Jatuhnya Tembok Karuna


Hari ini libur. Pemerintah menyatakan Hari Kemenangan di negara ini.

Sejam atau dua sebelum bermula harinya, sudah banyak mobil dan sepeda berbaris sepanjang-panjangnya, baik di Tanjung Kupang, baik juga di Tanjung Puteri. 

Dua tanjung itu sudah terpisah sudah dua tahun. Padahal dua tanjung ini sejengkal cuma. 

Aku sering berjalan sendiri di antara dua tanjung ini meskipun perlukan pasport untuk keluar masuk antara keduanya. 

Aku adalah salah seorang yang menantikan Hari Kemenangan itu. Aku tidak mahu lagi Tambak dibenteng Karuna, tembok yang tak pernah kelihatan tetapi pernah hari itu membuatkan Tambak retak lalu runtuh. 

Karuna pernah meruntuhkan Tambak ini sehinggakan tidak ada jalan untuk kedua-dua Pemerintah baik di Tanjung Puteri mahupun di Tanjung Kupang untuk membolehkan roda berputar di atasnya.

Sehinggalah pada suatu hari di alam maya, kedua-dua Pemerintah bermuafakat membina semula Tambak yang telah runtuh. Tetapi, tidak pernah mudah itu kerana Karuna perlu ditumpaskan terlebih dahulu.

Karuna ialah gerombolan tentera yang tak pernah kelihatan. Kedatangannya ke tanah air ini secara tiba-tiba tak pernah terfikirkan.

Karuna datang ketika kedua-dua tanjung sedang menikmati rasa makmur dan aman. Memang selama ini pun, meski di bawah Pemerintah yang berbeda, aturan yang berbeda, pasport yang berbeda dan matawang yang berbeda, kedua-dua tanjung ini saling menjaga kerukunan.

Karuna terbang tanpa sayap penerbang menuju ke Tanjung Kupang. Tanpa perlu diundang, Karuna berjalan mengelilingi pulau dari seberang ke seberang. 

Tetapi kedatangan Karuna hanya disedari setelah ada tiga orang jatuh sakit dengan teruk sekali. Ketiga-tiganya dikirim ke rumah sakit. 

Belum sempat sembuh tiga orang tersebut, semakin ramai yang mendatangi rumah-rumah sakit di Tanjung Kupang kerana sakit.

Rupa-rupanya Karuna telah menyerang mereka semua tanpa mereka semua sedari. Pemerintah Tanjung Kupang menjadi lebih tangkas, mengisytiharkan perintah berkurung dan pemerintahan militer di seluruh pulau.

Sambil itu, Pemerintah Tanjung Puteri juga dikirim telegram oleh seberang tentang berita getir ini. Aku yang berkebetulan mengunjungi Walikota di kantornya turut membaca telegram tersebut.

Aku segera dipanggil pulang ke Tanjung Puteri susulan telegram ini. Aku malah diminta membantu Pemerintah sana menangani kedatangan Karuna.

Malang sungguh buat tanah air itu, Karuna tidak dapat dihalang oleh sesiapa, terutamanya mereka yang masih melatar di luar. Rumah-rumah sakit sudah tidak cukup. Pusat kerantina saja sudah tidak mencukupi.

Sudah ada pun yang terkorban serta-merta diserang Karuna, baik pejuang, baik orang biasa yang sukarela membantu tanah airnya dengan taat dan setia.

Hanya yang berkurung diri di rumah sahaja yang saat ini selamat.

Pemerintah sana mengirimkan aku satu lagi telegram. Tambak sudah jatuh ke tangan Karuna, malah bahagian tengahnya sudah runtuh sehingga terputus hubungan darat antara kedua-dua tanjung.

Tanjung Puteri juga getir. 

Ketika aku berada di atas helikopter, aku tidak hanya melihat Tambak yang runtuh betul-betul di tengah-tengah sempadan antar nusa, tetapi juga tembok halimunan yang didirikan oleh Karuna.

Hanya aku yang dapat melihat tembok halimunan di balik runtuhan. Yang lain hanya dapat melihat runtuhan.

