Ketika Demokrasi Bermahrajan


Aku saksikan sendiri seorang anggota Komisi Pemilihan Umum Provinsi menempel pengumuman pemilihan di depan Pejabat Daerah. Tanpa aku sedari, sudah cukup lima tahun untuk semua kepala dan anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah di seluruh pelusuk provinsi ini dipilih semula untuk lima tahun ke depan.

Ketua Komisi membuka pintu dewan utama Pusat Persidangan Negeri untuk pendaftaran calon. Zuran dan Sam, pasangan calon gubernur dan wakil gubernur, diiringi oleh pencadang dan penyokong dan begitu jugalah calon daripada parti masing-masing.

Semuanya ada pasukan kompang dan pancaragam sendiri. Ada yang malah berbusana Melayu, bersilat dan menari zapin di hadapan perarakan pasukan pemenangan.

Kompang dan pancaragam berlawan bunyi sesama sendiri baik di dalam mahupun di luar Pusat Persidangan Negeri. Pesilat juga berlaga lengan dan kaki untuk mencari siapa yang paling kuat untuk memimpin di daerah ini. Tidak ketinggalan bunyi ekzos motosikal anak-anak muda yang mengiringi gelek mereka jauh di belakang dataran.

Aku tidak sempat kembali ke daerah sendiri. Aku sudah kesibukan di ibu kota negeri. Maka, aku biarkan saja kawan-kawan mendaftarkan diri menjadi calon kepala daerah dan anggota Dewan bersama dengan pencadang dan penyokong di tempat masing-masing.

Faiz dan Herfan mendaftarkan diri menjadi calon bupati di Keramat dan Tempasuk. Begitulah juga dengan Razi, Danish dan Farid masing-masing di Pegalungan, Kaiduan dan Lubuk. Huz, Jat dan Jai tidak ketinggalan mendaftarkan diri menjadi calon walikota di Api-Api, Elopura dan Kinabutan.

Fiq dan Elya juga mendaftarkan diri menjadi calon anggota Dewan di Tempasuk dan Sulaman. Banyak lagi nama yang aku tidak sempat senaraikan di sini kerana jumlah mereka ramai sekali.

Aku sudah pastikan bahawa dokumen pencalonan kepala daerah dan anggota Dewan telah dibereskan oleh pasukan pemenangan sebelum diserahkan ke anggota Komisi di setiap daerah berserta deposit pemilihan dan kempen sebanyak 50,000 Dirham.

Tepat jam 9 pagi, aku melihat Zuran dan Sam masing-masing menyerahkan wang sebanyak 50,000 Dirham berserta dokumen pencalonan kepada Ketua Komisi sebagai tanda mencalonkan diri menjadi gubernur dan wakil gubernur. Sama ada akan diraih kembali keseluruhannya atau separuh atau hilang semua sekali, hanya masa yang akan menjawabnya.

Masuk sahaja jam 11 pagi waktu setempat, maka bermulalah kempen bagi semua calon kepala daerah dan anggota Dewan yang jumlahnya mencapai ribuan orang di seluruh provinsi.

“Waduh, macam mana ini, bos? Mahu pilih yang mana satu? Calon di Sulaman lumayan ramai.” Seorang penduduk yang menetap di kejiranan yang sama denganku bertanya. Aku sudah ada pilihanku.

Tetapi, “Tidaklah saya tahu itu. Undi itu kan rahsia. Jadi, undilah pilihan sendiri. Cuba pergi jalan-jalan di luar taman. Mana tahu terjumpa dengan calon mana-mana parti dan pasukan pemenangan,” jawabku dengan suara yang tegas.

Mereka kehairanan. Seingat mereka, aku ini orang parti. Tetapi, semenjak aku menjabat gubernur lama dulu, aku tidak lagi. Mereka terlupa bahawa aku dapat berada di mana-mana sahaja. Aku sudah lama meninggalkan kiprah dengan parti.

Aku terlupa amat. Atas amanah daripada Komisi, aku hanya menjadi pengamat. Ketika aku berjumpa dengan calon-calon kepala daerah dan anggota Dewan, aku hanya mengucapkan selamat.

“Mohon doa restu, bang.” Baik Zuran, baik Sam, baik yang lain-lain, semua calon mengucapkan kepada aku ayat yang sama. Amin, semoga diijabah, hanyalah jawapan kepada permohonan yang semuanya serata sama.

Aku berkendara ke tempat-tempat yang kakiku mampu mencapainya. Akhirnya aku berhenti di Tempasuk melihat suasana pesta pemilihan di sana. Dinding-dinding pekannya penuh dengan muka dengan pelbagai saiz, reka bentuk dan warna.

Bagi parti yang kaya-raya, muka budak posternya terpampang besar-besar di dinding papan iklan yang disewanya dengan pemerintah daerah. Aku tertarik dengan iklan yang bergaya di sana.

“Buek bukan boek.” Semua yang melihat papan iklan itu ketawa berdekah-dekah. Ada yang malah berguling-guling di tengah jalanan hingga ke tempat pembuangan sampah. Rupanya dari papan iklan itu seolah-olah ada air dari lidah yang keluar mencurah-curah.

