IPS berkunjung hormat ke DBP Sabah

Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS) mengadakan kunjung hormat terhadap Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Aminah Hj. Awang Basar di Kompleks DBP Sabah, Likas, Kota Kinabalu pada petang Jumaat (3 Jun 2022). Kunjung hormat bertujuan untuk memperbaharui ukhuwah dan muhibah antara DBP Sabah dengan IPS.

Dari DBP Sabah, hadir kedua-dua Timbalan Pengarah, Encik Rusdi Awang dan Puan Jennitah Noordin, sementara dari IPS, hadir Ketua Dua, Puan Fauziah Hj. Moksin dan suami yang juga Bendahari, Encik Roslan Sohasto, pendahulu Ketua Satu, Encik Abd. Naddin Hj. Shaiddin dan Ketua Penerangan, Encik Mohd. Azrone Sarabatin.

Beberapa perkara telah dipersetujui bersama antara DBP Sabah dan IPS. Pertama, untuk mengeratkan lagi kerjasama dua pihak (antara DBP Sabah dan IPS) dan pelbagai pihak (dengan banyak lagi jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta badan bukan kerajaan). Kedua, untuk mewujudkan Hadiah Sastera Islam Anak Muda Sabah.

Ketiga, untuk mengadakan Wacana Sastera Sabah 2022 di Kompleks DBP Sabah, dijangka pada penghujung Ogos 2022. Keempat, untuk melengkapkan hasrat DBP Sabah untuk beraktiviti di Labuan menerusi Kembara Sastera Labuan yang akan turut melibatkan beberapa pihak di Labuan.Kelima, untuk mengusahakan Kembara Sastera Indonesia bagi siri yang seterusnya dengan cadangan tumpuan ke Bintan (Kepulauan Riau), Balikpapan (Kalimantan Timur) atau Manado (Sulawesi Utara).

IPS turut bersetuju untuk bersama DBP Sabah menghidupkan aktiviti-aktiviti bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Secara keseluruhannya, IPS menyatakan komitmen untuk mendukung usaha-usaha DBP Sabah dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah. 

Comments