Keinsafan daripada Fenomena Gerhana Bulan


Kita semua beriman bahawa seluruh alam semesta ini diciptakan oleh Allah. Tiada satu makhluk pun yang terlepas daripada Sunnatullah. Allah menciptakan segala sesuatu itu tidak lain dan tidak bukan sebagai petunjuk atau petanda akan wujudnya Allah dan kekuasaan-Nya.

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Kuasa, dengan mematuhi segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Kita semua beriman bahawa seluruh alam semesta ini diciptakan oleh Allah SWT. Tiada satu makhluk pun yang terlepas daripada Sunnatullah. Allah SWT menciptakan segala sesuatu itu tidak lain dan tidak bukan sebagai petunjuk atau petanda akan wujudnya Allah SWT dan kekuasaan-Nya. Allah SWT berfirman dalam Surah Fussilat, ayat 37:

"...dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari mahu pun sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakan kedua-duanya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah."

Allah SWT memberikan contoh daripada perkara yang berlaku yang nyata di sekeliling kita untuk menunjukkan betapa hebatnya kekuasaan-Nya. Bulan dan matahari yang beredar jauh di angkasa itu tidak mampu dikawal oleh manusia. Bahkan, Allah SWT jualah yang Maha Mengatur dan Maha Berkuasa menggerakkannya di atas orbit secara teratur demi manfaat seluruh makhluk yang ada di alam ini. Maka, janganlah mata hati kita buta dengan menyembah kepada makhluk seperti bulan dan matahari sebagaimana yang diperingatkan oleh Allah SWT dalam ayat yang telah dibacakan tadi.

Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah,

Gerhana bulan dalam Bahasa Arab disebut sebagai al-khusuf. Gerhana tersebut terjadi apabila kedudukan bumi berada di tengah-tengah antara matahari dan bulan yang menghalang cahaya matahari sampai ke bulan dan menyebabkan sebahagian atau keseluruhan bulan tertutup oleh bayangan bumi. Fenomena pergerakan objek-objek langit yang tertib dan menakjubkan ini merupakan tanda daripada kekuasaan Allah SWT yang tidak mungkin dapat ditandingi oleh apa pun dan siapa pun juga.

Ketika berlakunya gerhana, Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya menginsafi kekuasaan Allah SWT dengan melaksanakan solat sunat dua rakaat, berdoa dan bersedekah. Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam pesanannya ketika menyampaikan khutbah gerhana:

"Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan sebahagian dari kekuasaan Allah SWT. Gerhana bulan atau matahari terjadi bukan kerana kematian atau kelahiran seseorang. Maka, apabila kamu melihat gerhana, bertakbirlah, berdoalah kepada Allah, kerjakan solat dan bersedekahlah." (Hadis riwayat Muslim)

Muslimin dan Muslimat yang diberkati Allah,

Imam al-Ghazali menyatakan bahawa hendaknya fenomena gerhana membuatkan manusia semakin menampakkan ketundukan diri kepada Allah SWT, bertaubat dengan bersungguh-sungguh dari segala kesalahan, serta semakin meresapi kehadiran Ilahi dalam kehidupannya. Imam al-Ghazali menyatakan dalam Kitab al-Adab fi al-Din: "Perilaku yang semestinya ditunjukkan ketika terjadinya gerhana bulan: sentiasa memiliki rasa takut, menampakkan rasa gelisah, segera bertaubat, tidak bersikap mudah bosan, segera melaksanakan solat, memanjangkan solatnya dan merasakan adanya peringatan."

Kita merenungi fenomena gerhana bulan ini dengan banyak-banyak berzikir, muhasabah setiap amalan dan tindakan, melaksanakan Amar Makruf dan Nahi Mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kejahatan), memperbaiki hubungan silaturrahim sesama umat Islam dengan meninggalkan segala bentuk persengketaan dan memperbanyakkan bersedekah.

Muslimin dan Muslimat yang berbahagia,

Mengakhiri khutbah, khatib ingin merumuskan khutbah ini dengan membuat beberapa kesimpulan sebagai pedoman buat kita semua.

Pertama: Fenomena gerhana bulan merupakan salah satu tanda dan bukti kekuasaan dan keagungan Allah SWT dan bukannya kerana petanda kematian atau kelahiran seseorang.

Kedua: Allah SWT memberikan contoh daripada perkara yang berlaku yang nyata di sekeliling kita untuk menunjukkan betapa hebat kekuasaan-Nya dan menyedarkan manusia bahawa hanya kepada Allah SWT jualah tempat kita bersujud dan mempersembahkan ketaatan.

Ketiga: Sentiasa bertaubat, melazimi zikir, menunaikan solat yang wajib dan memperbanyakkan solat sunat, serta memperbanyakkan bersedekah kerana inilah pesanan yang telah diperingatkan kepada kita oleh Baginda Rasulullah SAW.

"Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun." (Surah al-Israa, ayat 44)

Selasa, 8 November 2022.
Surau Nurul Yaqin, Kampus Lama Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Gambar oleh Agensi Angkasa Malaysia.

Comments