Memperbaharui Keazaman, Mengukuhkan Tindakan


"Realitinya, kuasa manusia hanya mentadbir, Allah jualah yang berkuasa mentakdir. Tetapi, itu tidak bermakna kita berhenti berdoa, berusaha dan bercita-cita seraya menyerahkan segalanya kepada takdir semata-mata. Kehidupan ini kita teruskan sekadarnya."

Saudara-saudara sebangsa dan setanah air, di mana pun jua berada di seluruh pelusuk dunia: Selamat Tahun Baru 2022.

Tidak ada apa-apa yang dijanjikan untuk kita pada tahun ini melainkan sebuah harapan agar tercapai semua doa, usaha dan cita-cita yang selama ini kita impikan. Realitinya, kuasa manusia hanya mentadbir, Allah jualah yang berkuasa mentakdir. Tetapi, itu tidak bermakna kita berhenti berdoa, berusaha dan bercita-cita seraya menyerahkan segalanya kepada takdir semata-mata. Kehidupan ini kita teruskan sekadarnya.

Mudah-mudahan kita meraih yang lebih baik pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ingatlah, kebaikan akan sentiasa kita kecapi selama mana kita istiqamah melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Itulah taqwa yang semoganya menjadi sebab kita meraih kasih sayang Allah SWT di dunia ini dan di akhirat nanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah. Dengan izin dan rahmat Allah SWT, Tuhan yang Maha Esa, kita telah selamat memasuki tahun Masihi yang berikutnya, iaitu tahun 2022. Walaupun negara masih diuji dengan Penyakit Koronavirus 2019, malah bertambah ujian yang menimpa negara dengan peristiwa banjir dan tanah runtuh, tahun sebelumnya telah meninggalkan kita semua dengan banyak kenangan, teladan dan pengajaran.

Sebagai manusia yang lemah, kita tidak mampu mendapatkan kembali masa yang telah berlalu. Kita juga tidak akan pernah mampu mengembalikan setitik hujan yang turun ke bumi, ke langit yang menumpahkannya dulu. Mungkin masih ada azam pada tahun sebelumnya yang tidak dapat kita realisasikan lantaran cabaran demi cabaran yang datang tanpa dirancang. Begitu pun, tidaklah bermakna kita perlu bersikap pesimis, putus asa atau kecewa.

Sebagai insan yang beriman, kita hendaklah bermuhasabah diri, berazam dan merancang perkara yang lebih baik untuk tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya. Islam tidak menyukai umatnya yang terlalu mudah menyerah kalah dan mengabaikan usaha dan tawakal pada Allah SWT.

Kita meraikan kedatangan tahun ini dengan rasa kesyukuran dan kesederhanaan. Alhamdulillah, seiring bertambahnya usia, berterusan jualah kemampuan kita untuk melihat wajah alam, menatap langit, menghirup udara, merenung perairan dan yang lebih penting lagi, melayari kehidupan dengan nikmat Islam, Iman dan Ihsan.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Walaupun ramai dalam kalangan kita yang dilahirkan sebagai seorang Muslim, janganlah kita lupa untuk sentiasa memperbaharui keimanan dan ketaqwaan. Hal ini demikian kerana, keimanan dan ketaqwaan tidak terhad kepada hari, minggu atau bulan tertentu, tetapi berterusan sepanjang zaman, selagi hayat dikandung badan.

Saidina Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perbaharuilah iman kamu sekalian. Sahabat bertanya: Bagaimanakah caranya kami memperbaharui iman kami? Ujar Baginda SAW: Hendaklah kamu memperbanyakkan ucapan la ilaha illa Allah.” (Hadis riwayat Ahmad)

Kalimah tauhid la ilaha illa Allah ialah pegangan dan amalan setiap Muslim. Penafian adanya tuhan lain selain Allah SWT menunjukkan kita wajib mengimani semua sifat Allah SWT dan qadha serta qadar-Nya. Walau apa pun dugaan yang datang, sama ada kita suka atau pun tidak, atas prinsip la ilaha illa Allah, kita wajib redha dan bersyukur.