Aku fikir daerah itu sudah sering terkena masalah bekalan air lalu mungkin mengatakan sesuatu yang tidak langsung kepada kepala daerah yang sebelumnya. Hanya calon bupati itu sahaja yang tahu kenyataannya.

Tidak kurang juga di Kauluan, ada sebuah papan iklan yang amat besar saiznya disewa oleh seorang calon anggota Dewan.

“Ada Karen, karan ada.” Sama seperti di Tempasuk, geli amat hati penduduk yang membacanya. Ada yang malah menambah perkataan ‘tipu’ di tengah-tengah papan iklan. Mungkin saja kerana bekalan elektrik yang sudah sering hidup segan, mati tidak mahu di daerah itu.

Aku terus saja berkendara ke Marak. Aku singgah di padang sebuah kampung yang penuh dengan orang. Ingatkan ada kunjungan daripada wakil pemerintah pusat. Rupanya ada kempen dekat dengan pusat.

“Kita mahukan Superman dan bukannya Suparman!” Jeritan pemuda itu disambut oleh dua jeritan yang berbeza, yang menyambutnya dan yang menolaknya.

“Hoi! Apa masalah Suparman sama kau?” Seorang pendengar bertanya kepada pemuda itu.

“Suparman bagus saja jaga kami. Apa masalahnya?” Entah apa yang dijawabnya. Tidak jelas sekali jawapannya kecuali, “Kamu bukalah TikTok. Saya akan jawab di sana. Yang penting, kita tidak mahu lagi Suparman jadi bupati. Kita mahu Superman!”

Aku terus berlari apabila sebilangan hadirin ‘bersilat’ kerusi, meja dan khemah sesama sendiri setelah mendengar jawapan yang diberi.

Aku menjerit ketakutan sehingga penguatkuasa tempatan datang mengamankan keadaan. Aliff memeluk aku, menenangkan keadaan. Tujuh orang pendukung calon dan parti berkenaan ditangkap oleh polis kerana merosakkan ketertiban.

Belum termasuk tiga orang ejen calon yang juga ditangkap oleh Badan Pencegah Rasuah kerana menyerahkan 500 Dirham kepada ketua penguatkuasa tempatan sebagai bayaran untuk melepaskan kawan-kawannya daripada ditahan.

Tiga hari aku menanti calon itu di TikTok, tidaklah pula dia muncul-muncul melainkan hanya jam dinding yang bertik dan bertok. Bertik dan bertok. Yang muncul di TikTok hanyalah calon lain yang muda belia semuanya.

Termasuklah di sana seorang calon anggota dewan bagi sebuah daerah pemilihan di sebelah timur negeri. “Saya janji kalau saya menang kawasan ini, jalan yang berlubang-lubang, akan saya tampal dengan emas.”

Sambil bertepuk tangan, penduduk ketawa terbahak-bahak sehingga terkeluar kahak dan anak tekak. Malah, ada yang menampar calon sehingga pipinya merah dan bengkak. “Kau ganti dulu saya punya emas yang kena sakau dari rumah sama penyamun, baru saya percaya.”

Sama ada aku tekan butang suka atau aku seret sahaja di sana, itu tidak penting sesungguhnya. Aku hanya mahu melihat sejauh mana TikTok menyambut hangat kempen pilihan raya. Ternyata sangat ramai yang menyambutnya tidak seperti di Facebook, Twitter dan Instagram.

Aku melakukan itu semua selama sebahagian daripada 13 hari kempen di serata provinsi, di beberapa buah daerah dalam provinsi. Sehingga selesai sehari tempoh bertenang, maka aku pun dapatlah menunaikan tanggungjawab mengundi di tempat mengundi yang dekat dengan rumah.

Pemilihan ini memerlukan aku mencoret satu pangkah kepada calon gubernur dan wakil gubernur, satu pangkah kepada calon bupati dan wakil bupati, satu pangkah kepada seorang calon anggota Dewan peringkat provinsi dan satu pangkah untuk seorang anggota Dewan peringkat daerah.

Aku menjadi orang pertama tiba di tempat mengundi untuk dibaca maklumat peribadiku oleh kerani pemilihan, untuk dicalit jari telunjuk tangan kiriku dengan inai biru, untuk mencoret pangkah-pangkah itu dan untuk memasukkannya dalam peti undi.

Sehinggalah tiba pukul 6 petang, setelah lapan jam tempat mengundi dibuka, maka semua peti undi ditutup dan dibuka semula untuk pengiraan undi oleh petugas pemilihan. Ribuan sampul undi kiriman juga telah diterima dari dalam dan luar negara sebelum waktu yang ditetapkan.

Walaupun aku mengundi, aku dapat melihat proses itu semuanya. Sehinggalah semua undi selesai dikira, dijumlahkan dan disahkan di tempat mengundi dan pusat penjumlahan undi, barulah anggota Komisi yang menjaga daerah mengumumkan pemenang pemilihan.

