Resah Sebuah Penungguan


“Selamat pagi, sahabat!” Mesej itu aku terima di telefon, setengah jam setelah dia berlalu.

Aku terperanjat buat kali ketiga. Hatiku tertanya-tanya, bagaimanakah dia boleh memanggil aku ‘sahabat’ sedangkan aku baru tadi berkenalan dengannya?

Tidak pernah terfikir sebelum-sebelum ini, aku akan berjumpa dengan orang seperti itu.

Pagi itu, dia diminta membuat liputan media mengenai gotong-royong di sebuah masjid di Putatan. Itulah pertama kali aku bertemu dengannya.

Sukar untuk aku percaya orang seperti itu yang akan ditugaskan membuat liputan di situ.

Aku tidak pernah memanggilnya. Aku juga tidak pernah mengenalinya. Melainkan pada suatu ketika, aku meminta nombornya dan namanya.

Kebiasaannya, aku akan mengecek di dunia yang lebih luas supaya tepat namanya dengan orangnya.

Jil jauh lebih hebat daripada aku. Mereka yang telah mengenalinya sebelum ini telah mengetahui itu.

Tetapi, aku tidak. Sehingga aku dapat mengenali sebenar-benarnya orang tersebut walaupun agama berbeda, bangsa berbeda, rupa bentuk berbeda, kerjaya berbeda, keluarga dan gaya hidup juga sudah tentu berbeda.

Aku harap, apabila aku mesejnya kembali beberapa hari setelah itu, aku akan mendapatkan jawapannya. Tetapi, berita dalam dan luar negeri yang tiba di mejanya bertalu-talu setiap hari lebih Jil perlukan berbanding segalanya.

Aku cuba memahami, tetapi tidak semudahnya. Sehingga pada suatu hari di ruang kerja, ketika jariku membilang detik bilakah soalan aku akan menerima jawapannya, aku menggigil kesejukan, padahal pendingin hawa di ruang kerja tidaklah sesejuk mana.

Aku juga pernah sakit dada memikirkannya. “Aku rasa... entahlah,” bingkas hatiku sambil memegang dada yang kesakitan.

Aku malah seolah-olah terlihat bayangnya dan terdengar suara. “Kalau ada apa-apa aktiviti atau program yang memerlukan liputan media, kau bagitahu saja saya,” padahal suara itu hanya kedengaran sahaja tanpa orangnya, walaupun beberapa hari yang berlalu, orangnya memang pernah mengatakannya.

Bayangan yang sama pernah mengajak aku menyanyi dan menghulurkan mikrofonnya. Beberapa hari yang berlalu, dia benar-benar melakukannya, tetapi waktu dan tempat kurang menyesuaikan.

Air mata yang mengalir, hanya Tuhan yang Maha Mengetahui. Walaupun aku meneruskan hidup ini sekadarnya, setiap hari aku ialah hari untuk menanti.

Sehinggalah pada suatu hari, dia terlihat aku di Kuala Lumpur. Kebetulan aku juga baru selesai penugasan di Putrajaya.

“Ustaz!” Siapa entah memanggil aku. Aku tidak mendengarinya lalu aku pergi saja. Dia pun tidak berputus asa mengejar aku walaupun tanpa berlari sejauhnya.

Di tengah-tengah orang ramai yang berasak-asak pergi ke sini dan sana, aku dikejarnya.

“Ustaz!” Dia menjerit lebih kuat berbanding biasanya. Aku ketakutan. Maka, aku pantas berlari. Dia juga pantas berlari.

Nasibku begitu pun, ketika aku menaiki tangga jejantas, malang sekali. Kakiku terseliuh, maka aku juga terjatuh. Aku yang masih serba ketakutan terus serba kesakitan.

Dia datang menghulur tangan. “Kau ok kah, Ustaz? Boleh berdiri?”

Aku hulurkan saja tangan aku kepada Jil. Di sebalik rasa kapus dan sakit, dia menarik aku kuat-kuat... dan memeluk aku di tengah-tengah jalan.

“Kenapa kau lari, Ustaz? Saya bah ini, yang kau jumpa itu hari.” Soalan ini membuatkan aku terus menangis. Aku tidak dapat menjawab soalan itu.

“Bukan hari itu kau bilang kau mahu kupi-kupi kah dengan saya?” Aku mengangguk saja tapi masih juga tidak keluar dari lidah walau sepatah kata.

“Kau tenang dulu, Ustaz. Kita minum dulu sana.” Masih juga aku mengangguk dengan ajakannya. Jil pun membawa aku minum di sebuah restoran di sekitar Bangsar.

Aku hanya mengangkat bicara setelah dihidangkan air kopi susu sejuk di situ. “Jil, aku minta maaf. Kau tahu juga kenapa.” Jil pun terdiam mengangguk. “Aku pun sejak hari itu sudah mula faham. Jadi, aku harap kau pun begitu.”

Sebenarnya aku ada sebab untuk berkawan dengannya sejak waktu dia memanggilku dengan caranya. Aku mahu belajar sedikit tentang bidang kerjanya. Selebihnya, aku serahkan kepada Yang Maha Kuasa.

Tetapi, di sela-sela masa itu, aku juga berperang dengan diriku sendiri. Kesempatannya aku berterus-terang dan menceritakan semuanya.

“Sekarang kau ok sudah, Ustaz?” Entah sudah kali ke berapa dia bertanya kepadaku.

“Dekat-dekat Asar sudah ini, mari saya bawa kau ke masjid.” Dia memanduku sampai ke sebuah masjid di Petaling Jaya. Masjid itu sering aku kunjungi ketika aku mula-mula di pengajian tinggi.

Dia menungguku di lobi sementara aku menunaikan solat sendiri.

Setelah itu, dia menghulurkan lagi tangannya kepada aku... dan memeluk aku sekali lagi. “Kau kan kuat, Ustaz. Jangan resah dan risau lagi. Semuanya baik-baik sahaja.”

“Saya pun mahu minta maaf dengan kau, Ustaz. Tidak sangka pula saya sampai menjadi begini.” Aku memaafkan saja.

Hari yang seterusnya kembali biasa-biasa sahaja bagi aku setelah aku mendapat nasihat dan rawatan yang sebaiknya daripada doktor di hospital.

Ketika aku terus membantu media menyampaikan khabar-khabarnya, Jil juga terus meliput dan menyampaikan perkembangan semasa bersama firma yang berbeza, tetapi menjadi lebih masyhur berbanding sebelumnya.

Diterbitkan di Utusan Borneo (Sabah) pada 23 Januari 2022, halaman 8.

Comments