Tentera dan polis sudah dikerah untuk bersiaga di pelabuhan dan bandara kalau-kalau Karuna akan menyerang ke sana juga. Rupanya tidak. Di samping pasukan kesihatan, tentera dan polis telah menutup terlebih dahulu pelabuhan dan bandara.

Penutupan itu mengambil masa melangkaui setahun lamanya, hampir sama waktunya dengan peruntuhan tembok halimunan dan pembinaan semula Tambak.

Selama itu, aku masih sahaja berada di Tanjung Pagar. Rakan dan tetangga di Tanjung Puteri sudah sering bertanya khabar, sehingga sering juga bertanyakan kepulangan. Apatah lagi keluargaku yang siap menanti kepulangan, baik di Tanjung Aru, baik juga di Teluk Sulaman.

Aku tidak sabar untuk kembali. Maka, aku berusaha sedaya upaya supaya bukan sahaja aku, tetapi juga ramai lagi anak Tanjung Puteri dapat kembali ke seberang.

Maka, aku ikutkan saja kehendak Pemerintah, iaitu untuk mendapatkan tiga dos vaksin perlindungan diri. Malah, aku berkempen supaya semua rakyat dan penduduk Tanjung Kupang mendapatkan tiga dos vaksin di semua pusat pemberian di serata pulau. Tanjung Puteri melakukan yang sama.

Hari demi hari, makin ramai pegawai dan anggota Karuna tumpas kerana mereka pun mengambil tiga dos vaksin. Satu persatu mereka menyerah diri kepada tentera, polis dan pegawai kesihatan.

Sehinggalah pada suatu hari, Pemerintah Tanjung Kupang membuat permasyhuran kepada umum. Karuna telah ditumpaskan dan telah menyerah diri kepada Presiden Tanjung Kupang.

Sejak daripada itu, Pemerintah di kedua-dua tanjung kembali ke alam maya untuk menghubungkan semula kedua-dua tanjung. Dalam tempoh enam bulan, tembok halimunan telah siap dirobohkan dan Tambak sudah kembali terbina seperti mana sebelumnya.

Presiden kedua-dua tanjung bertemu di tengah Tambak untuk merasmikan kembalinya dua tanjung berhubung. Pegawai-pegawai yang mewakili kedua-dua pemerintahan selanjutnya dapat kembali sesama sendiri sehinggalah pada hari yang ditentukan.

Presiden kedua-dua tanjung mengumumkan Hari Kemenangan di tanah air masing-masing. Hari Kemenangan itu dinantikan ramai di hujung kedua-dua tanjung. Hatta aku sendiri pun menantikan waktu untuk kembali lagi ke Tanjung Puteri.

Aku seorang pewarta kepada berita antarabangsa yang berkampung di Teluk Sulaman, berumah di Tanjung Puteri dan berkantor di Tanjung Kupang. Perkara pertama yang aku ingin lakukan setelah di Tanjung Puteri ialah untuk terbang jauh, balik ke Tanjung Aru dan kemudiannya ke Teluk Sulaman.

Sehinggalah pada jam 11.55 malam, rakan-rakan senegara sudah memenuhi Tambak untuk seberang ke Tanjung Puteri. Selesai kami menyanyikan lagu kebangsaan, kami melaungkan ‘Merdeka’ dan bersalam-salaman sebelum berkejar-kejaran ke Tanjung Puteri sambil ditonton oleh ramai yang melihat dari pencakar-pencakar langit.

Aku bersujud syukur ketika aku selesai berlari sekuat hati dari sempadan Tanjung Kupang ke sempadan Tanjung Puteri dan setelah sampai di kotanya, di bandaranya sehinggalah sudah ramai yang menanti di bandara satu lagi, dua jam selepas aku berlepas dari Tanjung Puteri.

Hari ini, aku menikmati libur panjangku sebelum aku kembali nanti ke Tanjung Puteri untuk mengucapkan terima kasih kepada Walikota dan kepada ketuaku. Sebabnya masuk saja Ramadan, aku menyambung menjadi pewarta bagi agensi berita yang sama di Teluk Sulaman dan persekitaran.

Diterbitkan dalam Utusan Borneo (Sabah) pada 3 April 2022, halaman 3.
Gambar ihsan checkpoint.sg dan TV Sarawak.

Comments