Memperingati Pengorbanan Keluarga Malaysia


"Pada setiap matahari yang terbenam pada hari sebelumnya, akan ada matahari yang terbit pada hari seterusnya. Walaupun semalam diselubungi dengan hujan dan kabus berpanjangan, hari ini mentari tetap bersinar membawa khabar gembira kepada mereka yang menantikan."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia: Salam Keluarga Malaysia, Salam Sabah Maju Jaya dan Selamat Hari Raya Aidiladha.

Atas nama peribadi dan keluarga, bangsa dan negara, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua sempena perayaan Hari Raya Aidiladha dan tiga Hari Tasyrik yang berikutnya. Sebagai insan yang beriman, ada baiknya kita mulakan hari ini dengan menyatakan segala puji dan syukur kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa kerana dengan izin dan rahmat-Nya, dapatlah kita meraikan hari ini dengan rasa gembira dan bahagia.

Ada baiknya juga kita mengiringkan rasa-rasa tersebut dengan jiwa yang bertaqwa, iaitu jiwa yang merasa takut kepada-Nya, jiwa yang beramal dengan kalam-Nya, jiwa yang bersederhana sekadarnya, dan jiwa yang bersedia untuk menempuh alam yang seterusnya. Mudah-mudahan kita menjadi hamba Allah yang meraih kasih sayang-Nya di dunia ini dan di akhirat sana.

Keluarga Malaysia yang dirahmati Allah,

Tiada siapa yang akan pernah tahu dan tiada siapa yang akan pernah rasa, dua tahun lebih yang berlalu penuh dengan mimpi yang tidak pernah pasti penghujungnya. Ketika Malaysia mengesan tiga kes pertama Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) pada 25 Januari 2020, tiada siapa yang dapat meramal apakah episod seterusnya bagi penularan penyakit ini.

Malah, sehingga Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat pertama kalinya pada 18 Mac 2020, tiada siapa juga yang dapat menjangkakan bilakah PKP akan berakhir dan bilakah kita semua dapat hidup seperti sebelumnya. Setiap hari yang berlalu selama tempoh itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah kebimbangan, ketakutan dan kesedihan, bukan sahaja kerana perkembangan penyakit yang sifatnya tidak ketentuan, tetapi juga kerana kesannya berbentuk larangan daripada melakukan kebanyakan kegiatan yang biasa kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Setiap hari, kita telah dan masih membaca di dada akhbar, melihat di skrin telefon, mendengar di corong radio dan menyaksikan di kaca televisyen bilangan kes baru COVID-19 yang tidak menentu, bilangan pesakit yang kritikal kerananya yang juga tidak menentu, apatah lagi siapakah yang tertutup usianya kerananya dan siapakah yang terselamat setelah menghidapinya, tiada siapa yang tahu kecuali Yang Maha Tahu. Semua itu membuatkan kita semua pernah merasa buntu dan keliru, malah menjadi resah ketika memikirkan apakah lagi yang akan berlaku setelah itu.

Tetapi, semua itu akhirnya menjadi cabaran dan ujian yang mematangkan, menguatkan dan mendewasakan kita sehingga kita mampu bangkit semula dan bergerak ke arah yang sepatutnya. Semua itu, malah, menjadi sebab Allah SWT mengurniakan rahmat-Nya yang banyak kepada kita semua. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 155-157:

“Demi sesungguhnya, kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman, dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang, apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itulah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat hidayah-Nya.”

Keluarga Malaysia yang dikasihi Allah,

Bangsa dan negara Malaysia nyata tidak statik. Doa, sokongan dan kerjasama pelbagai pihak selama ini menjadikan bangsa dan negara ini semakin lama semakin dinamik. Kempen 'Kita Jaga Kita' telah kita laksanakan. Mereka yang dijangkiti COVID-19 telah dan masih diberikan rawatan. Mereka yang kesusahan akibat PKP telah dan masih kita berikan bantuan. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan juga telah kita jayakan, malah berterusan.

