Bahasa Jiwa Bangsa


"Jangan pernah lelah mencintai dan menggunakan bahasa kebangsaan kita. Jadikanlah bahasa Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa antarabangsa dan bahasa etnik tempatan."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sudah menjadi Sunnatullah, manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya dapat saling berkenal-kenalan. Tidak hanya itu, manusia diciptakan dengan kebolehan berbahasa. Dalam erti kata lain, kewujudan manusia di muka bumi seiring dengan kewujudan bahasa.

Bahasa merupakan kaedah utama komunikasi manusia yang terdiri daripada perkataan-perkataan yang dibentuk dengan cara yang berstruktur dan konvensional dan disampaikan dalam bentuk ucapan, penulisan mahupun pergerakan. Bahasa berperanan menyempurnakan kehidupan manusia dalam semua perkara sama ada di dunia ini mahupun di Hari Akhirat nanti. Bahasa mempunyai medan yang amat luas, yang datang dengan pelbagai tujuan bergantung kepada niat pemakainya. Jika baik tujuannya, maka indahlah bahasa yang dipertuturkannya. Sebaliknya, jika buruk tujuannya, maka jeleklah bahasa yang dipertuturkannya.

Apa guna berkain batik,
kalau tidak berbaju kasa;
Apa guna memandang cantik;
kalau tidak berbudi bahasa?

Sesungguhnya lidah dan mulut banyak menyeret manusia ke dalam api neraka berbanding anggota tubuh badan yang lain. Oleh sebab itu, setiap perkataan yang digunakan sebagai perbendaharaan kata dalam berbahasa mestilah bertitik tolak daripada perkataan yang baik. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 24 dan 25:

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit? Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya, dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Penciptaan bangsa dalam kehidupan manusia merupakan suatu fenomena dalam kejadian alam. Pengiktirafan kedudukan bangsa dalam kehidupan manusia dengan sendirinya menjadi perakuan kepada segala ciri yang mendirikan identitinya, termasuklah bahasa. Oleh sebab itu, masyarakat Melayu menganggap bahawa ‘bahasa menunjukkan bangsa, bahasa jiwa bangsa’. Amat rugilah bangsa yang tidak berjiwa jika bahasa yang dipertuturkannya tidak menggambarkan santun budinya.

Kalau terpijak pisau belati,
tentu terluka, teramat bisa;
Bahasa yang cantik putih melati,
Berbudi bahasa pusaka bangsa.

Hakikatnya, bahasa ialah alat pembinaan bangsa yang berjiwa. Sirah Rasulullah SAW, misalnya, telah mencatatkan suatu petua bahawa Islam hanya dapat sampai ke dalam jiwa manusia apabila para ilmuwan dan pendakwah Islam menggunakan bahasa yang setimpal dengan kemampuan berfikir masyarakat yang didatanginya. Perkara ini selari dengan tuntutan yang digariskan oleh Allah SWT dalam Surah an-Nahl, ayat 125:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah.”

Sejarah Melayu, dari satu sudut yang lain, menceritakan bahawa bahasa Melayu berfungsi sebagai tonggak dalam proses pembudayaan semula masyarakat. Walaupun ajaran Islam bersumber daripada bahasa Arab, proses penyebaran ajaran Islam kepada masyarakat Melayu tidak menggunakan bahasa Arab, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa Melayu.

Tentu kita pernah mendengar nama-nama besar dalam dunia Melayu dan dunia Islam seperti Hamzah al-Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf Singkel, Sheikh Daud al-Fatani, Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji dan Abdullah Munshi yang telah mengarang dan menyebarkan pemikiran agama dengan menggunakan bahasa Melayu. Kitab-kitab karangan mereka masih menjadi sumber khazanah pemikiran umat Melayu-Islam sampai kini.

Perkara ini sudah terang lagi bersuluh membuktikan betapa tahap dan kualiti pemikiran yang berjaya dicapai telah menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana penyebarannya. Peranan mereka dalam memperkasakan peranan bahasa Melayu dalam penyebaran Islam merupakan sumbangan yang teragung dalam pembentukan tamadun Islam, Asia dan Melayu yang unik dan utuh sehingga kini.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Keberlangsungan negara Malaysia sejak kemerdekaan dicapai sebagai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 membolehkan kedudukan bahasa Melayu terus diperkasakan dan disempurnakan menerusi penggubalan undang-undang. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tidak setakat itu, Seksyen 2, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi kerajaan. Begitulah juga dengan Seksyen 17, Akta Pendidikan 1996 yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.

Hakikatnya, yang bulat tidaklah datang bergolek dan yang pipih tidaklah datang melayang. Tidak akan berjaya pemartabatan bahasa Melayu jika tidak ada organisasi yang melaksanakannya. Rentetan daripada itu, Balai Pustaka telah ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru, Johor. Hari ini, kita semua mengenalinya sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah badan berkanun yang dirasmikan penubuhannya oleh Seksyen 3, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959.

