Catatan buat Teman Setia: Sebuah Janji kepada Bangsa dan Negara yang Terlaksana


"Kita tidak perlu menjadi penyair, pencerita atau sasterawan untuk menulis. Kita hanya perlu menjadi diri sendiri, menulis cerita dan pengajarannya dengan ketulusan hati budi, agar dapat dipelajari generasi kini dan nanti."

Bagi pihak diri saya sendiri dan Ikatan Penulis Sabah (IPS), terima kasih saya ucapkan kepada Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk menyampaikan pidato sempena hari yang bermakna buat saya dan kita semua: ‘Catatan buat Teman Setia: Sebuah Janji kepada Bangsa dan Negara yang Terlaksana’.

‘Catatan buat Teman Setia’ ternyata bukanlah karya saya yang pertama. Telah berlalu sebelum kelahirannya ratusan buah puisi dan cerpen yang telah saya nukilkan dengan izin Allah SWT sejak tahun 2009. Sebilangan daripadanya sempat lolos masuk ke dalam beberapa buah antologi dan sebilangan yang lain juga sempat disorot di dada-dada akhbar tempatan Sabah.

‘Catatan buat Teman Setia’ merupakan sebuah buku yang mengumpulkan 76 buah puisi yang telah saya sendiri nukilkan dari tahun 2009 hingga tahun 2020. Puisi-puisi yang disusun secara kronologi membolehkan pembaca dan penilai memahami cabaran seorang pemuda dalam mencapai cita-cita dan harapan yang diimpikan dalam kehidupannya.

Dari sudut pandang yang asalnya, ‘Catatan buat Teman Setia’ ialah luahan seorang pemuda kepada kawan yang ketika itu paling dekat dengannya. Orang itu baginya merupakan teman setia. Tetapi, sesiapa pun boleh menjadi teman setia kita. Seseorang atau dua yang sedang duduk di sebelah kalian boleh menjadi teman setia, begitulah juga mereka yang duduk di depan dan belakang kita, jika tidak hingga ke hujung nyawa, untuk sewaktu-waktu yang bersifat sementara.

Lihatlah pada Institut yang sudah berusia 21 tahun ini. Institut ini juga dapat menjadi teman setia kita: tempat kita menuntut ilmu, meneroka hikmah, menuai budi, mencipta kerja dan meraih jaya. Nanti akan ada yang bertanya, bagaimana bersahabat dengan ‘sekolah kilang’ sedangkan di dalamnya hanyalah komputer, mesin dan kertas lukisan? Jawapannya kembali kepada asal muasal pertama kali kita mendampingi Institut ini.

Institut ini ternyata layak dipanggil teman setia, bukan sahaja oleh masyarakat di sekelilingnya, tetapi ramai lagi jauh di luar sana. Lihatlah, Institut ini dapat bersahabat dengan dunia. Sehingga bukan sahaja warga negara Indonesia yang mengenali kita, tetapi insan-insan lain yang berada sejauh Korea Selatan dan Jerman.

‘Teman setia’ bagi pemuda itu hampir menjadi segalanya. Pemuda itu dengan ‘teman setia’ tidak pernah berjalan jauh dari ibu kota negara tetapi telah berjuang melebihi batas ibu kota. Ketika ‘teman setia’ menjadi penunjuk jalan, pemuda itu menjadi peneman. Ketika ‘teman setia’ menjadi anggota, pemuda itu menjadi ketua. Ketika ‘teman setia’ menjadi setiausaha, pemuda itu menunjuk pandunya.

‘Teman setia’ tersebut ialah seorang pemuda yang berasal dari Jerantut, menetap di Kuala Lumpur, ketika itu masih menuntut ilmu dalam bidang kejuruteraan mekatronik di universiti yang sama dengan penulisnya dan merupakan pendamping kepada penulisnya ketika mewakili kolej kediaman yang sama di sana. Hari ini beliau bertugas di sebuah syarikat di Pelabuhan Klang seperti biasanya.

Begitu pun, ‘Catatan buat Teman Setia’ dari sudut pandang yang lain merupakan rangkaian perjalanan hidup seorang pemuda dari dari bangku sekolah sebagai murid ke menara gading sebagai mahasiswa dan pemimpin muda sehinggalah kembali ke bangku sekolah, bukan lagi sebagai murid, tetapi sebagai guru. ‘Catatan buat Teman Setia’ bukan sekadar cerita, tetapi pesanan dan harapan kepada generasi yang membaca dan menghayatinya:

...untuk tetap meneruskan kehidupan walaupun serba kekurangan, untuk tidak merasa sunyi pada saat kehilangan, untuk bangun dengan kuat setelah kejatuhan, untuk memilih kawan dan pendamping yang benar-benar bersederhana dalam penerimaan, dan untuk mencari hidayah dan teladan yang benar-benar menunjukkan jalan dalam kehidupan.

Ketika buku ini belum diterbitkan, konsep buku ini telah dibuat perkongsian di peringkat Jabatan Tenaga Manusia (JTM). Saya masih ingat mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengarah, Bahagian Kawalan Teknikal, JTM yang saya hadiri secara maya pada awal bulan Mac yang lalu dari halaman Masjid Nabawi, Madinah, hanya untuk membahas prospek penerbitan dalam kalangan warga JTM.

