbitkan buku dokumentarinya, tetapi juga kita akan mewacanakan ilmu-ilmunya.

Sebenarnya, saya mempelajari perkara ini daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Saya ahli ABIM untuk pengetahuan semua yang berdaftar di Selangor. Dalam ABIM, kita sentiasa ada ilmu untuk ditatarkan dan dikongsi. Yang Berhormat Timbalan Menteri lebih memahami perkara ini.

Jadi, IPS menggunakan pendekatan yang lebih kurang sama, tetapi dengan sikap yang lebih terbuka dan dengan jiwa Wasatiyyah. Sebabnya, yang lebih penting ialah apakah yang generasi seterusnya mahukan.

Begitulah tujuan perkumpulan kita pada hari ini. Mudah-mudahan Yang Berhormat Timbalan Menteri ada sesuatu yang boleh dikongsi selepas ini dan, jika berkesempatan, berdialog seketika. Jika ada sesi soal jawab, kita alu-alukan kerana memang inilah tujuannya.

Selebihnya, terima kasih banyak saya ucapkan kepada Yang Berhormat Timbalan Menteri, tuan-tuan dan puan-puan kerana setia berada di sini. Segalanya yang terkurang dan terlebih, saya, tuan Rumah Puisi dan Panitia Pelaksana mohonkan kemaafan. Selanjutnya, mari kita dengarkan selanjutnya hikmah yang akan disampaikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri.

Mesyuarat Agung Tahunan Ikatan Penulis Sabah 2023.
Sabtu, 21 Januari 2023, jam 10.20 pagi.
Rumah Puisi Hasyuda Abadi, Kampung Gudon, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Comments