Semenjak daripada itu, banyak usaha yang telah dan masih digerakkan oleh DBP di dalam dan luar negara bagi memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan sebagai bahasa rasmi negara dan salah satu bahasa utama rantau Asia Tenggara. Antaranya termasuklah menyediakan khidmat nasihat bahasa, menggerakkan inisiatif pantau tegur bahasa, mengadakan Bulan (dan sekarang Dekad) Bahasa Kebangsaan, menerbitkan buku dan majalah bahasa dan sastera serta mengurniakan Anugerah Sastera Negara kepada Sasterawan Negara terpilih.

Ternyata bahasa Melayu tidak semata-mata diperkasakan dalam bentuk dasar dan perundangan. Benarlah pada sebuah kata yang telah dikotakan. Pada petang 23 September 2022 waktu New York, Amerika Syarikat, buat pertama kalinya sejak penubuhan Malaysia, Perdana Menteri telah menyampaikan ucapannya dalam Debat Umum Perhimpunan Agung ke-77, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam bahasa Melayu.

Busut di hutan sarang kelekatu,
Angsana tumbang di tepi benua;
Berbahasa Melayu saban waktu,
Makin berkembang ke serata benua.

Sebagai rakyat dan penduduk Malaysia, kita seharusnya bersyukur dan bergembira kerana bahasa Melayu dapat sekali lagi diarus perdanakan di pentas dunia, lebih-lebih lagi ketika kita masih berada dalam kalangan lebih kurang 290 juta penutur bahasa Melayu di seluruh dunia. Hakikatnya, berabad-abad dahulu, bahasa Melayu pernah menjadi bahasa pertuturan utama kepada para pedagang yang menjalankan urusan perniagaannya di wilayah Kesultanan Melaka.

Ingatlah, jiwa sesebuah bangsa terletak kepada kehidupan bahasanya. Oleh hal yang demikian, kita semua mempunyai amanah di pundak kita memperkasakan bahasa Melayu ke tahap yang lebih mulia dengan tiga cara:

Pertama: Kita hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul sesuai dengan tarafnya. Usahlah kita merojakkan bahasa Melayu dengan cara mencampurkannya dengan bahasa lain baik dalam pertuturan mahupun penulisan.

Kedua: Kita hendaklah menggunakan bahasa Melayu secara meluas, bukan sahaja dalam urusan rasmi kerajaan, tetapi juga dalam urusan dengan pihak swasta. Dalam erti kata yang lain, semua urusan surat-menyurat, majlis rasmi, mesyuarat, papan tanda, papan iklan dan papan nama kawasan hendaklah menggunakan bahasa Melayu.

Ketiga: Kita hendaklah berusaha mencantikkan bahasa Melayu, sama ada dengan membudayakan tulisan Jawi mahupun menerapkan elemen sastera dalam penulisan dan percakapan.

Ke mana hati hendak dituju,
Rajuk lama belumlah hilang;
Tiada guna negara maju,
kalau bahasa tidak dijulang.

Sidang Jumaat yang budiman,

Pemartabatan bahasa Melayu tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai bahasa kebangsaan pada tahap yang baik sehingga bahasa tersebut dapat digunakan di bidang yang bersesuaian dan dengan tujuan yang bersesuaian. Bahasa Melayu bukanlah semata-mata bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu ialah bahasa ilmu, bahasa kemahiran, alat perhubungan sesama insan dan alat perpaduan. Bahasa Melayu merupakan pemangkin pembentukan Keluarga Malaysia yang ditunjangi dengan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Ketika ada dalam kalangan kita yang menceburkan diri dalam bahasa antarabangsa dan bahasa etnik tempatan, dan ketika ada dalam kalangan kita mendahulukan bahasa antarabangsa daripada bahasa rasmi negara, jangan pernah lelah mencintai dan menggunakan bahasa kebangsaan kita. Jadikanlah bahasa Melayu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa antarabangsa dan bahasa etnik tempatan.

Sedarilah, bahasa Melayu merupakan salah satu daripada janji-janji kemerdekaan yang digagaskan oleh para pendiri bangsa dan negara kita, Malaysia. Sesungguhnya cinta kepada bahasa rasmi negara merupakan cinta kepada bangsa dan negara. Cinta kepada bahasa rasmi negara juga melambangkan cinta kita kepada Allah dan Rasul-Nya.

Mengakhiri khutbah, marilah kita mengambil beberapa pengajaran penting sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

Pertama: Betapa pentingnya kita menggunakan bahasa yang baik dan indah ketika berkomunikasi.

Kedua: Kita hendaklah menzahirkan rasa bangga terhadap bahasa Melayu yang menjadi wahana dakwah Islam di tanah air kita.

Ketiga: Setiap rakyat dan penduduk Malaysia hendaklah menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul bersesuaian dengan tarafnya, tujuannya dan bidangnya.

Berbanjar cemara di tanah rata,
Tempat teduhan sekumpulan murai;
Segar dan mesra bahasa kita,
Anugerah warisan usah terburai.

Jumaat, 28 Oktober 2022.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.

Comments

Post a Comment