Ibadah Teragung


"Bersamalah kita mengusahakan diri kita untuk hadir secara lazim ke masjid dan surau di sekitar kawasan kita. Bersamalah jua kita zahirkan rasa syukur kepada-Nya bukan sahaja dengan menunaikan solat secara berjemaah, tetapi juga untuk meneruskan pengimarahannya..."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah sama-sama kita meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan, melaksanakan segala perintah-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Setiap 27 Rejab, kita memperingati peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW. Peristiwa tersebut menyaksikan perjalanan teragung dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, pergi dan balik hanya pada satu malam itu sahaja.

Peristiwa teragung tersebut tertulis dalam lipatan sejarah Islam menerusi firman Allah SWT dalam pembukaan Surah al-Isra. Tafsirnya, “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Nabi Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Lebih besar daripada itu, perjalanan teragung tersebut menyaksikan termeterainya syariat Islam yang juga teragung. Itulah solat fardhu lima waktu sehari semalam yang kita semua, sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah, kerjakan pada waktu yang ditetapkan sebagai tanda ketaatan dan pengabdian hamba kepada Penciptanya. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa, ayat 103:

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Solat merupakan Rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah Syahadah. Seluruh umat Islam yang mukallaf, baik lelaki mahupun perempuan, tanpa mengira status sosial, ekonomi dan politik, berkewajipan melaksanakannya dan diharamkan meninggalkannya kecuali kerana keuzuran yang digariskan oleh syarak.

Solat itu tiang agama, barangsiapa yang mendirikannya, maka sesungguhnya dia mendirikan agamanya, dan barangsiapa yang meninggalkannya, maka sesungguhnya dia meruntuhkan agamanya. Tidak sekadar itu, solat juga merupakan amalan pertama yang akan dihisab di Hari Akhirat dan akan menjadi pertimbangan kepada diterimanya segala amalan fardhu mahupun sunat yang lain.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Pelaksanaan solat haruslah berlandaskan dengan ilmu pengetahuan, terutamanya mengenai hukum-hakam yang berkaitan dengannya. Salah satu daripadanya ialah Taharah (kesucian diri). Mengambil wuduk, misalnya, merupakan perbuatan yang wajib dilaksanakan, bukan sahaja untuk menghilangkan hadas kecil, tetapi juga untuk menentukan sahnya solat mengikut hukum syarak.

Begitulah jua keadaannya dengan penjagaan aurat, yang segelintir daripada kita kadang-kadang kurang mengambil berat tentangnya. Ada yang datang dengan seluar koyak, ada juga yang berpakaian singkat sehingga boleh menyebabkan tersingkapnya aurat tanpa disedarinya.

Malangnya, aurat yang terbuka, sama ada disengajakan atau sebaliknya, membatalkan keseluruhan solat yang dikerjakannya. Sebaliknya, beruntunglah pula mereka yang mendatangi masjid dan surau dengan pakaian yang lengkap, ditambah dengan kecantikan dan kekemasan pakaian tersebut, kerana bukan sahaja solat yang dikerjakan menjadi sah, tetapi terlihat pula keindahan identiti Islam serta umatnya.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sebaik-baik solat ialah solat yang didirikan secara berjemaah. Umat Islam yang mendirikannya dijanjikan dengan pahala berlipat kali ganda. Ibnu Umar RA meriwayatkan daripada bapanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Solat berjemaah membolehkan seseorang Muslim bertemu, berkomunikasi dan berhubung dengan Muslimin yang lain di masjid dan surau. Solat berjemaah juga membolehkan seseorang Muslim mengamalkan dan menghargai persaudaraan dan perpaduan yang dipromosikan oleh Islam.

Benar, Malaysia masih mengharungi zaman pandemik COVID-19. Malah, Malaysia sedang mengharungi gelombang keempat (dan mungkin jua gelombang kelima) penularannya yang disumbangkan oleh kewujudan varian Omicron sehingga bilangan kes baru harian meningkat ke suatu angka yang tidak pernah sebelum-sebelumnya dibayangkan. Ketika COVID-19 mula-mula menular di Malaysia dan kawalan pergerakan mula-mula dikuatkuasakan di seluruh negara pada awal tahun 2020, masjid dan surau diminta mengehadkan jemaahnya kepada sebilangan orang yang tertentu sahaja, malah ada yang menutup sepenuhnya dan membenarkan laungan azan sahaja.

Secara beransur-ansur, masjid dan surau dapat menerima jemaahnya semula berdasarkan arahan, kebenaran dan kelonggaran yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa dari semasa ke semasa. Sejak daripada itu, dan kini ketika seluruh Malaysia berada di bawah Pelan Pemulihan Negara Fasa 4, semakin ramai yang dapat kembali ke masjid dan surau di tempat masing-masing. Alhamdulillah.

Ketika ucapan ini disampaikan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah yang bersidang pada 22 Februari, dan berkuatkuasa 24 Februari, Sabah telah membenarkan semula sejumlah 50 peratus daripada kapasiti sebenar masjid dan surau untuk semua aktiviti pengimarahan.

Oleh itu, bersamalah kita mengusahakan diri kita untuk hadir secara lazim ke masjid dan surau di sekitar kawasan kita. Bersamalah jua kita zahirkan rasa syukur kepada-Nya bukan sahaja dengan menunaikan solat secara berjemaah, tetapi juga untuk meneruskan pengimarahannya mengikut Prosedur Operasi Standard yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa.

Sidang Jumaat yang budiman,

Ringkasnya, Israk dan Mikraj yang Malaysia dan umat Islamnya peringati pada setiap 27 Rejab bukan sahaja untuk dibaca dan diingati sejarahnya, tetapi untuk dipelajari dan diamalkan intipatinya, iaitu kewajipan untuk menunaikan Rukun Islam yang kedua. Solat bukan sahaja soal kewajipan dalam melaksanakan rutin harian, tetapi juga kewajipan untuk menegakkan agama dalam diri dan seluruh umat-Nya. Semoga dengan ketekalan kita melaksanakan solat fardhu lima waktu sehari semalam, Allah bukan sahaja mengurniakan redha-Nya di dunia ini, tetapi juga kasih sayang-Nya di Hari Akhirat yang membolehkan kita memasuki Syurga.

Jumaat, 25 Februari 2022.
Masjid al-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Agama Islam Selangor dengan suntingan dan penyesuaian.

Comments