Ketika buku ini telah diterbitkan tetapi belum dilancarkan, buku ini telah diperkenalkan kepada IPS yang telah mempercayakan saya menjadi Ketua Satunya sejak Februari yang lalu. Buku ini juga telah disosialisasikan oleh sebuah media elektronik yang berpangkalan di Tanjungpinang, Kepulauan Riau, Indonesia kepada para penulis sastera dari rantau Asia Tenggara.


Alhamdulillah. Saya bersyukur kerana buku ini dilancarkan di ILPKK, sebuah institut latihan kemahiran awam yang mempunyai tempat yang istimewa dalam Keluarga Malaysia, khususnya di negeri Sabah, dan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Buku ini bukan sahaja bukti kepada pencapaian jabatan yang menaungi penulisnya, tetapi juga bukti kepada terlunasnya janji kepada bangsa dan negara.

Selepas sempurnanya pelancaran buku ini di sini pada hari ini, InsyaAllah buku ini akan sekali lagi diperkenalkan bersama sekurang-kurangnya 72 buah buku yang lain kepada para penulis dan penggiat sastera dari rantau Asia Tenggara di halaman Universiti Maritim Raja Ali Haji di Tanjungpinang pada 27 September ini sempena Festival Sastra Internasional Gunung Bintan 2022. Malah, selepas daripada itu, saya melihat ke depan untuk menerbitkan sekurang-kurangnya sebuah lagi buku pada tahun yang mendatang jika tidak ada aral yang melintang.

Saya menyarankan semua yang masih berada di bangku sekolah dan menara gading untuk menulis, bukan sekadar luahan yang datang daripada minda dan hati, tetapi cerita yang dapat menyemburkan bau wangi kepada lebih banyak lagi minda dan hati yang ingin menghayati. Kita tidak perlu menjadi penyair, pencerita atau sasterawan untuk menulis. Kita hanya perlu menjadi diri sendiri, menulis cerita dan pengajarannya dengan ketulusan hati budi, agar dapat dipelajari generasi kini dan nanti.

Saya juga mengalu-alukan sahabat-sahabat dan rakan-rakan sekerja dan sepengajian di dalam dan luar ILPKK untuk turut serta menulis bagi manfaat masyarakat yang datang seterusnya. Hakikatnya, penulisan ialah sebuah industri, sama seperti industri-industri yang lain seperti teknologi maklumat dan komunikasi, elektrik, elektronik, mekanik dan pengeluaran yang mendukung sesama sendiri.

Sempurnanya ilmu, kemahiran dan budi yang diajar dan dipelajari pada hari ini tidak lain dan tidak bukan datangnya daripada penulisan yang menjadi sebahagian daripada industri. Malah, penulisan merupakan antara perkara asas yang mula-mula diajarkan kepada tamadun manusia, yang membolehkannya meneruskan kehidupan dengan sempurna.

Dengan tulisan, kita mampu membaca. Dengan tulisan, kita kenal bahasa. Dengan tulisan, kita tahu jati diri bangsa. Lebih daripada itu, dengan tulisan, kita mampu menggambarkan kehidupan kita menerusi susunan kata yang sarat dengan maknanya.

Saya optimis, selepas pelancaran buku ini, ILPKK mampu menghasilkan buku-buku yang lain, jikalau tidak ditulis oleh seorang penulis, ditulis oleh ramai penulis. Buku-buku yang akan datang daripada ‘kilang’ ILPKK suatu hari nanti bukan sahaja akan melambangkan kemampuan dan kesungguhan ILPKK dalam bidang penulisan, tetapi melambangkan rasa bertuah warga untuk bernaung di bawah ILPKK.

Kelak di sepanjang jalan akan terjumpa
betapa diri sungguh bertuah, sesungguhnya
menjadi sebahagian daripada komunitasnya
dari kalangan pelbagai rupa dan warna
yang merentas arus deras ombak bergelora
yang terbang di awan biru berteman cahaya
cerah di bawahnya bumi yang berbunga-bunga
haruman makrifat dan fadhilat yang dicintai serata-rata
bermanfaat buat semua sepanjang masa.

(Awang Abdul Muizz Awang Marusin, Bertuah Sesungguhnya, 2015)

Kesempatan berharga ini saya ambil untuk mengucapkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang ikut mendukung dan menjayakan buku ini. Yang kecil tidak dapat disebut namanya, yang besar juga tidak dapat disebut gelarnya. Di samping ibu bapa dan keluarga saya serta semua pendidik dan sahabat saya, saya khususkan ucapan ini kepada ILPKK dan IPS, dua organisasi yang menjadi penyumbang utama kepada berhasilnya buku ini.

Dengan memohon redha Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa, maka saya dengan hormatnya mempersembahkan ke persada ibu pertiwi, buku kumpulan puisi ‘Catatan buat Teman Setia’ untuk dimanfaatkan oleh bangsa dan negara. Semoga diterima di sisi Allah SWT, menjadi amal jariah kepada semua yang terlibat dalam penulisan, penerbitan, percetakan, penataran dan pemerluasannya.

Hari Kemuncak, Karnival Pengajian Am dan Pusat Sumber 2022
Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu
Khamis, 15 September 2022, jam 8.00 pagi
Dewan Rafflesia, ILPKK, Sabah

Comments