Zaman globalisasi yang kian hari kian mencabar minda kita haruslah diuruskan dengan baik. Kita tidak boleh membiarkan kehidupan kita dijajah dan diheret oleh arus kemodenan. Agama hendaklah dipertahankan agar iman kita tidak tergadai tidak bersisa. Untuk memperbaharui iman, kita boleh melakukan perkara-perkara berikut:

Pertama: Memperbetulkan cara kita menunaikan solat. Masih ada dalam kalangan orang Islam yang kurang mendalami ilmu berkaitan solat. Mereka suka menangguhkan solat dengan sengaja atau tidak tahu membezakan antara perkara fardu dan sunat dalam solat. Bahkan lebih menyedihkan, ada orang Islam yang sengaja mengabaikan solat Jumaat dengan pelbagai keuzuran yang disengajakan.

Kedua: Memilih bahan bacaan yang sesuai untuk menambahkan ilmu. Pada zaman globalisasi ini, masyarakat kurang menjadikan buku dan majalah keagamaan sebagai rujukan. Mereka lebih suka akan bahan bacaan yang bersifat picisan dan rendah mutunya. Terdapat juga segelintir umat Islam yang lebih cenderung membaca maklumat yang tidak pasti kesahihannya berbanding dengan membaca al-Quran. Mereka lupa bahawa semasa berada di alam barzakh nanti, kalam Allah SWT itulah yang boleh memberikan cahaya kepadanya.

Ketiga: Melakukan amar makruf dan nahi mungkar, yakni menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Zaman yang semakin berubah menjadikan bentuk kemungkaran turut berubah. Jika pada zaman dahulu, kejahatan dapat dilihat dengan mata kasar, namun kini, kemungkaran perlu dinilai dengan mata hati. Ada kalanya kita tidak dapat membezakan antara kemungkaran dengan kebaikan lantaran fitnah dan bala yang terlalu banyak.

Keempat: Melakukan muhasabah diri. Perubahan tahun seiring dengan pertambahan umur kita. Hal ini bermakna dosa kita mungkin bertambah. Oleh itu, lakukanlah muhasabah diri secara kerap bagi menyesali dosa-dosa yang lampau. Patuhilah syarat-syarat taubat agar kita tidak termasuk dalam golongan yang degil dan tegar melakukan dosa.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Marilah kita jadikan tahun baru ini sebagai kayu ukur untuk kita membuat perubahan. Walaupun Islam mempunyai takwim Hijri yang tersendiri, namun tidaklah menjadi kesalahan jika kita memperbaharui keazaman seterusnya mengukuhkan tindakan sempena kedatangan tahun Masihi ini.

Marilah kita menjadikan masjid dan surau sebagai tempat bermulanya perubahan diri kita. Bersamalah kita mengimarahkan masjid dan surau yang berada di kawasan kita atau yang berada di sekeliling kita dengan solat berjemaah, bacaan ayat suci al-Quran, zikir dan doa, majlis ilmu serta acara kemasyarakatan.

Bagi yang mempunyai kemampuan, bawalah keluarga ke rumah Allah SWT ini sebagai salah satu cara menanamkan perasaan cinta akan agama dalam diri mereka. Jagalah hubungan dengan jiran tetangga dan hiduplah dengan bermuafakat.

Bagi yang bekerja atau berniaga, berikanlah perhatian terhadap integriti dalam pekerjaan dan perniagaan. Usahlah jadikan umat Islam sebagai bahan cercaan musuh yang sentiasa mengintai peluang untuk memporak-perandakan kita.

Janganlah menjadi seperti golongan yang sombong dan susah untuk ditegur dan dibimbing walaupun dalam perkara kebenaran. Jadilah kita Muslim yang bersaudara, yang baik dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Semoga hari-hari yang kita telah, sedang dan akan lalui pada tahun ini mendapat kerahmatan daripada Allah SWT.

“Demi masa; sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan yang rugi; kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran serta yang berpesan-pesan dengan penuh sabar.” (Surah al-Asr, ayat 1 hingga 3)

Jumaat, 7 Januari 2022.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah sumbangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dengan suntingan.

Comments

  1. Best Casino in Lake Tahoe - Mapyro
    Visit an old-fashioned casino in 나주 출장안마 the Lake Tahoe – an enormous area that is filled with 보령 출장안마 people with fun and 남양주 출장마사지 adventure. 과천 출장마사지 의왕 출장샵 Photo Credit.

    ReplyDelete

Post a Comment