Aku, awak-awak media dan ketua-ketua tempat mengundi sanggup tidur di Dewan Masyarakat Daerah dan menunggu sehingga jam 2 pagi hanya untuk mengetahui pasangan yang menjadi pemenang pemilihan. Para pendukung parti juga siap memasang khemah di padang sementara menunggu kalau-kalau keputusan telah disahkan dan diumumkan.

Selepas dua hari keputusan diumumkan di tingkat daerah oleh masing-masing ahli Komisi, Ketua Komisi bangkit ke hadapan corong radio dan kamera televisyen untuk mengumumkan pemenang pemilihan di tingkat provinsi.

“Hurrah! Hurrah! Hurrah!” Zuran sudah terpilih menjadi gubernur. Sam juga sudah terpilih menjadi wakil gubernur.

Aku hanya ikut berteriakan dengan kawan-kawan setelah Ketua Komisi Pemilihan Umum Provinsi Nusa Utara mengumumkan pasangan yang memenangi pemilihan gubernur dan wakil gubernur. Parti Kelabu sudah berhasil memenangi pemilihan gubernur menewaskan lima buah parti yang lain.

Tidak setakat itu. Ternyata Parti Kelabu menang kursi terbanyak di Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Provinsi. Parti Kelabu menang 39 kursi. Parti Merah 16 kursi. Parti Biru dan Parti Kuning masing-masing tiga kursi. Parti Hijau 11 kursi. Parti Ungu enam kursi.

Dewan itu ada 79 kursi semuanya. Mulai hari itu, Parti Ungu menyerahkan majoriti yang dipegangnya selama sembilan belas tahun kepada Parti Kelabu.

Gubernur Zuran sudah ketakutan melihat kedudukan Dewan yang akan menjabat selama lima tahun ke depan. “Macam mana ini, bang? Berapa banyak suara saya boleh dapatkan untuk luluskan undang-undang baru ke depan?”

Aku menenung tajam mata Zuran. Mungkin saja dia terlupa bahawa dia pernah berkarya di pejabat gubernur, beberapa tahun dahulu. Gubernurnya ketika itu tidak pernah berparti, malah menerima semua parti. Sehingga ada beras, semua kerja deras dan ada padi, semua kerja jadi.

“Pak Gubernur tenang-tenang saja. Segala yang Bapak rencanakan untuk kepentingan negeri, pasti akan didukung oleh majoriti Dewan. Kita bukan negara lain yang 24 jam berpolitik. Kita ialah negara yang 24 jam ijtihadik.”

“Zuran, negeri ini kita punya. Sama-samalah kita,” Faiz yang telah berhasil menjadi bupati menyambung pesan. Razi, Danish, Farid, Huz, Jat dan Jai yang semuanya pamit kepadaku setelah terpilih menjadi kepala di daerah masing-masing turut mengangguk-angguk mengiyakan. Fiq dan Elya tidak ketinggalan.

“Terima kasih, bang, atas tunjuk ajar dan sokongan. Mohon doa restu, kami akan lakukan yang terbaik untuk negeri kita.” Kesemua mereka bersalaman, berdakapan dan berjanji kepadaku untuk membangunkan provinsi Nusa Utara bersama-sama dengan sepenuh jiwa dan raga.

Zuran dan rakan-rakan tidak takutkan apa-apa lagi. Ketika Zuran mengusulkan anggaran pendapatan dan belanja provinsi berjumlah 30 bilion Dirham dengan lebihan hasil 1 bilion Dirham, tidak ada seorang pun daripada 79 orang anggota Dewan di provinsi ini yang mengangkat tangan tidak setuju sebelum diketuk palu.

Pertama kali Gubernur Zuran membentang anggaran, bukan sahaja seratus persen Dewan bersetuju, tetapi badan survei di provinsi juga mencatatkan tahap penerimaan rakyat terhadap gubernurnya sudah setinggi 70 persen.

Aku sudah menyaksikannya di Wisma Budaya. Kumpulan pendukung Gubernur Zuran kembali berkumpul di Wisma Budaya menari Sumazau, Limbai, Ngajat dan Zapin berbaju biasa dan berserta segala kompang dan kulintangan yang ada sebagai tanda gembira kerana mereka bakal mendapat manfaat daripada pemerintah provinsi berbentuk bantuan sara hidup berjumlah 5,000 Dirham dibayar secara berfasa.

Ramai anak yang tidak dapat merasa ayam KFC dapat merasa semula sekali-sekala. Ramai ibu yang mencari minyak goreng dalam kehilangan, menjumpai semula minyak gorengnya. Ramai bapa yang menjadi peladang koko, sawit dan getah, dan tidak kurang juga yang membanting tulang empat kerat sehingga membongkok di sawah, dapat membeli semula beras yang mencukupi.

Sementara di sebelah sini, Aliff terus menemani hari-hariku berkarya di sanggar sastera di tengah bandar Api-Api tanpa aku perlu sesali apa-apa lagi. Kebetulan Aliff ialah direktur utama bagi sebuah perusahaan yang diusahakannya di Wisma Budaya. Aku sebagai komisaris utama hanya membantu sahaja.

Diterbitkan oleh Utusan Borneo (Sabah) pada 4 Disember 2022.
Gambar oleh Universitas Negeri Yogyakarta.

Comments