Ucapan Peringatan Hari Ikatan Penulis Sabah ke-32


Selamat Hari Ikatan Penulis Sabah (IPS) ke-32.

Alhamdulillah, dengan izin dan rahmat Allah SWT, IPS memasuki usianya yang ke-32 pada hari ini, 24 Mac 2022. 32 tahun nyata bukannya kelmarin, tetapi sejarah yang amat panjang yang semakin mematangkan Ikatan itu sendiri serta ahli-ahlinya. Malah, tidaklah salah pula untuk kita katakan bahawa IPS merupakan sebahagian daripada sejarah panjang perjuangan Malaysia, khususnya negeri Sabah, meraih harkat dan martabatnya dalam bahasa dan sastera.

Menjadi ‘anak’ kelahiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah pada hari ini dalam tahun 1990 mungkin dilihat suatu penghormatan dan pengiktirafan kepada IPS serta para pendirinya. Tetapi, pada pundaknya sudah tentu terpikul suatu amanah – kita masih memikulnya sampai ke saat ini – iaitu untuk mengangkat kehormatan bangsa dan negara menerusi kegiatan sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan Sabah.

Maka, amanah ini kita emban dengan istiqamah menerusi jalan wasatiyyah. Para pendahulu kita telah membuktikan, sejarah negeri kita juga telah menceritakan, bahawa IPS telah berusaha untuk memastikan sastera dan budaya tempatan Sabah terus mekar melangkaui arus zaman.

Kita yang masih ada di dunia ini mesti meneruskan kehidupan, bukan sahaja untuk kita, tetapi cita-cita dan hasrat yang kita tanamkan untuk bahasa dan sastera Melayu dan etnik tempatan Sabah. Percayalah, kita tidaklah ramai mana, tetapi kita sentiasa ada di mana-mana, sehinggakan pada hari ini, kita menjadi sebahagian daripada pelaksanaan dan keberhasilan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Di sebalik pandemik COVID-19 yang menanti untuk beralih menjadi endemik di Malaysia, IPS nyata tidak bergerak bersendirian. Malah, kita masih ada 'ibu' yang sudi menjadi peneman dan penuntun kepada jalan amalan dan perjuangan kita. Itulah DBP Cawangan Sabah.

Kita di IPS juga masih ada 'abang', 'kakak' dan 'adik' yang berkongsi amalan dan perjuangan yang sama dengan kita. Tidak kita lupakan, rakan-rakan di dalam dan luar negeri yang sudi turun tangan mendirikan impian kita.

Oleh sebab itu, IPS juga masih ada kudrat dan iradat untuk bergerak ke hadapan. Dengan jalan dan kenderaan yang ada, kita maju seiringan. Ketika kita harus berteduh daripada matahari dan berpayung daripada hujan, kita akan terus melakukannya sehingga hasilnya kelihatan.

Kita jangan tinggalkan tradisi yang selama ini melambangkan identiti dan sejarah kita. Kita tidak mahu generasi akan datang mengimarahkan dunia tanpa panduan daripada generasi sebelumnya.

Perkembangan teknologi yang semakin pesat tidak boleh lagi dielakkan. Ketika tradisi dilihat statik, teknologi pula dilihat dinamik. Maka, teknologi yang kita guna pakai sehari-hari hendaklah menjadi pelengkap yang mengiringi budaya dan peradaban yang selama ini menunjangi kehidupan masyarakat zaman-berzaman.

Dalam hal ini, IPS mempunyai peranan yang signifikan dalam mengimbangi tradisi dengan teknologi. Hal ini penting bagi mengimbangi keperluan seluruh lapisan masyarakat, tidak kira tua atau muda, di kota atau di desa, untuk berbahasa, bersastera dan berbudaya.

Di samping menggalakkan dokumentasi karya dan esei bahasa, sastera dan budaya dalam bentuk fizikal seperti buku dan majalah, IPS turut menggalakkan karya dan esei berkenaan dikeluarkan dalam bentuk digital dan dipromosikan ke media sosial dan media alternatif. Tidak setakat itu, karya dan esei berkenaan terus kita ketengahkan ke bangku sekolah dan menara gading, tidak setakat melalui bengkel dan wacana, tetapi melalui sayembara.

IPS di bawah kepimpinan Ketua Satu yang sekarang berusaha sedaya upaya untuk mengupayakan bahasa, sastera dan budaya Melayu serta etnik tempatan Sabah menerusi penyeimbangan tradisi dan teknologi. IPS juga cuba sebaik mungkin memberikan komitmen kepada keberterusan industri perbukuan dan perpustakaan di negeri Sabah. Malah, IPS bersedia untuk mendukung Kerajaan Persekutuan dalam memartabatkan bahasa Melayu, tidak setakat menerusi jalan pencitraan dan penyebar luasan, tetapi menerusi jalan penguatkuasaan. 

Akhir kata, marilah kita berdoa untuk Keluarga Malaysia yang lebih beradab dan berbudaya, dan untuk Sabah yang lebih maju dan berjaya. Semoga bahasa dan sastera Melayu serta seni dan budaya tempatan Sabah terus mekar dan mewangi di dalam dan di luar Malaysia. Dengan doa, usaha dan sokongan semua pihak, IPS akan berlanjutan usianya dan meningkat tenaganya untuk berkiprah kepada bangsa dan negara dalam bidang-bidang kebitaraannya.

‘Bersama Keluarga Malaysia, Jadikan Sabah Maju Jaya dalam Bahasa, Sastera dan Budaya’

Comments