Hari ini, ramai yang telah mengambil vaksin COVID-19 telah mendapat perlindungan. Hari ini juga, ramai yang dijangkiti COVID-19 telah diberikan rawatan dan dapat diselamatkan. Hari ini, kita semua telah dapat kembali ke alam pendidikan dan pekerjaan. Hari ini juga, kita semua merasa lebih bebas berbanding sebelumnya untuk meneruskan kehidupan.

Hari ini, tiada lagi had penumpang ditetapkan bagi sesebuah kenderaan. Hari ini juga, tiada lagi sekatan jalan raya dilaksanakan di sempadan. Hari ini, tiada lagi premis kerajaan, perniagaan dan kemasyarakatan, apatah lagi masjid dan surau, yang menghalang mahupun mengehadkan kehadiran. Hari ini juga, yang lebih penting lagi, tiada lagi yang menghalang kita daripada merayakan hari kita dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan.

Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang telah menciptakan untuk manusia segala bentuk ujian dan cabaran. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang juga telah menunjukkan manusia jalan untuk mengharungi itu semua dengan kesabaran dan ketabahan. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang telah membuatkan kita kembali merayakan hari kemenangan dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan. Allahu Akbar! Maha Besar Allah yang menjadikan Aidilfitri dan Aidiladha dua hari kebesaran untuk disambut oleh kita semua, umat Islam, dengan sepenuh keimanan dan ketaqwaan.

Keluarga Malaysia yang diberkati Allah,

Peperangan menentang musuh-musuh yang nyata dan tersembunyi di setiap inci tanah air kita nyata belum menemukan titik pengakhiran. Musuh-musuh tersebut mungkin saja sedang menyelinap di penjuru yang tidak mungkin kita fikirkan. Menyedari hakikat ini, kita harus sentiasa bersedia untuk meneruskan perjuangan, melawan dengan sekuat jiwa dan raga sehingga kita benar-benar beroleh kemenangan.

Akan tetapi, perkara itu tidaklah juga seharusnya melunturkan rasa sukacita kita untuk merayakan hari ini. Hakikatnya, hari ini bukan lagi hari untuk bermimpi. Hari ini bukan lagi hari untuk menyesali. Hari ini juga bukan lagi hari untuk mencari yang tidak lagi berada di sini. Lebih daripada itu, hari ini bukan lagi hari untuk memanggil kembali setiap detik yang telah berlalu pergi.

Benarlah kata orang, pada setiap matahari yang terbenam pada hari sebelumnya, akan ada matahari yang terbit pada hari seterusnya. Walaupun semalam diselubungi dengan hujan dan kabus berpanjangan, hari ini mentari tetap bersinar membawa khabar gembira kepada mereka yang menantikan.

Hari ini ialah hari kemenangan. Hari ini hari kegembiraan. Hari ini juga ialah hari kesyukuran. Lebih daripada itu, hari ini ialah hari kita dianjurkan memperingati dan menghargai pengorbanan.

Pengorbanan yang dimaksudkan bertitik tolak daripada peristiwa Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anakanda baginda, iaitu Nabi Ismail AS. Baginda berdua dengan hati yang rela dan redha akur akan perintah tersebut. Namun begitu, Allah SWT dengan rahmat-Nya telah menggantikan Nabi Ismail AS digantikan dengan seekor kibas.

Kita memperingati peristiwa tersebut setiap tahun dengan cara mengalunkan zikir yang membesarkan Allah SWT, menunaikan solat sunat Aidiladha (seperti yang kita baru tunaikan tadi) dan, bagi yang berkemampuan, menyembelih binatang korban lalu mengagih-agihkannya kepada mereka yang memerlukan. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Kauthar, ayat 1 hingga 3 seperti yang dibacakan di awal ucapan ini.

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah binatang korban (sebagai tanda bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”

Keluarga Malaysia yang berbahagia,

Walaupun begitu, tidak semua kita dapat merayakan Hari Raya Aidiladha pada hari ini. Pertama, kerana pada ketika ini, 899,353 orang jemaah haji dari seluruh dunia sedang menyempurnakan ibadah haji. Termasuk dalam statistik ini ialah 14,306 orang jemaah haji dari Malaysia yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT dalam musim haji ini, yang kita doakan semoga mereka semua memperoleh haji yang mabrur.

