Guru Tunjang Sekolah Sejahtera


"Ilmu tetap hidup walaupun penyampainya sudah tiada. Tidak ada yang lebih bererti dalam kehidupan ini melainkan menjadi wira yang tidak didendang namanya di sisi manusia tetapi ditinggikan darjat mulia di sisi Yang Maha Kuasa..."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

16 Mei ini, Malaysia akan menyambut Hari Guru, hari yang dikhususkan untuk menghargai peranan, perkhidmatan dan sumbangan guru kepada bangsa dan negara, khususnya dalam bidang pendidikan. Pertama kali Malaysia menyambut hari tersebut ialah pada tahun 1972, dan pada tahun 2022, Hari Guru akan disambut buat kali yang ke-51 dengan tema ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’.

Walaupun Hari Guru hanya disambut mulai tahun 1972, sejarah yang membawa kepada adanya hari tersebut telah mengambil tempat seawal tahun 1956. Tepatnya pada 16 Mei tahun tersebut, Penyata Razak diterima dan disahkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu.

Asalnya, Penyata Razak bertujuan untuk mengimbangi dasar pendidikan yang sebelum ini telah dipakai daripada Laporan Barnes (1950) dan Laporan Fenn-Wu (1951). Tetapi pemakaiannya dalam Ordinan Pelajaran 1957 (dan sekarang ini Akta Pendidikan 1996) telah menjadi asas kepada terbinanya sistem pendidikan kebangsaan yang kita sedang lihat pada hari ini.

Mengambil semangat Penyata Razak yang diterima dan disahkan pada tarikh tersebut, maka Kementerian Pendidikan (KPM) memperingati dan meraikan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun. Adanya hari tersebut bukan sahaja untuk meraikan guru itu sendiri, tetapi juga untuk mengiktiraf dan menghargai segala peranan, perkhidmatan dan sumbangan guru kepada bangsa dan negara. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah az-Zumar, ayat 9:

“Katakanlah (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Hakikatnya, setiap hari bagi seorang guru ialah hari guru. Tidak ada hari seorang guru berlalu begitu sahaja melainkan tugas dan tanggungjawabnya kepada bangsa dan negara ialah untuk mendidik murid menjadi insan yang berilmu, berkemahiran dan berbudi bahasa.

Guru dituntut berkongsi segalanya, bukan sahaja ilmu dan kemahiran, tetapi juga nilai murni dan kesantunan. Malah, guru juga dituntut untuk mengorbankan hampir segalanya, bukan sahaja dengan meninggalkan keluarga jauh di kampung halaman, tetapi juga membelanjakan hartanya untuk memudahkan murid meneruskan kehidupan.

Dalam hati budi seorang guru hanyalah hasrat nan satu, iaitu untuk memastikan murid menuju ke arah yang hendak dituju. Begitulah pula cita-cita seorang murid, iaitu untuk berjaya dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan, serta berhasil menjadi seseorang yang pakar dan profesional dalam bidang yang diceburinya.

Sasterawan Negara Usman Awang (1979) dalam puisinya bertajuk ‘Guru oh Guru’ berkata:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sebilangan daripada kita pada ketika ini sedang menjadi murid. Sebilangan kita yang lain pula pernah menjadi murid. Sama ada kita masih menuntut atau sekarang sudah bekerja, hatta ketika kita sudah pun bersara, kita yang pernah dan masih menjadi murid tetap memerlukan kepada guru untuk membimbing ke arah kebenaran.

Kata orang, guru pembina negara bangsa. Tetapi dalam Islam, guru ialah seseorang yang diamanahkan oleh Allah SWT untuk menyambung dan mewarisi amalan dan perjuangan Rasulullah SAW serta para nabi dan rasul sebelum Baginda membawa rahmat ke seluruh alam semesta. Saidina Abu Darda RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya orang-orang yang berilmu (Ulama) adalah pewaris para nabi. Sungguh pun para nabi tidak mewariskan satu dinar atau satu dirham, mereka telah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagiannya yang banyak.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Oleh itu, janganlah kita melupakan guru yang telah memberikan segalanya, terutamanya mereka yang telah pergi mendahului kita demi keluhuran dan kepentingan bangsa dan negara. Bukan sahaja dedikasi, sumbangan dan pengorbanan yang meletakkan guru pada kedudukannya yang mulia, tetapi juga ilmu, kemahiran dan budi pekerti yang disebar luaskan menjadi amal jariah seumur hidupnya.

Sidang Jumaat yang budiman,

Marilah kita mengambil ruang dan peluang yang ada untuk menzahirkan penghargaan dan terima kasih yang paling tulus kepada semua guru yang pernah dan masih berkhidmat untuk kita dan anak-anak kita atas jasanya mendidik dan mengajar kita dan anak-anak kita menjadi insan yang berguna.

Tidaklah seorang guru berharap untuk selamanya berdiri dan duduk rapat menjadi ibu dan bapa, abang dan kakak kepada murid-muridnya, tetapi menjadi manusia biasa yang diterima dengan sederhana, dimaafkan segala kekurangannya dan disebar luaskan segala manfaat daripada ilmu yang disampaikannya. Tidaklah juga seorang guru sentiasa mengharapkan hadiah dan nama atas ilmu dan kemahiran yang disampaikannya, tetapi doa dan harapan yang datang jauh dari dalam lubuk hati murid-muridnya yang selama ini mendekati dan menyantuninya.

Kepada yang pernah dan masih menjadi guru, ketahuilah, ilmu tetap hidup walaupun penyampainya sudah tiada. Tidak ada yang lebih bererti dalam kehidupan ini melainkan menjadi wira yang tidak didendang namanya di sisi manusia tetapi ditinggikan darjat mulia di sisi Yang Maha Kuasa serta didoakan oleh para malaikat yang berada di segenap penjuru alam semesta.

Semoga Allah melimpahkan berkat dan rahmat kepada semua guru dan, kepada yang masih berkhidmat, mengurniakan kudrat dan iradat untuk menghasilkan insan yang berilmu dan berbudaya pada masa muka dan yang meraih kasih sayang-Nya di akhirat sana.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat ‘cikgu’ kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
(Usman Awang, 1979)

Jumaat, 13 Mei 2022
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah

Comments