Ucapan Penerimaan Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah, penggal 2022-2024


"Pada setiap matahari yang terbenam, akan ada matahari yang terbit. Itulah IPS dan itulah juga negeri Sabah dalam bidang bahasa dan sastera."

Saya ingin mengingatkan diri saya dan semua bahawa Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang baru dipilih ialah orang yang paling muda menyandang jawatan ini dalam sejarah IPS. Walaupun begitu, menjadi yang telah dipilih tidaklah bermakna menjadi yang terbaik.

Mudah-mudahan dengan dukungan dan sokongan daripada Ketua Dua dan Ahli-ahli Jawatankuasa yang baru dipilih dan dilantik serta semua ahli, IPS akan beransur lebih baik daripada sebelumnya, InsyaAllah. Saya ingin memberi jaminan ini kerana, walaupun kita sudah masuk tahun ketiga pandemik COVID-19, tidaklah juga bermakna ada perkara yang menghalang kita daripada bertindak.

Apabila kita bercerita tentang peralihan daripada cara konvensional kepada cara digital, kita sudah melakukannya pada tahun lepas. Saya mengucapkan tahniah kepada kita semua kerana telah berhasil melakukannya sendiri.

Tahun lepas, misalnya, kita mendapat sokongan daripada Pejabat Pendidikan Daerah Penampang walaupun kita bertempat di daerah Kota Kinabalu. Lebih besar daripada itu, kita sudah ada kerjasama dengan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan – seperti Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia, Negeri Sabah dan Majlis Dakwah Negara, Negeri Sabah – serta syarikat yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu. Keadaan ini menjadikan kita tidak ramai, tetapi kita ada. Itulah istilah yang sesuai untuk menggambarkan kita pada hari ini.

Di samping Nadwah Sastera Islam Serantau, contohnya lagi, ada pula Mahrajan Kesenian Adab dan Nilai Sekolah-sekolah (MK ADNI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). IPS merupakan pemegang taruh langsung kepada Mahrajan tersebut, bukan sahaja di peringkat negeri Sabah, tetapi juga di peringkat kebangsaan.

Saya berani mengatakan begini kerana memang orang-orang IPS sudah terlibat secara langsung dalam menjayakan Mahrajan tersebut di peringkat negeri Sabah. Di samping saya sendiri sebagai ketua urus setia, Cikgu Juilis dan Cikgu Junaidah merupakan antara orang-orang IPS yang mensukseskan Mahrajan tersebut.

Alhamdulillah, negeri kita telah menghantar seseorang ke peringkat kebangsaan, yang juga menjadi johan di peringkat yang sama. Walaupun johan ini lahir di negeri Sabah, kejayaan beliau secara langsung dan tidak langsung merupakan sumbangan daripada IPS. Kejayaan yang diraih oleh dua nama besar tersebut – iaitu pelajar itu serta jurulatihnya – bukan sahaja menaikkan nama IPS, tetapi juga menaikkan nama negeri Sabah. Perkara itu menunjukkan bahawa kita mampu melakukannya.

Malah, kita muncul sebagai badan bukan kerajaan yang disegani di peringkat KPM. Walaupun idea untuk mengadakan MK ADNI datangnya daripada KPM, IPS telah benar-benar turun tangan menyumbang kepada pelaksanaan MK ADNI di peringkat negeri Sabah.

Kita bukan sahaja untuk menapis dan mengiktiraf bakat-bakat yang dimiliki oleh mereka yang berusia lebih muda daripada saya, tetapi juga untuk memunculkan seseorang yang boleh menjadi matahari terbit yang seterusnya bagi negeri Sabah. Saya bersyukur kerana kita memang memiliki orang seperti itu.

Ketika ada negeri lain yang mengajukan sengketa terhadap negeri kita kepada KPM, saya beritahu mereka bahawa apa-apa yang telah disaksikan oleh mereka sudah menjadi tradisinya dan negeri kita memang mengikuti tradisi itu. Akhirnya, KPM berterima kasih kepada IPS, bukanlah kerana penglibatan negeri Sabah dalam MK ADNI, tetapi kerana negeri Sabah – melalui IPS – telah menjadi penyumbang awal kepada penambahbaikan dan penerusan MK ADNI di peringkat kebangsaan.

Pencapaian ini merupakan yang terbesar kepada IPS. Walaupun IPS tidak ramai, tetapi IPS ada. Identiti ini akan kita kekalkan untuk dua tahun ke depan, InsyaAllah.