Ketahuilah, tiada yang lebih bererti daripada dapat menjejakkan kaki di Haramain. Kepada yang belum diberikan kemampuan dan kesempatan, kita doakan semoga Allah SWT mampukan dan sempatkan kita untuk sampai ke tanah suci Makkah dan Madinah pada masa hadapan, bukan sahaja untuk mengerjakan haji, tetapi juga untuk mengerjakan umrah dan melakukan ziarah terhadap Rasulullah SAW.

Kedua, kerana tidak semua kita diizinkan oleh Allah SWT untuk meneruskan kehidupan. Lebih 35 ribu orang pesakit maut akibat COVID-19 sejak 17 Mac, dua tahun sebelumnya. Belum dikira berapa banyak nyawa yang terkorban kerana pelbagai sebab seperti sakit, bencana alam serta kemalangan di jalan raya dan tempat kerja.

Belum juga dikira berapa ramai yang telah syahid dalam perjuangan di jalan Allah, membela dan mempertahankan nasib kita semua. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka semua, menempatkan mereka di Syurga bersama-sama orang-orang yang dikasihi-Nya dan mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada semua yang ditinggalkan mereka.

Ketiga, kerana sebilangan daripada kita pada ketika ini meneruskan tugas dan tanggungjawab mereka kepada bangsa dan negara. Merekalah pegawai dan anggota tentera, polis, Perkhidmatan Kesihatan serta semua perkhidmatan penting yang lain di bawah Perkhidmatan Awam Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan, sektor swasta mahupun badan bukan kerajaan. Terima kasih banyak-banyak kita ucapkan kepada mereka atas perkhidmatan dan sumbangan mereka kepada kelangsungan dan kestabilan tanah air kita.

Tidak kita lupakan di sini, ramai yang telah dan masih berkorban untuk kita semua pada setiap tempat dan ketika. Mereka tidaklah mengharapkan sebarang bentuk balasan daripada kita. Tetapi, kita tidak selalu teringat untuk berterima kasih kepada mereka atas segalanya yang telah dan masih mereka berikan kepada kita.

Di samping menunaikan ibadah korban, Hari Raya Aidiladha merupakan ruang dan peluang yang terbaik untuk menghargai dan membalas jasa dan bakti mereka yang telah dan masih berkorban untuk kita. Oleh itu, marilah kita jadikan perayaan ini medan untuk menyampaikan terima kasih kita kepada mereka, bukan sahaja sebagai penghargaan kita kepada mereka, tetapi juga sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT.

Kepada ibu bapa dan keluarga yang banyak berkorban mengasuh dan membesarkan, guru-guru yang banyak berkorban dalam mendidik anak-anak muridnya menjadi insan yang berguna pada masa hadapan, sanak saudara dan jiran tetangga yang banyak berkorban mengekalkan suasana kekeluargaan dan kejiranan, sahabat-sahabat rapat yang banyak berkorban mewujudkan persahabatan yang berkekalan, dan rakan-rakan yang banyak berkorban memastikan segalanya dapat direalisasikan, terima kasih banyak-banyak atas segalanya yang telah diberikan dan dikongsikan.

Kepada semua yang telah menerima vaksin COVID-19 dan yang selama ini turun tangan menjayakan misi membendung penularan COVID-19, terima kasih banyak-banyak atas usaha-usaha yang telah diambil dalam melindungi diri sendiri dan orang-orang sekelilng daripada bahayanya COVID-19.

Kepada semua individu, syarikat dan badan bukan kerajaan yang budiman, terima kasih banyak-banyak atas pemedulian, bantuan dan sumbangan yang diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia yang telah dan masih berjuang dan berkorban, terima kasih banyak-banyak atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan. Terima kasih banyak-banyak juga diucapkan kerana menjadikan 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' suatu kenyataan. Semoga Allah SWT menerima daripada mereka dan kita segala pengorbanan dan mengurniakan kekuatan kepada mereka dan kita untuk meneruskan perjuangan.

Ahad, 10 Julai 2022.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.

Comments