Kepimpinan baharu IPS semarak sastera Sabah


Sabah tidak pernah kurang dengan pengarang yang hebat. Namun apa yang penting, ia sentiasa bermatlamat untuk menjaga bahasa, budaya dan seni tempatan.

Dalam hal ini, ia bersifat dinamik dan terbuka sehingga ketika kita terus didatangkan dengan cabaran yang tidak pernah dibayangkan, sastera Sabah masih dapat bertahan, malah akan terus bergerak mengikut peredaran zaman.

Walaupun begitu, yang bulat tidaklah datang bergolek dan yang pipih pula tidaklah datang melayang. Keberhasilan dan kelestarian sastera Sabah akan sentiasa ditentukan oleh semua pendukung dan penggiatnya. Ia mesti terbuka dengan tuntutan mendepani cabaran dan melakukan perubahan.

Ketika ini, sastera Sabah sudah dan masih melakukannya. Tanpa mengurangkan identiti sastera Sabah yang sentiasa memelihara dan memulihara bahasa, budaya dan seni tempatan, sudah ada dari kalangan pendukung dan penggiatnya yang memilih untuk beralih kepada pendekatan digital.

Ketika pendekatan konvensional terhambat disebabkan penularan COVID-19 yang berterusan di Malaysia serta kesan domino yang datang bersamanya, pendekatan digital muncul bukan sahaja sebagai alternatif, tetapi sebagai penyokong kepada pendekatan konvensional.

Ketika segolongan pengkarya masih berusaha untuk memastikan kerja sastera terus kekal terbit dalam bentuk fizikal, sudah ada yang lain yang menerbitkannya dalam wahana elektronik, malah seiringan pula dengan ciri dan kehendak Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Kesepaduan idea dan usaha dua generasi, seperti yang boleh disaksikan menerusi Ikatan Penulis Sabah (IPS), membolehkan sastera Sabah terus mekar sepanjang zaman.

Ketika generasi kedua dalam IPS diberi peluang untuk memimpin ahli-ahli dan aktiviti-aktivitinya, generasi pertama yang sebahagiannya mengasaskan IPS itu sendiri terus bersama menghidupkan sastera Sabah dalam suasana kekeluargaan, demokrasi terpimpin dan semangat membina.

Lebih besar daripada itu, Sabah terus menyaksikan kelahiran bakat baharu termasuk dari golongan kanak-kanak dan remaja yang bukan sahaja berkebolehan menulis dan menerbitkan karya sastera, tetapi juga mempersembahkannya dengan sepenuh jiwa dan raga.

Sudah ada pun penulisan, penerbitan dan persembahan karya sastera golongan ini yang meraih pengiktirafan di peringkat kebangsaan, sekaligus mengharumkan nama Sabah dan sasteranya.

Benarlah, pada setiap matahari yang terbenam, akan ada matahari yang terbit. Walau apa pun cuaca yang melanda semalam, matahari tetap akan terbit pada siang hari seterusnya.

Begitulah Sabah dalam bidang sastera, bahasa dan budaya. Begitulah jua cara Sabah memperkenalkan keunikan dan kerencaman masyarakatnya serta keindahan flora dan faunanya ke persada negara dan antarabangsa.

Walaupun komuniti sastera Sabah tidak ramai, tetapi mereka ada. Sebagai sebahagian daripada sastera Sabah, IPS, menerusi jalan wasatiyyah, berhasrat untuk terus menyumbang kepada keberhasilan, kebitaraan dan kelestariannya, malah untuk memastikannya terus tercatat sebagai sebahagian daripada sejarah Malaysia dan tamadun dunia.

Ada padi, semua kerja jadi; ada beras, semua jadi deras. Di samping gabungan idea dan tenaga dua generasi sastera, kerjasama sesama organisasi sastera dan dengan pelbagai badan kerajaan dan bukan kerajaan serta sektor swasta, terutamanya Dewan Bahasa dan Pustaka mudah-mudahan berterusan demi memastikan sastera Sabah terus mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia.

Sepanjang tahun ini, IPS menyasarkan pelbagai program termasuk Sayembara Puisi Ramadan, Sayembara Penulisan Esei Wira Tidak Didendang, Bengkel Penulisan Skrip Drama Pendek, Bengkel Penulisan dan Persembahan Sajak (untuk Murid-murid Sekolah Rendah dan Menengah) dan Bengkel Penulisan dan Persembahan Syair (untuk Murid-murid Sekolah Rendah dan Menengah).

Meneruskan perjuangan sastera di Sabah juga, IPS membuat pemilihan bagi kepimpinan baharunya baru-baru ini.

Antara yang berada dalam saf kepimpinan kali ini termasuklah pelantikan Ketua Satu bagi menggantikan Abd. Naddin Shaiddin yang tidak mempertahankan jawatannya. Ketua Dua disandang Fauziah Moksin manakala Mohd. Nurazwan Augustine sebagai Setiausaha Satu dan Juliah Matnoor (Setiausaha Dua).

Bendahari IPS diamanahkan kepada Roslan Sohasto, manakala bekas wartawan Berita Harian, Mohd. Azrone Sarabatin pula menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan baharu menggantikan Yatim Ahmad.

Diterbitkan oleh Berita Harian pada 27 Februari 2022 pada halaman 39.

Comments