Seperti mana semua orang bermimpi dan berdoa agar IPS akan terus ada dalam apa keadaan sekalipun, sudah ada kawan-kawan kita, di satu sudut yang lain, berusaha untuk meneruskannya. Semua cadangan dan saranan untuk meneruskan IPS, kita terima semuanya tanpa syarat.

Malah, kalau boleh saya tambah di sini, saya sedang memikirkan untuk mempromosikan IPS secara berperingkat-peringkat kepada ramai lagi guru bahasa dan sastera Melayu di negeri Sabah serta pelajar-pelajar mereka yang berbakat. Kita memang ada mereka.

Di samping penyair berumur 17 tahun dari Kota Belud yang muncul sebagai johan deklamasi sajak di peringkat kebangsaan, kita juga ada penyair berumur 11 tahun dari Kota Kinabalu yang mendapat tempat ketiga pertandingan yang sama. Tidak kurang pula hebatnya penyair berbakat berumur 16 tahun, yang juga dari Kota Belud, yang mampu bersaing dengan penyair remaja yang lain di peringkat yang sama.

Saya bercerita semua ini supaya kita melihat bahawa pada setiap matahari yang terbenam, akan ada matahari yang terbit. Itulah IPS dan itulah juga negeri Sabah dalam bidang bahasa dan sastera Melayu. Atas sebab yang sama, saya masih ada di sini. Malah, saya menerima dengan sederhana, jawatan Ketua Satu IPS yang disandangkan kepada saya untuk dua tahun yang berikutnya.

Saya mengucapkan tahniah kepada Ketua Dua dan Ahli-ahli Jawatankuasa yang dipilih dan dilantik pada penggal ini. Saya juga berterima kasih kepada semua kerana pemilihan ini tidak dibuat dengan cara yang biasa kita fikirkan, tetapi dengan prinsip demokrasi terpimpin, suasana muafakat dan semangat membina. Sebabnya, bahasa dan sastera di Sabah sentiasa bersifat membina.

Saya turut memanjangkan salam daripada sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang bersastera, yang berbahasa, yang berbudaya, yang bermedia, yang beragama, yang bernegara dan ramai lagi, supaya kita menjadi kawan kepada semua orang walaupun kawan itu merupakan lawan kita. Saya memanjangkan salam itu kepada semua kerana kita Keluarga Malaysia yang menerima dan memberi dengan sederhana dan mengikut kemampuannya.

Boleh jadi pemberian atau penerimaan itu kecil bagi seseorang, tetapi besar kepada orang lain. Itulah yang kita akan cuba usahakan untuk dua tahun ke depan. Saya tidak melakukannya sendiri, tetapi dengan sokongan daripada semua orang, InsyaAllah. Yang lebih penting ialah restu Allah SWT kerana akhirnya kita hanya merancang, yang menentukan ialah Allah yang Maha Segala-galanya. Yang di luar mungkin turut mendengar kata-kata saya. Saya hanya mohonkan doa dan restu.

Kita tidak perlu menjadi drastik kerana saya pernah berada dalam organisasi yang memerlukan saya bertindak secara drastik. Saya menerima organisasi tersebut juga dengan sederhana.

Kita maklum bahawa setiap organisasi mempunyai bidang kebitaraannya dan imejnya. IPS akan membawa imejnya yang masih ada untuk dua tahun ke depan. Saya tidak menjanjikan apa-apa di sini, tetapi kita boleh mempromosikannya kepada orang lain.

Kepada yang mungkin mempunyai pandangan yang berbeza, kita menerima itu seadanya. Tetapi, kita masih ada satu titik persamaan untuk IPS, bangsa dan negara, iaitu untuk memastikan bahasa, sastera dan budaya Melayu dan etnik tempatan di Sabah terus mekar hingga ke akhirnya.

Atas apa pun kekurangan, kelemahan, kesalahan dan kesilapan, saya, Ketua Satu dan semua Ahli Jawatankuasa penggal sebelumnya mohon maaf. Kita akan cuba menampung itu semua untuk dua tahun ke depan.

Sekian, terima kasih.

Mesyuarat Agung Penggal 2022-2024, Ikatan Penulis Sabah
Ahad, 6 Februari 2022, jam 12.00 tengah hari
Rumah Puisi Hasyuda Abadi, Kampung Gudon, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah

Comments