Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih


"Nikmat kesatuan ini wajib disyukuri dan dipertahankan dengan bersungguh-sungguh. Kerukunan dan amalan hidup bermuafakat hendaklah kita kekalkan supaya anak cucu kita nanti dapat mewarisi sebuah negara yang kekal harmoni dan sejahtera."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia: Selamat Hari Malaysia.

Hari ini hari yang bersejarah untuk kita semua, hari untuk memperingati asalnya kewujudan tanah air kita serta kita semua yang berada di dalamnya. Ambillah ruang dan peluang yang sungguh bersejarah ini untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Bersempena dengan Hari Malaysia, khatib akan membicarakan khutbah yang bertajuk ‘Serumpun Bak Serai, Sesusun Bak Sirih’, peribahasa Melayu yang membawa erti amalan hidup saling bermuafakat yang tidak berpecah belah.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Hari ini, 16 September, sangat istimewa dalam sejarah negara kita dengan bergabungnya Persekutuan Tanah Melayu dengan Borneo Utara ketika itu dan Sarawak – dan sehingga tahun 1965, Singapura. Penggabungan yang berlaku pada tahun 1963 bernama Malaysia. Nama tersebut diumumkan buat pertama kalinya oleh Perdana Menteri kita yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Penggabungan ini ternyata membebaskan Sabah dan Sarawak dari cengkaman komunis yang sangat kejam dan menjadikan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebuah negara yang berdaulat dan merdeka sepertimana yang kita kenali pada hari ini. Seluruh masyarakat telah sama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam suasana yang ramah, mesra dan harmoni. Justeru, memang inilah hakikat penciptaan manusia yang pelbagai sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Sehingga ke hari ini, kita telah sama-sama berusaha mempertahankan tanah air ini sebaik mungkin. Adakalanya kita diuji dengan cabaram ekonomi, bencana alam, perbezaan ideologi serta pasang surut cuaca politik. Namun, kematangan seluruh rakyat Malaysia dalam menghadapi segalanya patut disyukuri dan dihargai.

Kita juga dapat melihat kesatuan seluruh rakyat Malaysia dalam mempertahankan negara apabila ada pihak luar yang cuba mengganggu guat keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini. Sebagai contoh, peristiwa pencerobohan di Lahad Datu – masih segar dalam ingatan kita – yang berlaku seawal 11 Februari 2013 sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 11 nyawa dari kalangan anggota keselamatan negara. Peristiwa ini menunjukkan bahawa seluruh rakyat bersatu hati, memberi sokongan serta mendoakan kesejahteraan, keamanan, kemakmuran dan kedaulatan negara agar terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Nikmat kesatuan ini wajib disyukuri dan dipertahankan dengan bersungguh-sungguh. Kerukunan dan amalan hidup bermuafakat hendaklah kita kekalkan supaya anak cucu kita nanti dapat mewarisi sebuah negara yang kekal harmoni dan sejahtera. Jatuh dan bangun negara ini kita mesti harungi bersama dengan masing-masing saling menguatkan dan menyokong antara satu sama lain.

Kita mesti menjaga kedaulatan negara dengan menghormati Perlembagaan Persekutuan, Perlembangaan Negeri serta undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah kedua-duanya. Segala perselisihan dan perbezaan yang timbul mestilah diatasi dengan kebijaksanaan dan perdamaian. Perselisihan yang berpanjangan hanya akan merugikan bangsa dan negara kita sendiri. Sekiranya berlaku sebarang perselisihan, maka perlunya ada pihak yang bertindak menjadi pendamai dan bukannya menjadi batu api yang melaga-lagakan, lebih-lebih lagi yang melibatkan sesama umat Islam.

Abu Darda RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah jika aku khabarkan kepada kamu suatu yang lebih utama dari darjat puasa, solat dan sedekah?” para sahabat berkata, “Sudah tentu, wahai Rasulullah”. Baginda bersabda: “Mendamaikan orang yang sedang berselisih dan rosaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan).” (Hadis riwayat Abu Daud)

Sidang Jumaat yang mulia,

Tanah air yang merdeka ini pasti akan lebih berkat dan makmur jika kita sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT. Teruskanlah berbuat baik sesama manusia walaupun remeh pada pandangan kita. Tidaklah elok bagi kita untuk merendahkan sesuatu kebaikan meskipun kebaikan tersebut kecil, ringan, atau sedikit.

Semua kebaikan yang kita terima hendaklah kita hargai dan syukuri, selaras dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Dzar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh, janganlah kamu memandang rendah suatu kebaikan pun meski kamu sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang berseri-seri.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Justeru, mengakhiri khutbah, khatib ingin menekankan beberapa intipati sebagai panduan dan peringatan kita bersama.

Pertama: Kesepaduan dan kesatuan masyarakat Malaysia dihubungjalinkan oleh Rukun Negara dan sikap toleransi yang tinggi yang dipertahankan sejak dahulu lagi sehingga akhirnya terbentuk sebuah negara Malaysia yang merdeka dan sejahtera.

Kedua: Setiap perselisihan mesti dihadapi dengan kebijaksanaan dan perdamaian ataupun sebaliknya hanya akan merugikan diri kita sendiri kerana yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.

Ketiga: Hidup kita biarlah sentiasa saling bermuafakat dan saling membantu seperti ungkapan ‘serumpun bak serai, sesusun bak sirih’ supaya kerukunan dan keharmonian negara dapat dikekalkan sehingga masyarakat dapat hidup dalam suasana yang ramah dan mesra.

“...dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa zaman Jahiliyyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu semua dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara; dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa zaman Jahiliyyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk daripada-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 103)

Jumaat, 16 September 2022.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.
Gambar ihsan Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu.

Comments